Thursday, March 26, 2015

LIOW : APA MUSLIHAT KIT SIANG DAN ANAKNYA?


Minyak dan air tidak mungkin dapat disatukan tetapi jika disatukan juga hasilnya pasti merosakkan. Begitulah ibarat pakatan politik di antara dua parti ekstrim PAS dan DAP yang matlamat perjuangan politik mereka sangat menyimpang.

Itulah yang dipersoal Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai terhadap Kit Siang dan anaknya kerana bekerjasama dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat sejak penubuhannya walaupun secara rasmi tiada pendaftaran.

Memperjuangkan negara Islam dan melaksana hukum hudud bukan perkara baru untuk PAS dan masakan Kit Siang yang telah lama terlibat dalam arena politik tanahair tidak mengetahuinya dan pada masa sama tetap bekerjasama dalam satu pakatan.

Pada tahun 1990, dalam usaha untuk memenangi pilihan raya umum, DAP bekerjasama dengan PAS melalui Parti Semangat 46. PAS memenangi Kelantan dan hasrat mereka untuk laksana hudud telah disuarakan. Selepas itu, pada bulan November 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Kemudian pada bulan Oktober 1999, Barisan Alternatif yang terdiri daripada DAP, PAS, Parti Keadilan dan Parti Rakyat telah ditubuhkan. Walau bagaimanapun, DAP menunjukkan prestasi yang teruk dalam pilihan raya umum berikutnya. PAS pula telah menunjukkan prestasi yang lebih baik, menjadi parti pembangkang terbesar dan seterusnya memerintah Kelantan dan Terengganu. Terengganu beransur-ansur menjadi lebih ultra-konservatif di bawah PAS.

Akhirnya pada bulan Julai 2002, dengan sokongan semua 28 ADUN PAS, Dewan Undangan Negeri Terengganu telah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Takzir). Daripada 4 wakil rakyat UMNO, 3 berkecuali dan yang satu lagi tidak hadir.

DAP mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Barisan Alternatif pada bulan September 2001, tetapi tanpa rasa malu, berkumpul semula dengan PAS dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Sejak tahun 1990 lagi, kita boleh lihat penglibatan Kit Siang dalam percaturan politik pihak pembangkang. Bukankah aneh apabila Kit Siang mengaku tidak mengetahui bahawa matlamat PAS adalah untuk melaksanakan hukum hudud? Terang dan nyata, Kit Siang masih amalkan taktik menipu dan berlakon tidak bersalah setelah berkali-kali memperdayakan masyarakat bukan Islam terutamanya bangsanya sendiri.

Hari ini pula, putar belit Kit Siang untuk menyertai Barisan Nasional hanya untuk menutup penipuan kepada masyarakat bukan Islam atau mungkin itulah talian hayat terakhirnya.

Dua beranak Lim yang terlalu terdesak untuk terus berkuasa akan lakukan apa saja walaupun dengan menipu, berlakon dan menikam rakan sendiri.

Pengumuman terkini DAP bahawa kesemua 37 Ahli Parlimennya tidak akan menyokong hudud, hanyalah satu lagi sandiwara untuk menipu rakyat kerana bagi pandangan Datuk Liow, selagi mereka masih bersama di dalam Pakatan Rakyat, sebenarnya mereka masih dan sedang bekerjasama.

Perlaksanaan hukum hudud bukanlah agenda peribadi Hadi Awang tetapi parti PAS yang mempunyai ahli dan wakil dalam Dewan Undangan Negeri serta di Parlimen. Datuk Liow juga mempersoal kenyataan Guan Eng yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi Awang sebagai Presiden PAS tetapi masih memerlukan PAS pada masa yang sama.

Kecelaruan fikiran Guan Eng tidak boleh diterima kerana Hadi Awang dilantik ahli-ahlinya secara demokrasi dan Hadi diberi kuasa oleh ahli-ahlinya untuk melaksanakan apa yang termaktub di dalam perlembagaan parti.

Jelas sekali ini menunjukkan DAP terus-terusan mengkhianati ahli-ahli DAP dan masyarakat Cina yang telah memberi undi kepada mereka pada pilihanraya-pilihanraya lepas.

No comments: