Dua persatuan teksi kini telah bersuara mempersoalkan keputusan kabinet yang telah diumumkan Timbalan Perdana Menteri beberapa hari selepas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengadakan sidang media mengenai kadar tambang baru teksi dan bas ekspres.
Apa pengumuman kabinet yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Apa pengumuman kabinet yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin?
"Saya fikir mungkin kita (kabinet) minta perkara itu ditangguh dahulu kerana mungkin masa tidak begitu sesuai lebih lagi diumumkan tarikh yang sama mengenai GST.
“Beban pengguna itu mungkin bertambah terutama mereka yang tinggal di bandar yang menggunakan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.
Kabinet meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar menangguhkan dahulu kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti yang diumumkan suruhanjaya itu, dua hari lepas. -BNBBC
Semalam 2 persatuan pemandu teksi pula telah mengadakan sidang media membalas keputusan kabinet yang diwakili Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) dan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M).
Pengerusi BBPTB, En Amran Jan yang selama ini memang terkenal selalu bertentangan dengan pandangan pihak SPAD telah menegaskan sokongan kepada pengumuman SPAD untuk kadar tambang teksi yang baru demi membantu meningkatkan taraf hidup pemandu teksi keseluruhannya.
Bertentangan dengan keputusan kabinet yang memberi alasan kerana masa yang tidak sesuai untuk dinaikkan kadar tambang, Amran Jan berpendapat pemandu-pemandu teksi telah menunggu selama enam tahun dengan tiga kali tertangguh dengan alasan dari kerajaan ketika menghadapi tragedi MH370, MH17 dan bencana banjir di pantai timur tahun lalu.
Penantian selama 6 tahun dan penangguhan selama tiga kali telah mengakibatkan mereka menanggung kos 30 hingga 40 peratus untuk pastikan kenderaan mereka masih mampu bergerak.
Dahulu memandu Iswara yang berharga RM27 ribu, kemudian mengguna BLM yang berharga RM36 ribu dan sekarang Exora yang berharga RM60 ribu pula dengan kos penyelenggaraan ditanggung sendiri serta tambahan kos sara hidup yang semakin meningkat, maka itulah BBPTB menyokong kadar dalam lingkungan 40 peratus yang telah diumum SPAD dan tegas membantah sebarang penentangan dari orang awam, NGO, Ahli-Ahli Politik dan Menteri Kabinet
yang meminta penangguhan yang jelas tidak sepadan dengan apa yang mereka alami.
Amran Jan juga menjawab permintaan menambahbaik prestasi industri teksi dan memberi jaminan ia pasti mampu diperbaiki tetapi tidak secara terus-terusan namun walaupun perlahan-lahan namun ia pasti ada peningkatan.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi telah mengeluarkan kenyataan tiada perbincangan di antara pihak SPAD dan kementerian. Kenyataan Aziz Kaprawi dianggap Amran Jan sebagai tidak logik kerana dengan jelas pengangkutan awam darat adalah faktor utama NKRA kementerian. Alasan Aziz Kaprawi dilihat tidak berasas dan tidak mungkin beliau tidak dimaklumkan oleh pihak SPAD.
Pertemuan BBPTB dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi didedahkan dan mereka juga telah meluahkan rasa tidak puashati. Aziz juga telah memberi jaminan untuk membawa masalah mereka dan mengatur perjumpaan dengan SPAD, namun sehingga sekarang Timbalan Menteri ini tidak berbuat apa-apa pun.
Pandangan sesetengah pihak seperti Pemuda UMNO bahawa rakyat akan terbeban dengan kos sara hidup dan GST, sedangkan bukan kesemua 28 juta rakyat yang terbeban tetapi hanya mereka yang memerlukan perkhidmatan mereka saja.
BBPTB menyokong kenyataan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid yang kenaikan ini tidak ada kena mengena dengan GST dan sebaliknya pemandu-pemandu teksi yang terkesan dengan GST. Contohnya, sewa dikenakan GST dan hendaklah dibayar setiap hari dan pasti servis PUSPAKOM juga dikenakan GST.
BBPTB memberi perbandingan jumlah penggunaan teksi yang hanya 91,000 dengan bas sebanyak 400 ribu sehari dan majoriti pemandu teksi berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan. Itu jika mereka memandu kereta iswara dan bagaimana pula jika memandu TEKS1M dengan pendapatan yang sama? Mungkin tidak ramai ketahui bahawa ada antara mereka adalah golongan ASNAF. Oleh itu, mereka memohon agar NGO lebih prihatin dengan nasib pemandu-pemandu teksi berdaftar.
Adalah tidak adil apabila pemandu-pemandu teksi bersetuju dengan kenaikan kadar tambang sedangkan mereka yang berdamba sebagai juara rakyat tidak pula ingin pertahankan nasib mereka ketika perkhidmatan UBER yang jelas mencuri pendapatan mereka serta melanggar undang-undang, tidak ada seorang menteri pun yang ingin menyuarakan sampai ke kabinet. Lebih dari 50 tahun, tidak ada seorang menteri pun yang ingin perjuangkan SOCSO untuk mereka.
Bagi Pengerusi PERSIM, En Kamaruddin bin Mohd Hussin yang berterimakasih kepada Perdana Menteri kerana percaya kenaikan kadar tambang teksi ini adalah susulan penyerahan memorandum terdahulu dan mereka akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan hak pemandu teksitermasuklah SPAD.
BBTPB dan PERS1M bersetuju untuk menyokong pengumuman SPAD dan berdiri teguh bersama-sama Tan Sri Syed Hamid dan menegaskan mereka juga adalah sebahagain dari rakyat Malaysia yang perlukan pembelaaan dan tidak dibebankan.
PERS1M pula berpandangan agar kadar boleh dikekalkan dengan syarat segala ketirisan pendapatan dilindungi di mana kadar yang tinggi kepada syarikat, kos baik pulih, kawasan operasi yang semakin sempit di mana SPAD telah mengizinkan Black Car dan UBER beroperasi dan kesemua itu diambil tindakan.
Dengan kenaikan kadar tambang, pemandu-pemandu teksi tidak akan dapat menikmati 100 peratus faedahnya di mana 75 hingga 80 peratus fedah yang diterima sebenarnya disalurkan membayar pihak syarikat, insurans dan PUSPAKOM dan pada masa yang sama, perkhidmatan yang memuaskan akan terus
digalakkan.
Sebelum ini pemandu-pemandu teksi akur dengan keputusan pihak SPAD membatalkan bayaran surcaj RM12 tetapi tidak ada seorang pun menteri atau ahli politik yang perjuangkannya. Surcaj ini diperlukan bagi menampung kos membawa penumpang ke airport.
PERS1M juga telah mengambil peranan dalam keputusan SPAD di mana pada 7 April 2014, mereka telah menyerahkan dengan sendiri kertas kerja cadangan kenaikan kadar tambang. Cadangan pihak PERS1M tidaklah begitu tinggi dan sekadar mampu menampung pemansuhan surcaj RM12 itu. Mereka juga telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri agar pelepasan GST diberikan kepada pemandu teksi kerana di pihak syarikat mengambil kesempatan pula.
Sekarang, persoalannya apakah dengan kenyataan media kedua-dua persatuan yang mewakili pemandu-pemandu teksi ini telah di bawa ke perbincangan kabinet sebelum dibuat keputusan penangguhan? Di mana jeritan sesetengah pihak yang mengaku juara rakyat ketika pelbagai ketirisan dialami mereka?
Paling tidak boleh diterima apabila ada sesetengah pihak di atas yang mengaitkan GST dengan penambahan beban rakyat seolah-olah memberi gambaran GST yang telah dipersetujui kerajaan sebagai suatu beban!
No comments:
Post a Comment