Friday, April 10, 2015

MCA TETAP BERSAMA NAJIB TETAPI TIDAK AKAN LAYAN KRITIKAN PERIBADI


Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah membawa maksud kekuatan sesebuah kerajaan kerana kepimpinannya, kekuatan kepimpinan kerana rakyatnya yang bersatu padu. Itulah pendirian MCA yang sebenar di dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Tiba masanya MCA dan barisan kepimpinan tertinggi menyatakan sokongan terhadap DS Najib. Ini adalah demi masa depan negara. Amatlah perlu kerajaan meneruskan serta menumpu usaha melakukan pelbagai transformasi untuk rakyat dan negara.

Oleh itu, MCA juga mengambil keputusan untuk tidak melayan sebarang kritik dari mana-mana pihak lebih-lebih lagi yang berbentuk serangan peribadi terhadap Perdana Menteri.

Kita telah menyaksikan bagaimana perpaduan Barisan Nasional pernah tergugat apabila serangan dan kritik peribadi terhadap Tun Abdullah Badawi ketika menyandang sebagai Perdana Menteri dan musibahnya sehingga mengadai kepercayaan rakyat di dalam pilihanraya ke 12, di mana pertama kali BN kehilangan 2/3 majoriti dan MCA menjadi sasaran utama.

Kini di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib yang memberi sokongan padu terhadap usaha MCA untuk melakukan transformasi parti, MCA tidak ada sebab untuk tidak berdiri bersamanya dan menyatakan sokongan padu mereka.

Walaupun DS Najib dikritik samada kepimpinan atau peribadinya, di dalam era kepimpinan ini di mana kebebasan bersuara diraikan, namun pihak yang mengkritik perlulah bertanggungjawab dan bukan sekadar demi kepentingan peribadi.

Musuh politik sebenar Barisan Nasional dan MCA adalah di pihak lawan terutama DAP dan sekutunya PKR dan PAS. Oleh itu, sekiranya terdapat kritikan dan teguran sesama parti komponen atau sesama ahli, perbincangan di meja bulat adalah yang terbaik dan bukan peperangan secara terbuka terutama apabila mengambil kesempatan di ruang media sosial. Akibatnya, pekong semakin terdedah dan akhirnya parti yang akan rugi.

No comments: