Friday, May 25, 2018

KEPUASAN PENUMPANG UNTUK PENGANGKUTAN AWAM DARAT TERUS MENINGKAT


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah memaklumkan yang Indeks kepuasan pelanggan keseluruhan (customer satisfaction index - CSI) untuk pengangkutan awam pada tahun lepas telah meningkat hingga enam peratus kepada 90 peratus berbanding 2016. Ini adalah kerana, penumpang yang memilih pengangkutan awam memandangkan ia lebih efisen dan jimat untuk mereka bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Lebih memberangsangkan apabila responden yang menilai pengangkutan awam sebagai 'sangat berpuas hati' telah meningkat sebanyak 17 peratus kepada 31 peratus tahun lepas berbanding 14 peratus pada tahun 2016. Kebarangkalian bagi pengguna yang terus-menerus menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan juga telah meningkat sebanyak tiga peratus daripada 78 peratus (2016) kepada 81 peratus tahun lepas.

Manakala, purata penumpang rel dan bas harian di Lembah Kuala Lumpur / Lembah Klang tahun lepas telah mencatatkan trend menaik sebanyak 3.7 peratus iaitu seramai 1,206,111 di tahun 2017 berbanding 1,162,717 pada tahun 2016. Purata hariannya pula telah meningkat sehingga 7.5 peratus bersamaan 694,057 dari 645,601 pada tahun 2016.

Peningkatan yang menggalakkan ini adalah apabila Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang telah beroperasi sepenuhnya pada Julai 17 tahun lalu. Di antara peningkatan penumpang yang tertinggi adalah LRT Kelana Jaya dengan peningkatan sebanyak 7% atau 272,684 penumpang harian berbanding dengan 254,854 dalam tahun 2016.

Pada masa yang sama, perkhidmatan KTM Komuter mencatatkan penurunan penumpang ke 14.5 peratus memandangkan kerja-kerja pemulihan landasan berkembar di sekitar Lembah Klang yang mempunyai peratus penumpang yang agak tinggi. Manakala, perkhidmatan Monorail juga telah mengalamai peratus yang merosot pada tahun lalu sehingga 23.5 peratus kerana lima gerabak telah tiada dan pihak SPAD telah pun mengarahkan pihak Prasarana untuk mengatasinya.

Walaubagaimanapun, penumpang bas di sekitar Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang turut terjejas dengan penurunan sebanyak 1 peratus disebabkan MRT Line 1 telah mula beroperasi dan kebanyakan penumpang lebih menggemari untuk memilih perkhidmatan e-hailing. KTM ETS dan Intercity Rail pula telah menampakkan peningkatan 14.2 peratus iaitu dari 17,367 penumpang pada tahun 2016 ke 19,835 di 2017. 

Pihak SPAD juga telah memaklumkan yang KTM ETS adalah mod yang sangat popular untuk pengangkutan di antara bandar sehingga menunjukkan peningkatan 16.7 peratus pada tahun lepas.

Beberapa rangkaian rel masih lagi di dalam proses untuk disiapkan dan bayangkan apabila semua rangkaian yang mampu bersambung di antara satu sama lain telah lengkap, pasti peningkatan ini akan berterusan dan akhirnya kesesakan lalulintas di sekitar Lembah Klang nanti akan dapat diatasi dengan jayanya.

No comments: