Showing posts with label Petekma. Show all posts
Showing posts with label Petekma. Show all posts

Wednesday, November 18, 2015

PERHIMPUNAN HARAM PEMANDU TEKSI INGKAR AKAN BERHADAPAN TINDAKAN SERIUS


Pihak polis telah pun keluarkan amaran kepada pemandu-pemandu teksi untuk tidak menyertai perhimpunan yang dirancang akan diadakan pada hari Rabu di pelbagai lokasi  di ibu negara kerana ia adalah menyalahi undang-undang. Mereka yang disabitkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana pihak penganjur gagal mengemukakan apa-apa kebenaran rasmi daripada pemilik tempat perhimpunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri menjelaskan bahawa perhimpunan yang dirancang oleh pemandu teksi tertentu ini hanyalah sia-sia dan tidak patriotik apabila ia hanya akan mencemarkan imej negara di kala Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah di Sidang Kemuncak ASEAN. Tarikh yang telah dipilih oleh pihak penganjur bukanlah satu kebetulan tetapi disengajakan dan YB Nancy kesal apabila mereka dimanipulasi oleh pembangkang.

Pemandu teksi sentiasa dianggap sebagai barisan hadapan dan duta kecil bergerak untuk negara ini. Sebagai warga yang bertanggungjawab, inilah masa yang terbaik untuk berkongsi kisah kejayaan tentang negara kita apabila perwakilan seluruh dunia berkumpul. Pemandu teksi perlu mengambil peluang ini untuk menggambarkan kita rakyat Malaysia dalam masyarakat yang berbilang kaum boleh hidup dengan aman, damai dan matang berdemokrasi.

Malah ia adalah tidak adil kepada pemandu-pemandu teksi lain yang bersikap baik dan berdisiplin yang telah meletakkan usaha bagi memastikan dapat meningkatkan perkhidmatan dan imej mereka.

Sekiranya di antara pemandu-pemandu teksi ingkar ini mendakwa mereka mewakili majoriti untuk membuat bantahan terhadap SPAD dan Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, NGO teksi terbesar di Malaysia PETEKMA dengan lebih 60,000 ahli di seluruh Malaysia dan lebih 9,000 ahli di Lembah Klang, memilih perbincangan di meja bulat untuk mengatasi keluhan dan masalah mereka.

Pengerusi PETEKMA En Shahril tidak menafikan bahawa mereka sememangnya terkesan dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar, namun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati di jalanan tidak akan menjadi penyelesaian yang terbaik. Beliau juga telah memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahlinya yang terlibat.

Adalah tidak benar jika dakwaan mengatakan SPAD tidak langsung bertindak ke atas teksi-teksi Uber dan GrabCar kerana di dalam rekod SPAD, setakat ini mereka telah merampas 140 kenderaan persendirian yang digunakan secara haram mengambil penumpang. Pengendalian permohonan perkhidmatan teksi di talian pula terletak di dalam bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan bukan SPAD di mana ramai yang telah keliru.

Pada hari Sabtu lalu, kira-kira seramai 1,000 pemandu teksi, pengendali dan peserta telah berkumpul untuk berikrar memberi sokongan mereka kepada SPAD. Dalam usaha untuk mencapai matlamat mereka memperbaiki dan memberi perkhidmatan yang berkualiti semasa bertugas, mereka berjanji bahawa mereka akan bekerjasama dengan SPAD demi memartabat industri teksi dan memilih untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka kepada pelanggan.


Sementara itu dalam satu sidang akhbar bersama yang diadakan semalam di antara Petekma, Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Shah Alam Persatuan City dan Persatuan Teksi Giant Seksyen 13 Shah Alam, mereka bersama-sama bersetuju bahawa mereka yang terlibat di dalam perhimpunan haram ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SOSMA dalam usaha mereka untuk mensabotaj Sidang Kemuncak ASEAN.
 

Monday, October 19, 2015

MEMORANDUM PETEKMA KEPADA PERDANA MENTERI UNTUK BAJET 2016


Bajet 2016 akan dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak di Parlimen pada 23 Oktober (Jumaat) ini dan tidak terlambat bagi PETEKMA untuk menyuarakan masalah mereka agar kepentingan pemandu-pemandu teksi tidak diketepikan. 4 perkara pokok telah dikemukakan di dalam satu memorandum ketika Mesyuarat Agung Tahunan pada Sabtu lepas, walaupun Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah melancarkan laman webnya pada pertengahan September lalu, mengajak rakyat memberi cadangan dan di antaranya termasuklah kategori pengangkutan.


NGV, TOL DAN GST

Empat perkara yang terkandung di dalam memorandum PETEKMA adalah berkenaan harga NGV, harga tol di dalam bandar, GST dan perkhidmatan haram teksi seperti UBER dan GrabCar. PETEKMA telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Tan Sri Dr Rais Yatim, yang juga penasihat PETEKMA serta Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan.

Pada masa yang sama, PETEKMA juga tidak ketinggalan menyatakan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang telah berjaya memperjuangkan kenaikan kadar tambang teksi yang sekali gus telah memberi nafas kepada mereka. Namun pada masa yang sama, pemandu dan operator teksi berhadapan dengan kenaikan harga NGV sehingga 45 peratus, kenaikan tol di dalam bandar yang melibatkan dua tol iaitu tol SMART dan Besraya.

Maka pihak PETEKMA memohon agar pihak kerajaan dapat pertimbangkan untuk mengurangkan ataupun menunda kenaikan harga NGV, serta memberikan potongan 50 peratus kepada kenderaan kelas 4 di kedua-dua tol yang telah disebutkan.

Selanjutnya, PETEKMA telah menyatakan masalah pemandu-pemandu teksi yang terpaksa menanggung kenaikan kos operasi seperti alat ganti, bayaran sewa teksi dan pinjaman bank dikenakan GST manakala penumpang terkecuali.


UBER dan GrabCar

Memorandum PETEKMA juga telah menyentuh mengenai aplikasi talian UBER, GrabCar dan seumpamanya apabila kegiatan ini telah menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi terutama di sekitar bandaraya. Menurut Pengerusi PETEKMA En Mohd Syahrir Abdul Aziz, syarikat yang mengendali perkhidmatan teksi melalui talian ini perlu diharamkan kerana tidak menepati syarat-syarat SPAD dan PUSPAKOM.

Mereka telah mengelak dari membayar insuran, yuran proses, lesen, pemeriksaan PUSPAKOM dan mengambil kesempatan mengaut untung sehingga mampu menjejaskan pendapatan ahli-ahli PETEKMA yang sedia patuh kepada syarat-syarat SPAD dan PUSPAKOM. Oleh itu, Pengerusi PETEKMA mencadangkan agar adalah wajar sekiranya kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengharamkan aplikasi atas talian yang digunakan.

Walaupun apa yang dikemukakan PETEKMA di dalam memorandum berkemungkinan agak sedikit terlambat untuk PM masukkan ke dalam Bajet 2016 nanti, namun perkara-perkara seperti isu perkhidmatan teksi haram patut ditangani dengan segera kerana ia melibatkan keselamatan di mana sekiranya berlaku kejadian seperti kemalangan, salah laku atau jenayah, samada penumpang mahupun pemandunya tidak akan boleh membuat tuntutan.


HARAPAN PETEKMA

PETEKMA adalah persatuan yang mewakili pemandu-pemandu teksi dan limosin dengan keahlian melebihi 60,000 dan mempunyai 189 cawangan di seluruh negara memohon agar dapat bertemu Perdana Menteri bagi berbincang dan berunding dengan kerajaan serta mendengar denyut nadi mereka. 

Pendekatan PETEKMA adalah berbincang dan berunding dan tidak seperti sesetengah persatuan yang memilih untuk membuat bantahan jalanan ataupun mogok. PETEKMA juga selalu mengadakan perbincangan dan rundingan bersama SPAD, hasilnya berjaya mendapatkan kenaikan kadar tambang teksi yang berpatutan. 

Penguatkuasa SPAD juga telah memainkan peranan yang sangat berkesan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi ke atas pemandu-pemandu dan kereta Uber dan GrabCar. Namun, selagi aplikasi talian perkhidmatan mereka masih aktif, kereta-kereta haram ini akan masih lagi berkeliaran.

Oleh itu, 4 permintaan PETEKMA di dalam memorandum mereka diharapkan mendapat perhatian dan tindakan kerajaan agar industri teksi dan limosin terutama di bandar-bandar dapat diteruskan dan seterusnya diperkembangkan. PETEKMA juga berharap agar Perdana Menteri dan selaku Menteri Kewangan, dapat menimbangkan permintaan mereka dan sekali gus diadakan perundingan di meja bulat nanti.

Monday, March 23, 2015

PETEKMA RASIONAL DALAM MENYOKONG PENGUMUMAN SPAD


Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dia yang telah memutuskan perkara ini dan Tan Sri Syed Hamid yang telah mengeluarkan fakta-fakta yang benar tentang kenaikan kos operasi. 

Itulah ungkapan pertama yang dikeluarkan Pengerusi PETEKMA (Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Mohd Shahrir Abdul Aziz.

Walaupun ada pihak yang menentang dan cuba mempolitikkan isu kadar baru teksi, namun PETEKMA yang mempunyai 23,000 ahli di seluruh negara memohon dan merayu agar kenaikan tambang teksi ini tidak ditangguhkan.

Shahrir berpandangan ini bukan sekadar siapa ingin menjadi juara rakyat tetapi lebih kepada 'periuk nasi' pemandu-pemandu teksi.

Selama lebih dua tahun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuat kajian dan PETEKMA telah mengambil bahagian dan sentiasa hadir di dalam perbincangan untuk sama-sama memberi input, pandangan dan mengesahkan fakta-fakta serta maklumat sebagai rujukan kepada SPAD sebelum keputusan dibawa kepada pihak kerajaan.

Apakah benar dengan kadar baru teksi ini benar-benar memberi kesusahan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang duduk di bandar?

Kaedah pengangkutan awam di bandar bukan hanya teksi sahaja dan kadar tambang adalah lebih murah berbanding tambang teksi. Di dalam sehari seramai lebih kurang 300 ribu penumpang dan hanya 50 ribu sahaja yang mengguna perkhidmatan teksi. Oleh itu, perkhidmatan teksi hanya diperlukan oleh golongan yang memerlukan. Di mana dikatakan membebankan keseluruhan rakyat?

Pendapatan sehari seseorang pemandu teksi adalah sekitar RM50 hingga RM80 yang bekerja 12 jam dan pada kadar yang lama. Justeru, ini boleh diibaratkan mereka ini seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Benchmark dalam menentukan pendapatan seseorang pemandu teksi adalah kos operasinya di mana kos operasi merangkumi kos bahan api yang tidak pernah diberi subsidi, kos penyelenggaraan (wear and tear) dan bayaran sewa kepada syarikat.

Kajian SPAD pula membuktikan sejak 6 tahun lalu, segala kos operasi untuk memastikan teksi di dalam keadaan selamat untuk bergerak seperti tayar, spare-parts, bateri telah meningkat sehingga 33% sejak 6 tahun.

Pihak PETEKMA yakin dengan kajian SPAD di mana ia bukan angka yang ditangkap muat malahan SPAD telah melibatkan pakar-pakar  pengangkutan awam dari univerisiti-universiti serta melibatkan juga NGO-NGO pengguna di dalam kajian ini. Kajian SPAD merangkumi kos operasi, kos sara hidup, pandangan pengguna dan juga keadaan semasa.

Seandainya masa yang tidak sesuai adalah asas kepada penangguhan kadar baru teksi ini, maka apakah setelah 3 kali ditangguhkan sejak tahun lepas dan kali ini GST pula dijadikan alasan?

Perlu diingat, penumpang tidak dikenakan GST malahan komponen-komponen penyelenggaraan termasuk kos PUSPAKOM akan dikenakan GST dan semua itu akan ditanggung oleh pemandu-pemandu teksi.

Minyak tiada subsidi, alat-alat ganti dikenakan GST, penumpang tidak dikenakan GST TETAPI kadar tambang teksi masih di tahap lama sejak 6 tahun lalu. Apakah rasional untuk ditangguhkan lagi kenaikan tambang teksi ini?

Bagi pihak PETEKMA, sekiranya kerajaan masih kekalkan keputusan untuk menangguh kadar baru teksi, maka perlu diberi bantuan alternatif dengan memberi subsidi ke atas kesemua komponen operasi termasuk bahan api.

Namun, PETEKMA yang ahlinya diwakili majoriti pemandu teksi dari seluruh negara tidak sekali-kali akan memilih demonstrasi jalanan atau mogok untuk menyelesaikan masalah malahan sejak ditubuhkan PETEKMA, cara bermesyuarat dan rundingan adalah pilihan utama mereka.

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas, maka adalah wajar bagi pihak kerajaan meneruskan kadar tambang teksi yang baru dan kepada mereka yang ingin membuat kenyataan, seharusnya berpandukan fakta-fakta dan bukan sekadar sentimen untuk kepentingan pentas politik mereka. Seandainya PETEKMA menyokong pengumuman SPAD, ini adalah kerana mereka berpuas hati dengan kajian SPAD!

Thursday, February 26, 2015

SPAD DAN PETEKMA DAPAT KATA SEPAKAT MENAIKKAN MARTABAT INDUSTRI TEKSI

PETEKMA atau Persatuan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia sekali lagi menyatakan pendirian mereka untuk bekerjasama erat dengan SPAD demi menaikkan martabat industri teksi di negara. Nampaknya ini satu perkembangan positif yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia apabila ada persatuan yang melihat perlunya kerjasama dengan kerajaan dan menerima baik dasar-dasar yang kerajaan sedang laksanakan.

Sebelum ini, CEO SPAD En Nur Ismal telah mendedahkan aduan terbanyak yang diterima iaitu 40 peratus adalah terhadap pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan kebanyakan aduan yang diterima berlaku di kalangan pemandu teksi sekitar ibu kota. Di antara lokasi 'panas' yang telahdikenalpasti termasuk Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya,, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bukit Bintang, dan Bandar Sunway.

Aduan perkhidmatan teksi yang lain seperti memilih penumpang, mengambil penumpang bukan di perhentian teksi, tidak membantu penumpang yang membawa beg berat dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan.

Menyedari imej perkhidmatan teksi semakin terjejas, PETEKMA telah mengadakan siri perbincangan dengan SPAD mengenai beberapa isu semasa yang melibatkan kenaikan kos implikasi dari kenaikan harga. Di dalam mesyuarat ini juga soal kebajikan pemandu-pemandu teksi dan keluarga mereka jugatelah disentuh di mana telah dicadangkan penubuhan satu yayasan yang mampu membiaya pelajaran dan perumahan.

Isu TEKS1M juga telah mendapat perhatian perbincangan apabila PETEKMA memohon untuk diberi kelonggaran. Namun, Tan Sri Syed Hamid sekali lagi telahmenjelaskan yang SPAD sudah merangka dan menjalankan secara berperingkat pelan migrasi lesen pengendali sejak 2013 melalui skim Teksi 1 Malaysia (TEKS1M) di mana pemandu teksi yang layak diberikan lesen individu. Pada tahun ini, 69 lesen TEKS1M akan diserahkan kepada pemandu teksi yang layak dan jumlah lesen TEKS1M yang dikeluarkan adalah 1,000 semenjak dilancarkan.

Perlu diingat lesen individu yang diberikan tidak boleh dipajak dan adalah untuk individu yang telah berjaya sahaja. Persoalan mengenai lesen teksi tidak timbul kerana ianya milik pemandu yang telah dinyatakan.

Lesen individu yang telah diserahkan kepada pemandu TEKS1M adalah yang diterima daripada syarikat teksi, lesen yang telah diserahkan semula dan yang tidak digunakan lagi. Oleh itu, ini tidak menambahkan jumlah lesen teksi secara keseluruhan. Permasalahan yang timbul apabila ada di antara pemohon yang tidak layak kerana diisytihar bankrap dan menyebabkan mereka tidak mendapat pembiayaan kewangan.

Bagi mengatasi pemandu teksi yang enggan mengguna meter dengan alasan kurang pelanggan, Tan Sri menjelaskan yang mereka telah diberi ruang danpeluang teksi bermeter beroperasi di KLIA pada 15 Mei 2013 dan KLIA 2 pada 5 Mei 2014.

Walaubagaimanapun, Tan Sri Syed menegaskan tiada kompromi malahan tindakan lebih agresif dikenakan terhadap pemandu teksi yang melanggar undang-undang dan syarat-syarat pelesenan. Di antara tindakan yang terus digunakan ialah kaedah menyita bagi memberi amaran keras.

Ini tidak terkecuali kepada pengendali yang mengguna perkhidmatan aplikasi seperti GRAB CAR, BLACK LANE DAN UBER. Seandainya mereka melanggar peruntukan syarat pengendali, tindakan keras juga akan diambil. Berikut adalah statistik kesalahan yang pernah diambil tindakan;