Showing posts with label Isu. Show all posts
Showing posts with label Isu. Show all posts

Thursday, April 23, 2015

KHDIMAT BAS HENTI-HENTI KUALA KRAI - DABONG BERMULA SELEPAS BANJIR BESAR


Penduduk Kuala Krai pasti berasa lega setelah laluan dari Kuala Krai dibuka semula setelah laluan rel mengalamai kerosakan teruk akibat dari banjir besar yang telah melanda Kelantan. Kuala Krai adalah daerah yang terjejas paling teruk sehingga mengakibatkan terputusnya segala perhubungan darat.

Pada awal Januari lalu, pihak SPAD yang diketuai Tan Sri Syed Hamid Albar telah membuat tinjauan keadaan di Dabong di mana pengangkutan awam termasuk bas ekspres, henti-henti, bas sekolah serta kereta sewa juga terjejas terus dan mengalami kerosakan.

Sementara menunggu rel dan keretapi diperbaiki yang telah dianggarkan masa paling cepat selama 18 bulan untuk pulih semula, kerajaan juga telah memberi peruntukan awal sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja pemulihan dan pembaikan di Gua Musang.

Kini penduduk dari Kuala Krai ke Dabong boleh menggunakan bas henti-henti yang telah memulakan perkhimdatan sejak April lalu sementara menunggu perkhidmatan keretapi beroperasi kelak.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari pihak SPAD;

KENYATAAN MEDIA SPAD



17 April 2015 – Berikutan perkhidmatan rel KTMB yang terjejas di Pantai Timur akibat banjir pada akhir tahun lalu, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (‘SKMK’) yang menggunakan jenama ‘CityLiner’ telah memulakan perkhidmatan bas berhenti-henti sejak 13 April, 2015 bagi membantu menghubungkan orang awam, termasuk pelajar sekolah sekitar Dabong, Kemubu dan Kuala Krai.

Sebelum ini, penduduk setempat menjadikan perkhidmatan rel KTMB sebagai mod pengangkutan awam mereka yang utama.

Cityliner menyediakan 3 perjalanan sehari, daripada Dabong ke Kuala Krai dan 3 lagi perjalanan dari Kuala Krai ke Dabong. CityLiner juga pada 14 April telah melanjutkan perkhidmatan laluan Jeli ke Kuala Balah sehingga ke Jelawang dan Dabong.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (‘SPAD’) telah mengadakan lawatan tapak bagi meninjau operasi bas tersebut di Dabong. SPAD juga mendapatkanmaklumbalas daripada penduduk setempat mengenai keperluan pengangkutan awam di kawasan tersebut dan mengenai perkhidmatan pengangkutanawam yang boleh ditambahbaik.


Wednesday, April 22, 2015

KONSEP BARU HASIL DARI MAKMAL TRANSFORMASI DAN HARI TERBUKA PLKN 2.0



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa PLKN akan dikaji semula serta memperkenalkan konsep baru yang lebih holistik bagi memenuhi keperluan kemahiran dan kenegaraan.

Selepas pengumuman penangguhan sesi latihan khidmat negara 2015, satu sesi makmal transformasi PLKN telah dijalan selama 5 minggu di mana tujuannya adalah membentuk PLKN baru yang telah disertai 75 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta.

PLKN 2.0 telah secara rasmi dilancarkan ketika Hari Terbuka Transformasi PLKN oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan secara terbuka orang ramai diberi peluang mengambil bahagian memberi input dan maklumbalas.

Orang ramai juga boleh memberi maklumbalas melalui portal transformasi PLKN... DI SINI


Pengerusi MLKN, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berasa sangat positif apabila portal yang diwujudkan ini juga akan dapat memudahkan proses mengemaskini data dengan lebih cepat dan orang ramai dapat beri pandangan dan resolusi dalam beberapa perkara.

Disamping itu, beberapa penambaikan dalam siri PLKN 2.0 ini juga telah dibuat di dalam proses pengambilan pelatih di mana pengambilan sekarang lebih kepada sukarela secara berperingkat-peringkat sehingga ke tahap yang dirancangkan.

Hasil dari input Makmal Transformasi ini juga memberi penambahbaikan dengan mengikuti modul kemahiran teknikal dan vokasional sebagai persiapan memasuki pasaran pekerjaan di mana kerjasama syarikat-syarikat swasta juga turut terlibat. Penambahan elemen kemahiran teknikal dan vokasional ini telah dibentangkan kepada Kabinet dan menjadi harapan agar ia akan diserapkan ke dalam Rancangan Malaysia ke 11 nanti.

Namun, apa yang lebih penting adalah sijil-sijil kemahiran yang diperolehi pelatih-pelatih yang telah menjalani latihan di PLKN 2.0 nanti akan menjadi lebih bernilai kepada keperluan syarikat-syarikat swasta.

Walaupun dengan pengumuman DS Najib untuk menjimatkan RM400 juta apabila sesi PLKN 2015 ditangguhkan tetapi hasilnya program ini telah dapat melalui proses dikaji semula dengan penambahbaikan dan orang ramai diberi peluang maklumbalas.

Monday, April 20, 2015

SULTAN SELANGOR MELAKAR MEMOIR MENAIKI KOMUTER BERSAMA RAKYAT


Titah Ucapan D.Y.M.M. Sultan Selangor Di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015 pada 30 Mac 2015 Di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam...

Beta menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan Pelan Induk Sistem Pengangkutan Awam di Negeri Selangor. Usaha ini dapat memberi kemudahan dan alternatif pengangkutan yang lebih murah, efisien dan selamat serta mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di samping mengurangkan lepasan karbon.

Begitulah prihatinnya seorang sultan kepada rakyat jelatanya yang mengutamakan kesejahteraan dan keselesaan rakyatnya. Tuanku Sultan telah membuat kunjungan hormat dan sendiri membuat tinjaun senario pengangkutan awam di Selangor dengan menaiki tren yang bermula dari Stesen Kelana Jaya.

Bersama-sama Tuanku Sultan Selangor, baginda telah diiringi Pengerusi S.P.A.D. Tan Sri Dato Seri Dr. Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif S.P.A.D En Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal bersama-sama Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Bhd En. Azmi Abdul Aziz dan Pengerusi Prasarana Tan Sri Ismail Adam. Turut serta ialah Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din.

Rombongan ini telah meneruskan perjalanan sehingga ke KL Sentral. Setibanya di Stesen KL Sentral, baginda bersama rombongan menaiki monorel ke Stesen Bukit Nenas.

Sebenarnya Tuanku Sultan Sharafuddin sendiri meminta untuk melihat sendiri dengan merasa sendiri perjalanan pengangkutan awam seperti LRT dan monorel. Setelah melalui pengalaman menaiki keretapi bersama rakyat, baginda rasa berpuas hati dan bertambah yakin dengan sistem pengangkutan hari ini di mana ia mampu mengatasai masalah lalu lintas di daerah Lembah Klang dan kemudiannya pasti di Selangor.

Baginda juga mengambil kesempatan untuk melihat pemandangan dan pembangunan di sekitar Selangor dan pusat banda Kuala Lumpur apabila sama-sama berdiri ketika di dalam tren.

Pasti kunjungan dan kehadiran baginda telah mendapat perhatian di KL Sentral serta di dalam tren dan bukan sahaja ia satu pengalaman berharga kepada baginda malahan kehadiran baginda pasti menjadi satu memoir kepada rakyat juga.

Saturday, April 18, 2015

#PRKPermatangPauh : APA PENDEKATAN MCA?


Peluang untuk berubah di Permatang Pauh dan hanya dengan memberi peluang kepada wakil Parlimen Barisan Nasional saja, maka perubahan pasti dinikmati. Itulah pandangan Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang melihat inilah masanya pengundi Permatang Pauh perlu membuat pilihan seorang calon yang mampu bertanggungjawab mewakili mereka.

Datuk Liow juga yakin rakyat Permatang Pauh sangat-sangat memerlukan seorang wakil parlimen yang bertanggungjawab jika calon BN diberi peluang kali ini dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan pada 7 Mei akan datang.

Parlimen Permatang Pauh telah menjadi kubu kuat keluarga Anwar Ibrahim sejak mula bertanding di bawah Barisan Nasional/UMNO sehinggalah bertukar tangan kepada isterinya Wan Azizah dan seterusnya diserahkan semula kepada Anwar Ibrahim. Namun, setelah Anwar dipecat dari kabinet kerajaan dan keahlian sebagai ahli UMNO, parlimen Permatang Pauh tetap milik Anwar di bawah PKR.

Demografi pengundi Permatang Pauh, daripada 71,890 pengundi di Permatang Pauh, seramai 50,579 Melayu (70.36 peratus), 16,462 Cina (22.9 peratus), 4,532 India (6.3 peratus), 40 Bumiputera Sabah (0.06 peratus), 33 Bumiputera Sarawak (0.05 peratus), 1 Orang Asli (0.01 peratus) dan  243 lain-lain (0.32 peratus).

Anwar telah memenangi kerusi parlimen di PRU 13 dengan majoriti lebih rendah daripada PRU 12 tetapi peratusan yang keluar mengundi yang lebih tinggi hampir 10%.

Sejurus pengumuman kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, MCA telah mula menggerakkan jentera pilihanrayanya dengan mewujudkan bilik gerakan serta bersiap sedia mengadakan program bersama pengundi. Bilik gerakan MCA telah dilancarkan pada 16 April lalu oleh Presidennya, Datuk Sri Liow Tiong Lai.


Apa pendekatan MCA?

Memahami sentimen pengundi Cina di Permatang Pauh hari ini, apabila segala janji-janji manis yang pernah ditaburkan kepada mereka telah gagal, MCA yakin peningkatan sokongan kepada BN dan ini haruslah dizahirkan di peti undi.

Dalam PRU13 lalu, majoriti mereka menyokong calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini tidak mengejutkan kerana ketika itu sentimen penolakan kepada BN cukup tinggi dan pengundi Cina juga dimomokkan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri.

MCA ingin membuktikan hanya parti seperti Barisan Nasional yang mengamalkan kesederhanaan dengan slogan seperti "mempertahan kepelbagaian" dan "melindungi kesederhanaan" mampu untuk memenangi hati pengundi masyarakat Cina. Oleh kerana Pakatan Rakyat telah mengkhianat pengundi Permatang Pauh khususnya dan pengundi Malaysia amnya, maka amat wajar sebagaimana seruan Datuk Liow agar masyarakat Permatang Pauh memberi 'semangatpositif" kepada MCA.

Bagaimanapun, selepas PRU13, senario politik menjadi lebih perkauman dan keagamaan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ingin membentangkan rang undang-undang persendirian enakmen hudud di Parlimen. Ini jelas pembohongan DAP terhadap pengundi Cina di Permatang Pauh.

Pembangunan dan peluang ekonomi di Permatang Pauh haruslah dijadikan ukuran kemampuan dan tanggungjawab seseorang ahli Parlimen, dan pasti itulahyang mampu dipikul calon Barisan Nasional. Oleh itu MCA sebagai rakan BN, akan menumpukan kempen pilihanraya dengan mensasarkan kira-kira 17,000 pengundi Cina di Permatang Pauh nanti dengan sebahagian besarnya di kawasan DUN Seberang Jaya.

Wednesday, April 15, 2015

AWAS KERETA SAPU 'EASY TAXI' ...


Memang bijak untuk sesetengah orang mengambil kesempatan bagi membuat keuntungan dalam situasi-situasi mendesak. Oleh kerana ibukota Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang akan sentiasa mengalami kesesakan lalulintas dan pastinya teksi adalah kaedah pengangkutan menjadi pilihan ramai. 

Pergerakan bukan saja menjadi lancar, malahan masalah untuk mendapatkan parkir serta kadar parkir yang agak mahal juga merupakan mengapa wargakota lebih senang memilih untuk menaiki teksi.

Mengambilkira masalah perjalanan wargakota ini, maka timbullah pelbagai cara terutama menempah teksi secara online melalui aplikasi di telefon pintar.

Pernah terjadi pada tahun lalu, syarikat tempahan teksi online Uber telah mendapat sambutan baik dan pada masa yang sama, pihak berkuasa mendapati syarikat Uber tidak berdaftar dengan SPAD yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada kenderaan awam dan peribadi yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai dengan menerima upah.

Pihak kerajaan tidak pernah menghalang penggunaan teknologi moden yang sesuai dengan permintaan zaman, malahan menerima baik sekiranya  syarikat yang mengendalikan aplikasi seperti tempahan teksi berdaftar secara sah dan rasmi.


Kini, setelah aduan demi aduan didapati satu lagi perkhidmatan tempahan teksi melalui aplikasi telefon iaitu EasyTaxi sedang beroperasi secara haram dan berleluasa di sekitar ibukota dan Lembah Kelang.

Pihak penguatkuasa SPAD telah menjalankan satu operasi khas iaitu Ops REVUS TEGAS bagi membanteras aktiviti kenderaan yg memberi perkhidmatan tanpa Lesen pada 14 April lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Ini adalah sebenarnya pertama kali SPAD dapat memberkas teksi-teksi tanpa lesen sah dari SPAD yang mengguna aplikasi EasyTaxi setelah dilancar sebulan yang lalu.


Seperti kenyataan  Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, yang penting kehadiran dan tindakan SPAD dirasai kereta-kereta sapu ini. Kereta-kereta persendirian ini dikategori sebagai kereta sapu oleh SPAD adalah bertepatan apabila tidak mempunyai lesen sah dari SPAD dan akibatnya mampu membahayakan penumpang. Apabila tidak berdaftar, penumpang tidak akan mampu dilindungi insuran sekiranya berhadapan dengan sebarang kemalangan.


Sebelum itu, pada 9 April 2015, operasi bagi banteras kegiatan Ulat dan Kereta Sapu juga telah dijalankan di KLIA dan KLIA2 dengan gabungan anggota dari PDRM dan AADK. Di antara yang berjaya diberkas adalah 9 kereta prebet sapu, 5 kes positif Syabu dan 4 Ulat Teksi.


Pepatah melayu ada berkata, sepandai-pandai tupai melompat tetapi akhirnya jatuh ke tanah jua dan inilah peringatan yang perlu diberi kepada kereta-kereta sapu walaupun melalui aplikasi telefon. Tidak ada salah mencari rezeki lebih tetapi perlulah menghormati undang-undang dan berlaku adil kepada mereka yang mencari rezeki secara halal.

Friday, April 10, 2015

MCA TETAP BERSAMA NAJIB TETAPI TIDAK AKAN LAYAN KRITIKAN PERIBADI


Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah membawa maksud kekuatan sesebuah kerajaan kerana kepimpinannya, kekuatan kepimpinan kerana rakyatnya yang bersatu padu. Itulah pendirian MCA yang sebenar di dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Tiba masanya MCA dan barisan kepimpinan tertinggi menyatakan sokongan terhadap DS Najib. Ini adalah demi masa depan negara. Amatlah perlu kerajaan meneruskan serta menumpu usaha melakukan pelbagai transformasi untuk rakyat dan negara.

Oleh itu, MCA juga mengambil keputusan untuk tidak melayan sebarang kritik dari mana-mana pihak lebih-lebih lagi yang berbentuk serangan peribadi terhadap Perdana Menteri.

Kita telah menyaksikan bagaimana perpaduan Barisan Nasional pernah tergugat apabila serangan dan kritik peribadi terhadap Tun Abdullah Badawi ketika menyandang sebagai Perdana Menteri dan musibahnya sehingga mengadai kepercayaan rakyat di dalam pilihanraya ke 12, di mana pertama kali BN kehilangan 2/3 majoriti dan MCA menjadi sasaran utama.

Kini di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib yang memberi sokongan padu terhadap usaha MCA untuk melakukan transformasi parti, MCA tidak ada sebab untuk tidak berdiri bersamanya dan menyatakan sokongan padu mereka.

Walaupun DS Najib dikritik samada kepimpinan atau peribadinya, di dalam era kepimpinan ini di mana kebebasan bersuara diraikan, namun pihak yang mengkritik perlulah bertanggungjawab dan bukan sekadar demi kepentingan peribadi.

Musuh politik sebenar Barisan Nasional dan MCA adalah di pihak lawan terutama DAP dan sekutunya PKR dan PAS. Oleh itu, sekiranya terdapat kritikan dan teguran sesama parti komponen atau sesama ahli, perbincangan di meja bulat adalah yang terbaik dan bukan peperangan secara terbuka terutama apabila mengambil kesempatan di ruang media sosial. Akibatnya, pekong semakin terdedah dan akhirnya parti yang akan rugi.

Monday, April 06, 2015

KEPIMPINAN TERTINGGI MCA TERKESAN DENGAN PEMERGIAN TAN SRI JJ DAN DATO AZLIN


Pemergian Tan Sri Jamaludin Jarjis telah memberi kesan kepada rakan-rakan politiknya termasuklah dari rakan parti komponen parti BN, MCA. Datuk Sri Liow Tiong Lai dan Datuk Wee Ka Siong di antara pemimpin tertinggi MCA, adalah di antara pemimpin parti komponen yang berkongsi kesedihan mereka.

Sebagai Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA turut menyatakan kesedihannya dan yang pasti, keutamaan akan diberi untuk mengumpul sebanyak mungkin bukti-bukti di kawasan kemalangan bagi mencari puncanya dan satu pasukan khas telah ditubuhkan; video

Kemalangan helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang dinaikki Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, telah terhempas di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih.


Bagi Datuk Wee Ka Siong pula, beliau berkongsi saat-saat akhir ketika bersama dan pesananan-pesananan arwah Tan Sri JJ;
Saya berasa amat terkejut dan sedih sebaik menerima berita Tan Sri Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih.

Kali terakhir saya bertemu dengan Tan Sri Jamaluddin ialah ketika saya duduk di sebelahnya di majlis Akad Nikah anak Perdana Menteri di Sri Perdana pada 19 Mac lalu.

Kali terakhir saya berbual dengannya di telefon ialah pada 29 Mac lalu ketika saya menghadiri Persidangan Inter Parliamentary Union (IPU) di Hanoi. Dalam perbualan telefon itu beliau berpesan beberapa strategi untuk menangani situasi politik terkini.
Namun hajat untuk bertemu pada minggu hadapan nampaknya tidak kesampaian. Mereka dijangkakan bertemu untuk berbincang mengenai projek PRIMA.

Menganggap arwah sebagai seorang abang yang tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada adiknya, sejak Datuk Wee menjadi Ahli Parlimen, arwah Tan Sri sentiasa memberi nasihat bagaimana untuk menjadi seorang MP yang kritikal tapi konstruktif.

Kehilangan Tan Sri JJ bukan sekadar di pentas politik tetapi beliau juga dilihat sebagai seorang ahli koperat dan teknokrat yang berpengetahuan luas ketika mejadi menteri MOSTI dan meneraju PR1MA.

Datuk Wee juga sentiasa berbincang dengan Tan Sri JJ semasa Rang Undang-Undang PR1MA dibentangkan memandangkan Tan Sri bukanlah seorang 'rigid' tetapi seorang yang sedia mendengar dan meminda mana-mana yang munasabah. Kawasan parlimen Datuk Wee di Ayer Hitam juga tidak dilepas pandang dan sejak setahun ini, mereka sering berbincang untuk membawa manfaatnya kepada masyarakat Ayer Hitam.

Inilah berkat semangat perkongsian kuasa yang terdapat di dalam Barisan Nasional. Walaupun masing-masing mewakili parti politik berbeza kaum, namun mereka sentiasa saling bekerjasama demi pembangunan negara dan keutamaan rakyat Malaysia.

Oleh itu, tidak menjadi satu perkara yang asing apabila MCA juga terkesan dengan pemergian Tan Sri JJ dan juga Dato Azlin kerana bagi mereka ia kehilangan bukan sahaja seorang sahabat tetapi sebahagian dari keluarga besar BN.

Friday, April 03, 2015

16 AHLI PARLIMEN BN DAN 2 DARI PEMBANGKANG HADIR KE MAKMAL PLKN


Apabila DS Najib umumkan penangguhan sesi PLKN bagi sesi 2015 selama setahun, ramailah ahli-ahli politik terutama dari pihak pembangkang bertanggapan kerajaan akan bercadang menutup program ini kerana membazir dan tidak memberi apa-apa kebaikan kepada negara.

Tetapi apa yang mereka gagal lihat adalah penangguhan ini bukan sekadar mampu menjimatkan 400 juta tetapi pada masa yang sama, MLKN bercadang untuk menambaik modul-modul PLKN dan juga infrastrukturnya seperti kem latihan, agar ia lebih mantap dan sesuai dengan kehendak semasa.

Kerajaan telah umumkan di dalam Bajet 2015 untuk mewujudkan satu makmal khas PLKN di dalam Pelan Transformasi Belia Negara... baca DI SINI

Pada 13 Februari lalu, Makmal Transformasi Program Khidmat Negara (PLKN) telah dilancarkan dan akan berlangsung selama 5 minggu bermula 23 Februari sehingga 26 Mac.

Sejurus saja tamat tempoh 5 minggu sesi makmal ini, ahli-ahli parlimen samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang telah dijemput menghadiri satu sesi penerangan dalam "Syndication Session with Members of Parliament, PLKN Transformation Lab 2015" dan 16 ahli Parlimen dari BN dan hanya 2 saja mewakili pembangkang, telah hadir. Itu pun yang hadir adalah dari wakil DAP.


Dengan pendekatan terbuka dan inklusif Makmal Transformasi ini, ahli-ahli parlimen juga turut diberi ruang memberi pandangan-pandangan mereka. Sebagai pembuat dasar, adalah menjadi tanggunjawab sebagai wakil rakyat bersama-sama MLKN memantapkan lagi program latihan ini agar bila dimulakan kelak semuanya mencapai matlamat yang diharapkan.

Selama sesi makmal dijalankan, Pengerusi MLKN Datuk Nor Ehsanuddin telah memberitahu panel-panel yang dilantik adalah terdiri daripada pakar-pakar yang terpilih bagi mengumpul maklumat dan kajian pendapat yang hanya bertujuan untuk penambahbaikan modul PLKN.

Sesi makmal transformasi tidak terhenti di situ saja selepas 5 minggu, namun satu hari terbuka bakal diadakan dan sesiapa sahaja dijemput hadir untuk sama-sama memberi input baru dan tambahan.

Penambahbaikan yang diharapkan dapat menepati matlamatnya meliputi struktur pengurusan, pengambilan pelatih dan juga perlaksanaannya selain dari modul-modul latihan.

Selanjutnya, ikuti klip video dari BNBBC ...


Friday, March 27, 2015

'e-WAQF JAMAIE' DIPERKENAL YPPM UNTUK SALURAN BERSEDEKAH SECARA ONLINE


Dunia digital tidak akan disisihkan dari pengajian pondok dan kesempatan inisiatif perhubungan melalui digital di era ini telah dimanfaatkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan menandatangai satu Memorandum Kerjasama Strategik dengan Multimedia Development Corporation (MDec) dan Platform Crowd Funding (pitchIN)

Sebenarnya Memorandum Kerjasama Strategik in telah ditandatangani di hadapan YAB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri pertengahan tahun lalu.

Ini adalah inisiatif kelangsungan YPPM hasil daripada resolusi program Ijtimak Pondok-Pondok Malaysia yang dilangsungkan pada 23 dan 24 April 2014 di Alor Setar, Kedah.

Konsep yang boleh dianggap baharu bagi komuniti pondok negara ini adalah untuk memprofil institusi-institusi pondok di Malaysia secara digital, mengenalpasti keperluan-keperluan serta meraih bantuan dan sokongan sewajarnya, dan seterusnya melaksanakan secara berperingkat, program-program pengupayaan digital bagi komuniti dan institusi pondok di Malaysia.

Salah satu projek yang bakal dilaksanakan di bawah kerjasama ini ialah Program e-Waqf Jamaie yang mengambil model ‘social crowd funding’ sebagai asas kepada pelaksanaannya yang akan membolehkan orang ramai memperoleh maklumat yang lebih telus berhubung menyalurkan sumbangan bagi keperluan pondok-pondok di dalam senarai YPPM.

Bagi YPPM, langkah pertama yang telah diambil ialah mengenalpasti projek atau keperluan khusus komuniti pondok yang boleh ditaja samada dari pihak swasta mahupun masyarakat umum, khususnya pengguna internet yang mahu bersedekah dan memberi sumbangan secara online.

2 projek yang dimaksudkan adalah pelaksanaan kajian profil pondok-pondok, yang akan menghasilkan direktori pondok-pondok di Malaysia yang mengandungi maklumat terperinci dan projek kedua pula adalah berkaitan usaha Pemuliharaan Kitab-Kitab Lama khususnya kitab-kitab lama yang berada dalam simpanan pondok-pondok agar dapat dipulihkan menerusi kaedah digital (digital restoration).

Konsep 'social crowdfunding' yang diperkenalkan PitchIN ditugaskan menjalankan kempen dan promosi promosi projek secara online melalui saluran-saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Rebranding dan memperkenalkan seorang ikon yang selalunya berjalan di antara 30 hingga 90 hari sehingga dana akan terkumpul.

Untuk merealisasikan program ini, YPPM dan MDeC bersetuju menggunakan khidmat pakar dalam bidang e-waqf jamaie atau social crowdfunding, PitchIn, yang ditugaskan untuk menjalankan kempen dan mempromosi projek melalui media sosial. Tempoh kempen lazimnya antara 30 dan 90 hari sehingga jumlah dana yang perlu dapat diperoleh.

Setiap fasa projek dan pengumpulan dana yang telah disalurkan akan dipantau dengan teliti dan semuanya dipamerkan secara online.

Langkah strategik sebegini bukan sekadar mengadaptasi keperluan digital dalam operasi YPPM, malahan sekali gus dilihat mampu memperluaskan lagi pengetahuan masyarakat mengenai program-program YPPM dengan lebih terbuka untuk dimanfaatkan semua umat Islam.

Thursday, March 26, 2015

LIOW : APA MUSLIHAT KIT SIANG DAN ANAKNYA?


Minyak dan air tidak mungkin dapat disatukan tetapi jika disatukan juga hasilnya pasti merosakkan. Begitulah ibarat pakatan politik di antara dua parti ekstrim PAS dan DAP yang matlamat perjuangan politik mereka sangat menyimpang.

Itulah yang dipersoal Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai terhadap Kit Siang dan anaknya kerana bekerjasama dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat sejak penubuhannya walaupun secara rasmi tiada pendaftaran.

Memperjuangkan negara Islam dan melaksana hukum hudud bukan perkara baru untuk PAS dan masakan Kit Siang yang telah lama terlibat dalam arena politik tanahair tidak mengetahuinya dan pada masa sama tetap bekerjasama dalam satu pakatan.

Pada tahun 1990, dalam usaha untuk memenangi pilihan raya umum, DAP bekerjasama dengan PAS melalui Parti Semangat 46. PAS memenangi Kelantan dan hasrat mereka untuk laksana hudud telah disuarakan. Selepas itu, pada bulan November 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Kemudian pada bulan Oktober 1999, Barisan Alternatif yang terdiri daripada DAP, PAS, Parti Keadilan dan Parti Rakyat telah ditubuhkan. Walau bagaimanapun, DAP menunjukkan prestasi yang teruk dalam pilihan raya umum berikutnya. PAS pula telah menunjukkan prestasi yang lebih baik, menjadi parti pembangkang terbesar dan seterusnya memerintah Kelantan dan Terengganu. Terengganu beransur-ansur menjadi lebih ultra-konservatif di bawah PAS.

Akhirnya pada bulan Julai 2002, dengan sokongan semua 28 ADUN PAS, Dewan Undangan Negeri Terengganu telah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Takzir). Daripada 4 wakil rakyat UMNO, 3 berkecuali dan yang satu lagi tidak hadir.

DAP mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Barisan Alternatif pada bulan September 2001, tetapi tanpa rasa malu, berkumpul semula dengan PAS dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Sejak tahun 1990 lagi, kita boleh lihat penglibatan Kit Siang dalam percaturan politik pihak pembangkang. Bukankah aneh apabila Kit Siang mengaku tidak mengetahui bahawa matlamat PAS adalah untuk melaksanakan hukum hudud? Terang dan nyata, Kit Siang masih amalkan taktik menipu dan berlakon tidak bersalah setelah berkali-kali memperdayakan masyarakat bukan Islam terutamanya bangsanya sendiri.

Hari ini pula, putar belit Kit Siang untuk menyertai Barisan Nasional hanya untuk menutup penipuan kepada masyarakat bukan Islam atau mungkin itulah talian hayat terakhirnya.

Dua beranak Lim yang terlalu terdesak untuk terus berkuasa akan lakukan apa saja walaupun dengan menipu, berlakon dan menikam rakan sendiri.

Pengumuman terkini DAP bahawa kesemua 37 Ahli Parlimennya tidak akan menyokong hudud, hanyalah satu lagi sandiwara untuk menipu rakyat kerana bagi pandangan Datuk Liow, selagi mereka masih bersama di dalam Pakatan Rakyat, sebenarnya mereka masih dan sedang bekerjasama.

Perlaksanaan hukum hudud bukanlah agenda peribadi Hadi Awang tetapi parti PAS yang mempunyai ahli dan wakil dalam Dewan Undangan Negeri serta di Parlimen. Datuk Liow juga mempersoal kenyataan Guan Eng yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi Awang sebagai Presiden PAS tetapi masih memerlukan PAS pada masa yang sama.

Kecelaruan fikiran Guan Eng tidak boleh diterima kerana Hadi Awang dilantik ahli-ahlinya secara demokrasi dan Hadi diberi kuasa oleh ahli-ahlinya untuk melaksanakan apa yang termaktub di dalam perlembagaan parti.

Jelas sekali ini menunjukkan DAP terus-terusan mengkhianati ahli-ahli DAP dan masyarakat Cina yang telah memberi undi kepada mereka pada pilihanraya-pilihanraya lepas.

SOP DALAMAN PENGURUSAN PEROLEHAN FELDA BERJAYA DITAMBAHBAIK


Setelah pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa pengurusan kontrak perolehan dan SOP pengurusan kewangan FELDA bebas dari sebarang unsur rasuah, ketirisan dan penyelewengan pada Oktober 2014 ... (baca di sini), satu lagi pengumuman telah dibuat yang perlu diraikan warga Felda.

Datuk Nur Jazlan selaku Pengerusi PAC, telah mengumukan pula FELDA telah membuat banyak penambahbaikan dalam pengurusan perolehannya berikutan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2.

Nampaknya pihak Felda mengambil langkah proaktif untuk memperbetulkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalamannya bagi mengelakkan perkara yang sama berulang dalam Laporan Ketua Audit Negara seterusnya.

Rumusan siasatan telah diedarkan di bangunan parlimen di mana PAC mengakui banyak penambahbaikan tatacara SOP dalaman mereka untuk mengatasi masalah sebelum ini.

Walaubagaimanapun, masih terdapat kelemahan yang didapati di peringkat anak syarikat seperti masih ada perolehan yang dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa yang sepatutnya dan dibuat oleh pegawai yang tidak mempunyai kuasa. Beberapa perolehan Felda yang telah dipecah kecil adalah tidak memenuhi peraturan perolehan yang sedang berkuat kuasa yang boleh menyebabkan salah guna kuasa.

Pada masa yang sama, tuduhan rasuah atau ketirisan di dalam pengurusan kewangan Felda dibidas Nur Jazlan kerana tidak terdapat sebarang bukti.

Walaupun terdapat persepsi negatif terhadap Felda apabila pada awal bulan Mac, SPRM telah mengumumkan penahan CEO Felda Investment Corporationdalam siasatan salah guna kuasa dan rasuah, namun secara keseluruhannya, penambahbaikan SOP telah dilaksanakan seperti saranan PAC Oktober tahun lepas.

Wednesday, March 25, 2015

PENJELASAN MENTERI KDN TIADA TANGKAPAN KE ATAS DR MASHITAH


Berani kerana benar, takut bila terasa dan memang bersalah! Itu adalah jawapan terbaik kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang sembunyikan diri atau mungkin berasa besar kepala untuk hadir ke balai polis setelah dipanggil untuk disoalsiasat.

Ini tidak terjadi kepada Dr Mashitah yang telah hadirkan diri secara sukarela dan bekerjasama dengan pihak polis untuk memberi keterangan. Namun, mengikut sumber dari Agenda Daily, nampaknya pihak pembangkang masih tidak puas hati dengan tindakan polis dan membawa isu ini ke parlimen.

Yang ingin pembangkang buktikan adalah tuduhan-tuduhan mereka seperti yang pernah didakwa Ketua Polis Negara, PDRM tunduk dan bertugas untuk UMNO.

Tetapi penjelasan Menteri KDN adalah seperti berikut... AgendaDaily;
Polis tidak menahan Ketua Wanita UMNO Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berhubung kes mengeluarkan kenyataan sensitif seperti yang dilakukan terhadap pemimpin pembangkang kerana kenyataan beliau dapat dirakam dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu demikian kepada Dewan Rakyat Selasa bagi menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran yang bertanya kenapa pemimpin UMNO tidak ditahan berhubung kenyataan kontroversi yang dikeluarkan.

Bukan setakat kenyataan Dr Mashitah dirakamkan tetapi beliau dengan rela hati telah tampil ke balai polis untuk bekerjasama di dalam siasatan polis pada 8 Disember lalu dan pada 10 Mac, Menteri KDN telah pun umumkan siasatan polis telah lengkap dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Di dalam isu ini, yang penting ialah pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa beri kerjasama di dalam siasatan polis berbanding pemimpin-pemimpin pembangkang. Terdapat kejadian di mana pemimpin pembangkang cuba mencabar atau menghalang siasatan polis dengan menyembunyikan diri ataupun tidak mengendahkannya. Akhirnya bila polis bertindak, polis pula dikatakan zalim dan diberi pelbagai tuduhan.

Pemimpin pembangkang nampaknya tidak tahu membezakan di antara ditangkap atau ditahan. Apabila seseorang suspek ditangkap di atas kesalahan tetapi apabila seseorang ditahan, ini adalah kerana meminta seseorang itu tampil setelah tidak hadir seperti diarahkan polis untuk memberi keterangan.

Datuk Dr Mashitah tidak menghalang, tidak lari, tidak mencabar arahan polis, maka apa perlu beliau ditangkap mahupun ditahan?

Baca di sini... penjelasan polis pula.

Monday, March 23, 2015

YB NANCY : TAMBANG BARU TEKSI DITERUSKAN (SIARAN SEGERA)


Akhirnya ketetapan telah diambil oleh jemaah menteri dan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di mana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di bawah portfolionya;

KENYATAAN MEDIA

Putrajaya – Merujuk kepada keputusan Jemaah Menteri pada 20 Mac 2015 yang lalu, dimaklumkan bahawa pelaksanaan semakan tambang baru untuk perkhidmatan bas ekspress dan rel telah ditunda ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri juga, semakan tambang baru untuk perkhidmatan teksi sepertimana yang telah diumumkan pada 19 Mac 2015 akan diteruskan pelaksanaannya.

Untuk sebarang keterangan lanjut, sila hubungi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) ditalian 03-2726 7000 atau emel ke communications@spad.gov.my


YB HAJAH NANCY SHUKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

23 Mac 2015

Tahniah kepada kerajaan kerana mendengar keluhan pemandu-pemandu teksi. Setelah dikuatkuasakan semula kenaikan tambang teksi, maka diharap apa yang telah dijanjikan kepada pengguna oleh persatuan-persatuan pemandu teksi, dapat ditunaikan.

Walaupun pada awalnya ada sedikit percanggahan pendapat di antara menteri-menteri kabinet, namun sebagai kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan berlaku adil kepada semua rakyat, kerajaan di bawah kepimpinan YAB DS Najib telah membuktikan kata diikat dan janji pasti dikota...

Pastinya pihak SPAD dan persatuan-persatuan pemandu teksi akan bekerjasama dengan lebih erat demi melihat industri teksi mencapai kejayaan dan seterusnya menjadi kebanggaan negara dan segala persepsi buruk mengenai industri teksi akan segera diatasi.

PETEKMA RASIONAL DALAM MENYOKONG PENGUMUMAN SPAD


Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dia yang telah memutuskan perkara ini dan Tan Sri Syed Hamid yang telah mengeluarkan fakta-fakta yang benar tentang kenaikan kos operasi. 

Itulah ungkapan pertama yang dikeluarkan Pengerusi PETEKMA (Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Mohd Shahrir Abdul Aziz.

Walaupun ada pihak yang menentang dan cuba mempolitikkan isu kadar baru teksi, namun PETEKMA yang mempunyai 23,000 ahli di seluruh negara memohon dan merayu agar kenaikan tambang teksi ini tidak ditangguhkan.

Shahrir berpandangan ini bukan sekadar siapa ingin menjadi juara rakyat tetapi lebih kepada 'periuk nasi' pemandu-pemandu teksi.

Selama lebih dua tahun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuat kajian dan PETEKMA telah mengambil bahagian dan sentiasa hadir di dalam perbincangan untuk sama-sama memberi input, pandangan dan mengesahkan fakta-fakta serta maklumat sebagai rujukan kepada SPAD sebelum keputusan dibawa kepada pihak kerajaan.

Apakah benar dengan kadar baru teksi ini benar-benar memberi kesusahan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang duduk di bandar?

Kaedah pengangkutan awam di bandar bukan hanya teksi sahaja dan kadar tambang adalah lebih murah berbanding tambang teksi. Di dalam sehari seramai lebih kurang 300 ribu penumpang dan hanya 50 ribu sahaja yang mengguna perkhidmatan teksi. Oleh itu, perkhidmatan teksi hanya diperlukan oleh golongan yang memerlukan. Di mana dikatakan membebankan keseluruhan rakyat?

Pendapatan sehari seseorang pemandu teksi adalah sekitar RM50 hingga RM80 yang bekerja 12 jam dan pada kadar yang lama. Justeru, ini boleh diibaratkan mereka ini seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Benchmark dalam menentukan pendapatan seseorang pemandu teksi adalah kos operasinya di mana kos operasi merangkumi kos bahan api yang tidak pernah diberi subsidi, kos penyelenggaraan (wear and tear) dan bayaran sewa kepada syarikat.

Kajian SPAD pula membuktikan sejak 6 tahun lalu, segala kos operasi untuk memastikan teksi di dalam keadaan selamat untuk bergerak seperti tayar, spare-parts, bateri telah meningkat sehingga 33% sejak 6 tahun.

Pihak PETEKMA yakin dengan kajian SPAD di mana ia bukan angka yang ditangkap muat malahan SPAD telah melibatkan pakar-pakar  pengangkutan awam dari univerisiti-universiti serta melibatkan juga NGO-NGO pengguna di dalam kajian ini. Kajian SPAD merangkumi kos operasi, kos sara hidup, pandangan pengguna dan juga keadaan semasa.

Seandainya masa yang tidak sesuai adalah asas kepada penangguhan kadar baru teksi ini, maka apakah setelah 3 kali ditangguhkan sejak tahun lepas dan kali ini GST pula dijadikan alasan?

Perlu diingat, penumpang tidak dikenakan GST malahan komponen-komponen penyelenggaraan termasuk kos PUSPAKOM akan dikenakan GST dan semua itu akan ditanggung oleh pemandu-pemandu teksi.

Minyak tiada subsidi, alat-alat ganti dikenakan GST, penumpang tidak dikenakan GST TETAPI kadar tambang teksi masih di tahap lama sejak 6 tahun lalu. Apakah rasional untuk ditangguhkan lagi kenaikan tambang teksi ini?

Bagi pihak PETEKMA, sekiranya kerajaan masih kekalkan keputusan untuk menangguh kadar baru teksi, maka perlu diberi bantuan alternatif dengan memberi subsidi ke atas kesemua komponen operasi termasuk bahan api.

Namun, PETEKMA yang ahlinya diwakili majoriti pemandu teksi dari seluruh negara tidak sekali-kali akan memilih demonstrasi jalanan atau mogok untuk menyelesaikan masalah malahan sejak ditubuhkan PETEKMA, cara bermesyuarat dan rundingan adalah pilihan utama mereka.

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas, maka adalah wajar bagi pihak kerajaan meneruskan kadar tambang teksi yang baru dan kepada mereka yang ingin membuat kenyataan, seharusnya berpandukan fakta-fakta dan bukan sekadar sentimen untuk kepentingan pentas politik mereka. Seandainya PETEKMA menyokong pengumuman SPAD, ini adalah kerana mereka berpuas hati dengan kajian SPAD!

PERSATUAN TEKSI VS KEPUTUSAN KABINET... ADA MENTERI BERBOHONG?


Dua persatuan teksi kini telah bersuara mempersoalkan keputusan kabinet yang telah diumumkan Timbalan Perdana Menteri beberapa hari selepas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengadakan sidang media mengenai kadar tambang baru teksi dan bas ekspres.

Apa pengumuman kabinet yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin?
"Saya fikir mungkin kita (kabinet) minta perkara itu ditangguh dahulu kerana mungkin masa tidak begitu sesuai lebih lagi diumumkan tarikh yang sama mengenai GST.

“Beban pengguna itu mungkin bertambah terutama mereka yang tinggal di bandar yang menggunakan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.
Kabinet meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar menangguhkan dahulu kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti yang diumumkan suruhanjaya itu, dua hari lepas. -BNBBC

Semalam 2 persatuan pemandu teksi pula telah mengadakan sidang media membalas keputusan kabinet yang diwakili Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) dan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M).

Pengerusi BBPTB, En Amran Jan yang selama ini memang terkenal selalu bertentangan dengan pandangan pihak SPAD telah menegaskan sokongan kepada pengumuman SPAD untuk kadar tambang teksi yang baru demi membantu meningkatkan taraf hidup pemandu teksi keseluruhannya.

Bertentangan dengan keputusan kabinet yang memberi alasan kerana masa yang tidak sesuai untuk dinaikkan kadar tambang, Amran Jan berpendapat pemandu-pemandu teksi telah menunggu selama enam tahun dengan tiga kali tertangguh dengan alasan dari kerajaan ketika menghadapi tragedi MH370, MH17 dan bencana banjir di pantai timur tahun lalu.

Penantian selama 6 tahun dan penangguhan selama tiga kali telah mengakibatkan mereka menanggung kos 30 hingga 40 peratus untuk pastikan kenderaan mereka masih mampu bergerak.

Dahulu memandu Iswara yang berharga RM27 ribu, kemudian mengguna BLM yang berharga RM36 ribu dan sekarang Exora yang berharga RM60 ribu pula dengan kos penyelenggaraan ditanggung sendiri serta tambahan kos sara hidup yang semakin meningkat, maka itulah BBPTB menyokong kadar dalam lingkungan 40 peratus yang telah diumum SPAD dan tegas membantah sebarang penentangan dari orang awam, NGO, Ahli-Ahli Politik dan Menteri Kabinet
yang meminta penangguhan yang jelas tidak sepadan dengan apa yang mereka alami.

Amran Jan juga menjawab permintaan menambahbaik prestasi industri teksi dan memberi jaminan ia pasti mampu diperbaiki tetapi tidak secara terus-terusan namun walaupun perlahan-lahan namun ia pasti ada peningkatan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi telah mengeluarkan kenyataan tiada perbincangan di antara pihak SPAD dan kementerian. Kenyataan Aziz Kaprawi dianggap Amran Jan sebagai tidak logik kerana dengan jelas pengangkutan awam darat adalah faktor utama NKRA kementerian. Alasan Aziz Kaprawi dilihat tidak berasas dan tidak mungkin beliau tidak dimaklumkan oleh pihak SPAD.

Pertemuan BBPTB dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi didedahkan dan mereka juga telah meluahkan rasa tidak puashati. Aziz juga telah memberi jaminan untuk membawa masalah mereka dan mengatur perjumpaan dengan SPAD, namun sehingga sekarang Timbalan Menteri ini tidak berbuat apa-apa pun.

Pandangan sesetengah pihak seperti Pemuda UMNO bahawa rakyat akan terbeban dengan kos sara hidup dan GST, sedangkan bukan kesemua 28 juta rakyat yang terbeban tetapi hanya mereka yang memerlukan perkhidmatan mereka saja.

BBPTB menyokong kenyataan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid yang kenaikan ini tidak ada kena mengena dengan GST dan sebaliknya pemandu-pemandu teksi yang terkesan dengan GST. Contohnya, sewa dikenakan GST dan hendaklah dibayar setiap hari dan pasti servis PUSPAKOM juga dikenakan GST.

BBPTB memberi perbandingan jumlah penggunaan teksi yang hanya 91,000 dengan bas sebanyak 400 ribu sehari dan  majoriti pemandu teksi berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan. Itu jika mereka memandu kereta iswara dan bagaimana pula jika memandu TEKS1M dengan pendapatan yang sama? Mungkin tidak ramai ketahui bahawa ada antara mereka adalah golongan ASNAF. Oleh itu, mereka memohon agar NGO lebih prihatin dengan nasib pemandu-pemandu teksi berdaftar.

Adalah tidak adil apabila pemandu-pemandu teksi bersetuju dengan kenaikan kadar tambang sedangkan mereka yang berdamba sebagai juara rakyat tidak pula ingin pertahankan nasib mereka ketika perkhidmatan UBER yang jelas mencuri pendapatan mereka serta melanggar undang-undang, tidak ada seorang menteri pun yang ingin menyuarakan sampai ke kabinet. Lebih dari 50 tahun, tidak ada seorang menteri pun yang ingin perjuangkan SOCSO untuk mereka.

Bagi Pengerusi PERSIM, En Kamaruddin bin Mohd Hussin yang berterimakasih kepada Perdana Menteri kerana percaya kenaikan kadar tambang teksi ini adalah susulan penyerahan memorandum terdahulu dan mereka akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan hak pemandu teksitermasuklah SPAD.

BBTPB dan PERS1M bersetuju untuk menyokong pengumuman SPAD dan berdiri teguh bersama-sama Tan Sri Syed Hamid dan menegaskan mereka juga adalah sebahagain dari rakyat Malaysia yang perlukan pembelaaan dan tidak dibebankan.

PERS1M pula berpandangan agar kadar boleh dikekalkan dengan syarat segala ketirisan pendapatan dilindungi di mana kadar yang tinggi kepada syarikat, kos baik pulih, kawasan operasi yang semakin sempit di mana SPAD telah mengizinkan Black Car dan UBER beroperasi dan kesemua itu diambil tindakan.

Dengan kenaikan kadar tambang, pemandu-pemandu teksi tidak akan dapat menikmati 100 peratus faedahnya di mana 75 hingga 80 peratus fedah yang diterima sebenarnya disalurkan membayar pihak syarikat, insurans dan PUSPAKOM dan pada masa yang sama, perkhidmatan yang memuaskan akan terus
digalakkan.

Sebelum ini pemandu-pemandu teksi akur dengan keputusan pihak SPAD membatalkan bayaran surcaj RM12 tetapi tidak ada seorang pun menteri atau ahli politik yang perjuangkannya. Surcaj ini diperlukan bagi menampung kos membawa penumpang ke airport.

PERS1M juga telah mengambil peranan dalam keputusan SPAD di mana pada 7 April 2014, mereka telah menyerahkan dengan sendiri kertas kerja cadangan kenaikan kadar tambang. Cadangan pihak PERS1M tidaklah begitu tinggi dan sekadar mampu menampung pemansuhan surcaj RM12 itu. Mereka juga telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri agar pelepasan GST diberikan kepada pemandu teksi kerana di pihak syarikat mengambil kesempatan pula.

Sekarang, persoalannya apakah dengan kenyataan media kedua-dua persatuan yang mewakili pemandu-pemandu teksi ini telah di bawa ke perbincangan kabinet sebelum dibuat keputusan penangguhan? Di mana jeritan sesetengah pihak yang mengaku juara rakyat ketika pelbagai ketirisan dialami mereka?

Paling tidak boleh diterima apabila ada sesetengah pihak di atas yang mengaitkan GST dengan penambahan beban rakyat seolah-olah memberi gambaran GST yang telah dipersetujui kerajaan sebagai suatu beban!

Sunday, March 22, 2015

DESAKAN MCA BUAT DAP SEMAKIN TERJERAT


Rakyat Malaysia terkedu apabila di dalam PRU 13 lalu, hampir 95% pengundi bangsa cina menolak MCA sebaliknya memberi undi kepada DAP. Ada teori penolakan bangsa Cina ini mengatakan MCA tidak lagi relevan untuk perjuangkan nasib bangsa mereka dan ada pula dikaitkan dengan sabotaj ahli MCA . Semua ini membingungkan landskap politik tanahair. Tetapi apa sebenarnya?

Setelah hampir 2 tahun PRU13 berlalu, kini MCA telah membuktikan faktor utama pengundi Cina menolak MCA iaitu DAP telah manipulasi isu negara Islam dan hukum hudud di dalam siri kempen mereka.
 
MCA mendedahkan surat yang ditandatangani Guan Eng dan Hadi Awang pada 29 April 2013 iaitu enam hari sebelum PRU13 dan telah dimuatnaik di Facebook Hadi Awang pada hari yang sama. Kandungannya adalah;


Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
April 29, 2013 ·
 
Kami pemimpin tertinggi dalam PAS dan DAP menegaskan bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat berteraskan dasar bersama atau manifesto yang mengikut konsep Negara Berkebajikan PAS dan perjuangan adil untuk semua oleh DAP, PAS berhak memperjuangkan aqidah dan konsep Negara Islam secara sendiri. DAP juga berhak memperjuangkan Negara Berperlembagaan Parlimen yang tidak sehaluan dengan konsep Negara Islam.

Perbezaan diantara PAS dan DAP hanya setakat 5% sedangkan kami bersetuju 95% untuk menegakkan kebebasan, keadilan,kebenaran, intergriti dan
demokrasi untuk semua.

Oleh itu, Manifesto Pakatan Rakyat adalah berteraskan dasar bersama yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti yang tidak menindas atau tidak menolak hak mana-mana bangsa, agama ataupun jantina.

Marilah kita bersatu melawan kemungkaran dan amalan rasuah BN yang merupakan masalah terbesar dalam Negara yang berlarutan lebih 50 tahun.

Kami merayu rakyat Malaysia sokonglah Pakatan Rakyat pada 5hb Mei 2013.
---------------------------------------

Jika dibaca secara teliti, benarlah dakwaan MCA bahawa sememangnya DAP telah mengetahui dan bersetuju agar PAS meneruskan hasrat mereka untuk mewujudkan negara Islam yang melaksanakan hukum hudud. Jika tidak benar, mengapa Setiausaha Agung DAP bersetuju untuk tandatangan perjanjian di atas?

Malahan, perjanjian di atas telah dilakukan di Pulau Pinang dan telah disahkan oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ketika itu.

MALANGNYA, DAP tidak berani berhadapan pengundi-pengundi Cina dan terpaksa berbohong di pentas kempen mereka dan menafikan perjanjian ini pernah berlaku, malahan menuduh MCA mencipta isu tersebut.

Menyedari isu hukum hudud dan negara Islam adalah isu popular untuk meraih undi penyokong PAS yang bukan Islam terutama bangsa Cina, pada 7 Ogos 2012, Hadi Awang telah keluarkan kenyataan bahawa PAS tidak lagi pegang pada konsep negara Islam dan Negara berkebajikan adalah matlamat PAS. Ini disokong Kit Siang pada 17 Ogos 2012 yang beri jaminan kepada pengundi Cina untuk menyokong PAS dengan menegaskan negara Islam dan hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat.

Kemudian pada 29 November 2012, Guan Eng pula cuba yakinkan pengundi Cina bahawa PAS telah beri jaminan yang hukum hudud tidak melibatkan masyarakat bukan Islam sehingga Anthony Loke yang ketika itu adalah Ketua DAPSY telah keluarkan slogan - kalau tak curi, tak rompak, tak perlu takut.

Seperkara lagi, MCA juga telah membuktikan DAP dan PAS cakap tidak serupa di pentas kempen apabila berjaya perdayakan pengundi mereka, PAS teruskan agenda melaksanakan enakmen hudud di Kelantan setelah mendapat kemenangan.

Walaupun kenyataan-kenyataan berdolak-dalik dari DAP dan PAS, bila kita teliti satu persatu, pemimpin-pemimpin tertinggi DAP dan PAS sebenarnya membenarkan perlaksanaan hukum hudud.

Jika DAP ingin menuding jari kepada MCA dan UMNO kerana enakmen hudud diluluskan di Kelantan, apakah Kit Siang tidak mengetahui bahawa sesuatu enakmen baru yang ingin diluluskan samada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen dengan 2/3 majoriti? Walaupun MCA cuba menghalang UMNO, namun kedudukan kerusi PAS dalam DUN Kelantan yang mempunyai 2/3 majoriti tidak akan memberi apa-apa kesan pun.

Persoalannya bukan peranan MCA untuk halang Ahli DUN Kelantan tetapi dokumen perjanjian di antara Guan Eng dan Hadi Awang yang gagal disembunyikan DAP. Sehingga hari ini pun, Kit Siang dan DAP gagal menjawab dan menerangkan perjanjian tersebut.

DAP tidak perlu menuduh MCA bermacam-macam untuk menutup penipuan mereka dan apabila jelas tiada kata sepakat di antara DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan, tidak perlu heret seluruh parti-parti komponen Barisan Nasional di dalam masalah mereka kerana itu bukan masalah BN!

Apabila PAS berjaya teruskan agenda politik mereka di Kelantan, perlu kita tanya... SIAPA RAKAN KONGSI PAS DALAM PAKATAN RAKYAT?

Saturday, March 21, 2015

GST ATAU RAFIZI YANG BEBANKAN RAKYAT... DATUK EHSAN BIDAS!



Apabila GST (Cukai Jualan dan Barangan) bagi menggantikan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) ternyata beri kesan positif untuk jangka panjang kepada negara dan rakyat, jelas Rafizi seorang politikus berpandangan singkat dan mengguna strategi biasanya, rakyat mesti dikelirukan.

Dengan mudah saja Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid menjawab tuduhan Rafizi yang berpandangan GST hanya membebankan rakyat.

Pertama, daripada dua cukai jadi satu cukai iaitu 16 peratus menjadi 6 peratus sahaja. Banyak barangan yang daripada mahal menjadi makin murah, harga boleh direbat daripada kerajaan oleh pembekal, pengilang dan pengedar. Rafizi lupa pembekal, pengilang dan pengedar juga rakyat. Mereka ada pekerja dan pekerja mereka ada ahli keluarga. Maka rakyat akan terbeban?

Jangan lupa 160 daripada 190 buah negara telah menggunakan cukai GST bertahun-tahun sebeblum negara kita.

Kedua, kerajaaan telah kuatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan. Dengan ini kerajaan mampu mengawal harga barang dengan lebih tersusun di mana GST ada sistem rebat yang dikenakan kepada setiap peniaga, pengilang dan pembekal. Di sinilah harga barangan akan dipantau.

Sebenarnya semua pihak akan mendapat manfaat. Peniaga akan mendapat untung, pengguna seperti kita akan mampu berbelanja dengan harga di bawah kawalan manakala pihak kerajaan pula mampu menjana sumber pendapatan daripada cukai. Apabila cukai disalurkan terus kepada kerajaan, apakah rakyat terbeban? Satu contoh ketara, keselamatan yang kita nikamti hari ini tidak pernah dikenakan cukai.

Ketiga, GST bertaraf antarabangsa di mana 160 negara lain telah pun melaksanakannya. Apabila negara menyertai sistem cukai antarabangsa, pelabur asing akan lebih yakin dan menyenangi sistem percukaian yang mudah mereka faham dan selari dengan perdangangan yang sama ke negara ini.

Kita lihat saja dengan mudah menjawab dakwaan Rafizi;


Apakah benar GST atau Rafizi sebenarnya membebankan rakyat... ???

Wednesday, March 18, 2015

11 BIDANG KEJAYAAN TRANSFORMASI DALAMAN MCA



Kesediaan MCA dalam melakukan transformasi dalaman parti bukan sahaja dilihat akan mampu meletakkan parti itu masih relevan malahan masa depan komuniti Cina di negara ini mampu diperkukuhkan.

Kepimpinan baru MCA yang diketuai Dato Sri Liow Tiong Lai dalam merangka penggubalan serta proses transformasi bagi memperkukuhkan masa depan parti, telah mencapai kemajuan dalam 11 bidang penting.

Di antaranya termasuk kemaskini rapi senarai anggota ahli, pembaharuan di dalam pemilihan parti, mekanisme pemilihan calon, mewujudkan bilik gempur tetap pilihanraya, membuat kajian dan menyusun semula peristiwa-peristiwa sejarah parti, pembaharuan dalam latihan penkaderan dan latihan untuk mekanisme pilihanraya.

Kemajuan seterusnya adalah bidang tinjauan pendapat, mendekati golongan muda, menyemai semangat kesukarelawan dalam menjalankan tugas parti, pembaharuan publisiti dengan pendekatan publisiti siber serta penyusunan semula MCA dalam Barisan Nasional dan kerajaan.

MCA juga telah meletakkan KPI (Key Performance Index) terhadap pelbagai unit pasukan petugas untuk memastikan tugasan mereka menepati tarikh dan tindakan lewat di dalam mana-mana unit diatasi dan maklumbalas dari mereka yang telah dipertanggungjawabkan sentiasa dikemaskini dan dinilai.

Pada masa yang sama, MCA juga telah mencapai kejayaan diplomatik dengan negara China apabila telah menandatangai memorandum persefahaman mengenai kerjasama operasi dan penumpuan dengan Parti Komunis China (CPC) pada 18 Julai tahun lalu.  Pada bulan September, 20 ahli MCA telah menjalani latihan di Akademi Kepimpinan Esksekutif China (CELAP) di Pudong, China. Latihan akan diteruskan di CELAP pada 17 Mac ini.

Banyak pencapaian MCA  di dalam pendidikan walaupun ketika ini tidak diwakili seorang Timbalan Menteri Pendidikan. Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang telah berjaya selama 40 tahun telah menghasilkan seramai 166,482 graduan di dalam pelbagai bidang, manakala Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang hanya memulakan pengambilan pelajar pada tahun 2002 dengan bangganya telah melahirkan 35,897 graduan berijazah.

Dengan menggabungkan kedua-dua pengajian tinggi ini, MCA sebenarnya telah membantu negara dalam menghasilkan lebih 200 ribu bakat dan dengan ketara telah menyumbang kepada pembangunan negara.

Dengan pencapaian ini, Lee Foundation telah menghargai usaha MCA dan telah mendermakan RM50 juta kepada Tabung Pembangunan Akademik dan penyelidikan universiti.

Seterusnya, pencapaian MCA di dalam bidang ekonomi di dalam membawa PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) ke tahap yang lebih baik terutamanya di peringkat global. MCA telah membantu usahawan-usahawan PKR untuk meneroka pasaran luar negara. Datuk Wee Ka Siong telah mengetuai Jawatankuasa Promosi Perdagangan Luar Malaysia-China dan melalui bantuan politik, GLC seperti Petronas dan FGC (Felda Global Ventures) telah berjaya menembusi pasaran yang besar di China.

Inilah keberhasilan kekuatan MCA yang dimaksudkan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan perhimpuan perpaduan MCA pada tahun lalu. Yang pasti, pencapaian-pencapaian ini bukan saja memberi manfaat kepada ahli-ahlinya tetapi kepada seluruh rakyat di negara ini.
Berkat tema "Teguh Bersama " dan barisan kempimpian baru MCA yang diketuai Datuk Seri Liow serta semangat baru dan sedia berubah, pasti kelemahan yang pernah dibelenggu suatu ketika dahulu akan dapat diatasi.