Showing posts with label YPPM. Show all posts
Showing posts with label YPPM. Show all posts

Friday, March 27, 2015

'e-WAQF JAMAIE' DIPERKENAL YPPM UNTUK SALURAN BERSEDEKAH SECARA ONLINE


Dunia digital tidak akan disisihkan dari pengajian pondok dan kesempatan inisiatif perhubungan melalui digital di era ini telah dimanfaatkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan menandatangai satu Memorandum Kerjasama Strategik dengan Multimedia Development Corporation (MDec) dan Platform Crowd Funding (pitchIN)

Sebenarnya Memorandum Kerjasama Strategik in telah ditandatangani di hadapan YAB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri pertengahan tahun lalu.

Ini adalah inisiatif kelangsungan YPPM hasil daripada resolusi program Ijtimak Pondok-Pondok Malaysia yang dilangsungkan pada 23 dan 24 April 2014 di Alor Setar, Kedah.

Konsep yang boleh dianggap baharu bagi komuniti pondok negara ini adalah untuk memprofil institusi-institusi pondok di Malaysia secara digital, mengenalpasti keperluan-keperluan serta meraih bantuan dan sokongan sewajarnya, dan seterusnya melaksanakan secara berperingkat, program-program pengupayaan digital bagi komuniti dan institusi pondok di Malaysia.

Salah satu projek yang bakal dilaksanakan di bawah kerjasama ini ialah Program e-Waqf Jamaie yang mengambil model ‘social crowd funding’ sebagai asas kepada pelaksanaannya yang akan membolehkan orang ramai memperoleh maklumat yang lebih telus berhubung menyalurkan sumbangan bagi keperluan pondok-pondok di dalam senarai YPPM.

Bagi YPPM, langkah pertama yang telah diambil ialah mengenalpasti projek atau keperluan khusus komuniti pondok yang boleh ditaja samada dari pihak swasta mahupun masyarakat umum, khususnya pengguna internet yang mahu bersedekah dan memberi sumbangan secara online.

2 projek yang dimaksudkan adalah pelaksanaan kajian profil pondok-pondok, yang akan menghasilkan direktori pondok-pondok di Malaysia yang mengandungi maklumat terperinci dan projek kedua pula adalah berkaitan usaha Pemuliharaan Kitab-Kitab Lama khususnya kitab-kitab lama yang berada dalam simpanan pondok-pondok agar dapat dipulihkan menerusi kaedah digital (digital restoration).

Konsep 'social crowdfunding' yang diperkenalkan PitchIN ditugaskan menjalankan kempen dan promosi promosi projek secara online melalui saluran-saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Rebranding dan memperkenalkan seorang ikon yang selalunya berjalan di antara 30 hingga 90 hari sehingga dana akan terkumpul.

Untuk merealisasikan program ini, YPPM dan MDeC bersetuju menggunakan khidmat pakar dalam bidang e-waqf jamaie atau social crowdfunding, PitchIn, yang ditugaskan untuk menjalankan kempen dan mempromosi projek melalui media sosial. Tempoh kempen lazimnya antara 30 dan 90 hari sehingga jumlah dana yang perlu dapat diperoleh.

Setiap fasa projek dan pengumpulan dana yang telah disalurkan akan dipantau dengan teliti dan semuanya dipamerkan secara online.

Langkah strategik sebegini bukan sekadar mengadaptasi keperluan digital dalam operasi YPPM, malahan sekali gus dilihat mampu memperluaskan lagi pengetahuan masyarakat mengenai program-program YPPM dengan lebih terbuka untuk dimanfaatkan semua umat Islam.

Thursday, March 19, 2015

DIREKTORI PONDOK



Salah satu misi utama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) adalah  mengiktiraf kewujudan institusi pondok di negara ini. Justeru sebagai langkah pertamanya, YPPM telah mewujudkan direktori pondok seluruh Malaysia.

Menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), salah satu daripada 6 NKRA adalah meningkatkan pencapaian pelajar dan pelajar-pelajar pondok tidak terkecuali daripada pelan transformasi ini.

Data yang mula dikumpul sejak 2012 dan kini telah berjumlah lebih daripada 200 sekolah pondok, adalah untuk memudahkan masyarakat khususnya para ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai institusi pondok. Ini adalah fasa pertama dan dari semasa ke semasa, data-data ini sentiasa dikemaskini.

Di antara kandungan direktori ini terdapat butiran lokasi yang boleh memberikan panduan kepada bakal pelajar dan para ibu bapa yang mahu mengenali sistem pembelajaran pondok dengan lebih dekat. Di antara contohnya;

Sekolah pondok lama

Sekolah pondok moden

Sekolah pondok dinaik taraf

Dalam direktori ini juga turut disenarikan beberapa nama tuan guru tersohor dan juga bekas-bekas pelajar pondok yang telah berjaya menempa nama sebagai tokoh ilmuwan Islam di mana ia membuktikan bahawa institusi pondok mempunyai kredibiliti yang setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Direktori ini mampu membantu YPPM untuk mengenalpasti pelajar-pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke IPT luar negara dan bantuan kerajaan dalam bentuk biasiswa ataupun bantuan buku-buku rujukan dan tempat pembelajaran yang lebih selesa dan lengkap.

Perdana Menteri di dalam ucapannya ada berkata agar sekolah-sekolah pondok ini tidak salah tafsir dengan penubuhan YPPM kerana ia bukanlah untuk mengambil alih pengurusan pondok tetapi sekadar memberikan payung perlindungan.

Begitu juga saranan Pengerusi Eksekutif YPPM Datuk Dr Mashitah, dengan adanya usaha YPPM ini, jelas usaha kerajaan untuk memartabat dan mengekalkan sistem pembelajaran dan tradisi ilmu semasa zaman Rasulullah (SAW). Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. 

Kepada yang berminat, boleh mendapatkan maklumat di dalam direktori pondok seperti berikut; http://yppm.org.my/pondok/bukupondok/

Sunday, March 15, 2015

MOU YPPM dan KUIN bersaksikan YAB Perdana Menteri



Kehadiran YAB Perdana Menteri, DS Najib Razak memberi seribu makna kepada institusi pondok di dalam majlis MOU Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Kolej Universiti Insaniah. Di dalam majlis ini juga, dengan rasminya Pusat Kajian Pondok (PKP) ditubuhkan dan perlantikan Datuk Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP juga turut mendapat sokongan Perdana Menteri setelah diumumkan Senat KUIN sebelum ini.


Sokongan PM kepada Datuk Dr Mashitah
Kerjasama strategik di antara YPPM dan KUIN ini adalah bermatlamat menjalankan kajian yang lebih menyeluruh dan meluas terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya di dalam dan luar negara agar khazanah ilmu dan pengetahun mengenai pondok dapat ditambah.

Yayasan Pondok akan sediakan kepakaran dan jaringan manakala KUIN pula menyediakan kemudahan penyelidikan seperti perpustakaan serta logistik untuk program dan aktiviti. Di antara skop kerjasama pula meliputi bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan kemudahan kajian akademik, penganjuran majlis dan wacana ilmu.




Penubuhan Pusat Kajian Pondok ini juga dianggap sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang tentunya memberi tumpuan kepada penyelidikan yang terperinci dan menyeluruh dalam pelbagai aspek yang berkenaan pondok. Ini termasuk mengumpul segala khazanah sumbangan ulama dan tokoh pondok.

Masadepan pengajian pondok juga akan diperincikan di mana isu-isu berkaitan pembangunan, perkembangan dan pengaruh pondok dikaji dan direkodkan.

Pondok adalah sistem pendidikan tertua di negara ini dan telah dibuktikan melalui kajian sejarah tanahair. Ia bermula seawal abad ke-16 yang telah diasaskan oleh pedagang dari Timur Tengah yang pada masa yang sama mengembangkan syiar Islam kepada penduduk tempatan.

Setelah Islam bertapak dan mula berkembang pada abad ke-18, pengajian pondok dibangunkan dengan pertambahan penuntutnya dan kemuncaknya dari pertengahan abad ke-19 hinggalah negara merdeka.

Kajian pondok di PKP akan merentasi sehingga ke luar negara termasuk ke Nusantara dan diperluas sehingga Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Dengan termeterainya MOU di antara YPPM dan KUIN serta perlantikan Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pengarahnya, selangkah lagi kejayaan untuk menaikkan martabat warga pondok di negara ini.

Adalah menjadi harapan agar penuntut-penuntut pondok dapat memanfaatkan juga platform yang diusahakan YPPM ini agar masa depan mereka terbuka luas dan masyarakat di negara ini dapat bersama-sama berkongsi ilmu dan juga lebih memahami ajaran Islam.

Thursday, March 05, 2015

LATARBELAKANG DAN KEBOLEHAN DR MASHITAH MEMBAWA PENGAJIAN PONDOK KE PERINGKAT DUNIA


Dengan pendidikannya, kebolehannya, latarbelakangnya serta pengalamannya, Datuk Dr Mashitah telah dilantik sebagai Pengarah Pusat Kajian Pondok (PKP) di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bermula 1 Mac. Perlantikan ini telah diumumkan Rektor KUIN, Prof Datuk Mohd Yusoff Kassim dan seterusnya pengumuman penubuhan PKP sebagai peneraju kajian dan penyelidikan mengenai institusi pondok di Nusantara.

Penubuhan PKP sebagai pusat khusus kajian pondok dilihat sebagai tepat pada masanya dan begitu juga perlantikan Dr Mashitah yang juga adalah Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia.

Di dalam memartabatkan institusi pengajian pondok, Dr Mashitah telah berajaya membawa pengajian pondok ke tahap yang lebih terbuka dan dinamik di mana di antara usahanya seperti kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberi peluang kepada lulusan dan guru pondok meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya mereka diberi peluang-peluang setanding lulusan universiti tempatan.

Blog ini pernah menulis bagaimana seorang murid pengajian pondok dari Selatan Thailand, Dr Surin, mampu melanjutkan pengajian hingga ke Harvard dan beliau juga adalah bekas Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung Sekretariat Asean.
 
Dr Mashitah juga telah berjaya membawa institusi pondok ke perhatian dan keyakinan kerajaan dan pada Bajet 2015 lalu, peruntukan telah diumumkan. Disamping dilantik sebagai pemantau dana, Kementerian Pendidikan pula adalah platform untuk YPPM memberi input dibuat kajian seperti statistik sekolah pondok di peringkat negeri, berapa ramai guru terlatih dan modul pembelajaran akan dikaji dan dipantau. Satu klasifikasi sekolah-sekolah pondok ini akan dicadang oleh YPPM agar bantuan dapat disalurkan terus kepada sekolah-sekolah yang layak menerimanya.

Kini, dengan pelantikan Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP di KUIN, tanggungjawab kajian institusi pondok dilebarkan ke Nusantara serta negara-negara Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah. 

Misi KPK untuk menjalankan kajian meluas yang meliputi di dalam dan luar negara ini, pasti memerlukan seseorang seperti Datuk Dr Mashitah, yang mempunyai latarbelakang, ilmu dan kebolehan. 

Disamping menjalankan kajian, penyelidikan dan penerbitan, PKP juga akan menganjurkan seminar, persidangan dan bengkel. 

Oleh itu, pelantikan Datuk Dr Mashitah ini bukan sekadar satu pengiktirafan kepadanya, malahan YPPM terus mengorak langkah dalam usaha memaju dan membangunkan institusi pondok di negara ini.

Saturday, February 28, 2015

DATUK DR MASHITAH : JERAT ISLAMIC STATE (IS) BHGN 2

... Bersambung dari Bahagian 1 (Di sini)


TV3 : Bagaimana membendung penyampaian maklumat yang tidak pasti kesahihannya melalui teknologi yang dikuasai remaja hari ini?
DMI : Media Sosial ini nampaknya kita tidak boleh ambil mudah dan dipandang enteng. Jika tidak disekat, sebenarnya kita sedang memberi laluan yang sangat mudah kepada agenda IS ini.

Satu klip video di laman sosial di mana memperlihatkan bagaimana pejuang IS ini telah ditembak dan hampir mati dan diambilkan wudu', dan setelah solat dalam keadaan terbaring dan luka parah, mati menutup mata tersenyum. Video itu ditonton beribu-ribu pelayar sosial media dalam masa beberapa jam sahaja. Ini membuktikan betapa cepatnya memberi pengaruh kepada ribuan penonton kononnya pejuang IS telah mendapat syahid seperti Saidina Hamzah.

Walaupun seseorang itu berada di penjara tetapi mampu diakses oleh orang ramai melalui media sosial. Ancaman seperti ini perlu disekat dan disaring.


TV3 : Apakah perlu kita mendidik umat Islam di negara kita terutama dari segi pengertian jihad, syurga neraka. Apakah perlu diberi satu penekanan
semula agar mereka betul-betul memahaminya?
DMI : Ia sangat 'crucial'. Andainya kefahaman sebenar tidak diberikan, maka takrifan-takrifan di media sosial dijadikan rujukan.

Apakah takrifan Islam mengenai mereka yang mengebom diri mereka sendiri? Apakah tepat istilah Jihadist yang gemar digunakan Barat? Apakah benar pengganas dan ekstrimis ini adalah Jihadist?

Perlu sangat-sangat diberi fahaman sebenar mengenai jihad, perjuangan, negara Islam berdasarkan kepada hadis dan al quran. Pengalaman para sahabat juga perlu dikongsi supaya masyarakat lebih faham.

Perlunya diberi kefahaman bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah itu adalah agama yang murni dan boleh diterima baik oleh musuh dan kawan. Tetapi hari ini, yang dihidangkan adalah permusuhan yang akhirnya menjadi kerugian kepada umat Islam sendiri.



TV3 : Bagaimana YPPM dapat meningkatkan dakwah agar maksud-maksud yang terpesong ini boleh dihindarkan dan mentransformasikan pendidikan agama ini
bolehh dilakukan di peringkat organisasi supaya Islam lebih difahamai?
DMI : Salah seorang pejuang IS yang telah meninggal dunia datang dari salah satu pondok di Kedah, sangat mengejutkan. YPPM merasakan satu tanggungjawab.
Pertama YPPM mendekatkan diri dengan semua sekolah-sekolah pondok dengan mendapatkan pandangan mereka dan mendengar permasalahan mereka untuk diselesaikan bersama.

Imej sekolah pondok perlu dihindarkan dari dibabitkan dengan keganasan terutamanya IS. Yang berlaku hanya segelintir kecil sahaja, namun ia boleh menjejaskan imej pondok dan yakin sekiranya fahaman agama sebenar disebarkan, kita tidak akan mudah terpesong dengan fahaman-fahaman IS itu sendiri.

Friday, February 27, 2015

DATUK DR MASHITAH : JERAT ISLAMIC STATE (IS) BHGN 1

Negara telah mengenalpasti wujudnya pengganas-pengganas yang kini menggunakan Islam sebagai asas mereka. Keselamatan negara juga pernah diancam oleh kumpulan yang diketuai Ibrahim Libya di Kedah pada pertengahan tahun 80an. Ini telah disahkan oleh mantan Ketua Polis Negara... DI SINI

Nampaknya, ancaman yang dihadapi umat Islam hari ini telah berlanjutan sehingga yang terjebak terdiri dari golongan remaja dan pengaruhnya tersebar dengan begitu pantas. Namun, apakah jerat yang digunakan mereka kali ini?

Ikuti wawancara program SoalJawab TV3 yang disertai Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia;

TV3 : YB Senator menyatakan syumulnya agama Islam dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw. Kita faham bahawa agama Islam ini penuh dengan mesej kedamaian dan kesejahteraan tetapi mengapa ia begitu mudah dipesongkan dan peliknya setelah dipesongkan ada pula di kalangan umat kita yang mahu mempercayainya?
DMI : IS ada penyelewengan, salah faham, penindasan, ada unsur pelampau, tapi diterima walaupun kita tahu itu bukan Islam. Kenapa boleh diterima?

Puncanya berlaku kerana Islam ini bukan agama warisan. Kebanyakan kita dilahirkan Islam. Islam warisan bukan Islam pilihan. Ambil kesempatan dan tidak belajar Islam itu sendiri. Fahaman-fahaman yang datang menyebabkan kita mudah mengikut. Mereka mengikut kerana mereka tidak belajar dan mencari jalan ekpres ke syurga dengan mati berjihad. Fanatik seseorang itu dalam satu-satu fahaman.

Sedangkan Islam yang sebenar perlu belajar dan kaji sedangkan Nabi s.a.w pun belajar dari Jibrail. Baginda pun pernah membawa Jibrail kepada sahabat-sahabatnya.

Tetapi generasi sekarang ini, peroleh ilmu dari internet tanpa berguru dan terus menerima. Kita kena balik semula dan belajar dari guru-guru.

Negara IS, apa yang sebenar nak dicapai? Negaranya Islam tetapi penganut dan tindak-tanduknya tidak Islam. Membakar dan membunuh sesama sendiri. Semua ini tidak pernah diasaskan oleh Rasulullah s.a.w mahu pun ajaran Islam.

Pokok pangkalnya kembalikan Islam sebagai indah dan sucinya agama ini yang inginkan kedamaian.


TV3 : Tiadakah sekelumit IS ini menggambarkan Islam selain dari namanya Islam walaupun matlamatnya untuk membentuk khalifah?
DMI : Ia cuma pada nama sahaja dan tidak sedikit pun menggambarkan Islam kecuali yang diceritakan bahawa perjalanan mereka itu akhirnya masuk
syurga. Mereka ada kesedaran tetapi tidak mempunyai pengetahuan yang sebenar. Kesedaran yang ada pada mereka pula dirasakan bahawa Islam ini mesti dengan kekerasan dan kesusahan. Kononnya lebih keras maka lebih Islamlah seseorang itu. Maka apakah tiada langsung ciri-ciri Islam dalam IS itu, jawapan saya, ia amat terpesong di mana mengajak seseorang itu ke arah kekerasan bukanlah yang dianjurkan Islam yang sebenar.



TV3 : Jika kita ingin mencari punca dan salah siapa, dari segi apakah kegagalan dunia Islam dan pendidikan Islam sehingga mampu melahirkan kumpulan songsang dan terpesong akidahnya seperti IS ini?
DMI : Satu forum ulama-ulama besar di Kaherah, bertanyakan soalan yang sama. Pendidikan Islam ini di mana silapnya? Imam besar al Azhar beri pandangan bahawa, silapnya kita ini dari pendidikan yang perlu dirombak dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Saya juga sama-sama terfikir, di manakah silapnya ini? Silapnya ialah bila sampaikan Islam ini lebih kepada hukum. Dosa pahala dan syurga neraka, itu yang menjadi konsentrasi di dalam menyampai dan mendidik masyarakat Islam. Sedangkan Islam itu sebenarnya ialah cara hidup dan dalam segala apa urusan harian mengajar kitabagaimana untuk menjadi khalifah yang baik.

Apa yang dibincang oleh ulama hari ini, bagaimana untuk merombak semula pendidikan yang tidak hanya bercakap soal dosa pahala tetapi bercakap bagaimana Islam ini sebagai satu cara hidup. 
Sahabat Rasulullah saw, Muaz pernah bertanya, "Ya Rasulullah... tunjukkan aku bagaimana cara nak masuk syurga supaya tak masuk neraka?", lalu Nabi terduduk dan bersabda, "Inilah soalan yang paling dahsyat. Soal syurga dan neraka adalah milik Allah. Apa yang perlu dibuat ialah jaga akidah, jaga rukun Islam dan sebagainya, banyak cari pintu-pintu kebaikan."

Kita perlu balik kepada penyampaian agama agar ia tidak berlegar pada soal hukum semata-mata.

Keduanya, kita harus bersaing dengan medium yang ada pada hari ini. Kita hanya menyampai ajaran agama di sekolah ugama dan sebagainya, pada masa
yang sama, media internet diguna dengan sepenuhnya untuk menyampaikan fahaman-fahaman yang salah dan tidak dijawab dengan lambakkan dan
segera fahaman sebenar. Dunia sekarang remaja lebih mudah mendapatkan maklumat dan memilih sumber internet walaupun berkemungkinan ia adalah salah.

Anak-anak remaja sememangnya mempunyai semangat untuk menyumbang tetapi apabila disalurkan kepada yang tidak baik, ia cukup membahayakan. 
Saya bersetuju apabila disarankan untuk menyemak semula korikulum Islam dan perlu ikut medium semasa yang ada.


TV3 : Kita dikejutkan dengan seorang anak gadis yang berumur 14 tahun, hampir terlepas ke Syira untuk berkahwin dan kemudiannya menyertai perjuangan IS. Apa sebenarnya sehingga mereka tertarik dengan Pak-Pak Arab di sana atau jerat apa sebenarnya gunakan untuk menarik ramai wanita dan gadis-gadis muda ini mengikuti perjuangan mereka?
DMI : Sebenarnya bukan sahaja rakyat Malaysia yang tertarik tetapi ramai juga dari Timur Tengah dan Barat. Pertamanya, aspek jiwa kosong remaja yang mudah mengikut di mana mereka ditawarkan satu harapan dan adanya idola, mereka mudah terikut. Contohnya juga seperti fanatik ikutan K-Pop. Bagi IS pula, kata-kata menarik seperti, "... datanglah kepada saya, saya tidak akan beri ganjaran apa-apa kerana kamu akan menjadi isteri solihah disampingku di dunia dan bersama di syurga."

Keduanya, faktor tarikan agama kerana kebanyakan yang terpengaruh adalah di kalangan mereka yang bermasalah seperti kecewa, pernah terjerumus dalam perkara-perkara salah tetapi ingin bertaubat dan kembali ke jalan yang sebenarnya.

Ketiganya pula, aspek pengaruh media sosial di mana lambakkan dengan fahaman yang tidak betul dengan mudahnya. Contohnya apabila digoogle perkataan Islam, pelbagai lambakkan maklumat.

... sambung ke Bhgn 2 (Di sini)

Wednesday, February 11, 2015

KOPERASI PERTAMA UNTUK WARGA PONDOK DI MALAYSIA


Semenjak penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) pada awal 2014, kita sering mendengar langkah-langkah yang telah terlaksana demi untuk mengiktiraf dan menambahbaik pengajian serta pentadbiran dan pelajar pondok. Usaha murni ini juga telah mendapat perhatian kerajaan sehingga diberi peruntukan di dalam bajet 2015.

YPPM juga telah membuat kerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk mengiktiraf kelulusan pondok serta memberi ruang kepada pelajar pondok sambung pelajaran mereka. Bukan setakat itu, YPPM juga sedang mengemaskini direktori sekolah-sekolah pondok agar mereka mendapat bantuan kerajaan.

Demi kelangsungan usaha ini, YPPM telah mengorak satu lagi langkah dengan penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM) untuk menjana pulangan kepada Yayasan agar aktiviti-aktiviti transformasi pondok dapat digerakkan dengan lebih berjaya dan aspirasi warga pondok mampu dipenuhi.

Pengumuman penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Mesyuarat Agung Pertamanya bakal diadakan pada 28 Februari akan datang di Ibu Pejabat YPPM sebagai memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ini juga mungkin julung-julung kali sebuah koperasi untuk warga pondok ditubuhkan dan keahlian terbuka kepada warga pondok seluruh Malaysia.

Koperasi sebagai badan yang menjalankan aktiviti perniagaan akan mampu menggunakan peluang-peluang yang ada untuk memaju dan memantapkan kedudukan ekonomi orang Islam melalui kegiatan dan aktiviti perniagaan yang berlandaskan hukum Islam yang sebenar.

Tidak semua pondok mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Bagi pondok yang menerima banyak bantuan sama ada zakat, sedekah atau sumber lain mungkin tidak menghadapi banyak masalah. Namun, banyak pondok di negara kita yang memerlukan bantuan untuk meneruskan aktiviti seharian.

Oleh itu, Mesyuarat Agung yang pertama kali ini juga akan memberi penerangan kepada bakal-bakal ahli mengenai matlamat dan hala tuju penubuhan serta aktivitiyang bakal diceburi. Pemilihan Ahli Lembaga Koperasi dan jawatan pengurusan untuk operasi koperasi juga akan dilakukan dan di samping itu, yuran dan nilai saham koperasi juga akan ditetapkan.

Di antara prospek pelaburan yang dipertimbangkan KPPM termasuk pembangunan hartanah, telekomunikasi dan pelancongan.

Namun di dalam usaha mentransformasi sistem pengajian pondok di Malaysia, YPPM menyedari halangan utama yang akan ditempuhi apabila tidak semua pondok akan memberi sokongan. Sesuatu pembaharuan ke satu anjakan positif seperti ini mungkin menjadi satu kejutan kepada pondok yang telah lama melalui sistem konservatif turun temurun.

Apa pun rintangan yang perlu dihadapi, YPPM yang telah diberi tugas dan tanggungjawab akan terus komited untuk memartabatkan institusi pondok dan sentiasa memastikan kelangsungannya.

Jika kariah masjid di seluruh negara telah disaran menubuhkan koperasi dengan tujuan menjana pendapatan untuk membangunkan kariah masing-masing, maka tidak ada sebab mengapa pula pondok tidak mengambil peluang ini yang pasti mampu memberi pelbagai faedah dan kelebihan kepada ahli-ahlinya.

Friday, February 06, 2015

MISI BANTUAN YAYASAN PENGAJIAN PONDOK MALAYSIA (YPPM) BERMULA DI TEMERLOH

Turut serta bersama pelajar Sekolah Tengku Ampuan Afzan, Chenor




Setelah tinjaun bagi mengenalpasti pondok yang terjejas akibat musibah banjir paling dahsyat yang telah melanda Pantai Timur pada bulan Januari lalu, YPPM telah mengenalpasti 32 buah pondok berada didalam keadaan kerosakan teruk.

YPPM dengan kerjasama sukarelawan dari beberapa pihak lain termasuk Yayasan Salam, Kolej Vokasional Auto Prima (Shah Alam) dan sebuah masjid di Kuala Lumpur telah pergi meninjau keadaan di Pahang dan Kelantan.

Namun setelah dua perbincangan diadakan, YPPM mengenalpasti logistik dan jumlah dana yang diperlukan untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan seperti kitab, buku tulis, dapur gas, sistem PA, peti ais, khemah, atap zink, tilam, bantal, selimuat dan kain pelekat kepada pelajar dan penghuni pondok sekitar Temerloh Pahang. 


Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr Mashitah bersama tenaga pengajar

Di antara pondok yang mendapat bantuan ini adalah Madrasah An-Najjah atau Pondok Bukit Keledang di Bera dan Madrasah Raudhah Al-Muhubbin atau Pondok Pak Kob, di Seberang Chenor. Pihak GiatMara pula telah membantu pondok-pondok tersebut memperbaiki pendawaian yang rosak. 

Kedua-dua pondok ini telah mengalami kerosakan di tahap yang sangat teruk sehingga tidak boleh lagi berfungsi. Lebih dari 300 pelajar dan gurunya terpaksa berpindah dan segala aktiviti juga terpaksa dihentikan.

Pihak YPPM amat mengalu-alukan sumbangan derma  dari dermawan, baik syarikat, organisasi atau individu, untuk disalurkan melalui YPPM dengan menghubungi talian 03-22016711 atau laman web YPPM atau di Facebook, agar lebih banyak pondok yang terbabit dapat membaiki kerosakan dan mendapat keperluan barang-barang asas bagi meneruskan aktiviti pengajian.



Bantulah mereka kerana jika diimbas kembali, peranan pondok amat besar dalam membina generasi al-Quran dan sumbangan pondok dalam memperjuang kemerdekaan negara. Bantulah mereka seikhlasnya...

Monday, December 29, 2014

KE ARAH PENGAJIAN PONDOK MODEN

Pertemuan Tan Sri Muhyiddin dengan YPPM

Peruntukan RM25 juta yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2015 untuk pengajian pondok sebenarnya adalah lanjutan daripada peruntukan RM100 juta kepada pembangunan sekolah agama rakyat yang telah diumumkan dalam bajet 2014.

Seperkara lagi, peruntukan ini akan diagihkan kepada sekolah pondok yang berdaftar dengan Kementerian Pendidian sahaja serta mengikuti kurikulum yang diluluskan kerajaan.

Langkah pertama yang diambil Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) adalah menjalankan kempen sepanjang tahun hadapan supaya lebih banyak sekolah-sekolah pondok berdaftar dengan Majlis Agama negeri bagi melayakkan mereka mendapat bantuan.

Kempen yang akan dijalankan ini bukan sekadar untuk melengkapkan direktori pondok tetapi bertujuan memberi penjelasan kepada pengasasnya bahawa pihak Majlis Agama tidak akan ambil alih atau mencampuri soal pengurusan dan pentadbiran sekolah-sekolah pondok mereka.

YPPM sebenarnya telah membuat kajian selidik ke atas pondok yang tidak berdaftar dan di antara alasan yang diberikan termasuklah mereka tidak berasa ada keperluan untuk berbuat demikian dan pondok yang mereka uruskan adalah bersifat sementara.

Kajian awal YPPM ke atas profil dan status pondok di Malaysia juga telah digerakkan. Ia meliputi sejarah dan latar belakang, kurikulum dan sistem pengajian, tenaga pengajar dan pelajar, kemudahan asas dan infrastruktur, serta tahap penggunaan ICT.

YPPM perlu menyiapkan kajian ini dan diberi tempoh enam bulan untuk diserahkan kepada kementerian satu laporan komprehensif.

Walaubagaimanapun, di dalam masa yang sama pihak YPPM sedang mengkaji kriteria pondok yang bakal menerima bantuan dan akan diumumkan kelak.

Di dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 November lalu, beliau telah menyambut baik dalam usaha mentransformasi dan memodenkan pengajian pondok agar lebih maju dan berdaya saing sebagai sistem pendidikan Islam.

Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk dan wakil dari YPPM akan bersama-sama membincangkan kaedah serta memperincikan langkah bagi memperkemas kurikulum, memperkenalkan teknologi komunikasi dan maklumat di samping memantapkan pengurusan dan pentadbiran pondok.

Tan Sri Muhyiddin telah menggariskan 4 aspek kritikal dalam meningkatkan taraf institusi pengajian pondok;
Pertama, pengisian atau kurikulum yang standard, agar tahap dan mutu pembelajaran dapat dinilai. Ia juga mempertimbangkan subjek soft skills, termasuk keusahawanan, bahasa Inggeris dan Mandarin.

Kedua, mutu tenaga pengajar di pondok. Kementerian Pendidikan berkeupayaan memberi latihan bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran guru pondok.

Ketiga, persijilan dan masa depan lulusan pondok. Ini membuka peluang lebih baik kepada mereka yang berpendidikan pondok untuk mencebur diri dalam pelbagai bidang.

Keempat, perubahan sikap kalangan ulama, mudir, pengasas atau pemilik pondok yang harus berfikiran lebih terbuka dan berwawasan demi kelangsungan pondok mereka sendiri. Pondok tidak lagi wujud dalam era dinosaur, tapi dalam era ICT.

Bagi memantap dan memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ilmu dan kemajuan negara, YPPM mencadangakan agar perpektif Islam diperluaskan ke universiti di negara kita.

Kini universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin, sudah ada kursus yang mencantumkan Islam dengan perubatan, ekonomi dan perniagaan, serta undang-undang.

Blog ini juga telah menulis kemampuan pengajian pondok sehingga di bawa global di mana pondok-pondok di Indonesia dan Thailand telah pun dinaiktaraf ke peringkat universiti.

Thursday, December 25, 2014

DARI PONDOK KE HAVARD



Untuk menghantar anak-anak ke sekolah pondok bukan satu pilihan utama ibubapa di negara kita kerana fenomena kejayaan seseorang anak terlalu bergantung kepada pencapaian akademik sahaja. Oleh itu, Sekolah Berasrama Penuh atau Sekolah Berprestasi Tinggi adalah pilihan ibubapa yang mengimpikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka untuk menghadapi nasib masa depan mereka.

Walau sejauh mana cemerlangnya akademik anak-anak mereka, namun jauh di sudut hati ibubapa menaruh satu harapan agar anak-anak ini dilengkapi dengan asas-asas agama.

Namun ada juga di kalangan ibubapa hari ini yang berhasrat melihat di antara anak-anak mereka mendalami ilmu agama, walaupun seorang. Tetapi apakah pendidikan sekolah pondok dijadikan pilihan? Apakah pengajian sekolah pondok dilengkapi dengan pendidikan selaras dengan sistem pendidikan negara?

Jika dihantar ke sekolah pondok, apakah anak-anak sekadar menerima pendidikan agama tetapi bagaimana pula dengan pendidikan kontemporari agar mereka mampu bersaing di dalam masyarakat yang kompetitif hari ini?

Inilah di antara dilema ibubapa yang mengenai pengajian pondok.

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) telah mengorak langkah yang lebih jauh bagi meningkat dan memastikan lulusan pondok juga mempunyai masa depan serta peluang yang setanding dengan lulusan universiti.

Di antara universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan yang telah memberi persetujuan bekerjasama adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam pendidikan di peringkat Diploma Pengajian Islam dijangka bermula tahun 2016.

Selain UPSI, beberapa usaha kerjasama dengan universiti tempatan dan di antaranya Senat Universiti Insaniah di Kedah telah meluluskan penubuhan Pusat Kajian Pondok, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan satu projek kajian pengajian pondok oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perbincangan khusus mengenai kajian semula kurikulum pendidikan Islam di Malaysia membabitkan semua peringkat, termasuk pengajian pondok telah pun diadakan dengan Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam IPTA.

Sebenarnya institusi pengajian pondok bukan sesuatu yang asing di rantau Asia Tenggara, malahan ia telah lama diteroka di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Di Gontor,Jawa Timur, sebuah pondok yang ditubuhkan 90 tahun lalu akan menjadi sebuah IPT dipanggil Universiti Darussalam mulai 2015 dengan bilangan pelajar berjumlah lebih 20,000, termasuk sekitar 200 dari Malaysia.

Di Singapura, pengajian pondok dan sekolah agama meliputi mata pelajaran yang diambil oleh pelajar sekolah biasa dan mereka boleh memohon masuk ke universiti kerajaan, tanpa perlu menduduki ujian tambahan.

Di Thailand pula, Pondok Bantan di wilayah Nakhon Sithammarat telah wujud 75 tahun lalu dan diasaskan oleh Tok Guru Haji Yaakob Abdul Rauf, seorang ulama yang mendapat pendidikan di Patani dan Makkah. Menariknya Pondok Bantan ialah pengasasnya adalah datuk kepada Dr Abdul Halim Ismail, yang lebih dikenali sebagai Dr Surin Pitsuwan, bekas Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung Sekretariat Asean.

Dr Surin adalah hasil didikan pondok di Thailand di mana di negara tersebut, umat Islam adalah rakyat minoriti. Beliau adalah contoh yang perlu dibangga walaupun kehidupan awalnya berlatarbelakangkan pendidikan pondok namun telah berjaya menerima MA dan Ph.D daripada Universiti Harvard. Kini Dr Surin adalah pensyarah Universiti Oxford serta Felo Tun Abdul Razak.

Sebenarnya negara kita juga tidak kekurangan tokoh-tokoh agama dan di antaranya seperti Ustaz Kazim Elias dan Dato Mohd Noh Gadut.

Pada tahun hadapan Malaysia adalah Pengerusi ASEAN dan selaras dengan itu, YPPM telah mengusahakan satu cadangan awal hasil dari perbincangan dengan beberapa ulama pondok dan tokoh akademik untuk mengadakan satu seminar bagi membincangkan sejarah, peranan, sumbangan dan masa depan Komuniti Pondok Nusantara tahun depan.

Semoga seminar ini menjadi kenyataan. Inilah masanya ibubapa mengambil peluang mendapat pendedahan arah tuju dan masa depan pelajar-pelajar pengajian pondok.

Sunday, November 23, 2014

'GAME CHANGER' SUASANA SOSIAL ANAK-ANAK MUDA... APA IDE DATUK DR MASHITAH?



Pengajian pondok telah lama wujud tetapi siapa yang beri perhatian supaya pengajian ini terus hidup dan masalah mereka dibawa ke pengetahuan kerajaan?

Sebelum ini, kami telah berkongsi ide Perdana Menteri agar pengajian pondok diberi perhatian dan dilihat sangat relevan... DI SINI.

Amanah dan tanggungjawab telah dipikul Datuk Dr Mashitah agar ide Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), bukan sekadar untuk dihidupkan namun perhatian dan mengetahui masalah mereka dibawa ke pengetahuan terus kepada Perdana Menteri.

Dengan tema Bajet 2015 yang memberi perhatian kepada kepentingan rakyat telah dilengkapkan apabila Datuk Dr Mashitah telah berjaya meyakinkan Perdana Menteri untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta, setelah satu setengah tahun YPPM diwujudkan dan sebelum ini tidak pernah
diperolehi.

Dana yang diperolehi ini disalurkan melalui Kementerian Pendidikan dan satu jawatankuasa akan dibentuk bukan sahaja untuk pemantauan dana tetapi platform untuk YPPM memberi input dibuat kajian terperinci mengenai sekolah-sekolah pondok.

Walaupun pengajian sekolah pondok tidak terdapat di dalam Pelan Pendidikan Nasional, namun melalui Kementerian Pendidikan, perkara-perkara seperti statistik sekolah pondok di peringkat negeri, berapa ramai guru terlatih dan modul pembelajaran akan dikaji dan dipantau. Satu klasifikasi sekolah-sekolah pondok ini akan dicadang oleh YPPM agar bantuan dapat disalurkan terus kepada sekolah-sekolah yang layak menerimanya.

YPPM menyedari senario serta masalah yang dihadapi graduan-graduan pengajian pondok di mana mereka tiada tempat setelah tamat pengajian. Sistem korikulum sekolah pondok yang tidak mengikuti dasar Pendidikan Nasional di mana pelajar-pelajarnya tidak perlum mengambil SPM, menghadapi masalah mengisi jawatan-jawatan kosong seperti imam walaupun mereka mempunyai pengetahuan agama dan boleh hafal quran.

Dengan itu, YPPM diberi tanggungjawab agar graduan pondok ini mampu mendapat tempat dalam arus perdana. Pertamanya, pelajar-pelajar sekolah pondok ini diminta menduduki peperiksaan SPM. Walaubagaimanapun, YPPM telah memohon kepada Kementerian Pendidikan agar pelajar-pelajar yang telah belajar beberapa tahun dikecualikan kerana ilmu yang telah mereka perolehi dapat melayakkan mereka sebagai seorang imam.

Di samping itu, mereka juga diberi peluang memperoleh kemahiran-kemahiran tertentu seperti peluang membaiki kereta, agar mereka bukan sekadar layak ditempatkan di majlis-majlis agama tetapi mampu peroleh pendapatan yang lebih.

YPPM akan menjalankan kempen supaya sekolah-sekolah pondok berdaftar dengan Kementerian Pendidikan di seluruh negara dan dengan ini rakyat akan dapat mengetahui kewujudan mereka dan keperluan sekolah-sekolah ini juga dapat diberi perhatian. Pendaftaran mereka juga akan menimbulkan keyakinan masyarakat ketika sebarang bantuan dan derma ingin disalurkan kepada mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam membangunkan sekolah-sekolah pondok ini dan ia boleh dianggap sebagai fisabilillah dan mereka juga layak untuk menerima asnaf zakat.

Ketika ini, YPPM beropearasi di sebuah rumah di Bukit Persekutaun di Jalan Traves. Kepada yang ingin mendaftar, boleh berkunjung ke;
No. 2598/3, Jalan Johor Selatan
Bukit Persekutuan
50480 Kuala Lumpur
MALAYSIA.

TEL/ FAX : +603-2201 6711


atau laman web YPPM

Mereka tidak perlu menjadi ahli YPPM. Mereka adalah NGO yang akan membawa masalah mereka ke peringkat atasan untuk dipertimbangkan dan YPPM akan menghantar pegawai-pegawainya sendiri ke tempat mereka untuk membuat kunjungan selanjutnya.

Rupa-rupanya, Datuk Dr Mashitah adalah seorang anak pondok. Justeru itu, beliau berasa bertanggungjawab untuk perjuangkan warga pondok agar mendapat pengiktirafan sewajarnya. Menjadi hasrat Datuk Dr Mashitah sebagai 'game changer' suasana sosial anak-anak muda yang sihat di mana mereka akan melihat anak-anak muda duduk di bawah pokok sambil mengaji quran atau adanya nanti anak-anak muda yang mendendangkan ayat-ayat suci al-quran dengan dihadiri pendengar di kalangan anak muda juga.

Memandangkan umat islam hari ini berhadapan dengan ancaman akidah dan ancaman pemikiran, kita tercari-cari para ilmuan dan para golongan agama sebagai rujukan. Oleh itu, adalah menjadi matlamat YPPM juga untuk membawa tok-tok guru dari pengajian pondok sebagai tumpuan rujukan. Seandainya mereka tidak diketengahkan, maka menjadi satu kebimbangan mereka yang tidak layak pula yang memberi pandangan tentang agama sehingga kadangkala fatwa yang dikeluarkan nanti mampu mengelirukan umat Islam.

Tiba masanya, graduan-graduan sekolah pondok ini ditempatkan di arus perdana kerana mereka lebih layak dijadikan contoh dan ikon remaja.

Monday, November 17, 2014

YAYASAN PONDOK - IDEA MURNI PERDANA MENTERI DIREALISASIKAN

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

Ugama Islam hari ini tidak lagi berhadapan dengan cabaran penyebarannya. Dengan maklumat di hujung jari, ilmu agama kini dengan mudah diperolehi malahan kita kadangkala merasa tereperanjat apabila pihak-pihak yang kita ketahui merupakan musuh-musuh Islam mengetahui lebih dari apa diketahui penganut ugama Islam sendiri.

Hari ini pengetahun ugama Islam tidak lagi eksklusif hanya untuk penganutnya sahaja, malahan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam telah membaca dan mengkaji segala jenis penulisan dalam bentuk kitab, transkrip, makalah dan sehingga karya besar daripada teks pondok juga dibaca dan diambil untuk tujuan pelbagai serangan ilmiah.

Trend pasca-modenisme yang sedang berlaku serta menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, sebenarnya hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap.

Sebenarnya, itulah di antara pesanan YAB DS Najib, Perdana Menteri kepada kita. Justeru itu, beliau menyeru para ulama dan intelek Islam agar berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan penghujahan yang mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh-musuh Islam.

Di dalam usaha mempertahankan identiti Melayu-Islam di rantau ini di mana institusi pondok dilihat kekal relevan pada masa kini dan ide mewujudkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) oleh DS Najib telah didaftarkan sebagai sebuah badan kerajaan pada 1 Ogos 2012.

Apabila kita menyelamai matlamat penubuhan YPPM, jelas sekali ia tidak lain memberi pengiktirafan kepada institusi pengajian pondok dan warga pondok yang telah melahirkan ramai tokoh ilmuwan agama dalam menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan pendidikan Islam. Di sini juga jasa dan bakti para ulama, tok guru dan tok mudir diiktiraf kerajaan kerana berjaya melahirkan generasi ilmuwan agama dan pengajian Al Quran.

Bagi memastikan imej sistem pengajian pondok tidak mundur dan terpinggir serta bebas dari golongan taksub, Yayasan bekerjasama dengan agensi kerajaan, swasta serta NGO meneruskan kelangsungannya. YPPM akan memainkan peranan penting meningkatkan keupayaan dan kejayaan institusi pondok bagi melahirkan generasi yang berilmu dan berwasatiyah.

Seharusnya kita rasa bersyukur kerana usaha pemimpin negara memartabatkan institusi pondok dan telah pun dizahirkan komitmennya bagi bagi memelihara akidah umat Islam berteraskan Sunnah Wal-Jamaah dan hal agama tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Kepada yang berminat mengetahui program-program serta maklumat mengenai Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) .... boleh layari DI SINI