Showing posts with label IS. Show all posts
Showing posts with label IS. Show all posts

Saturday, July 09, 2016

DATUK LIOW : KESELAMATAN DI KLIA DAN KLIA2 TERKAWAL DAN RAKYAT MALAYSIA TIDAK PERLU PANIK


Ketika dunia digoncang dengan berita serangan pengganas di Lapangan Terbang Atartuk Istanbul, Turki dan tragedi pengeboman di lapangan terbang di Brussels, Jerman pada bulan Mac lalu, keselamatan di kedua-dua pintu masuk utama negara di KLIA dan KLIA 2 telah diberi jamninan dipertingkatkan sejak Mac lalu.

Justeru, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan kita agar tidak perlu panik memandangkan keselamatan di kedua-dua lokasi ini adalah terkawal dan diberi perhatian di tahap yang paling tinggi. Beliau juga mengesahkan yang tahap keselamatan di kedua-dua KLIA dan KLIA2 telah dipertingkatkan dengan kerjasama pihak PDRM dan juga polis bantuan.

Walaubagaimanapun, di antara langkah yang boleh diambil oleh orang ramai untuk bersama-sama menjaga keselamatan di lapangan terbang apabila ternampak bagasi yang agak mencurigakan ataupun berlegar-legar di persekitaran lapangan terbang agar memaklumkan segera kepada pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Tahap keselamtan juga diberi perhatian serius di KL Sentral ke lapangan terbang memandangkan ia adalah hub dan 'check point' pengangkutan awam darat melalui rel. Sebelum ini hanya terdapat beberapa CCTV tetapi memandangkan keadaan yang memerlukan perhatian keselamatan yang tinggi, langkah-langkah tambahan akan ditingkatkan.

Di antara langkah yang akan diambil termasuk juga menyediakan mesin saringan untuk penumpang-penumpang dan bagasi yang menuju ke KLIA atau KLIA2 selain daripada menambahkan lagi CCTV di sekitar bangunan KL Sentral. Ini adalah merupakan  langkah awal keselamatan sebelum penumpang menuju ke lapangan terbang.

Untuk makluman, pihak keselamatan kita sentiasa meningkat semua prosedur operasi standard yang berkaitan dengan keselamatan dan pihak polis telah berjaya mengesan pergerakan IS di negara kita terutamanya dari golongan yang bersimpati. Mereka diawasi agar sebelum mereka bertambah radikal dan seterus merancang untuk melancarkan serangan, polis telah mampu mengekangnya.

Oleh itu, adalah tidak perlu untuk orang awam berasa panik memandangkan keadaan keselamatan negara yang stabil dan segala langkah keselamatan sentiasa dipertingkatkan di negara ini.

Saturday, February 28, 2015

DATUK DR MASHITAH : JERAT ISLAMIC STATE (IS) BHGN 2

... Bersambung dari Bahagian 1 (Di sini)


TV3 : Bagaimana membendung penyampaian maklumat yang tidak pasti kesahihannya melalui teknologi yang dikuasai remaja hari ini?
DMI : Media Sosial ini nampaknya kita tidak boleh ambil mudah dan dipandang enteng. Jika tidak disekat, sebenarnya kita sedang memberi laluan yang sangat mudah kepada agenda IS ini.

Satu klip video di laman sosial di mana memperlihatkan bagaimana pejuang IS ini telah ditembak dan hampir mati dan diambilkan wudu', dan setelah solat dalam keadaan terbaring dan luka parah, mati menutup mata tersenyum. Video itu ditonton beribu-ribu pelayar sosial media dalam masa beberapa jam sahaja. Ini membuktikan betapa cepatnya memberi pengaruh kepada ribuan penonton kononnya pejuang IS telah mendapat syahid seperti Saidina Hamzah.

Walaupun seseorang itu berada di penjara tetapi mampu diakses oleh orang ramai melalui media sosial. Ancaman seperti ini perlu disekat dan disaring.


TV3 : Apakah perlu kita mendidik umat Islam di negara kita terutama dari segi pengertian jihad, syurga neraka. Apakah perlu diberi satu penekanan
semula agar mereka betul-betul memahaminya?
DMI : Ia sangat 'crucial'. Andainya kefahaman sebenar tidak diberikan, maka takrifan-takrifan di media sosial dijadikan rujukan.

Apakah takrifan Islam mengenai mereka yang mengebom diri mereka sendiri? Apakah tepat istilah Jihadist yang gemar digunakan Barat? Apakah benar pengganas dan ekstrimis ini adalah Jihadist?

Perlu sangat-sangat diberi fahaman sebenar mengenai jihad, perjuangan, negara Islam berdasarkan kepada hadis dan al quran. Pengalaman para sahabat juga perlu dikongsi supaya masyarakat lebih faham.

Perlunya diberi kefahaman bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah itu adalah agama yang murni dan boleh diterima baik oleh musuh dan kawan. Tetapi hari ini, yang dihidangkan adalah permusuhan yang akhirnya menjadi kerugian kepada umat Islam sendiri.



TV3 : Bagaimana YPPM dapat meningkatkan dakwah agar maksud-maksud yang terpesong ini boleh dihindarkan dan mentransformasikan pendidikan agama ini
bolehh dilakukan di peringkat organisasi supaya Islam lebih difahamai?
DMI : Salah seorang pejuang IS yang telah meninggal dunia datang dari salah satu pondok di Kedah, sangat mengejutkan. YPPM merasakan satu tanggungjawab.
Pertama YPPM mendekatkan diri dengan semua sekolah-sekolah pondok dengan mendapatkan pandangan mereka dan mendengar permasalahan mereka untuk diselesaikan bersama.

Imej sekolah pondok perlu dihindarkan dari dibabitkan dengan keganasan terutamanya IS. Yang berlaku hanya segelintir kecil sahaja, namun ia boleh menjejaskan imej pondok dan yakin sekiranya fahaman agama sebenar disebarkan, kita tidak akan mudah terpesong dengan fahaman-fahaman IS itu sendiri.

Friday, February 27, 2015

DATUK DR MASHITAH : JERAT ISLAMIC STATE (IS) BHGN 1

Negara telah mengenalpasti wujudnya pengganas-pengganas yang kini menggunakan Islam sebagai asas mereka. Keselamatan negara juga pernah diancam oleh kumpulan yang diketuai Ibrahim Libya di Kedah pada pertengahan tahun 80an. Ini telah disahkan oleh mantan Ketua Polis Negara... DI SINI

Nampaknya, ancaman yang dihadapi umat Islam hari ini telah berlanjutan sehingga yang terjebak terdiri dari golongan remaja dan pengaruhnya tersebar dengan begitu pantas. Namun, apakah jerat yang digunakan mereka kali ini?

Ikuti wawancara program SoalJawab TV3 yang disertai Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia;

TV3 : YB Senator menyatakan syumulnya agama Islam dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw. Kita faham bahawa agama Islam ini penuh dengan mesej kedamaian dan kesejahteraan tetapi mengapa ia begitu mudah dipesongkan dan peliknya setelah dipesongkan ada pula di kalangan umat kita yang mahu mempercayainya?
DMI : IS ada penyelewengan, salah faham, penindasan, ada unsur pelampau, tapi diterima walaupun kita tahu itu bukan Islam. Kenapa boleh diterima?

Puncanya berlaku kerana Islam ini bukan agama warisan. Kebanyakan kita dilahirkan Islam. Islam warisan bukan Islam pilihan. Ambil kesempatan dan tidak belajar Islam itu sendiri. Fahaman-fahaman yang datang menyebabkan kita mudah mengikut. Mereka mengikut kerana mereka tidak belajar dan mencari jalan ekpres ke syurga dengan mati berjihad. Fanatik seseorang itu dalam satu-satu fahaman.

Sedangkan Islam yang sebenar perlu belajar dan kaji sedangkan Nabi s.a.w pun belajar dari Jibrail. Baginda pun pernah membawa Jibrail kepada sahabat-sahabatnya.

Tetapi generasi sekarang ini, peroleh ilmu dari internet tanpa berguru dan terus menerima. Kita kena balik semula dan belajar dari guru-guru.

Negara IS, apa yang sebenar nak dicapai? Negaranya Islam tetapi penganut dan tindak-tanduknya tidak Islam. Membakar dan membunuh sesama sendiri. Semua ini tidak pernah diasaskan oleh Rasulullah s.a.w mahu pun ajaran Islam.

Pokok pangkalnya kembalikan Islam sebagai indah dan sucinya agama ini yang inginkan kedamaian.


TV3 : Tiadakah sekelumit IS ini menggambarkan Islam selain dari namanya Islam walaupun matlamatnya untuk membentuk khalifah?
DMI : Ia cuma pada nama sahaja dan tidak sedikit pun menggambarkan Islam kecuali yang diceritakan bahawa perjalanan mereka itu akhirnya masuk
syurga. Mereka ada kesedaran tetapi tidak mempunyai pengetahuan yang sebenar. Kesedaran yang ada pada mereka pula dirasakan bahawa Islam ini mesti dengan kekerasan dan kesusahan. Kononnya lebih keras maka lebih Islamlah seseorang itu. Maka apakah tiada langsung ciri-ciri Islam dalam IS itu, jawapan saya, ia amat terpesong di mana mengajak seseorang itu ke arah kekerasan bukanlah yang dianjurkan Islam yang sebenar.



TV3 : Jika kita ingin mencari punca dan salah siapa, dari segi apakah kegagalan dunia Islam dan pendidikan Islam sehingga mampu melahirkan kumpulan songsang dan terpesong akidahnya seperti IS ini?
DMI : Satu forum ulama-ulama besar di Kaherah, bertanyakan soalan yang sama. Pendidikan Islam ini di mana silapnya? Imam besar al Azhar beri pandangan bahawa, silapnya kita ini dari pendidikan yang perlu dirombak dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Saya juga sama-sama terfikir, di manakah silapnya ini? Silapnya ialah bila sampaikan Islam ini lebih kepada hukum. Dosa pahala dan syurga neraka, itu yang menjadi konsentrasi di dalam menyampai dan mendidik masyarakat Islam. Sedangkan Islam itu sebenarnya ialah cara hidup dan dalam segala apa urusan harian mengajar kitabagaimana untuk menjadi khalifah yang baik.

Apa yang dibincang oleh ulama hari ini, bagaimana untuk merombak semula pendidikan yang tidak hanya bercakap soal dosa pahala tetapi bercakap bagaimana Islam ini sebagai satu cara hidup. 
Sahabat Rasulullah saw, Muaz pernah bertanya, "Ya Rasulullah... tunjukkan aku bagaimana cara nak masuk syurga supaya tak masuk neraka?", lalu Nabi terduduk dan bersabda, "Inilah soalan yang paling dahsyat. Soal syurga dan neraka adalah milik Allah. Apa yang perlu dibuat ialah jaga akidah, jaga rukun Islam dan sebagainya, banyak cari pintu-pintu kebaikan."

Kita perlu balik kepada penyampaian agama agar ia tidak berlegar pada soal hukum semata-mata.

Keduanya, kita harus bersaing dengan medium yang ada pada hari ini. Kita hanya menyampai ajaran agama di sekolah ugama dan sebagainya, pada masa
yang sama, media internet diguna dengan sepenuhnya untuk menyampaikan fahaman-fahaman yang salah dan tidak dijawab dengan lambakkan dan
segera fahaman sebenar. Dunia sekarang remaja lebih mudah mendapatkan maklumat dan memilih sumber internet walaupun berkemungkinan ia adalah salah.

Anak-anak remaja sememangnya mempunyai semangat untuk menyumbang tetapi apabila disalurkan kepada yang tidak baik, ia cukup membahayakan. 
Saya bersetuju apabila disarankan untuk menyemak semula korikulum Islam dan perlu ikut medium semasa yang ada.


TV3 : Kita dikejutkan dengan seorang anak gadis yang berumur 14 tahun, hampir terlepas ke Syira untuk berkahwin dan kemudiannya menyertai perjuangan IS. Apa sebenarnya sehingga mereka tertarik dengan Pak-Pak Arab di sana atau jerat apa sebenarnya gunakan untuk menarik ramai wanita dan gadis-gadis muda ini mengikuti perjuangan mereka?
DMI : Sebenarnya bukan sahaja rakyat Malaysia yang tertarik tetapi ramai juga dari Timur Tengah dan Barat. Pertamanya, aspek jiwa kosong remaja yang mudah mengikut di mana mereka ditawarkan satu harapan dan adanya idola, mereka mudah terikut. Contohnya juga seperti fanatik ikutan K-Pop. Bagi IS pula, kata-kata menarik seperti, "... datanglah kepada saya, saya tidak akan beri ganjaran apa-apa kerana kamu akan menjadi isteri solihah disampingku di dunia dan bersama di syurga."

Keduanya, faktor tarikan agama kerana kebanyakan yang terpengaruh adalah di kalangan mereka yang bermasalah seperti kecewa, pernah terjerumus dalam perkara-perkara salah tetapi ingin bertaubat dan kembali ke jalan yang sebenarnya.

Ketiganya pula, aspek pengaruh media sosial di mana lambakkan dengan fahaman yang tidak betul dengan mudahnya. Contohnya apabila digoogle perkataan Islam, pelbagai lambakkan maklumat.

... sambung ke Bhgn 2 (Di sini)

Wednesday, December 24, 2014

PELATIH DAN PESERTA PLKN TIDAK TERLEPAS SASARAN PENGGANAS MILITAN

Baru-baru ini, satu pengumuman yang memeranjatkan kita apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan seorang bekas jurulatih PLKN adalah perancang laluan bagi rakyat Malaysia menyertai militan IS di Syria. Bekas jurulatih tersebut telah pun ditahan di KLIA dan PDRM sedang menjalankan siasatan sekira ideologi militan ini sedang menular dan mempengaruhi pelatih PLKN lain. 

Nampaknya kegiatan militan IS ini tidak melepaskan peluang mereka mensasarkan jurulatih dan berkemungkinan pelatih-pelatih PLKN juga. 

Kerajaan telah pun mengumumkan tidak memberi sokongan kepada perjuangan militan dan ekstremisme. Oleh itu beberapa tindakan untuk mencegah bukan sahaja dari segi penahanan tetapi pemantauan sedang giat dijalankan. 

Terdahulu seorang Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan antara lima orang yang dikehendaki apabila disyaki pernah menerima latihan ketenteraan daripada Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di sebuah Universiti di Pakistan, dan dipercayai telah merekrut serta menghantar empat rakyat Malaysia termasuk Ahmad Tarmimi Maliki yang dikenali sebagai pengebom berani mati pertama dari Malaysia, ke Syria. Beliau juga didakwa telah mengatur pertemuan dengan pemimpin militan Asia Tenggara bagi menubuhkan Daulah Islamiyah Asia Tenggara. 

Target gerakan militan ini adalah dari golongan anak-anak dari seluruh dunia. Dikatakan seramai 12,000 rakyat asing telah bersama IS dan seramai 15 orang rakyat Malaysia telah dapat dikesan. Modus operandi mereka lebih tersasar kepada pelajar kerana mereka ini lebih banyak meluangkan masa di media sosial dan kebanyakan mereka yang terlibat menggunakan Facebook untuk merekrut pelajar. 

Penglibatan mahasiswa juga tidak dinafikan walaupun masih lagi terkawal, namun ia harus dibendung kerana mampu merebak dengan cepat. 

Dalam masa yang sama, adalah sangat wajar langkah yang telah diambil PLKN apabila menggalakkan pelatih-pelatih yang telah tamat latihan menyertai pasukan keselamatan sukarela selaras dengan objektif program itu melahirkan remaja patriotik dan mempunyai semangat kesukarelaan terhadap negara. 

3 pasukan pertahanan negara yang mereka boleh berkhidmat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain daripada Skuad Muda KDN yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Markas ATM bagi memantau pelatih yang berminat menyertai askar wataniah. 

Penubuhan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) juga telah dapat membantu dalam pembentukan perpaduan dan keharmonian dalam negara yang secara tidak langsung dapat membentuk sikap penerimaan antara kaum yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan keselamatan negara. 

Apabila dengan tertangkapnya bekas jurulatih PLKN ini, maka adalah wajar sekiranya pihak MLKN turut mengikuti langkah-langkah yang disarankan pihak PDRM di mana Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA/IPTS perlu merujuk kepada pihak polis ke atas pensyarah-pensyarah dari luar negara serta bagi pihak JAKIM pula, penceramah agama dari luar negara juga melalui tapisan pihak polis. 

Mungkin pihak MLKN boleh mengadakan sesi khas mendedahkan kegiatan militan yang merupakan ancaman keselamatan negara terkini. Ini adalah kerana, melalui pendedahan pihak polis, kegiatan militan ini kebanyakannya mengambil kesempatan mengguna 'agama' dan 'jihad' yang mampu menyentuh perasaan anak-anak muda.