Dalam berkempen di PRK Rompin, PAS telah dengan sengaja menjadikan isu perumahan generasi baru Felda dan menuduh kerajaan BN gagal ditangani kerajaan. Ini hanyalah semata-mata untuk meraih undi.
Hakikatnya pada tahun 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan projek 'Sentuhan Kasih' bertujuan membina rumah untuk generasi kedua peneroka Felda dan bagi membolehkan mereka menceburi projek tanaman tunai hasil tinggi.
Kerajaan dan Felda telah mempertimbangkan untuk membantu generasi baru peneroka Felda memiliki rumah sendiri. Oleh kerana kerajaan sedar akan kesukaran bagi mereka untuk memiliki rumah, melalui skim sewa beli, Felda perlu memastikan bahawa harganya berpatutan dan pada masa yang sama ia adalah selesa.
Terdapat satu lagi skim menarik yang diperkenalkan oleh Felda di bawah projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) yang diPengerusikan oleh Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid. Projek ini tidaklah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan tetapi sebenarnya ia adalah semata-mata mempastikan generasi muda memiliki rumah.
Berikut adalah beberapa soalan yang telah dikemukakan berkenaan isu Rumah Generasi Baru Felda dan dijawab oleh Datuk Ehsan sendiri di dalam satu taklimat di Dewan Semai Bakti;
1. Apakah yang menariknya skim PGBF?Projek perumahan ini adalah untuk membantu bagi memudahkan bakal pembeli yang terdiri daripada generasi muda Felda yang tidak mempunyai penyata gaji untuk memohon pinjaman bank. Kaedah sewa beli selama 5 tahun yang diperkenalkan ini berkonsepkan menyewa pada awalannya dan kemudian dibeli. Sekiranya ada yang mampu di dalam tempoh waktu 5 tahun tersebut, mereka boleh membelinya.
Sudah tentu, PGBF menetapkan syarat-syarat tertentu seperti penyewa ini mesti tinggal di rumah tersebut, sewa bulanan dibayar secara sistematik tanpa gagal, komited untuk menjaga rumah dengan baik, maka mereka akan dianggap sebagai pembeli yang layak untuk memohon pinjaman bank.
Contoh projek PGBF telah pun ada yang siap di Felda Selendang 1 dan sebanyak lebih 300 unit telah pun dibina.
2. Mengapa rumah PGBF lebih mahal berbanding rumah Sentuhan Kasih?Ramai yang keliru dengan projek rumah 'Sentuhan Kasih' yang telah dilancarkan sebelum ini. Rumah PGBF bersaiz lebih besar iaitu kira-kira 1,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti pencawang elektrik, jalan raya bertar dan paip air.
Mengapa ia lebih besar? Ia adalah bertujuan untuk memudahkan belia Felda supaya tidak perlu menambah duit untuk membesarkan lagi rumah. Ini juga adalah menyahut seruan Pengerusi Felda agar keselesaan diutamakan.
3. Apakah pihak bank akan meluluskan selepas 5 tahun?Ya. Apabila penyewa membuat bayaran secara sistematik dan tidak pernah gagal membayar setiap bulan, pihak bank menerima sebagai penyata gaji.
4. Apakah rumah akan dinilai lebih dari RM120K setelah 5 tahun?Tidak. Harga rumah PGBF adalah RM120K. Secara umumnya, semua hartanah akan meningkat nilainya dalam tempuh 5 tahun tetapi bagi rumah PGBF, ia akan dijual kepada pembeli dengan harga kos dan akan ditolak dengan sewa yang telah dibayar selama 5 tahun. Ini sangat menarik dan menjimatkan.
Contoh rumah PGBF ada di Felda Selendang 1 dan 3 kategori penyewaan iaitu di antara RM300, RM400 dan RM500.
Ketika perbincangan awal dengan pihak bank, mereka menetapkan kadar sewa pada RM500 tetapi pihak Felda telah memohon supaya kadar sewa diturunkan lagi memandangkan masih ada belia yang tidak mampu pada kadar sewa RM500.
5. Mengapa PGBF tidak bina rumah dalam kuantiti 20,000 terus?Felda tidak membuat semua rumah ini dengan kos Felda sendiri. Kerana, jika fokus kepada duit keluar untuk buat rumah sahaja, penyaluran Felda untuk sektor lain akan terganggu. Ini adalah pinjaman Felda dibuat di bank sebanyak 3 Bilion. Oleh itu, pembinaan rumah dibuat peringkat demi peringkat.
Yang pasti, Felda tidak mahu buat rumah murah contoh dengan harga 50K bertaraf rumah PPRT.
6. Mengapa PGBF tidak beri tanah untuk belia buat rumah sendiri?Melalui pengalaman yang lepas, ada di antara peneroka sehingga tidak mampu membaya premium tanah dan bina rumah. Akhirnya dipajak ke bank dan tergadai untuk membayar hutang.Kaedah yang diperkenalkan PGBF ini adalah satu konsep yang sangat menarik di mana tanpa kekuatan dan komitmen dari Felda, ia tidak mungkin berjaya dilaksanakan.
Dengan skim pembayaran yang berpatutan dan sebuah rumah yang selesa, hanya Felda saja yang mampu melaksanakannya dan ia merupakah satu anugerah kepada generasi muda Felda untuk memiliki sebuah rumah tanpa perlu melalui pelbagai rintangan dan ini adalah merupakan sebahagian dari proses transformasi yang dibawa dan diterajui Perdana Menteri bagi mempastikan legasi Felda terus dibela dan terjamin.