Wednesday, March 18, 2015

11 BIDANG KEJAYAAN TRANSFORMASI DALAMAN MCA



Kesediaan MCA dalam melakukan transformasi dalaman parti bukan sahaja dilihat akan mampu meletakkan parti itu masih relevan malahan masa depan komuniti Cina di negara ini mampu diperkukuhkan.

Kepimpinan baru MCA yang diketuai Dato Sri Liow Tiong Lai dalam merangka penggubalan serta proses transformasi bagi memperkukuhkan masa depan parti, telah mencapai kemajuan dalam 11 bidang penting.

Di antaranya termasuk kemaskini rapi senarai anggota ahli, pembaharuan di dalam pemilihan parti, mekanisme pemilihan calon, mewujudkan bilik gempur tetap pilihanraya, membuat kajian dan menyusun semula peristiwa-peristiwa sejarah parti, pembaharuan dalam latihan penkaderan dan latihan untuk mekanisme pilihanraya.

Kemajuan seterusnya adalah bidang tinjauan pendapat, mendekati golongan muda, menyemai semangat kesukarelawan dalam menjalankan tugas parti, pembaharuan publisiti dengan pendekatan publisiti siber serta penyusunan semula MCA dalam Barisan Nasional dan kerajaan.

MCA juga telah meletakkan KPI (Key Performance Index) terhadap pelbagai unit pasukan petugas untuk memastikan tugasan mereka menepati tarikh dan tindakan lewat di dalam mana-mana unit diatasi dan maklumbalas dari mereka yang telah dipertanggungjawabkan sentiasa dikemaskini dan dinilai.

Pada masa yang sama, MCA juga telah mencapai kejayaan diplomatik dengan negara China apabila telah menandatangai memorandum persefahaman mengenai kerjasama operasi dan penumpuan dengan Parti Komunis China (CPC) pada 18 Julai tahun lalu.  Pada bulan September, 20 ahli MCA telah menjalani latihan di Akademi Kepimpinan Esksekutif China (CELAP) di Pudong, China. Latihan akan diteruskan di CELAP pada 17 Mac ini.

Banyak pencapaian MCA  di dalam pendidikan walaupun ketika ini tidak diwakili seorang Timbalan Menteri Pendidikan. Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang telah berjaya selama 40 tahun telah menghasilkan seramai 166,482 graduan di dalam pelbagai bidang, manakala Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang hanya memulakan pengambilan pelajar pada tahun 2002 dengan bangganya telah melahirkan 35,897 graduan berijazah.

Dengan menggabungkan kedua-dua pengajian tinggi ini, MCA sebenarnya telah membantu negara dalam menghasilkan lebih 200 ribu bakat dan dengan ketara telah menyumbang kepada pembangunan negara.

Dengan pencapaian ini, Lee Foundation telah menghargai usaha MCA dan telah mendermakan RM50 juta kepada Tabung Pembangunan Akademik dan penyelidikan universiti.

Seterusnya, pencapaian MCA di dalam bidang ekonomi di dalam membawa PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) ke tahap yang lebih baik terutamanya di peringkat global. MCA telah membantu usahawan-usahawan PKR untuk meneroka pasaran luar negara. Datuk Wee Ka Siong telah mengetuai Jawatankuasa Promosi Perdagangan Luar Malaysia-China dan melalui bantuan politik, GLC seperti Petronas dan FGC (Felda Global Ventures) telah berjaya menembusi pasaran yang besar di China.

Inilah keberhasilan kekuatan MCA yang dimaksudkan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan perhimpuan perpaduan MCA pada tahun lalu. Yang pasti, pencapaian-pencapaian ini bukan saja memberi manfaat kepada ahli-ahlinya tetapi kepada seluruh rakyat di negara ini.
Berkat tema "Teguh Bersama " dan barisan kempimpian baru MCA yang diketuai Datuk Seri Liow serta semangat baru dan sedia berubah, pasti kelemahan yang pernah dibelenggu suatu ketika dahulu akan dapat diatasi.


No comments: