Monday, December 28, 2015

YAYASAN FELDA, INSTITUSI PERTAMA DI DUNIA KELUARKAN SIJIL ANTARABANGSA CITY & GUILDS




Sejak ditubuhkan FELDA ENGLISH LANGUAGE CENTRE (FELC) pada tahun 2003, kursus intensif Bahasa Inggeris telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM yang terdiri daripada anak-anak peneroka, anak-anak pegawai Felda, pelajar-pelajar Sekolah Angkat Felda serta pelajar lain yang berminat dari seluruh Malaysia.

Kemudian pada 2012, FELC mengorak langkah maju ke tahap yang lebih tinggi apabila Yayasan Felda bekerjasama dengan City and Guilds, United Kingdom bagi meningkatkan mutu pembelajaran Bahasa Inggeris. Nilai pengiktirafan sijil yang dikeluarkan juga telah dinaik tarafnya bagi persiapan kepada yang layak untuk meneruskan pengajian mereka di luar negara. Dengan sijil City & Guilds ini juga, pelajar lepasa YFELC dijangka mudah mendapat peluang pekerjaan.

Kini, Yayasan Felda adalah Institusi pertama di dunia yang diiktiraf untuk menawarkan kursus Bahasa Inggeris di bawa City & Guilds London pada tahun hadapan. Kursus Bahasa Inggeris yang akan dinamakan sebagai Yayasan Felda as a Second Language (YFESL) dan Yayasan Felda English for Young Learners (YFEYL) dengan logo tersendiri dicetak di atas sijil akan dikeluarkan pihak City & Guilds.

Pengumuman ini telah dibuat oleh Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam Majlis Graduasi Kolej Yayasan Felda baru-baru ini. Tan Sri juga ingin pastikan yang sijil ini sama taraf di peringkat antarabangsa seperti sijil-sijil yang dikeluarkan badan-badan profesional lain. 


Ini adalah juga di antara inisiatif yang dilakukan pihak Yayasan Felda untuk memberi peluang kedua kepada generasi baru Felda yang tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka ke pengajian tinggi. Yayasan Felda telah menawarkan lebih dari 15 jenis kursus kemahiran dan seramai lebih dari 16,000 telah mendapat pendidikan kemahiran sejak 1999. Di antara kursus yang ditawarkan adalah penjagaan kesihatan, fesyen, dandanan rambut dan yang berkaitan dengan hospitaliti.

Kesemua kursus yang ditawarkan Yayasan Felda mengguna Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan dan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Manakala City & Guilds pula adalah pengajian tinggi vokasional terkemuka di United Kingdom yang menawarkan lebih daripada 500 kelulusan di dalam 28 sektor industri melalui 8,500 pusat yang diluluskan di lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

Tuan John McGhee, Ketua Operasi Antarabangsa City & Guilds yang turut hadir di Majlis Konvokesyen tersebut juga menerangkan bagi memastikan keberkesanan pembelajaran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar YFELC, tahap kemahiran bahasa ditentukan terlebih awal dan targetnya adalah pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.

Pendekatan City & Guilds pula adalah membentuk keyakinan murid dengan pertuturan harian dalam Bahasa Inggeris supaya mereka boleh memahami bahasa itu sebelum mengguna buku teks.

Friday, December 25, 2015

MCA PUJI PENDIRIAN PPIM YANG LEBIH OBJEKTIF


Selepas kejadian kekecohan berlaku di Pusat Low Yat pada bulan Julai lalu, kini di Kompleks Kota Raya pula. Kejadian di Low Yat tercetus apabila tuduh-menuduh di antara penjual dan pembeli dan dakwaan kecurian dan dikatakan perkara yang sama juga berlaku di Kompleks Kota Raya.

Namun ada yang cuba ambil kesempatan dengan mensabitkan kedua-dua kejadian ini dengan sentimen perkauman. Pendirian dan tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mendapat pujian dari MCA yang telah bertindak secara objektif dengan tidak mengaitkan dengan sentimen perkauman malahan melihat kepada punca sebenar bagaimana kejadian tercetus.

Apabila terjadinya urusniaga yang gagal, ia tidak seharusnya dianggap sebagai masalah perkauman dan bukan mengambil tindakan sendiri. Ia pasti akan memberi gambaran yang salah apabila isu ini adalah jelas tiada kaitan bangsa mahupun agama. Ini tidak selaras dengan apa yang kerajaan sarankan dan perjuangan MCA bagi memastikan keamanan dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.

Bagi pihak MCA, saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Zahid Hamid adalah tepat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengguna saluran yang sah di mana segala aduan boleh dilaporkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan membuat laporan polis.

Walaubagaimanapun, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah dimaklumkan tentang kesukaran pengguna untuk membuat aduan mereka di talian hotline yang disediakan. Oleh itu, MCA telah mencadangkan agar lebih banyak kaunter aduan diletakkan di kompleks-kompleks membeli-belah.

Di dalam mengambil tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang terlibat di dalam menjual barangan palsu, MCA menyeru agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan ke atas segala bentuk penipuan oleh peniaga-peniaga tanpa mengira siapa pun mereka.

MCA juga ingin menegaskan yang tidak ada satu pun kenyataan akhbar atau komen dari mana-mana pemimpin MCA yang menyatakan pergaduhan di Kota Raya adalah isu perkauman walaupun ia telah dibangkitkan oleh pihak tertentu. Pihak MCA hanya beri tumpuan kepada kesalahan jenayah yang melibatkan serangan dengan senjata tajam, kecederaan ke atas kakitangan dan kerosakan premis.

Pihak PPIM juga sependapat dengan MCA di mana kejadian di Kota Raya perlu dilihat dari sudut hak pengguna dan tiada kena mengena dengan bangsa seseorang pun. Mana-mana bangsa pun mampu terlibat dalam penipuan urusniaga dan ini tidak terkecuali warga asing juga.

Jangan kerana nila setitik, habis musnah susu sebelanga. Telah tiba masanya kejadian di Low Yat dan Kota Raya tidak dilihat sebagai sentimen perkauman dan kita perlu berhenti kaitkan kenyataan seperti jika menipu dalam urusniaga ia adalah bangsa Cina dan jika ada pegawai yang terima rasuah ia adalah bangsa Melayu.

Hanya satu cara untuk mengatasi segala sangkaan buruk perkauman ini. Demi menjaga kepentingan semua pihak, MCA bersetuju jika pihak penguatkuasaan perlu mengenakan undang-undang yang lebih ketat dan denda yang lebih tinggi dan rakyat bersama-sama bekerjasama membentras segala bentuk aktiviti haram mahupun amalan-amalan yang tidak sihat.
 

BOIKOT McDonald's - MASIH ISRAEL?

Sebelum kita ingin teruskan kempen untuk Gaza dan rakyat Palestin, soalan utama yang harus kita tanya pada diri kita, matlamat kita adalah memboikot Israel atau boikot McDonald's Malaysia? Apakah jika kita tidak memboikot McDonald's bermakna kita menyokong Israel?

Adalah sangat wajar jika kita benar-benar yakin dengan maklumat yang diperolehi terutama dari media sosial di mana kebanyakannya sangat diragui. Blog ini juga telah menyiarkan peringatan dari Duta Palestin ke Malaysia agar berhati-hati dengan sebaran maklumat yang diragui. Beliau juga menyarankan agak lebih wajar jika rakyat Malaysia suarakan protes mereka kepada Kedutaan Amerika dan bukan kepada perniagaan McDonald's Malaysia.

Namun masih ada yang masih cuba untuk mengelirukan kita dan mengambil kesempatan sempena menyambut hari Maulidur Rasul dengan mengaitkan bayaran royalti McDonald's Malaysia kepada Israel walaupun ia sekadar ulang tayang.


 
Di dalam siri ini pula, ingin diperjelaskan yang McDonald's Corporation tidak mempunyai kawalan terus ke atas perniagaan mana-mana rangkaian McDonald's di mana-mana negara termasuk juga di negara Israel.

Mengikut beberapa laporan media seperti artikel "McDonald's refuses to open branch in Ariel " - The Jerusalem Post dan "Even McDonald's Political When It 'Comes To Israel And The Palestinians" - Huffington Post, kedua-dua artikel ini jelas menunjukkan yang McDonald's di Israel juga mendapat tentangan di negara itu.

McDonald's Israel diboikot penduduk tempatan hanya kerana keengganan pemilik francisi membuka restoran di bandar Ariel di Tebing Barat yang telah dirampas dari penduduk Palestin. Omri Padan adalah pemilik dan CEO McDonald's Israel juga pengasas NGO Peace Now sebuah organisasi yang mempunyai polisi untuk tidak berurusniaga di Tebing Barat. McDonald's Israel adalah bebas membuat keputusan dan ibu pejabat di Amerika tidak mempunyai suara untuk menghalang mereka.

Oleh kerana keengganan mereka, pemimpin-pemimpin di Israel mengecam sehingga keluar kenyataan yang McDonald's dari sebuah perniagaan kini telah menjadi organisasi dengan agenda politik yang anti-Israel. Rakyat Israel juga telah diberi amaran agar menjauhi McDonald's.

Bukankah jelas ini menunjukkan yang McDonald's juga tidak menyokong kekejaman Israel yang merampas hak penduduk Palestin dan bagaimana pula dikatakan McDonald's bersekongkol dengan Israel?

Mengapa setiap kali keluar berita penindasan regime Zionis Israel di Gaza, McDonald's Malaysia pula disabitkan? Apakah kita tidak tahu yang McDonald's juga berkembang maju di Timur Tengah seperti di Arab Saudi, Kuwait, Turki dan Dubai yang rata-rata hampir 100 peratus adalah umat Islam juga? Malahan jumlah restoran McDonald's di negara-negara Arab ini jauh lebih banyak jika dibandingkan di Malaysia. 



McDonald's Malaysia pernah mengeluarkan kenyataan pada tahun 2014 yang mereka juga bersimpati dengan nasib penduduk di Palestin;
We wish to state very clearly that McDonald’s Malaysia does not support nor condone the current conflict in the Middle East. Like all Malaysians, our utmost sympathies go out to the innocent victims in Gaza.

Perlulah kita fikirkan, apakah dengan mensasarkan perniagaan dan pekerja-pekerja McDonald's di Malaysia sedangkan mereka terbukti tidak bersalah, mampu memberi kesan kepada Israel? Sebenarnya memboikot McDonald's Malaysia akan memberi kesan lebih kepada kita berbanding kepada Israel itu sendiri di mana telah terbukti yang perniagaan syarikat ini tiada hubungan langsung dengan Israel.

Malahan negara kita Malaysia tidak berada di dalam rada Israel pun kerana Malaysia tidak ada apa-apa hubungan yang signifikan dengan mereka. Seandainya kita rasa Israel perlu rasa tekanan dari kempen boikot McDonald's, terlebih dahulu kerajaan perlu wujudkan hubungan rasmi samada diplomatik mahupun perniagaan dengan mereka.

Sekali lagi disiarkan kenyataan penuh dari pihak McDonald's;


Thursday, December 24, 2015

BIDANGKUASA SKMM MEMANTAU DAN BERTINDAK KE ATAS APLIKASI UBER DAN GRABCAR


Sekali lagi isu perkhidmatan kereta persendirian seperti Uber dan GrabCar mendapat perhatian di media setelah dibawa ke parlimen. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dalam jawapan lisan mengatakan yang pihak SKMM bukanlah agensi yang memberi kelulusan perkhidmatan Uber dan GrabCar ini dan aplikasi perkhidamatan hanya akan diambil tindakan sekiranya mendapat permintaan dari pihak SPAD.

Timbalan Menteri juga menyatakan yang SKMM tidak boleh block mana-mana aplikasi yang tidak melanggar undang-undang. Dengan lain kata, aplikasi kereta sewa seperti Uber, GrabCar dan yang serupa tidak melanggar undang-undang. Kenyataan Timbalan Menteri ini boleh dibaca ... DI SINI.

Bagi pihak JPJ pula, mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang perkhidmatan yang ditawarkan menerusi aplikasi telefon seperti Uber dan GrabCar adalah menyalahi undang-undang kerana kenderaan yang digunakan tidak berdaftar dengan SPAD dan juga JPJ. Pihak JPJ juga beri jaminan untuk membanteras kegiatan ini dan mengakui menghadapi kesukaran memandangkan kenderaan peribadi ini tidak berdaftar. Maklumat ini dipetik ... DI SINI.


Kedua-dua kenyataan di atas mengesahkan yang perkhidmatan kereta persendirian Uber dan GrabCar adalah salah tetapi mereka mungkin terlepas pandang yang punca perkhidmatan ini datangnya dari aplikasi telefon yang pasti di bawah bidangkuasa SKMM.

Ini yang ingin diketengahkan Pengerusi SPAD Sri Syed Hamid Albar yang SKMM perlu bertanggungjawab memantau dan mengawal aplikasi Uber dan GrabCar. Tan Sri juga menjelaskan bahawa memberi perkhidmatan aplikasi tidak menjadi satu kesalahan di bawah SPAD, oleh kerana itu pihak SPAD hanya mengambil tindakan ke atas kenderaan yang digunakan dan pemilik kereta sahaja.

Berbeza dengan aplikasi MeterOn yang diperkenal SPAD yang meliputi lebih 50,000 teksi berlesen di Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan standard perkhidmatan teksi. Aplikasi ini menawarkan kepada pelanggan platform dengan dilengkapi enam ciri utama iaitu pengesahan pemandu, alat menjejaki perjalanan, anggaran tambang, penilaian pemandu, amaran SOS dan maklum balas atau laporan.

Tan Sri juga mengesahkan yang pihak SPAD telah berunding dengan SKMM untuk mencari penyelesaian ini dan seharusnya mereka bertanggungjawab kerana di bawah undang-undang ia sememangnya tugas SKMM untuk mengawal selia semua aplikasi telefon.

Wednesday, December 23, 2015

TIKET BAS EKSPRES DI VENDING MACHINE DAN ATAS TALIAN


Untuk mengatasi kebimbangan jika kita tidak akan dapat tiket bas ekspres untuk balik kampung nanti pada cuti panjang menjelang cuti Maulidur Rasul dan Krismas, pihak SPAD ingin memaklumkan yang kemudahan Vending Machine telah disediakan dan belian tiket melalui sistem atas talian juga ada.

Senarai syarikat-syarikat bas ekspres? Sila layari ... http://www.spad.gov.my/ms/tiketBE

Kemudahan Vending Machine hanya boleh didapati di Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) dan telah disediakan 7 buah daripada 68 syarikat bas ekspres. Manakala pengguna yang ingin ke Pantai Timur melalui Hentian Jalan Pekeliling, mereka tetap boleh beli tiket secara online.

Walaubagaimanapun, kaunter-kaunter tiket tetap dibuka untuk TBS-BTS dan juga di Hentian Jalan Pekeliling. Sebanyak 41 kaunter sistem tiket berpusat juga telah dibuka bagi penjualan tiket cetakan komputer kepada pengguna. 

Yang penting perlu beli terlebih awal agar dapat elak daripada terpaksa beratur panjang nanti.

Dengan adanya kemudahan sistem hubungan pengangkutan awam lain seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit dan perkhidmatan teksi di dalam satu lokasi di TBS-BTS, pasti dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan perjalanan pengguna bas.

Pihak SPAD juga akan memastikan bas yang cukup di waktu-waktu cuti panjang ini. Permohonan Lesen Perubahan Sementera (LPS) juga telah dibuka kepada pengendali bas ekspres yang menyediakan bas tambahan. Tempoh sah LPS ini adalah dari 23 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016. 
 

HANYA FGV SAHAJA TERLIBAT DALAM PERBINCANGAN DENGAN EHP INDONESIA


Sebelum ini beberapa laporan dari media luar negara telah melaporkan yang Felda Global Ventures akan bercadang mengambil alih kepentingan  hanya 10 peratus saham PT Eagle High Plantation, Indonesia (EHP) dan selebihnya diambil alih oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Ini adalah berikutan daripada keputusan FGV untuk menamatkan cadangan tersebut pada 30 November lalu. FIC dikatakan memulakan rundingan dengan PT Rajawali Group bagi memiliki 37 peratus saham dalam EHP dengan nilai USD680 juta (RM2.55 bilion).

Namun, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah mengesahkan yang perbincangan ini tidak melibatkan FIC mahupun pihak-pihak lain dan usaha ini masih diteruskan FGV. Di bawah perbincangan model baru ini, Tan Sri berharap agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak yang sedang berunding iaitu FGV dan juga EHP.

Secara dasarnya pengambilalihan kepentingan EHP adalah sebanyak 37 peratus dan ia adalah penting untuk FGV mengembangkan perniagaan perladangan mereka di masa hadapan. Tan Sri Isa menjelaskan yang FGV perlu berkembang dan tidak hanya boleh bergantung dengan 350,000 hektar tanah yang kini dipajak daripada Felda.

Indonesia sentiasa menjadi pilihan terbaik jika dibandingkan dengan negara lain seperti Myanmar, Kemboja dan Afrika Selatan kerana ia memiliki keluasan tanah perladangan yang diperlukan dan negara-negara lain tidak sesuai untuk tanaman getah dan lokasinya agak jauh.

Memandangkan 75 peratus pendapatan FGV datangnya daripada aktiviti perladangan, maka pelbagai usaha perlu dilaksanakan untuk mencapai sasaran 40 peratus menjelang 2020 menerusi aktiviti hilirannya. Ini adalah juga dalam usaha menangani kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) dan FGV akan terus meningkatkan kualiti pengurusan ladangnya agar dapat mengurangkan kos.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan harga MSM akan kembali stabil hanya pada 2017 dan 2018 dan bukan saja FGV malahan semua syarikat perladangan di dunia turut menerima kesannya.

Tuesday, December 22, 2015

Datuk Liow : KERJASAMA UMNO-PAS SENGAJA DIPUTARBELITKAN DAP


Kita tidak perlu terikut-ikut dan termakan hasutan DAP yang nyata tidak akan senang dengan segala usaha Barisan Nasional untuk kebaikan dan keharmonian rakyat. Itulah mesej yang ingin disampaikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika diminta mengulas kerjasama UMNO-PAS.

Selanjutnya, Datuk Liow menegaskan bahawa kerjasama UMNO-PAS dan PAS bergabung ke dalam UMNO adalah dua perkara yang sangat berbeza yang tidak perlu dikelirukan terutamanya apabila ia datang dari DAP. Pendirian MCA adalah jelas dan tegas yang mereka tidak akan menyokong undang-undang hudud PAS.

Malahan kerjasama UMNO-PAS dianggap Datuk Liow sebagai hal peribadi dalaman UMNO dan MCA tidak akan campurtangan malahan menghormati keputusan mereka. Tetapi seandainya PAS ingin bergabung di dalam Barisan Nasional, ia perlu dibawa ke dalam perbincangan Ahli Majlis Tertinggi BN dan mendapat konsensus dari parti-parti gabungan yang lain.

Pendirian MCA adalah adil dan bijak tetapi DAP yang telah menceraikan PAS serta meruntuhkan pakatan bersama, mereka pula yang menuding jari kepada MCA dan menghasut dengan pelbagai tohmahan. DAP memang terkenal dengan politik kebencian dan segalanya perlu menuding jari kepada MCA. Malahan, DAP sengaja lupa yang ketika 2 pilihanraya umum lalu, DAP telah memberi kekuatan kepada PAS sehingga menyeru pengundi-pengundi Cina untuk memberi sokongan.

DAP juga telah menunjukkan perangai hipokritnya apabila pada satu situasi Guan Eng membidas kerjasama UMNO-PAS dan di situasi lain DAP masih bekerjasama dengan PAS dan ini terbukti di Selangor. Mengapa sehingga hari ini, Guan Eng tidak berani mengarahkan kesemua ahli-ahli exco DAP Selangor untuk meletak jawatan atau DAP secara senyap masih bekerjasama?

Gabungan di antara Umno dan PAS secara kerjasama hanya disalahertikan oleh DAP berikutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, dan juga penampilan bersama beliau dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam baju merah jambu Melayu pada Persidangan Serantau (Multaqa Serantau) Al-Azhar graduan pula.

Ceteknya pandangan DAP yang tidak mampu melihat kerjasama yang mampu diadakan di antara UMNO-PAS melampaui politik. Kerjasama sebagai satu umat Islam dalam bentuk kemanusiaan seperti bencana banjir yang sering dialami di Kelantan dan Terengganu serta bekalan air bersih kepada Kelantan oleh kerajaan BN Terengganu sedang diusahakan.

Berbeza dengan MCA yang menitik beratkan keharmonian dan berkawan dengan semua bangsa walaupun parti ini mewakili bangsa Cina. DAP memang terkenal dengan perangai suka bermusuh walaupun dengan rakan seangkatan tidak akan dapat hidup bersatu dengan kepelbagaian di negara ini. Sikap suka menjadi abang besar DAP juga terbukti apabila rakan dalam pakatan mereka, ADUN PKR Penanti, Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin menangis mencurahkan kesedihannya apabila kawasan beliau telah disisih dan dianaktiri oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Selama UMNO menerajui tampuk pemerintahan sejak 58 tahun lalu, tidak ada satu pun insiden di antara parti-parti gabungan Barisan Nasional yang terpaksa merintih dan menangis untuk mendapatkan bantuan. MCA sebagai rakan setia dan kedua terbesar pun tidak pernah mendabik dada sebagai abang besar.

Inilah kelebihan Barisan Nasional yang sentiasa ingin berlaku adil dan saksama walaupun ia diterajui UMNO. Di antara UMNO dan MCA, hormat menghormati dan saling bekerjasama adalah prinsip yang membawa kejayaan mereka sehingga ke hari ini.

Monday, December 21, 2015

KEMASKINI MUKTAKHIR DARI SPAD BAGI PENYUSUNAN SEMULA RANGKAIAN BAS HENTI-HENTI


Penyusunan semula laluan bas henti-henti di KL dan Lembah Klang telah pun bermula sejak 1 Disember lalu dan maklumat terperinci laluan baru ini boleh di dapati ... DI SINI. Sepanjang tempoh percubaan ini, pihak SPAD sentiasa memantau  dan mengambil tindakan proaktif agar setiap permasalahan operasi dapat diatasi dan diperbaiki sebelum dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini juga.

Segala usaha untuk menstabilkan jadual bas telah diperolehi melalui pemantauan laluan dan kekerapan harian dan yang pasti dari maklum balas dari pihakpengguna. Setakat ini ada 3 perkara utama yang diberi perhatian pihak SPAD;

a. Mengatasi kekurangan bas
b. Menurunkan masa menunggu
c. Menstabilkan perkhidmatan

Bagi mengatasi kekurangan bas, pihak SPAD telah mengerahkan 59 bas tambahan secara berperingkat ke kawasan permintaan yang tinggi. Sebagai penyelesaian jangka pendek, pengendali bas yang terlibat akan menyewa bas sehingga bas yang mencukupi.

Di antara kawasan yang mengalami masalah operasi yang ketara adalah sepanjang Koridor Jalan Ipoh dan Sungai Besi di mana laluan permintaan tingginya merangkumi Kepong, Selayang dan Puchong. Bagi menstabilkan kekerapan bas, bermula 18 Disember lalu, laluan ini telah menyediakan bas tambahan.

Sebanyak 22 buah bas tambahan telah disediakan di Koridor Jalan Ipoh meliputi kawasan Taman Ehsan, Sri Sinar, Bandar Baru Selayang dan Selayang Utama. Manakala 10 buah bas tambahan lagi telah dikerahkan untuk Koridor Sungai Besi yang meliputi Serdang dan laluan dari Putrajaya ke Bandar Utama.

Selain daripada itu, pengendali yang menyediakan perkhidmatan bagi Koridor Lebuhraya Persekutuan akan menambah 27 buah bas bagi meliputi kawasan yang berikutnya; Kampung Delek, Pandamaran, Sri Pendamar, Johan Setia, Sungai Rasau, Banting dan Bandar Klang pada 25 Disember.
TERKINI, pengumuman muktahir sekali adalah laluan 600 (Puchong Utama - HAB Pasar Seni) di sepanjang Koridor Jalan Klang Lama dan laluan 506 (Putrajaya Sentral - Bandar Utama) di sepanjang Koridor Sungai Besi akan dikendalikan semula oleh RapidKL yang telah pun berkuatkuasa pada 21 Disember 2015. Waktu operasinya pula adalah dari 5:30 pagi -11:30 malam dengan kekerapan setiap 10 minit ketika waktu puncak pagi dan petang.

Laluan 506 pula akan beroperasi dari 6:00 pagi -11:30 malam dengan kekerapan setiap 30 minit ketika waktu puncak pagi dan petang.

RapidKL Mengendalikan Laluan 600 dan Laluan 506 Berkuatkuasa 2...
Berkuat kuasa 21 Disember 2015, laluan 600 dan laluan 506 mula dioperasi oleh RapidKL.Laluan 600 (Puchong Utama – HAB Pasar Seni) waktu operasi dari 5:30 a.m. -11:30 p.m. dengan kekerapan setiap 10 minit.Laluan 506 (Putrajaya Sentral – Bandar Utama) operasi dari 6:00 a.m. -11:30 p.m. dengan kekerapan setiap 30 minit.
Posted by Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat - SPAD on Sunday, December 20, 2015

Bagi menjamin kekerapan perkhidmatan tidak terganggu, pihak SPAD akan mengambil tindakan tegas kepada pengendali yang gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Di antara tindakannya termasuk memberi laluan kepada pengendali bas lain yang lebih berkemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dengan pemantauan dan pemerhatian rapi serta maklumbalas dari pengguna, pihak SPAD ingin memaklumkan yang perlaksanaan ini tidak statik dan mereka sentiasa terbuka kepada pengajian semula dan sentiasa memperbaiki laluan serta jadual perjalanan berpandukan maklumbalas pengguna. Di samping itu, pihak SPAD sentiasa memantau operasi pengendali-pengendali bas dengan Sistem Hab Pemantauan Prestasi (Performance Monitoring Hub System atau PMHS).

Segala maklumat lanjut mengenai BNR seperti laluan, jadual bas dan senarai pengendali, sila layari www.spad.gov.my/bnr dan juga digalakkan menghubungi pihak SPAD di talian 1 -800-88-7723 (SPAD) serta e-melkan pandangan anda ke aduan@spad.gov.my atau berkongsi pandangan di Facebook rasmi.

Diharap menjelang 31 Disember nanti, segala perancangan untuk melihat perjalanan perkhidmatan bas henti-henti bertambah lancar dan lebih efisien.

Sunday, December 20, 2015

BOIKOT McDonald's - PENGESAHAN DUTA PALESTIN

Setelah 3 siri penerangan mengenai kedudukan sebenar McDonald's yang tidak membuktikan organisasi ini adalah syarikat yang mempunyai hubungan dengan negara Israel, berkemungkinan ada yang masih kurang yakin. Selagi nama McDonald's Malaysia tidak diMelayukan, selagi itu persepsi yang McDonald's berhubungkait dengan Amerika dan Israel kekal dikaitkan.

Namun, apabila pihak sebenar di mana tanahairnya dirampas, keluarga dan rakan-rakan dizalimi dan dibunuh secara kejam tampil membuat penjelasan, apakah kita sanggup berlapang dada menerimanya?

Salah faham kempen boikot Israel yang telah mencetus kekasaran dan serangan ke atas pekerja-pekerja dan perniagaan pengusaha restoran McDonald's telah menyebabkan Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al Agha untuk bersuara memberi penjelasan dan menyeru agar rakyat Malaysia lebih rasional dalam membuat penilaian dan tindakan.


Temuramah yang mungkin tidak popular di kalangan kita dan hanya diterbitkan di media Inggeris seperti TheStar dan MalayMail ini, dengan jelas memaklumkan yang Dr Anwar tidak bersetuju dan tidak adil jika perniagaan dan pekerja-pekerja McDonald's disasarkan dalam usaha rakyat Malaysia bersama-sama berkempen memboikot syarikat-syarikat yang dikatakan ada hubungan dengan Israel.

Beliau juga mengaku alasan-alasan yang diberikan berpandukan maklumat-maklumat yang diperolehi dari internet, tidak mempunyai kesahihannya. Tuduhan-tuduhan yang mengatakan McDonald's menyalurkan dana kepada Israel juga diragui.

Dr Anwar adalah rakyat Palestin, dan beliau telah menyeru agar adalah lebih tepat jika rakyat Malaysia berkongsi kemarahan dan kekecawaan mereka terus kepada kedutaan Amerika. Ini adalah saluran yang lebih tepat dan lebih berkesan. Beliau telah mendedahkan yang Amerika telah pun meluluskan peruntukan sebanyak USD225 juta bersamaan hampir RM720 juta untuk sistem pertahanan Israel atau Iron Dome missile defence system.

Alasan Dr Anwar adalah sangat rasional. Sasaran kempen adalah ke atas Israel dan Amerika tetapi mengapa pekerja dan pengusaha restoran dijadikan mangsa sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia yang mencari rezeki dan yang menyerang dan memboikot juga adalah rakyat Malaysia. Mengapa perlu mereka dianiaya?

Jika kita masih ingin mempercayai yang McDonald's masih ada hubung kait dengan Israel, bagaimana pula dengan laporan ... DI SINI?

Dalam laporan ini, jelas kerajaan Israel menuduh McDonald's adalah anti mereka kerana enggan membuka rangkaian restoran mereka di Tebing Gaza. Pemilik McDonald's Israel juga menegaskan yang keengganan mereka adalah berdasarkan kepada pendirian mereka yang mengutamakan keamanan dan bukan keganasan. Marahnya rakyat Israel terhadap McDonald's Israel sehingga mereka juga menjalankan kempen untuk memboikot perniagaannya di sana...


Bukankah ini jelas menunjukkan McDonald's di setiap negara tidak dipengaruhi dan dikongkong oleh Ibupejabat McDonald's Corporation di Amerika?

Di artikel akan datang, blog ini akan cuba huraikan siapa dalang di sebalik kempen boikot McDonald's and apa sebenar matlamat mereka. Oleh itu, dengan penjelasan dari Duta Palestin Dr Anwar ini, maka seharusnya kita lebih berhati-hati dengan segala maklumat yang diperolehi di internet dan lebih fokus dengan sasaran matlamat kempen.

Janganlah kerana nyamuk di seberang lautan, sehingga kelambu di rumah hendak dibakar dan dibuang pula.

Saturday, December 19, 2015

SELEPAS PERSEPI BURUK TERHADAP PEKERJA ASING FELDA KINI DIFITNAH PULA

Selang beberapa bulan sahaja, pada bulan Julai lalu laporan WSJ telah sedaya upaya membuat cerita mengenai kononnya terdapat pencabulan hak asasi manusia di ladang FGV yang melibat pekerja asing. Namun dengan segera pihak FGV telah membuat kenyataan balas dan membuktikan yang WSJ telah memilih hanya sebahagian kecil daripada artikel lengkap mereka.

Di antara perkara yang disentuh WSJ adalah mengenai gaji minima, waktu bekerja serta tempat tinggal pekerja asing. FGV telah pun menerangkan yang semua pekerja asing FGV diberikan hak dan keistimewaan yang sama seperti rakyat Malaysia berasaskan kepada peraturuan buruh Malaysia serta Deklarasi Organisasi Buruh Antarabangsa bagi Prinsip Asas dan Hak di Tempat Kerja.

Gaji minima pekerja asing  FGV pula adalah berpandukan kepada Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia dan diuruskan oleh Jabatan Tenaga Kerja FGV di bawah Kluster Huluan Sawit. 

Dengan jelas tujuan WSJ adalah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap FGV. Kemudian, beberapa hari lalu tersebar pula fitnah ini di laman-laman media sosial;



Kali ini fitnah yang melibatkan panel kesihatan untuk pekerja asing yang kononnya syarikat lantikan FGV, MediExpress telah disenaraihitam kerana tiada surat jaminan dari Kementerian Kesihatan (KKM). Sekali lagi FGV dengan pantas menafikannya malahan semakan telah dibuat dengan KKM, pihak insurans dan juga MediExpress itu sendiri.

Mengapa FGV menjadi sasaran persepsi buruk dan fitnah di media antarabangsa dan di laman sosial? Jawapannya adalah terang dan jelas apabila Felda telah terus-terusan menjadi deposit tetap parti memerintah Barisan Nasional yang kini diterajui DS Najib Razak.

Kita telah menyaksikan bagaimana pihak pembangkang telah kalah dalam setiap kes fitnah yang dibawa ke mahkamah seperti PKR dan Suara Keadilan, pemimpin PAS seperti Mustapa Ali dan penghasut terbesar ANAK, Mazlan Aliman. Namun kegagalan pembangkang telah mendapat kerjasama dengan media antarabangsa yang hanya mendapat maklumat dari mereka dan melaporkan bahagian-bahagian terpilih untuk disensasikan.

Oleh itu, semua yang terlibat seperti seranta Felda perlu giat turun padang untuk menjelaskan isu-isu semasa dengan memberi penerangan dengan sebaik mungkin agari peneroka mendapat pemahaman sebenar dan tidak dipengaruhi persepsi semata-mata.

Wednesday, December 16, 2015

CAPTAIN 'STRONGER TOGETHER' MCA SEMAKIN AGRESIF... SIAPA DIA?


Sesiapa pun tidak akan menafikan jika "Bersatu Teguh, Bercerai Roboh" di dalam membentuk sesuatu kejayaan. Walaupun terkesan di PRU lalu dengan hanya memenangi 7 kerusi parlimen, MCA tetap ingin berkhidmat untuk kaum Cina dan kembalikan keyakinan mereka. Oleh itu, MCA tangkas mewujudkan Pelan Transformasinya yang terdiri daripada 3 fasa yang telah dilancarkan tahun lepas.

Fasa pertama Pelan Transformasi MCA memperkenalkan persediaan awal untuk PRU14 dengan kempen 'Stronger Together' atau Teguh Bersama, fasa kedua pula adalah  'Harnessing diversity'  yang membawa maksud memanfaatkan kepelbagaian dan yang ketiganya pula memberi tumpuan kepada 10 strategi ekonominya.

Di mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA baru-baru ini, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengumumkan dan seterusnya melantik Datuk Wee Ka Siong sebagai Pengerusi Jentera Pilihanraya ke 14 MCA. Bagi meneruskan kempen 'Stronger Together' ini, ia akan dilancarkan di peringkat negeri pada March 2016. Kempen yang bertemakan teguh bersama ini telah pun dilancarkan di peringkat kebangsaan dan tiba masanya ia menyusuri di kesemua negeri bagi mendekati ahli-ahli dan pengundi di akar umbi.

Datuk Liow yakin Pelan Transformasi MCA berada di landasan betul yang kini telah mendapat sokongan lebih besar. Beliau juga berikrar agar MCA akan bangkit untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Perlantikan Datuk Wee Ka Siong adalah sangat tepat sekali memandangkan di setiap PRU beliau sentiasa ke hadapan untuk mengatur setiap strategi dan penyusunan jentera kempen. Malahan di setiap pilihanraya kecil, walaupun adakalanya BN kalah namun peningkatan sokongan BN di kalangan pengundi Cina sangat memberangsangkan.

Jika diteliti di dalam Facebook MCA mahupun di laman sosial Datuk Wee sendiri, beliau agresif turun padang bertemu dan berdialog dengan rakyat di semua peringkat. Di antaranya;



Di kesempatan ini juga, Datuk Wee telah memberi penerangan isu-isu semasa dan program-program kerajaan terutama kepada usahawan SME;


Datuk Wee juga senang didampingi anak-anak muda;


Datuk Wee pernah berkata - MCA dan Barisan Nasional (BN), kita didalam sebuah keluarga yang sama, maka kita sama-sama memikul tugas dan tanggungjawab kerajaan. Oleh itu, walaupun MCA adalah parti untuk bangsa Cina namun ketika berkhidmat, Datuk Wee juga memastikan bangsa-bangsa lain mendapat perhatian yang sama;


Oleh itu, memang tepat sekali perlantikan Datuk Wee menerajui dan mengetuai jentera pilihanraya MCA bagi menghadapi PRU14 akan datang. Penyusuan rapi dengan strategi kempen yang menyeluruh amat diperlukan rakyat bukan sahaja untuk memenangi hati mereka malahan memberi pencerahan ke atas setiap serangan fitnah dan kebencian DAP.

Politik kebencian yang diserapkan DAP di kalangan pengundi Cina perlu ditangani segera. Sejak DAP mendominasi pengundi Cina, suasana keamanan dan keharmonian rakyat yang berbilang bangsa di negara ini telah semakin tercalar sehinggakan cabar-mencabar di antara kaum bukan sahaja terjadi malahan soal ugama juga telah menjadi percaturan politik DAP.

Landskap politik di kalangan pengundi Cina yang telah didominasi DAP perlu diubah dan dengan strategi 'Stronger Together' MCA, akan mampu membawa rakyat Malaysia hidup bersatu menuju masa depan yang lebih maju bagi menghadapi cabaran yang mendatang. Sesungguhnya, Datuk Wee bukanlah pemimpin politik yang sekadar bercakap tetapi beliau telah membuktikan yang beliau adalah seorang ketua yang gemar berkhidmat.

Tuesday, December 15, 2015

PENJELASAN PERJANJIAN ERL DARI LEGASI MAHATHIR


Kenaikan tambang ERL menjadi topik hangat bukan sahaja di Parlimen dan di kalangan rakyat, malahan telah mendapat perhatian di dalam perbahasan persidangan UMNO baru-baru ini. Akhirnya, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak membawa isu-isu yang membebankan rakyat ini ke dalam ucapan penggulungannya di PAU 2015 lalu.

Ramai dikatakan marah pentadbiran hari ini kerana baru saja selepas kenaikan kadar teksi, kemudian tol dan kini tambang ERL dan bas ekspres pula bakal naik. Yang paling mendadak adalah kenaikan tambang ERL dari RM35 kepada RM55. Tetapi sesuatu yang mengejutkan telah didedahkan oleh Presiden UMNO dalam menjelaskan kenaikan yang tidak dapat dielakkan ini lagi.

Mungkin ramai yang tidak tahu perjanjian ERL telah ditandatangani di antara kerajaan dengan syarikat monopoli YTL pada 1997 ketika Tun Mahathir adalah Perdana Menterinya. Ia adalah perjanjian jangka panjang di mana pentadbiran Dr Mahathir telah bersetuju dengan kenaikan tambang setiap 5 tahun dan hanya berpandukan kepada jumlah unjuran aliran penumpang dan bukan bukan jumlah penumpang semasa.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara, DS Najib telah tidak membenarkan kenaikan tambangnya, namun akibatnya kerajaan terpaksa membayar pampasan selama 14 tahun sebanyak RM2.9 bilion dan dilanjutkan kontrak sehingga 30 tahun. Ini adalah kerana pada awalnya, YTL telah meletakkan pada tambahan sebanyak RM29 tetapi diluluskan pada kadar RM20 sahaja.

Inilah legasi peninggalan Dr Mahathir yang dibebankan bukan sahaja kepada rakyat malahan dipikul oleh DS Najib pada hari ini.

Seiringan dengan penerangan PM Najib Razak, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar juga menekankan bahawa ERL ada perjanjian konsensi sejak 1997 dengan ketetapan kenaikan kadar tambang pada setiap beberapa tahun dan jika gagal, kerajaan yang akan menanggungnya. Ini juga termasuk perjanjian tol lebuhraya. Tan Sri mencadangkan agar sejarah perjanjian ini dimaklumkan kepada rakyat dan kerajaan akan tetap bertindak di dalam mana-mana bidangkuasa mereka.

Di antara bidangkuasa kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat, beberapa langkah telah diambil. Di antaranya, pelajar yang menggunakan kad siswa 1malaysia akan dapat diskaun sebanyak 30% dan ini termasuk warga OKU dan warga Emas. ERL juga telah bersetuju mengurangkan kenaikan harga pas bulanan pengguna awam di Putrajaya. 

KTMB juga bersetuju dengan arahan kerajaan untuk memberi diskaun sebanyak 50% kadar tiket komuter kepada pelajar yang berumur di antara 7 hingga 18 tahun dan ini termasuk juga pelajar universiti. Diskaun-diskaun lain akan disusuli dengan pengumuman dari KTMB nanti di dalam masa terdekat.

Di dalam membuat segala keputusan kenaikan tambang pengangkutan awam, Tan Sri Syed Hamid menjelaskan yang kerajaan telah melantik SPAD sebagai pemudah cara yang terlibat dengan kajian dan cadangan. Setiap cadangan dari SPAD akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan selanjutnya dibincang di dalam mesyuarat kabinet menteri. Pada masa yang sama, semua agensi yang berkenaan diberi peluang untuk memberi pendapat mereka juga.

Bagi kenaikan tambang ERL pula, SPAD tidak terlibat kerana pihak syarikat YTL ada perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat tersebut di mana setiap perundingan dan keputusan dibuat terus dengan Jabatan Perdana Menteri.

Tan Sri juga telah menerangkan bahawa setiap penambahbaikan pengangkutan awam yang sedang dinikmati rakyat hari ini ada faktor kosnya. Di antaranya seperti ia lebih selesa, mudah dan cepat malahan kemudahan seperti digital dan wifi juga disediakan.

Di atas segala penerangan dari PM Najib Razak dan Pengerusi SPAD, adalah tidak adil sekiranya menuding jari ke arah SPAD sahaja. Tan Sri menjelaskan, setiap tindakan pihak SPAD adalah berdasarkan kepada arahan pihak kerajaan. Namun, yang pasti sehingga kini masih belum mendapat sebarang arahan untuk dikajisemula kenaikan tambang pengangkutan awam secara rasmi walaupun telah digembar-gemburkan di media.

Monday, December 14, 2015

MCA BEKERJASAMA DENGAN PDRM TANGANI KESELAMATAN NEGARA DAN ANCAMAN IS


Kerajaan menjadi semakin bimbang tentang ancaman yang semakin meningkat daripada Negara Islam ataupun (IS) Islamic Statedi Iraq, dan ini menjadi dorongan utama terhadap usaha pencegahan keganasan. Terdapat rakyat di negara ini pergi ke luar negara untuk menyertai militari mereka di atas nama jihad yang membunuh sesama sendiri.

Di atas ancaman keganasan terbaru global ini, MCA telah menganjurkan satu seminar bertajuk "Keselamatan Negara dan Ancaman dari IS". Seminar yang dihadiri ahli-ahli MCA telah diberi penerangan oleh DCP Dato’ Rosly Bin Abas, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman serta SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman.

Di dalam ucap utamanya, Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai menegaskan kekuatan negara bergantung kepada penyatuan rakyatnya dalam kepelbagaian dan inilah tunggak rakyat Malaysia. Malangnya, negara tidak terlepas dari berhadapan dengan keganasan yang telah menganggu perpaduan kaum di negara ini.

Walaubagaimanapun, kita tidak keseorangan. Seluruh dunia sedang diancam dengan ideologi melampau IS ini. Datuk Liow menjelaskan yang isu keganasan IS ini bukanlah sekitar sesuatu bangsa dan agama sahaja. Isu keganasan IS ini sebenarnya bermotifkan politik tetapi bertopengkan agama.

Menurut laporan terkini Amnesty International, IS telah mengguna senjata serta alat-alat peperangan yang direka dan diperbuat dari lebih daripada 25 negara seluruh dunia. Merkea telah mengguna senjata-senjata ini untuk melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di beberapa negara termasuk Iraq dan Syria. Yang terkini, serangan ke atas Paris, Perancis dan California, Amerika Syarikat telah dikaitkan sekali lagi dengan IS.

Pendirian MCA di dalam Barisan Nasional adalah sangat mementingkan kesederharnaan, bersatu dan harmoni dan kerana itu, ahli-ahlinya perlu dimaklumkan tentang ancaman IS ini.

Di dalam negara sedang diancam, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pasukan polis yang dedikasi. PDRM telah memainkan peranan penting dalam mengekang ideologi militan IS dari merebak. Bertempur dan memenangi ideologi ekstrim ini bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Sejarah telah membutkitkan PDRM yang juga pernah dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan mengendali dan menangani pemberontakan semasa dari zaman darurat, konfrantasi Indonesia-Malaysia dan kemudian pemberontakan gerila komunis di sempadan Malaysia-Thai termasuk juga kawasan hutan di Sabah dan Sarawak.

Datuk Liow sangat menghargai kebanggaan negara ini yang kita masih warisi, kekal sehingga ke hari ini. Kita terus mendengar bagaimana PDRM berjaya memerangi keganasan.

Ketahan Malaysia banyak bergantung kepada kerajaan BN yang mewakili semua rakyat Malaysia. Falsafah BN yang mengamalkan kesederhanaan telah membantu kita mengharungi cabaran-cabaran yang dihadapi sejak merdeka. Datuk Liow berharap agar kita membantu proses bagi mengembalikan ke jalan kesederhanaan di mana bapa-bapa pengasas kita telah gariskan.

Kepentingan untuk ketengah kehidupan sederhana di samping memerangi ekstremisme tidak boleh dipandang ringan dan Datuk Liow menyatakan komitmen berterusannya menyokong segala usaha ke arah kesederhanaan.

Kepimpinan juga memainkan peranan penting didalam cabaran baru ini. MCA diberi tanggungjawab untuk menerajui komuniti bangsa Cina di dalam memerangi ekstremisme. Yang pasti, ini bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa, setiap rakyat Malaysia samada lelaki atau perempuan dan kanak-kanak ada peranan masing-masing. Datuk Liow tegaskan, masanya telah tiba dan berharap segala maklumat yang telah diterima dikongsikan bersama-sama keluarga, rakan dan masyarakat.

BOIKOT McDonald's - MANGSA SEBENAR


Pada siri pertama Boikot McDonald's ... DI SINI, telah diterangkan yang McDonald's Malaysia tiada kaitannya dengan apa-apa hubungan dengan Israel dan bagaimana McDonald's Malaysia beroperasi. Kemudian pada siri kedua pula ... DI SINI, dijelaskan pula hubungan CEO McDonald's Jack M. Greenberg dengan Jewish United Fund (JUF) dan mengapa McDonald's Corporation dan McDonald's Malaysia tidak terlibat.

Kempen memboikot Israel yang membabitkan McDonald's Malaysia seperti diwar-warkan di media sosial dengan alasan yang sukar dibuktikan mana-mana pihak telah memberi kesan tinggi. Namun kesannya bukan kepada syarikat yang mengendali McDonald's Malaysia tetapi lebih kepada pekerjanya yang berjumlah lebih daripada 12,000 di seluruh negara dan juga pengendali-pengendali restoran yang terdiri dari rakyat Malaysia.

Lebih dari separuh pengendali restoran McDonald's di seluruh Malaysia adalah juga dari bangsa Melayu dan beragama Islam. Malahan, yang dimangsakan secara langsung juga adalah peniaga-peniaga pembekal tempatan yang selama ini telah mendapat peluang perniagaan dari McDonald's Malaysia.

Kita masih ingat, bagaimana kempen boikot ini telah bertukar menjadi agresif dan di luar kawalan sehingga ada di antara pekerja McDonald's yang bukan sahaja disisih dan dicerca, malahan ada di antara mereka yang telah dicederakan. Yang menyedihkan, apabila target kempen boikot ini telah menjadikan mangsa mereka yang terdiri daripada pekerja yang berbangsa Melayu dan beragama Islam yang sebenarnya adalah lebih dari 85%.

Insiden yang telah berlaku di restoran McDonald's Kerteh dan Dungun pada Ogos tahun lalu adalah bukti tindakan melampau sehingga sanggup bertindak merosakkan premis kepunyaan francisee Tuan Syed Hussain Tuan Embong. Akibatnya pendapatan di kedua-dua restoran itu merosot hampir 80 peratus kerana terpaksa menutup perniagaan mereka selama dua hari bagi mengelak kejadian melampau berterusan dan ada di antara pekerjanya yang ketakutan sehingga ingin berhenti kerja.

Inilah akibatnya apabila kita terlalu bergantung kepada maklumat yang tidak tepat yang sememangnya mudah diperolehi di laman-laman sosial. Apakah kita tidak pernah tanya, dari mana datangnya modal perniagaan yang kebanyakan pengendali restoran McDonald's adalah perniagaan keluarga. Jika tidak dari simpanan, mereka pasti akan membuat pinjaman bank dan jumlahnya bukanlah kecil.

Mangsa sebenar tuduhan-tuduhan liar dan perbuatan melampau kempen boikot ini adalah pekerja-pekerja dan pengusaha-pengusaha restoran McDonald's yang hanya bekerja untuk mencari rezeki. Menyokong perjuangan rakyat Palestin dari keganasan regim Zionis adalah usaha murni tetapi merosakkan perniagaan sesama kita pula adalah satu penindasan dan zalim juga.

Oleh itu, diharap sebelum kita ingin bertindak, pastikan maklumat yang diperolehi adalah tepat dan bukan mengikut perasaan dan sekira ingin menjadi seorang pengikut, jadilah pengikut yang benar-benar rasional yang berpandu maklumat yang benar dan bukan hasutan.

Sunday, December 13, 2015

DATUK EHSAN : SKUAD SAYANG WANITA UMNO BERSEDIA AGRESIF DI MEDIA SOSIAL


Kenyataan bahawa sayap Wanita adalah tulang belakang kekuatan UMNO bukan sahaja benar malahan inilah sayap yang sangat digeruni parti-parti pembangkang. Kekuatan sayap Wanita UMNO pula ditunjangi Skuad Sayang mereka yang sedia berkhidmat dan berjuang dalam apa jua keadaan dan pada bila-bila masa sahaja.

Bertepatan dengan gerak kerja mereka yang tersusun dan penuh semangat, Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid telah mengiktiraf mereka sebagai pasukan yang sangat 'energetik', ketika mereka diraikan sempena Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Namun di era di mana maklumat berada di hujung jari dan rakyat Malaysia aktif bermedia sosial, segala maklumat dan gerak kerja Skuad Sayang Wanita UMNO perlu dimaklumkan dan dihebahkan. Datuk Ehsan memandang ia sangat perlu dan bertepatan kepada kehendak semasa rakyat dan sebagaimana cergasnya Skuad Sayang Wanita di alam nyata begitu juga mereka perlu agresif di alam maya.

Rakyat Malaysia hari ini banyak maklumat di media-media sosial terutamanya di Facebook. Skuad Sayang bukan sahaja perlu menghebahkan kekuatan mereka malahan mereka juga perlu membantu menangkis segala kenyataan-kenyataan fitnah dan putar belit pembangkang dan seterusnya membantu menyalurkan maklumat-maklumat benar dan fakta-fakta kerajaan serta parti UMNO dan kepimpinannya.

Mengambil keberkesanan mahasiswa di IPTA dan IPTS yang mengupas setiap isu semasa dengan penuh berfakta dan agresif di media sosial, akhirnya bukan sahaja mereka mampu menangkis hasutan pembangkang malahan mereka telah berjaya memenangi pilihanraya kampus di hampir kesemua universiti. Kejayaan anak-anak muda ini perlu dicontohi untuk persiapan pilihanraya umum akan datang.

Datuk Ehsan yakin dengan kepimpinan Datin Reny Rahayu sebagai Komandan Kebangsaan Skuad Sayang yang telah berjaya menyusun barisan wanita yang mempunyai sikap bersatu dan bersedia berkhidmat kepada parti dan rakyat tanpa mengira misi dan masa. Oleh itu, bagi memberi lebih kekuatan dan meluaskan lagi sayap mereka, Datuk Ehsan menyarankan agar Skuad Sayang menggerakkan program-program mereka bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti JASA, KEMAS, Seranta FELDA dan BTN.

Saranan Datuk Ehsan ini selari dengan seruan penaung Skuad Sayang Wanita UMNO Datin Seri Rosmah Mansor. DS Rosmah juga menyeru agar pasukan Skuad Sayang terjun ke media sosial untuk bersama-sama berjuang menangkis fitnah terhadap kepimpinan negara dan juga kerajaan. Disamping mengadakan program-program mendekati hati rakyat, selaras dengan transformasi parti, samada Skuad Sayang mesti menguasai teknologi terkini atau mereka akan ketinggalan dalam era sebaran maklumat pantas dan berkesan.

Saturday, December 12, 2015

#PAU2015 : PERPADUAN DAN KESETIAAN



Alhamdulillah, berkat kurniaan Ilahi jua, Perhimpunan Agung UMNO 2015 kali ini berlangsung dengan jayanya, dan ditangguhkan sehingga ke sesi seterusnya tahun hadapan.

Sebelum bermulanya perhimpunan, sebelum semua perwakilan berkumpul untuk bersidang, berbahas dan membincangkan usul, saya sedar dan saya juga dapat rasai bahawa suasananya, suhunya lain daripada perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Terdapat isu-isu tertentu yang sering dimainkan dan diadu-dombakan untuk memecah-belahkan ahli-ahli parti. Apa yang tidak disedari adalah tindakan ini bukan sahaja melemahkan parti, malah menggadaikan maruah bangsa dan agama yang UMNO junjung selama ini.

Ucapan dasar serta ucapan penggulungan yang saya sampaikan kedua-duanya mempunyai nahu dan saraf yang serupa, menekankan betapa pentingnya perpaduan dan kesetiaan dalam parti untuk meneruskan obor perjuangan UMNO membela nasib agama bangsa dan negara.



Islam mengajar kita untuk memaafkan kesilapan dan kekhilafan yang dilakukan kepada kita. Dan saya, sebagai Presiden UMNO memilih untuk berjiwa besar. Saya hulurkan tangan tanda membuka pintu silaturahim supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO.

Tetapi saya juga tegaskan bahawa sekiranya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, ini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menentang saya sebagai Presiden parti, tetapi menentang kehendak UMNO dan ahli-ahlinya itu sendiri.

Saya tidak akan berundur! Saya tidak akan menyerah kalah! - Najib Razak

Thursday, December 10, 2015

MENYEMPURNAKAN SEBUAH PERJUANGAN - NAJIB RAZAK

Teks ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 
 
 

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,

Timbalan Pengerusi Tetap,

Timbalan dan Naib-Naib Presiden,

Ketua-Ketua Sayap Parti, Wanita, Pemuda dan Puteri,

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Para Perwakilan,     

Ketua-Ketua Parti Komponen,

Dif-dif Jemputan, Para Hadirin,

Saudara dan Saudari Sekalian.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin wa bihi nastain.   

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1. Pada pagi ini, 10 haribulan Disember 2015, bersamaan 28 haribulan Safar 1437 Hijriah, sekali lagi Allah-Hu Ta’ala, dengan izinNya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang dirahmati hendaknya.

2. Seperti yang telah disebutkan oleh Setiausaha Agung parti, saya selaku Presiden, mengalu-alukan sejumlah 2,654 perwakilan, dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Lahad Datu, Sabah.

3. Sehubungan itu, mari kita merakamkan ucapan tahniah setingginya kepada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selamat bersidang dengan jayanya.

4. Kepada Wanita, sepertimana diisytiharkan pada Perhimpunan Agung 2013, segala susah payah dan pengorbanan kaum Hawa dalam parti bertuah ini, selamanya akan diangkat dan terus dimartabat sebagai tulang belakang Umno.

5. Kepada para Pemuda mengambil sempena surah Al-Kahfi saya mahukan seangkatan besar yang hebat lagi gagah berani selaku waris perjuangan bangsa, rela berbakti, kerana pada saudara-saudaralah dipertaruhkan harapan untung nasib keturunan kita.

6. Buat Puteri pula dengan seri merah jambunya di sebalik selendang atau dalam kerudung, walau lasak dan gigih berjuang.

7. Semestinya, saudari-saudarilah harapan pertiwi kematangan dan kebolehan semua, semakin hari semakin pula, tampak menyerlah.

Saudara dan saudari,

8. Orang menyebut, tiada yang dulu, tiada yang sekarang. Satu lagi kelompok yang merupakan pasukan penyokong tegar kepada parti, waima telahpun meninggalkan medan perjuangan secara rasmi, tetap taat dan setia, mencurah khidmat dan nasihat kepada parti tercinta.

9. Ayuh, ayuh, kita sama-sama memberi tepukan penghargaan, tanda terima kasih kepada golongan veteran Umno.        

10. Kepada para pendahulu yang telah pergi lebih awal dan kembali berpulang kepada-Nya, sayugia hanya Allah-Hu Ta’ala yang mampu memberi balasan setimpal, atas segala kebaikan yang telah dilakukan.

11. Serentak itu juga, bagi pihak seluruh pengurusan parti keramat Umno, kita rafakkan sembah takziah kepada seluruh kerabat DiRaja Kedah dan DiRaja Johor, masing-masing atas kemangkatan almarhum-almarhum, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Mulia, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

12. Semoga rahmat tercucur di atas roh mereka. Al-Fatihah.

Saudara dan saudari,

13. Pucuk pangkalnya, setiap daripada kita yang berhimpun, di sinilah rumah Umno. Saya dan saudara saudari semua, bukanlah hanya sekadar bagian daripada Umno, akan tetapi kita adalah Umno.

14. Kitalah tiang serinya, lantai dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini. 

Saudara dan saudari,

15. Kata orang, alang-alang mahu berjuang, walau langit turun menimpa, meski bumi terbagi dua, dengan cogankata Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, Umno ini satu-satunya parti milik kita, pertahankanlah, pertahankan bersama.

Saudara dan Saudari,

16. Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, perhimpunan kali ini berbeda dan tidak sama dengan kali kali yang lalu. Dengan kata lain, ekspektasi terhadap perhimpunan ini, luar biasa.

17. Kerana ternyata suasana dan kejadian-kejadian yang kita lalui, sejak setahun yang lalu, penuh liku-liku dan cabaran yang melintang.

18. Berpijak di bumi yang nyata, saya tahu daripada 191 bahagian, tidak semuanya seiring pandangan.

19. Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada.

20. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya.

21. Justeru, pada minggu-minggu yang lepas, dalam ikhtiar pembikinan naskhah ucapan, selaku presiden bagi kali yang ketujuh ini, saya telah mengadakan pertemuan-pertemuan, dengan pelbagai pihak, khususnya para alim ulama, bagi mendapat pandangan serta nasihat.

22. Ini semua, saya lakukan, oleh sebab pada hemah peribadi dan rakan-rakan, kita, sedang mendepani detik-detik sukar lagi menduga kesabaran serta juga sifat istiqamah kepimpinan parti.

23. Lalunya, saya dipesan-pesan, bagi memperingati satu sama lain, antaranya, petikan-petikan dari surah Al-Quraish dan A-li I’mran ayat 160, serta sepotong lagi kalimah-kalimah terakhir, sebagai penutup surah Al-Baqarah.

24. Begitulah, saya mengajak saudara dan saudari, sama-sama mengucapkan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad wa a’la Ali Saidina Muhammad.

25. Mudah-mudahan, terurai segala simpulan, terhapus semua kesusahan, tertunai seluruh hajat yang didamba dan tercapai segala hasrat yang diinginkan. Insya-Allah. 

Saudara dan saudari,

26. Merujuk apa yang saya nyatakan itu, dalam maksud lain, saban tahun, bukanlah mudah untuk saya berdiri di hadapan semua, di mana tubuh atau susuk ini, tiap kali berucap akan dipertanya-tanya, sama ada saya ini berucap sebagai apa? Presiden Umno ataupun Perdana Menteri Malaysia.

27. Jawapannya, Ya, betul, saya sedar, saya adalah Presiden kepada parti

Umno dan benar,.. dalam masa yang sama, saya juga adalah seorang Perdana Menteri

bagi masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.

28. Beriring dengan tanggungjawab ini, setiap kali perhimpunan agung,

acapkali juga dipersoal dua lagi perkara, adakah presiden Umno itu seharusnya berpendirian ultra atau pro-Melayu sahaja, dan keduanya mesti bersifat Islami ataupun tidak?

29. Ertinya di sini saudara dan saudari, semua orang mesti faham baik-baik,…bahawa tugas yang terpikul di bahu saya, sambil dibantu oleh rakan-rakan, umpama seurat rambut dibelah tujuh.

30. Maksud yang mendalamnya, di kala Malaysia yang serba moden lagi membangun pesat ini, dengan pelbagai kaum di Semenanjung, menjangkau 40 etnik di Sarawak dan lebih 60 suku di Sabah tambahan pula, budaya dan faham yang beragam-ragam, teknologi dan media yang makin canggih serta masyarakat yang lebih terdidik, segalanya, daripada sebesar-besar hal kepimpinan dan pentadbiran negara juga parti, kepadalah sekecil-kecilnya urusan, tidak lagi semudah dan sesenang,…berbanding waktu yang dulu-dulu.

31. Maksudnya, peranan kepimpinan parti dan Kerajaan, mencakupi ruang lingkup yang seluas-luasnya, yakni yang dapat dilapiskan pada peringkat nusa atau negara, ummah dan tentunya Melayu Bumiputera.

32. Maknanya lagi, amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan, bukan sahaja orang Melayu, Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, Islam dan bukan Islam, di mana unjurannya terkini seramai hampir 20 juta orang.

33. Malah, tentunya seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah dekat 30 juta kini, tidak kira kaum Cina, India, Serani mahupun orang-orang Siam yang menetap di negara ini, semuanya, semuanya bagi kepimpinan Umno, adalah sama penting dan sama mustahak dalam pembikinan sebuah nusa makmur lagi berjaya.

Saudara dan saudari, 

34. Namun, saya dan kita semua harus faham dengan jelas, bahawa pendirian

kita, tatkala berada di forum dan pada pentas Perhimpunan Agung Umno ini, barulah munasabah dan barulah berhak bagi kita menjurus untuk cenderung terhadap pembelaan untung nasib serta kebajikan khususnya, orang-orang Melayu dan Bumiputera.

35. Jadinya, bagi setiap usul, segala perbahasan dan segenap isu yang diperdebatkan, obor perjuangan yang dinyala, jangan gentar dan usahlah bimbang,… malah, kita dalam perhimpunan ini, sewajibnya, tidak lain dan tidak bukan, mesti terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta keturunan Melayu dan Bumiputera, di tanah tumpah darahnya sendiri.

Saudara dan saudari, 

36. Pujangga ada berpesan, hidup ini tidak pernah pun menjanjikan yang senang-senang saja. Apabila berdepan dengan masalah, kita tidak boleh sekali-kali lari daripadanya. Itulah prinsip saya.

37. Jika digali sejarah dan sisir kepimpinan negara, bermula pada zaman Almarhum Tunku, membawa kepada saya sebagai Perdana Menteri yang keenam ini, tidak ada seorang pun yang terlepas atau terkecuali daripada menerima ujian.

38. Berhubung semua ini, saudara dan saudari, tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan, saya sering diperingatkan oleh rakan-rakan, tentang mafhum dan tafsir surah Al-An’am, yang menjelaskan bahawa, cabaran terhadap seseorang pemimpin itu, harus diterima sebagai satu muhasabah, yang dengannya, mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan mengangkat martabat kita.

39. Hatta, memetik hikmah kata oleh Bapak Muhammad Nasir, bekas Perdana Menteri Indonesia bahawa, tiada percetakan atau buku-buku panduan, yang bias atau mampu melahirkan seorang pemimpin.

40. Kerana pemimpin itu, sebenarnya tidak lahir di bilik-bilik kuliah, sebaliknya pemimpin itu muncul di gelanggang dan di celah-celah kemelut supaya mampu menangani cabaran dan dugaan.

Saudara dan saudari,

41. Dari yang tersurat dan tersirat, dengan berbekalkan mutiara qurani dan petikan duniawi, yang telah saya sampaikan tersebut, biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya, tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan, dengan beraninya, harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin Umno mara menuju kemenangan.

42. Melangkah ke hadapan lagi, dalam mengharung asakan-asakan dan dugaan yang dipertimpa ke atas saya, pada hemat saya, kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini, untuk mengata dan menuduh sesuka hati.

43. Sepertimana yang sudah saya nyatakan dengan nada yang tawadu’ di Parlimen baru-baru ini, ya betul, memang benar,… saya seorang Presiden dan Pemimpin, akan tetapi, saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Masing-masing, punyai kelebihan dan kekurangan.

44. Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.

45. Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya, to me, I can’t just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu  berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah, keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala, sebabnya, jika tidak, seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.

Saudara dan saudari,

46. Sebab itu, terhadap apa-apa perkara pun, ada jalan dan kaedah penyelesaiannya. Dalam ehwal 1MDB, saya ingin maklumkan bahawa, ia sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian.

47. Misalannya, dengan penjualan syarikat Edra, hutang 1MDB kini telah susut sebanyak 17 bilion. Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik. InsyaAllah ini akan disusuli dengan beberapa pengumuman yang lain, yang akan meyakinkan rakyat untuk akhirnya nanti mendapat penyelesaian yang tuntas.

48. Menyentuh dana 2.6 bilion pula, isu ini pun telah dijawab di siding Parlimen baru-baru ini oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, bahawa, wang itu adalah derma dari luar negara dan bukannya diambil dari 1MDB. Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat presiden. Yang mustahak, saya yakin, saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga.

Saudara dan saudariku sekalian,

49. Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

50. Bersabit ini, apa yang mahu saya jelaskan, bukanlah sesuatu yang menurut hawa nafsu, namun disandarkan kepada sirah dan ibrah para nabi, yang didampingi sahabat-sahabat berwibawa.

51. Saya turut meninjau tawarikh pertubuhan atau organisasi di serata dunia,…dan kita dapati, jika sifat kesetiaan atau loyalty tidak terwujud kental pada diri masing-masing, dalam mendokong pimpinan utama, sudah barang pasti rosaklah rencana, pincanglah kesatuan.

52. Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi

nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang Umno dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan.

53. Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti Umno ini. Hukamak menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun, boleh tertewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya, oleh pihak-pihak yang curang dan berniat jahat. 

54. Malah, hukum kesetiaan disebut berulang kali dalam Al-quran dan hadis, antaranya melalui surah An-Nisa’, tentang tuntutan ketaatan kepada Ulil Amri. 

55. Dalam Islam, berasaskan nas dan matan hadis yang sahih, jumhur ulama, berpegang kepada pandangan dan nilai kesetiaan serta ketaatan, yang disebut sebagai wala’, yang bererti memberi taat, kecintaan, setia dan kasih sayang kepada pemimpin dan institusi kepimpinan itu.

56. Sebab itu, kita tidak dapat memisahkan prinsip kepemimpinan dan kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu dengan yang lain.

57. Kendati itu, dalam Sejarah Melayu lama pun, memperakukan dengan halusnya dalam bait-bait indah tentang kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

58. Ia menyebut, diseru dan dipanggil kita datang, disuruh pergi, kita pulang. Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan.

59. Sebab itulah, saudara dan saudari, Islam secara khulasahnya, menetapkan bahawa adalah wajib kita mentaati pemimpin yang memerintah. 

60. Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, Najib Razak ini,… Saya,… seorang yang tidak confrontational,…. Saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa, apatah lagi untuk mengkhianati parti Umno tercinta ini.

61. Laginya, hampir kesemua orang yang pernah terlibat dalam politik negara ini pastinya maklum, bahkan tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya, Najib Razak ini, Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan Umno pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai presiden Umno, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri.

Saudara dan saudari,

62. Berbalik kepada situasi semasa Umno, dimaktubkan dalam perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan

bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.

63. Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, “Timbalan Presiden membantu tugas-tugas Presiden”.

64. Manakala, bagi fasal 9.8.3 pula, tanggungjawab dan amanah Naib-naib presiden itu dinyatakan sebagai, “Naib-Naib Presiden itu kerjanya membantu tugas-tugas Presiden”. 

65. Merujuk kepada ahli-ahli pula, fasal 6.1.1 dan 6.2.1, antara intipatinya menyatakan bahawa, tanggungjawab dan hak “Ahli-Ahli Umno” ialah memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya serta berhak mengemukakan pendapat kepada parti, tetapi mestilah melalui saluran yang betul.

Saudara dan saudari seperjuanganku,

66. Lantas, dengan berpegang dan memahami maksud perlembagaan ini, barulah pertubuhan atau jamaah Umno kita ini mampu bergerak dalam ikatan yang kukuh dan sempurna, dipandu oleh etika-etika mahupun tatasusila parti yang sudah disepakati bersama.

67. Itulah rahsia, dan itulah formula sesebuah parti politik seperti kita, yang telah bertahan dengan jayanya sehingga kini, mudah-mudahan sampai bila-bila.

Saudara dan saudari,

68. Pada perspektif lain, telah berbangkit suara-suara atau cakap-cakap, adakah Umno masih relevan? Timbul juga, apa yang dikatakan sebagai “perang persepsi” melalui media sosial, yang kita anggap sebagai cabaran terbesar kepada kita kini, di mana sesetengah isu itu, sengaja dieksplotasi, ditohmah dan diperbesar-besarkan.

69. Bak kata orang putih, perkara-perkara “half truth” pun boleh menjadi "absolute truth". 

Saudara dan saudari,

70. Menjawab persoalan-persoalan tadi, telah terserlah Umno yang menunjang Barisan Nasional sebagai Kerajaan yang mentadbir sejak puluhan tahun, telah membuktikan kejaguhannya, dalam membawa Malaysia tercinta ini.

71. Daripada hanya sebuah perdesaan dan perkampungan, tiada siapa dapat menjangka kini kita telah tumbuh dan muncul menjadi sebuah Bintang Timur yang bergemerlapan bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seantero dunia.

72. Terkini, dalam laporan daya saing global 2015-2016 oleh World Economic Forum, Malaysia telah melonjak 2 anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 144 buah negara utama ekonomi di dunia.

73. Justeru, mana mungkin orang boleh mengata kita sebagai fail state atau pengemis di bawah kepimpinan saya kini.

74. Malah, antara contoh yang boleh diperbanggakan lagi, pertamanya, pembinaan Pelantar Gas di Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedua di Istanbul, pelaburan Shale Gas yang merupakan Pelaburan Langsung Asing atau FDI terbesar di Kanada hasil kendalian anak-anak bangsa kita.

75. Selain itu, Penyediaan Perkhidmatan Kesihatan yakni IHH Healthcare Berhad sebagai yang kedua terbesar di dunia, serta penyelenggaraan fasiliti stesyen dan pengendalian Mekah Metro, adalah juga kejayaan anak-anak bangsa kita, dan segalanya ini hasil perjuangan Umno.

Saudara dan saudari,

76. Bercakap di sudut ekonomi juga, dalam hal GST, rakyat perlu tahu, hakikatnya, jika sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan Kerajaan datangnya daripada hasil minyak.

77. Namun, akibat daripada penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal rendah, akan menyebabkan hasil Kerajaan dijangka berkurang sekitar 30 bilion ringgit.

78. Jika ini berlaku, badan-badan pengabsah terkemuka di peringkat antarabangsa seperti Standard & Poor’s dan Fitch Ratings, akan menurunkan taraf rating kredit negara.

79. Ini juga akan menyebabkan kadar-kadar faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan melonjak naik.

Saudara dan saudari,

80. Implikasinya, menyebabkan ekonomi negara kita akan merudum, pelaburan akan terjejas, peluang pekerjaan pula menjadi terhakis.

81. Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya pihak Kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal Kerajaan akan mencatat defisit sebanyak 10.6 bilion ringgit. Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin akan jauh lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya.

82. Akibatnya, Kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk membayar gaji penjawat-penjawat awam, termasuklah para guru dan anggota tentera.

83. Jika hal itu terjadi, tiada kenaikan gaji tahunan pada kakitangan, begitu juga elaun perjalanan, malah akan berlakunya pembekuan dan tiada pengambilan baru dibuat, hingga barangkali terpaksa mengecilkan pula saiz perkhidmatan awam. Hal ini, mungkin menjejaskan kebajikan seramai 1.61 juta orang kakitangan Kerajaan. 

84. Syukur atas petunjuk Allah, pelaksanaan GST oleh pihak Kerajaan menjadi satu langkah yang amat tepat, sekalipun tidak popular,… dan,… Alhamdulillah, hasil kutipan GST-lah yang menjadi penyelamat, melindungi rakyat daripada ditimpa kesusahan yang lebih berat jika ia tidak dilaksanakan. 

Saudari dan saudari, 

85. Selain itu, saya ingin menyebut, kejatuhan nilai matawang, yang menjadi kebimbangan bukanlah kerana kegagalan kita mengurus ekonomi negara, tetapi adalah disebabkan oleh faktor-faktor luaran antaranya, kejatuhan harga minyak dan komoditi-komoditi lain, pengucupan kepada kadar pertumbuhan ekonomi Negara China serta kadar faedah di Amerika Syarikat yang dijangka naik.

86. Semuanya ini, adalah diakui oleh dunia sebagai faktor luaran sebagai punca bukan sahaja terhadap Malaysia, malah turut terkesan kepada kebanyakan negara ekonomi yang sedang membangun.

87. Malah, negara seperti New Zealand dan Australia pun turut mengalami penyusutan yang teruk.

Saudara dan saudari,

88. Dari sudut yang lain, kita mengatur syukur kepada Allah SWT kerana lebih daripada 90 peratus perkara-perkara dalam Akujanji-Akujanji, yang dibuat semasa Pilihanraya Umum 13 yang lalu, telah berjaya Kerajaan kota dan tunaikan.

89. Bukti-buktinya, boleh dilihat pada pameran di luar dewan sana. Apa yang mustahak, ia menjadi tanda bahawa kita adalah sebuah Kerajaan yang menepati janji-janjinya.

90. Namun apa pun, kita perakui, masih terdapat 2 atau 3 perkara yang besar dan subjektif, seperti perumahan rakyat dan kos sara hidup, yang saya dan rakan-rakan kepimpinan negara faham bahawa isu ini adalah besar dan menjadi keresahan utama kepada rakyat. 

91. Pokoknya, kita akan terus berusaha, bagi meringankan beban rakyat dengan pelbagai bantuan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan projek-projek Perumahan Mampu Milik serta kenaikan gaji minima dan juga kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam.

92. Di atas semuanya, yang terlebih penting, saya mahukan agar Umno tidak hilang fokus dalam mempastikan segala akujanji itu terus kita tunai dan lunaskan.

Saudara dan saudari,

93. Bercakap dari sudut ekonomi lagi, yang turut diperkatakan kini, adalah tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific atau TPPA, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas yang komprehensif, merangkumi pelbagai skop dan bidang.

94. Meskipun demikian, suka saya maklumkan bahawa, kita sesekali tidak apologetik dalam mempertahankan Agenda Bumiputera, waima ketika berunding dalam perjanjian TPPA.

95. Bahkan, kita telah mencatatkan satu lagi sejarah di mana, anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.

96. Ertinya, perjuangan Umno sudah berjaya dan agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini, agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.

97. Inilah yang dinamakan Tahaluf Iktisadi, yakni kerjasama di bidang ekonomi.

98. Sebetulnya pun, kita mengambil contoh daripada kisah sahabat Nabi, Abdul Rahman bin Auf, yang dianggap sebagai tokoh perniagaan disegani dalam sejarah Islam, sebab beliau berani bersaing bukan sahaja dalam pasaran Islam bahkan orang-orang Yahudi.

99. Jelasnya, perjuangan Umno, tidaklah terhenti setakat wawasan 2020 sahaja kelak. Malah, menjelang tahun 2030, kita mensasarkan untuk berada pada kedudukan 10 negara terbaik yang paling kompetitif di dunia.

100. Lagi pula, kita mahu kemakmuran negara akan berterusan, bukan sekadar untuk 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang lebih panjang dari itu. 

Saudara dan Saudari,

101. Ringkasnya, selama puluhan tahun, di bawah kepimpinan Umno, yang menonggak Kerajaan, pelbagai kejayaan telah kita raih dan nikmati.

102. Antaranya, kita berjaya memperkukuhkan dasar pendidikan negara, sehingga melahirkan ratusan ribu graduan yang cemerlang, yang akhirnya menjadi cendekiawan, para teknokrat, ulama dan usahawan cemerlang.

103. Realitinya, ikhtiar Umno selama ini, telah merubah lanskap kehidupan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada yang lebih baik ataupun disebut mobiliti sosial yang berlaku secara menegak, dalam tempoh hanya satu generasi.

Contohnya:

Anak buruh kasar telah menjadi Menteri,

Anak penoreh getah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Menteri,

Anak nelayan telah menjadi Menteri Besar,

Anak petani dan pekebun menjadi Ketua-ketua Setiausaha, para cendekiawan terkemuka, ahli-ahli korporat serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

104. Sebagai misalan, saya tersentuh hati, pabila dimaklumkan bahawa, betapa sukar dan susahnya hidup sewaktu membesar dulu, ada hari makan gulai berlauk ikan kembung, manakala esoknya pula hanya dapat menjamah kuahnya sahaja. Tapi sekarang, Alhamdulillah, tokoh penjawat awam yang saya sebutkan ini, dah pun menjawat jawatan begitu tinggi, yakni sebagai Ketua Setiausaha Negara.

105. Kisah kedua, ada juga yang dulu-dulu keluarganya terpaksa berpindah dari pedalaman ke jalan besar, semata-mata supaya anaknya itu dapat didedahkan kepada arus pembangunan negara dan menjadi lebih terbuka lagi terdidik. Tindakan keluarga itu ternyata membawa manfaat. Hari ini, tokoh politik dari negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut, telah pun berjaya menjadi seorang menteri.

106. Kisah ketiga, masih ingatkah kita lagi, semasa perhimpunan Agung Umno tahun lalu, apabila salah seorang perwakilan, asal dari keluarga yang sangat daif dan susah di pedalaman Kedah, kini merupakan antara Doktor Pakar Otopedik termuda dalam negara ini dan telah tersenarai dalam 8 orang finalis calon angkasawan negara.        

Apa yang menginsafkan kita, pabila saudara Dr Nawar ini, mengakui bahawa, 'setiap butir nasi yang dijamah dan dimakan, adalah rezeki kurniaan Allah, hasil titik peluh perjuangan Umno'. 

Saudara dan Saudari,

107. Hasrat hati saya, alangkah indahnya, jika lebih ramai, bukan sahaja para perwakilan, tetapi kesemua ahli Umno atau sebolehnya seluruh rakyat Malaysia mensyukuri kehidupan sedemikian sekali dan dengan limpahan rezeki yang dirasai ini sebagai hasil perjuangan parti kita.

Saudara dan saudari,

108. Kata orang, sudah terang lagi bersuluh. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, jelas sekali, sebegitu banyak warna-warna kejayaan orang Melayu dan Bumiputera, yang telah dilakar dan dilukis hasil perjuangan Umno, tidak terungkap oleh kata-kata, tak terhitung pula oleh angka.

109. Apatah lagi menjelang Mei tahun depan, Umno akan mencecah usianya yang ke-70 tahun, sekaligus memegang rekod sebagai parti yang berjaya mempertahankan kemampuan dan kalibernya, mengemudi Malaysia yang pesat membangun, sejak dulu, kini dan insyaAllah selamanya.

110. Lalu, saudara dan saudari seperjuanganku, marilah kita bersama memberi tepuk semangat yang gemuruh, kepada Umno parti tercinta yang telah berjasa kepada nusa dan bangsa ini.

Saudara dan saudari,

111. Begitulah saya, sebagai ahli parti dan Presiden Umno yang taat dan setia, pabila tibanya bulan Mac tahun depan, genaplah penglibatan saya selama 40 tahun, bersama parti ini, tanpa sekalipun,… pernah meninggalkannya.

112. Apatah lagi,saya yang lahir dari leluhur Umno mana mungkin bersurut pulang atau sesekali berbalik haluan. Kata pepatah orang Bugis, sekali layar sudah dikembang, saya berikrar bermati-matian akan terus memimpin perjuangan mulia ini, bagi membela orang Melayu dan Bumiputera.

Saudara dan saudari,

113. Malangnya, ada sesetengah pihak yang telah dan sedang menebuk lubang bahtera perjuangan ini, dengan tujuan menenggelamkan lawannya.

114. Sayang seribu kali sayang, mereka terlupa bahawa tindakan khianat sedemikian, bukan setakat boleh melemaskan pihak lawannya, akan tetapi,
akhirnya yang karam dan tenggelam, adalah seluruh bangsa keturunan dan tamadun kita ini.