Friday, March 27, 2015

'e-WAQF JAMAIE' DIPERKENAL YPPM UNTUK SALURAN BERSEDEKAH SECARA ONLINE


Dunia digital tidak akan disisihkan dari pengajian pondok dan kesempatan inisiatif perhubungan melalui digital di era ini telah dimanfaatkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan menandatangai satu Memorandum Kerjasama Strategik dengan Multimedia Development Corporation (MDec) dan Platform Crowd Funding (pitchIN)

Sebenarnya Memorandum Kerjasama Strategik in telah ditandatangani di hadapan YAB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri pertengahan tahun lalu.

Ini adalah inisiatif kelangsungan YPPM hasil daripada resolusi program Ijtimak Pondok-Pondok Malaysia yang dilangsungkan pada 23 dan 24 April 2014 di Alor Setar, Kedah.

Konsep yang boleh dianggap baharu bagi komuniti pondok negara ini adalah untuk memprofil institusi-institusi pondok di Malaysia secara digital, mengenalpasti keperluan-keperluan serta meraih bantuan dan sokongan sewajarnya, dan seterusnya melaksanakan secara berperingkat, program-program pengupayaan digital bagi komuniti dan institusi pondok di Malaysia.

Salah satu projek yang bakal dilaksanakan di bawah kerjasama ini ialah Program e-Waqf Jamaie yang mengambil model ‘social crowd funding’ sebagai asas kepada pelaksanaannya yang akan membolehkan orang ramai memperoleh maklumat yang lebih telus berhubung menyalurkan sumbangan bagi keperluan pondok-pondok di dalam senarai YPPM.

Bagi YPPM, langkah pertama yang telah diambil ialah mengenalpasti projek atau keperluan khusus komuniti pondok yang boleh ditaja samada dari pihak swasta mahupun masyarakat umum, khususnya pengguna internet yang mahu bersedekah dan memberi sumbangan secara online.

2 projek yang dimaksudkan adalah pelaksanaan kajian profil pondok-pondok, yang akan menghasilkan direktori pondok-pondok di Malaysia yang mengandungi maklumat terperinci dan projek kedua pula adalah berkaitan usaha Pemuliharaan Kitab-Kitab Lama khususnya kitab-kitab lama yang berada dalam simpanan pondok-pondok agar dapat dipulihkan menerusi kaedah digital (digital restoration).

Konsep 'social crowdfunding' yang diperkenalkan PitchIN ditugaskan menjalankan kempen dan promosi promosi projek secara online melalui saluran-saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Rebranding dan memperkenalkan seorang ikon yang selalunya berjalan di antara 30 hingga 90 hari sehingga dana akan terkumpul.

Untuk merealisasikan program ini, YPPM dan MDeC bersetuju menggunakan khidmat pakar dalam bidang e-waqf jamaie atau social crowdfunding, PitchIn, yang ditugaskan untuk menjalankan kempen dan mempromosi projek melalui media sosial. Tempoh kempen lazimnya antara 30 dan 90 hari sehingga jumlah dana yang perlu dapat diperoleh.

Setiap fasa projek dan pengumpulan dana yang telah disalurkan akan dipantau dengan teliti dan semuanya dipamerkan secara online.

Langkah strategik sebegini bukan sekadar mengadaptasi keperluan digital dalam operasi YPPM, malahan sekali gus dilihat mampu memperluaskan lagi pengetahuan masyarakat mengenai program-program YPPM dengan lebih terbuka untuk dimanfaatkan semua umat Islam.

No comments: