Tuesday, March 17, 2015

ANUGERAH NAIK TRELER UNTUK TEKSI DEGIL


Diberi amaran sudah, diambil tindakan pun sudah tetapi masih degil ingin cabar undang-undang. Maka kali ini untuk memberi pengajaran tegas, pihak SPAD bertindak untuk menyita teksi-teksi yang masih enggan mengguna meter dan terus disita menaikki treler.

Anugerah hadiah treler yang dikenakan SPAD bukan hanya untuk mengambil tindakan kepada pemandu tetapi apabila teksi disita, pemandu-pemandu tidak dibenarkan mengeluarkan teksi tetapi syarikat teksi atau pemiliknya sahaja yang dibenarkan dan mereka akan dikenakan bayaran yang telah ditentukan SPAD. Pihak SPAD mengangkut teksi-teksi yang disita ini 'on-the-spot'.

Seramai 30 pemandu diberkas di dalam satu operasi khas di Subang, Sungai Buloh dan Puchong dengan pelbagai kesalahan dan 27 daripada mereka melakukan kesalahan tidak mengguna meter, 2 tidak memiliki kad pemandu dan 1 lagi kad pemandu yang telah tamat tempoh.

Pihak SPAD menganggap operasi ini mencapai 100 peratus kejayaan apabila 30 pasukan penyamaran menjalankan operasi dan maklumat-maklumat dari orang awam juga telah menjayakan operasi tersebut.

Operasi yang dibuat secara bebas tanpa melibatkan agensi lain telah melibatkan 61 anggota.

Kesalahan pemandu-pemandu teksi yang disita ini akan didakwa setelah kertas siasatan disiapkan dan tindakan pendakwaan ini juga termasuk tindakan pentadbiran untuk menggantung kad-kad pemandu di mana jawatankuasa pematuhan SPAD yang akan menentukan tempuh penggantungan yang pada kebiasaannya peringkat pertama dalam tempuh 3 bulan.

Dalam tempuh dua bulan, sebanyak 137 teksi telah disita dan pihak syarikat-syarikat teksi juga akan dipertanggungjawabkan kerana adalah menjadi tugas mereka memantau dan mengambil tindakan terhadap kecuaian pemandu-pemandu mereka.

Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehinggalah pemandu teksi sedar perbuatan tidak mengguna meter merupakan kesalahan melanggar syarat-syarat permit dan tindakan tegas yang lebih drastik sedang menanti mereka.

Kes teksi disita akan didakwa di bawah seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yabg boleh membawa kepada denda tidak kurang dari RM1 ribu dan tidak melebihi RM500 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments: