Baru-baru ini, satu pengumuman yang memeranjatkan kita apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan seorang bekas jurulatih
PLKN adalah perancang laluan bagi rakyat Malaysia menyertai militan IS di Syria. Bekas jurulatih tersebut telah pun ditahan di KLIA dan PDRM sedang menjalankan siasatan
sekira ideologi militan ini sedang menular dan mempengaruhi pelatih PLKN lain.
Nampaknya kegiatan militan IS ini tidak melepaskan peluang mereka mensasarkan jurulatih dan berkemungkinan pelatih-pelatih PLKN juga.
Kerajaan telah pun mengumumkan tidak memberi sokongan kepada perjuangan militan dan ekstremisme. Oleh itu beberapa tindakan untuk mencegah
bukan sahaja dari segi penahanan tetapi pemantauan sedang giat dijalankan.
Terdahulu seorang Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan antara lima orang yang dikehendaki
apabila disyaki pernah menerima latihan ketenteraan daripada Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di sebuah Universiti di Pakistan,
dan dipercayai telah merekrut serta menghantar empat rakyat Malaysia termasuk Ahmad Tarmimi Maliki yang dikenali sebagai pengebom berani mati
pertama dari Malaysia, ke Syria. Beliau juga didakwa telah mengatur pertemuan dengan pemimpin militan Asia Tenggara bagi menubuhkan Daulah
Islamiyah Asia Tenggara.
Target gerakan militan ini adalah dari golongan anak-anak dari seluruh dunia. Dikatakan seramai 12,000 rakyat asing telah bersama IS dan seramai 15 orang
rakyat Malaysia telah dapat dikesan. Modus operandi mereka lebih tersasar kepada pelajar kerana mereka ini lebih banyak meluangkan masa di media
sosial dan kebanyakan mereka yang terlibat menggunakan Facebook untuk merekrut pelajar.
Penglibatan mahasiswa juga tidak dinafikan walaupun masih lagi terkawal, namun ia harus dibendung kerana mampu merebak dengan cepat.
Dalam masa yang sama, adalah sangat wajar langkah yang telah diambil PLKN apabila menggalakkan pelatih-pelatih yang telah tamat latihan menyertai pasukan keselamatan
sukarela selaras dengan objektif program itu melahirkan remaja patriotik dan mempunyai semangat kesukarelaan terhadap negara.
3 pasukan pertahanan negara yang mereka boleh berkhidmat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) selain daripada Skuad Muda KDN yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Markas ATM bagi memantau pelatih yang
berminat menyertai askar wataniah.
Penubuhan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) juga telah dapat membantu dalam pembentukan perpaduan dan keharmonian dalam negara yang secara
tidak langsung dapat membentuk sikap penerimaan antara kaum yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan keselamatan negara.
Apabila dengan tertangkapnya bekas jurulatih PLKN ini, maka adalah wajar sekiranya pihak MLKN turut mengikuti langkah-langkah yang disarankan pihak
PDRM di mana Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA/IPTS perlu merujuk kepada pihak polis ke atas pensyarah-pensyarah dari luar negara serta bagi pihak JAKIM pula,
penceramah agama dari luar negara juga melalui tapisan pihak polis.
Mungkin pihak MLKN boleh mengadakan sesi khas mendedahkan kegiatan militan yang merupakan ancaman keselamatan negara terkini. Ini adalah kerana,
melalui pendedahan pihak polis, kegiatan militan ini kebanyakannya mengambil kesempatan mengguna 'agama' dan 'jihad' yang mampu menyentuh
perasaan anak-anak muda.
No comments:
Post a Comment