Saturday, February 13, 2016

SPAD TERUSKAN KHIDMAT DI TAHUN BARU CINA WALAUPUN ADA YANG MENGECAM

Cuti Tahun Baru Cina baru saja berakhir dan mungkin ada yang tidak tahu bahawa anggota penguatkuasa kita telah memulakan operasi jalanraya sejak 4 Februari lagi. Ini termasuk juga penguatkuasa SPAD yang menjalankan siri operasi bersepadu dengan usahasama SPAD, PDRM, JPJ, DBKL, AADK, JPN dan Imigresen.

Ketika ramai yang sedang menikmati cuti panjang sempena perayaan ini, penguatkuasa SPAD pula tetap setia berkhidmat sepanjang masa bagi memastikan penumpang pengangkutan awam tetap dalam keadaan selamat dalam perjalanan ke destinasi masing-masing. Mungkin ada pihak yang tidak mengetahui anggota penguatkuasa ini bekerja sepanjang cuti perayaan dan lebih menyedihkan apabila pihak SPAD terus terima kecaman.


Walaubagaimanapun demi tanggungjawab yang telah diamanahkan, pihak penguatkuasa SPAD terus komited untuk berkhidmat dan kepada para penumpang pengangkutan awam pula, di antara tugasan yang dijalankan SPAD termasuklah memastikan pengendali dan pemandu bas ekspres mematuhi undang-undang & peraturan seperti syarat lesen. 

Pihak penguatkuasa SPAD tidak saja menjalankan siri operasi di jalanraya tetapi mereka memulakan operasi di setiap terminal bas dan yang pasti menjadi tumpuan ialah di Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan. Di situlah sebenarnya bermula setiap pergerakan hampir kesemua bas ekspres. Di antara pemantauan yang dilakukan adalah memastikan pematuhan penggunaan sistem tiket dan mengekang aktiviti jenayah seperti kegiatan ulat tiket dan penggunaan bahan terlarang.


Ops Serkap yang telah dijalankan sehingga 14 Februari 2016 lalu telah diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Mej.Gen (B) Dato' Paduka Che Hasni Che Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En. Mohd Azharuddin Mat Sah. Seramai 264 pegawai dan anggota penguatkuasa SPAD telah bertugas sepanjang masa bagi memastikan semua kenderaan pengangkutan awam darat mematuhi syarat perkhidmatan dan tidak melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sepanjang musim perayaan tahun baru Cina.

Dalam laporan penguatkuasa SPAD, pada 5 Februari sebanyak 880 kenderaan telah diperiksa. Daripada 72 kesalahan, 19 adalah kesalahan teksi, 44 bas terlibat dan 9 pula kesalahan lori.

Operasi bersepadu juga telah diadakan di di KL Sentral, Pudu Sentral, Hentian Putra, Hentian Duta, Hentian Gombak, Hentian Pekeliling, Klang Sentral, Sek 13 Shah Alam, Sek 19 Shah Alam dan Sri Muda Shah Alam.

Sebanyak 241 buah kenderaan telah diperiksa dan 12 kesalahan telah dikesan dan 5 melibatkan teksi samada kesalahan tidak menggunkan meter atau kad pemandu tamat tempoh, tiada kad pemandu dan disk Puspakom tamat tempoh. Manakala 7 bas yang terdiri daripada bas ekspres dan bas sewa khas/chatered didapati melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi jadual tambang, gagal menunjukkan salinan lesen pengendali, mengeluarkan tiket tidak bercetak, gagal kemukakan senarai penumpang dan tidak mengikut syarat kelas lesen.

Begitu terperinci pemeriksaan penguatkuasa SPAD di dalam membuat pemeriksaan. Kesemua kesalahan yang didapati telah termaktub di dalam syarat lesen SPAD, namun masih ada yang degil dan masih ingin mencabar.

Oleh itu, janganlah ada di antara kita yang sewenang-wenangnya membuat tuduhan melulu yang pihak SPAD gagal melaksanakan tugas mereka. Apabila SPAD bertindak tegas, pasti ada pula yang tidak berpuas hati dan kita akan ketahui siapa yang akan membuat protes. Seharusnya, kita bersama-sama penguatkuasa SPAD membanteras pemandu-pemandu dan syarikat pengusaha yang cuai dan degil dalam mematuhi undang-undang untuk menjaga keselamatan orang ramai.

No comments: