Sunday, December 07, 2014

PDRM SENADA DENGAN DR MASHITAH MENCEGAH EKSTRIMIS DAN PENGGANAS


Pakatan pembangkang masih ingin jadikan isu 'membakar al quran' dalam ucapan bahas Datuk Dr Mahsitah sebagai satu hasutan perpecahan kaum. Tetapi kepada sesiapa yang menghadiri PAU 2014 ketika Dr Mashitah berbahas, pasti akan bersetuju ayat yang digunakan hanyalah mengambil petikan dari laporan salah seorang Ketua Wanita Kedah.

Ucapan perbahasan Datuk Mashitah bukan sekadar ingin menyentuh isu-isu semasa tetapi di dalam ucapannya selama 45 minit itu, yang lebih mustahak adalah peringatan kepada perwakilan akan kekeliruan yang sengaja dirancang oleh musuh-musuh Islam.

Namun baru-baru ini, ketika bercakap sebagai panelis dalam Seminar Pemurnian Akidah 2014 yang bertemakan 'Mengekang Doktrin Pelampau Agama', Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay telah senada dengan Datuk Dr Mashitah dalam mengawal dan mengekang fahaman-fahaman sesat yang mampu menjerumus umat Islam ke lembah ekstrim dan keganasan yang akan dieksploit musuh-musuh Isalam dan mensabitkan umat Islam sebagai pengganas.

Di dalam perbahasan Datuk Mashitah, beliau telah menyentuh bagaimana satu persepsi atau pemikiran dibentuk bahawa kononnya pengorbanan menyertai gerakan militan 'Negara Islam' (Islamic State) berperang di Syria-Iraq adalah kerana ingin mati syahid dan masuk syurga, ini dianggap jihad.

Target mereka adalah dari golongan anak-anak dari seluruh dunia. Dikatakan seramai 12,000 rakyat asing telah bersama IS dan seramai 15 orang rakyat Malaysia telah dapat dikesan termasuk perempuan remaja yang sanggup diperisterikan. Ini adalah manifestasi gejolak anak muda yang ingin menjadi seperti Saidina Hamzah atau menjadi Ahl Badar dan sekiranya mereka terkorban, syurga pasti telah menanti mereka.

Datuk Ayob Khan pula berkongsi pengetahuan PDRM di mana ada di antara pendakwah asing dan kumpulan seperti Jemaah Islamiah dan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) menyebar ideologi berunsur militan dan ekstremisme dibawa ke negara ini. Walaupun ada beberapa individu yang dilarang di negara-negara Arab dan beberapa negara Barat, namun mereka dibenarkan masuk dan memberi syarahan yang kononnya syarahan agama di negara ini.

 Oleh itu, pendakwah dari negara luar disarankan melalui proses tapisan keselamatan pihak polis, sebelum dibenar memberi syarahan di negara ini.

Pada masa yang sama juga, ketika Perdana Menteri DS Najib membentangkan Kertas Putih, beiau bagi pihak kerajaan merayu sokongan rakyat terhadap usaha membendung ideologi kumpulan militan IS dan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti sedemikian.

Sebagai sebuah negara majmuk, Datuk Mashitah pula mengingatkan perlunya kita berwaspada terhadap sebarang ideologi berpaksikan fanatisme, perkauman atau keganasan bersifat militan agar tidak menyusup ke dalam pemikiran anak muda  Islam kerana penduduk Malaysia  terdiri daripada pelbagai keturunan, agama dan budaya.

Sebagai perintis ‘Gerakan Kesederhanaan Sedunia (GMM)’ yang berpaksikan pendekatan wasatiyyah, Malaysia mengutuk perjuangan melampau dan militan seperti IS yang
langsung tidak mencermin atau menonjolkan kemurnian Islam yang sebenar. 

Berkaitan ini, Malaysia menyokong penuh  Resolusi  2170 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang  sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada IS.

Senada dan sekata di antara Datuk Mashitah dan Datuk Ayob Khan, kegiatan berunsur ekstrim perlu dibendung dan diberi kefahaman kepada umat Islam agar kita tidak berterusan dikelirukan yang akan merosakkan imej agama Islam di kaca mata dunia lebih-lebih lagi ketika dunia  Barat yang kian beranggapan bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan.

Tetapi kita juga perlu ingat, pihak ekstrim dan pengganas bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi ia juga mungkin berlaku di kalangan penganut ugama lain. Yang penting keganasan tidak mengenal bangsa dan ugama seseorang. Lain negara, lain pula ancamannya. Namun di abad 21 ini, keganasan sedang menular di negara-negara Islam dan Malaysia tidak terkecuali adalah sasarannya.




No comments: