Friday, December 30, 2016

TRAGEDI PAGOH : SPAD TELAH BERTEGAS NAMUN SYARIKAT BAS EKSPRES MASIH CUAI


Buatlah apa bentuk peraturan tetapi jika syarikat-syarikat bas ekspres masih berdegil untuk tidak mematuhinya maka berlakulah kemalangan jalanraya seperti yang berlaku di Pagoh baru-baru ini sehingga kehilangan 14 nyawa.

Itulah keluhan Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan dari pihak wartawan semalam. Lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak yang tidak mendapatkan maklumat-maklumat tepat menjadikan tragedi ini sebagai tajuk menuding jari, maka SPAD adalah sasarannya.

Ini bukan kali pertama SPAD dijadikan sasaran. Jika kita masih ingat tragedi kemalangan ngeri bas di Genting Highlands, pihak SPAD juga dilempar dengan pelbagai tuduhan dan kutukan. Tan Sri Syed ingin bertanya, apakah itu cara yang betul?

Setiap kali tragedi kemalangan yang melibatkan kenderaan awam terutama bas ekspres, pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), punca kemalangan datangnya dari faktor manusia iaitu pemandunya yang diambil bekerja syarikat-syarikat bas ekspres.

Mungkin ramai tertanya-tanya apakah SPAD selaku suruhanjaya tidak mempunyai cadangan kepada masalah faktor pemandu ini?

Sejak 2012 lagi, pihak SPAD telah menyediakan kursus merangkumi pelbagai aspek termasuk pengurusan keselamatan, kenderaan dan juga pemandu yang dipanggil Kod Amalan Industri (ICOP). Oleh itu, sekiranya ada di antara pemandu-pemandu syarikat bas ekspres yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol berlebihan, apakah ini salah SPAD atau syarikat itu sendiri?

Adalah menjadi tanggungjawab syarikat-syarikat bas ekspres itu sendiri membuat pemeriksaan terhadap pemandu sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan kakitangan mencapai tahap keselamatan ditetapkan.

Dari segi kenderaannya pula, mengambil iktibar dari tragedi Genting Highland, SPAD telah sarankan agar mewajibkan setiap bas ekspres ada sistem dua brek di mana apabila brek utama gagal berfungsi, brek kedua boleh digunakan. Pihak SPAD juga melarang bas dua tingkat melalui kawasan berbukit, curam mahupun di kawasan tinggi dan penumpang tidak dibenarkan berdiri. Kesemua peraturan baru itu berkuatkuasa sejak 9 September 2016.

Mengenai lesen pula, sebelum SPAD memberi lesen kepada syarikat bas ekspres, kenderaan mereka perlu lulus pemeriksaan wajib dari JPJ. Manakala, pihak PUSPAKOM yang meluluskan samada sesebuah bas itu boleh beroperasi dengan mengambilkira badan bas yang mampu menahan impak dan samada tali pinggang keledar telah terpasang.

Dengan lain kata, sebelum SPAD mengeluarkan lesen pengendali, JPJ perlu memberi Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) terdahulu, itu pun setelah PUSPAKOM meluluskan keadaan kenderaan bas.

Oleh kerana kebanyakan tragedi kemalangan bas ekspres melibatkan pemandu bas, maka Tan Sri Syed Hamid memberi satu lagi cadangan agar syarikat bas ekspres berhenti membayar gaji pemandu di dalam bentuk elaun yang menyebabkan mereka mengejar trip walaupun mereka di dalam keadaan letih dan tidak fit untuk memandu. Akhirnya, nyawa penumpang yang menjadi taruhan.

Maka adalah lebih tepat jika kita memahami bidangkuasa SPAD, JPJ, Polis dan juga Puspakom serta MIROS sebelum mudah menjatuhkan hukum. Oleh itu, gunakan hak kita sebagai penumpang sekiranya mempunyai keraguan ke atas pemandu bas ekspres, malahan bekerjasamalah dengan SPAD dan agensi-agensi yang lain untuk keselamatan perjalanan bersama dan juga pemahaman kita semua.

Thursday, December 29, 2016

MCA - BR1M : JIKA PEMBANGKANG BERSETUJU DENGAN DR MAHATHIR, SILA JAWAB SOALAN INI


Baru-baru ini Dr Mahathir telah keluar kenyataan yang program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu bentuk rasuah dan menyalahi undang-undang. Oleh itu, MCA inginkan pengesahan dari pihak pembangkang samada mereka bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri itu?

Jika pembangkang bersetuju, sila jawab soalan-soalan berikut;

Pertama, kenapa pembangkang juga mewujudkan pusat pendaftaran BR1M sehingga sanggup menolong rakyat mengisi borang untuk mereka? Keduanya, apakah pihak pembangkang juga bersubahat memberi rasuah daripada BR1M kepada penyokong mereka?

Tidak berani menyanggah kenyataan Dr Mahathir, pembangkang sebenarnya bersetuju dengan polisi parti pemerintah Barisan Nasional bahawa BR1M adalah polisi yang berjaya membantu kumpulan sasar dari mereka yang berpendapatan rendah.

Malahan, di laman web PPBM sendiri di mana ini adalah parti Dr Mahathir, terdapat pautan BR1M dan tertera dengan ayat seperti berikut; "anybody who wants financial assistance, contact us."

Untuk pengetahuan pihak pembangkang, Selangor di bawah pentadbiran PKR merupakan penerima BR1M tertinggi seramai 1,017,403 daripada jumlah keseluruhan penerima seluruh Malaysia, seramai 7,280,340.

Beberapa negara maju di dunia seperti UK dan Amerika juga melaksanakan program bantuan rakyat samada dalam bentuk tunai, bantuan makanan atau skim pencen.

Oleh itu, bagaimana mungkin Dr Mahathir boleh mendakwa ia sebagai satu bentuk rasuah kerajaan sedangkan duit BR1M dimasukkan terus ke dalam akaun penerima.

Apakah Dr Mahathir telah lupa tentang 'wang ehsan' atau bayaran gratuiti kepada Terengganu yang telah diperkenalkan pada tahun 2000 ketika PAS menguasai negeri itu?

Oleh yang demikian, janganlah mudah untuk mengkritik usaha baik Barisan Nasional demi menagih sokongan pengundi. Hakikatnya, Dr Mahathir bukan saja memperlekeh usaha kerajaan malahan beliau sebenarnya telah menghina rakyat yang berpendapatan rendah yang sedang menanti-nanti BR1M yang akan datang.

Walau apa pun tanggapan Dr Mahathir dan pihak pembangkang, MCA beserta sayap Pemuda dan Wanitanya akan meneruskan membantu rakyat mendaftar BR1M dan kemaskinikan maklumat pemohon terutamanya nombor akaun agar mereka menerima pembayaran tanpa sebarang kesulitan.
 

Wednesday, December 28, 2016

SPAD : PEMANDU BAS EKSPRES MEROKOK DISIASAT, HASIL DARI ADUAN NETIZEN

Video yg dihantar di Facebook
Sebuah rakaman video yang telah dikongsikan di laman Facebook yang jelas menunjukkan seorang pemandu bas ekspres sedang merokok dan mengguna telefon bimbit ketika membawa kenderaan, telah dikongsikan dan pihak SPAD memandang serius dengan perlakuan ini kerana ia bukan saja melanggar peraturan keselamatan penumpang malahan ia mampu membawa kepada kemalangan.

Bas ekspres tersebut adalah Mayang Sari yang dikendali syarikat Aerosystem Tour & Travel (M) Sdn Bhd. Kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi.

Sepertimana yang telah disiarkan kenyataan rasmi SPAD, tindakan berikut telah diambil untuk mengesahkan kesahihan maklumat dan bertindak adil kepada mereka yang terlibat;
  • Pihak SPAD telah menemui pengarah syarikat bas ekspres serta pemandu terlibat untuk diambil keterangan serta mengesahkan maklumat yang diterima mengikut peruntukan undang-undang.
  • Pihak yang mengadu juga telah ditemui untuk merakam keterangan beliau dan rakaman video tersebut dijadikan bahan bukti.
  • Seandainya perbuatan pemandu didapati mempunyai unsur-unsur bahaya kepada penumpang dan juga pengguna jalanraya yang lain, pemandu terbabit akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 202, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), pemandu tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali.
  • Dan sekiranya pemandu bas tersebut didapati bersalah kerena merokok di dalam kenderaan pengangkutan awam darat, beliau akan disabitkan di bawah Seksyen 203 APAD, di mana akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.
  • Syarikat bas pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22 dan 23 APAD kerana mengingkari syarat-syarat lesen yang merangkumi aspek keselamatan, yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.
  • Pada masa yang sama, pihak SPAD bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM dan JPJ yang menyiasat peraturan di bawah bidangkuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing.
  • Setiap hukuman yang bakal dihadapi pesalah, pihak SPAD akan mengambil tindakan yang paling maksima kerana melanggar Kod Amalan Keselamatan Industri adalah syarat wajib bagi syarikat-syarikat bas untuk mendapatkan lesen operasi dari SPAD.
  • Kepada orang ramai pula, seandainya berhadapan dengan insiden yang dialami seperti pengadu ini, janganlah teragak-agak dan buatlah pilihan bijak untuk membuat laporan melalui saluran aduan SPAD seperti hotline kami di 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD.
  • Pihak SPAD hanya memerlukan nama dan nombor telefon pengadu, tarikh, masa, tempat kejadian dan maklumat perjalanan (seperti gambar tiket daripada syarikat bas).

Sunday, December 25, 2016

TRAGEDI PAGOH : SPAD GANTUNG LESEN SYARIKAT BAS EKSPRES UNTUK PROSES SIASATAN



Tindakan tegas perlu diambil apabila kemalangan maut berlaku dan terkini, kemalangan di Pagoh yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan parah beberapa penumpang lain pada jam 3.45 pagi pada 24 Disember.

Kenderaan yang terlibat adalah bas ekspres Alisan Golden Coach yang dikendali Goldstar Express (M) Sdn Bhd telah digantung lesen operasi dengan kadar serta merta.

Pihak SPAD juga memaklumkan yang penggantungan lesen operasi syarikat bas ekspres ini adalah bertujuan agar siasatan dapat berjalan dengan lancar. Sehingga proses siasatan telah lengkap, syarikat bas ekspres ini tidak dibenarkan beroperasi.

Manakala siasatan tragedi malang ini telah diketuai MIROS dan SPAD pula akan menyiasat berkenaan prosedur syarat-syarat Kod Amalan Keselamatan Industri atau SPAD ICOP.

Untuk makluman, pihak SPAD juga ingin mengingatkan yang suruhanjaya tidak sekali-kali akan kompromi dengan sebarang prosedur ICOP terutama yang melibatkan keselamatan penumpang, memandangkan ia merupakan syarat utama untuk setiap syarikat bas ekspres mendapatkan lesen operasi mereka.

Pihak SPAD juga tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen dan permit pengendali jika terbukti segala peraturan telah dilanggar dengan sengaja.

Oleh itu, kita semua perlu beri ruang kepada agensi-agensi yang terlibat untuk melaksanakan tugas mereka dan tidak membuat sebarang spekulasi mahupun sebaran maklumat yang tidak tepat.

Bersama-sama ini disertakan kenyataan rasmi dari pihak SPAD untuk pemahaman kita semua;

 

Saturday, December 24, 2016

MCA: SIKAP 'NATO' GUAN ENG KINI BERLAGAK BADUT DALALAM ISU SJKC


DAP sekadar mendabik dada sebagai parti tindakan demokratik tetapi pada hakikatnya mereka adala apa yang sering dikatakan dalam bahasa inggeris
sebagai - No Action Talk Only (NATO) atau terjemahannya Tiada Tindakan tetapi Bercakap saja. Lebih terserlah pemimpin DAP seperti Guan Eng yang gemar membuat provokasi terhadap MCA tetapi sebenarnya menyerlahkan perangai badut yang sedang tercari-cari bahan lawak untuk menutup kelemahan sendiri.

Kononnya ingin berlagak seperti singa yang garang menyerang MCA, Guan Eng telah mengambil kesempatan ke atas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Kewangan ke2 Dato’ Johari Abdul Ghani yang melibatkan peruntukan bajet RM50 juta ke atas SJKC.

Selama ini sejak merdeka lagi, nasib dan masadepan SJKC telah dibela dan diperjuangkan MCA. Malahan setiap tahun peruntukan berjuta-juta ringgit juga adalah hasil dari kerja keras MCA sehingga kini. DAP hanya sekadar menenggek usaha MCA dan jika ada isu-isu yang timbul, DAP akan menyerlahkan diri sebagai hero pembela bangsa Cina.

DAP lebih gemar berperangai seperti NATO dan mengutuk MCA sedangkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa pun.

Lihat saja kerajaan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang terserlah gagal menangani isu banjir yang sering berlaku dan menyusahkan rakyat. Akhirnya, apabila gagal, DAP terpaksa mengemis kepada kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional untuk mengatasi masalah kronik rakyat ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang yang diketuai anak Kit Siang, Guan Eng juga gagal membela nasib rakyat tempatan yang kebanyakannya adalah bangsa Cina, apabila tidak satu pun perumahan mampu milik disediakan. Rungutan rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah tidak endahkan DAP malahan pangsapuri mewah yang dibina yang pasti rakyat berpendapatan rendah tidak akan mampu memilikinya.

Sebagai seorang Ketua Menteri, seharusnya Guan Eng bukan berpolitik dengan mulut celuparnya untuk membela nasib rakyat dan beliau seharusnya malu untuk mendabik dada untuk mengumumkan penambahan pendapatan kerajaan negeri kerana akhirnya rahsia DAP menjual tanah Pulau Pinang telah diketahui rakyat Pualu Pinang.

Sebenarnya, DAP sentiasa terkebelakang untuk bertindak ke atas nasib rakyat tetapi pendirian MCA adalah sentiasa konsisten serta dijadikan satu tanggungjawab membela nasib rakyat yang berhadapan dengan isu-isu besar, malah melayan rakyat ini dijadikan tugas yang tidak mungkin dipisahkan.

Sekiranya terdapat percanggahan di dalam dasar dan pentadbiran kerajaan, MCA juga akan sentiasa ketengahkan perkara-perkara terbabit kepada Kabinet untuk dibincangkan dan seterusnya dibuat pembetulan.

Walaupun DAP sering mengkritik MCA, namun tindakan mereka tidak sekali-kali mampu mendepani pendidikan Cina dengan apa cara sekali pun.

Wednesday, December 21, 2016

PENJELASAN SPAD KE ATAS DAKWAAN KENAIKAN TAMBANG BAS SEKOLAH MELAMPAU

Mungkin ada di antara ibubapa yang masih tidak mengetahui apa yang telah pihak kerajaan lakukan ke atas tambang bas sekolah. 

Sebagai suruhanjaya yang diberi tanggungjawab untuk mengendali isu tambang bas sekolah dan untuk sekian kalinya pihak SPAD ingin berkongsi maklumat agar ibubapa yang terlibat memahami keadaan sebenar dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Diringkaskan kenyataan rasmi pihak SPAD seperti berikut;
  • Alasan sesetengah pengendali bas sekolah untuk menaikkan tambang adalah kerana kerajaan telah menarik subsidi diesel dan menyebabkan kos operas.
  • meningkat adalah sama ketika kerajaan kekalkan subsidi.
  • Tambang bas sekolah telah diliberalisasikan sejak 2015.
  • Syarat yang dikenakan adalah syarikat bas sekolah mesti mendapat persetujuan PIBG sekolah tersebut terlebih dahulu.
  • Pendekatan liberalisasi tambang ini berjaya dan pihak SPAD tidak mendapat sebarang aduan lagi.
  • Pihak SPAD tetap meneruskan pemantauan dengan mengadakan proses interaksi dengan syarikat bas sekolah.
  • Pada tahun ini, 3 persatuan bas sekolah terbesar di Semenanjung Malaysia telah hadir untuk sesi interaksi dan pihak SPAD mendapati sesi susulan perlu diadakan bagi menyelesaikan isu-isu terkini.
  • Pihak SPAD sarankan ibubapa membuat laporan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (myCC) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke atas syarikat-syarikat bas sekolah yang menaikkan tambang secara melampau.
  • Di antara inisiatif yang diadakan SPAD termasuk Skim Penggantian Bas Sekolah iaitu menggantikan bas lama demi memastikan tahap keselamatan pelajar sekolah dipertingkatkan dan terjamin.
  • Pihak SPAD juga telah perkenalkan Skim Perlindungan Insurans Murid Sekolah yang meliputi apabila bas digunakan untuk kegiatan sekolah di luar.
  • Inisiatif liberalisasi tambang bas sekolah juga adalah memberi kesedaran hak kita sebagai pengguna yang perlu diguna sebaik-baiknya di samping membantu industri ini terus beroperasi.



Monday, December 19, 2016

MCA : 6 HARI TANPA AIR DI SELANGOR MENJELANG CUTI KRISMAS MENUNJUKKAN KERAJAAN PEMBANGKANG TIDAK BERHATI-PERUT

MCA memahami keperluan pihak Syabas dan TNB untuk menaik taraf beberapa jana kuasa tetapi apakah dengan memotong bekalan air untuk 3.9 juta rakyat selama 6 hari berturut-turut menjelang cuti Krismas satu tindakan berperikemanusiaan kerajaan kempimpinan PKR di Selangor?

Pada masa sama bagi mereka meraikan Krismas, pasti sanak saudara serta sahabat-handai akan berkumpul manakala peluang ini juga rakyat Malaysia mengambil kesempatan di samping ini adalah cuti hujung tahun. Bayangkan apabila tanpa bekalan air, maka persediaan jamuan akan terjejas dan pasti hambar.

Keadaan ini juga pasti beri gambaran buruk kepada pelancong kerana di Lembah Klang ini, di samping rakyat Malaysia, ramai juga pelancong dari luar negara yang meraikan Krismis di negara kita.

Apakah kerajaan Selangor tidak tahu yang kebanyakan penduduk di sekitar Lembah Klang tinggal di pangsapuri yang lebih dari 6 tingkat malahan ada di antaranya sehingga berbelas tingkat, di mana pasti sukar untuk mereka menyediakan bekas-bekas takungan yang perlu dibawa ke atas nanti. Apakah kerajaan pembangkang Selangor tidak mengetahui rakyatnya terdiri daripada warga emas dan OKU?

Yang pasti, waktu yang dijadual kerajaan Selangor untuk menyekat bekalan air adalah tidak sesuai langsung.

Bagi MCA, sepatutnya pendekatan yang lebih prgamatik untuk menyekat air secara berperingkat, mungkin 2 hari di dalam setiap bulan dan MCA mencadangkan selepas cuti Tahun Baru Cina atau mungkin 2 hari di dalam bulan Mei atau Jun selepas musim kemarau.

Jika benar kerajaan Pakatan Selangor adalah apa yang digembar-gemburkan sebagai kerajaan yang menjaga kebajikan rakyatnya, seharusnya mereka peka dan mengguna akal untuk mengetahui rintihan dan kritikan rakyat di laman-laman sosial serta di serata laporan berita dan akhbar.

Malahan jadual yang telah dikeluarkan kerajaan Selangor juga tidak pernah tepat dan seandainya keadaan bekalan air telah pulih, rakyat menerima air kotor dan berbau yang pasti tidak selamat untuk diminum dan digunakan. Rakyat Selangor terpaksa menunggu beberapa ketika sehingga air kembali jernih dan ini adalah satu pembaziran.

Ini bukanlah kali pertama Selangor mengalami gangguan bekalan air di dalam setahun dan kesabaran rakyat Selangor sudah tidak dapat dibendung lagi. Bagi MCA, hanya satu cara saja untuk sampaikan mesej rakyat kepada kerajaan pembangkang yang tidak berhati-perut ini iaitu pastikan menolak DAP, PKR dan PAN mahupun PPBM di kertas undi nanti.

Saturday, December 10, 2016

TAKTIK BARU ULAT TEKSI TETAP DIKESAN SPAD

Aksi ulat teksi di KLIA
Helah lama telah dikesan dan kini ulat teksi cuba timbulkan taktik baru yang kononnya untuk mengelirukan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD).

Pengurus Besar Kanan Bahagian Pengkuatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad mendedahkan yang ulat-ulat teksi yang beroperasi terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Mereka akan menawarkan menjual kad sim prabayar kepada kita dan pada masa yang sama, mereka mula memancing untuk menawarkan khidmat teksi secara berbisik yang pastinya ia adalah teksi haram.

Sasaran mereka pasti adalah pelancong antarabangsa dan ulat-ulat teksi ini akan sentiasa berlegar-legar di pintu-pintu masuk lapangan terbang.

Pihak penguatkuasa SPAD bukan sekadar membuat operasi di jalanraya tetapi mereka sering berjaya dengan taktik penyamaran. Setelah dihidu gerakan baru ulat-ulat teksi ini, maka anggota penguatkuasa SPAD akan menyamar sebagai penjual sim kad juga.

Di situlah beberapa gerakan haram ulat-ulat berlaku dan dihidu maka tangkapan telah berjaya dilakukan.

Semamangnya pendapatan ulat-ulat teksi ini agak lumayan namun yang bakal mendapat imej buruk adalah negara kita dan juga pihak penguatkuasa SPAD.

Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad

Tegas untuk menegakkan undang-undang negara dan menyuburkan lagi industri pelancongan, pihak penguatkuasa SPAD akan memperketatkan lagi operasi di kedua-dua pintu masuk negara ini.

Mereka akan sentiasa memantau melalui CCTV dan untuk memberi keyakinan kepada rakyat, SPAD menjalankan tugas 24 jam dengan anggota-anggota beruniform dan juga secara penyamaran.


Friday, December 09, 2016

DR MAHATHIR KUTUK MCA TETAPI SASARAN SEBENAR ADALAH PRESIDEN UMNO/BN


Apabila sudah berpaling tadah kepada UMNO dan ternyata gagal melemahkan dan seterusnya menghancurkan parti yang berpresidenkan DS Najib, segala yang berkaitan dengannya akan dikutuk dan dicari kelemahannya. Kini tiba giliran MCA dijadikan bahan kecaman politik Dr Mahathir.

Pada 4 Disember lalu ketika berada di majlis DAP, Dr Mahathir diletakkan di kerusi utama di pentas khas dalam Konvensyen Kebangsaan DAP. Beliau diberi penghormatan tertinggi oleh Kit Siang dan diletakkan bersebelahan Dr Chen Man Hin, salah seorang pengasas DAP. Maka tidak terperanjat apabila Dr Mahathir yang dikelilingi pemimpin-pemimpin DAP dan berhadapan dengan ahli-ahlinya, mengutuk MCA adalah perkara yang tepat sekali.

Pemimpin-pemimpin MCA hari ini sedar yang sasaran sebenar Dr Mahathir adalah untuk menghilangkan kepercayaan MCA terhadap kepimpinan DS Najib sebagai Presiden Barisan Nasional walaupun perkara-perkara yang disentuh agak remeh seperti membandingkan lagu parti di antara MCA dan DAP.

Dr Mahathir menyoal prinsip MCA yang bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah menyebabkan Malaysia tersenarai dalam 10 negara paling korup di dunia. Itu intipati kecaman beliau.

Malang bagi Dr Mahathir apabila pemimpin-pemimpin MCA yang diterajui DS Liow Tiong Lai dan DS Wee Ka Siong tangkas memahami maksud sebenar Dr Mahathir yang tidak lebih daripada memainkan rekod buruk yang telah rosak secara berulang-ulang kali.

MCA juga menyedari, setelah ketiadaan Muhyiddin, Mukhriz dan Syafie Afdal termasuklah Dr Mahathir sendiri di dalam UMNO, Barisan Nasional (BN) semakin mantap dan DS Najib telah kembalikan kegemilangan BN. Ini telah terbukti dengan pilihanraya kecil serentak parlimen di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. BN bukan sekadar berjaya mengekalkan kerusi parlimen ini malahan mendapat undi majoriti yang teramat besar dan termasuklah peralihan pengundi bangsa Cina kepada BN dengan begitu ketara sekali.

Peralihan pengundi bangsa Cina kepada BN ini adalah hasil kerja keras MCA yang bergerak seiringan bersama-sama parti-parti komponen BN. Kekuatan BN yang bersatu di bawah kepimpinan utama DS Najib dan dimantapkan dengan kepimpinan MCA bersama DS Liow, telah membuatkan Dr Mahathir hampir hilang ingatannya, bahawa MCA bergerak dan sentiasa bertanding di bawah satu lambang iaitu dacing yang berlatarbelakangkan warna biru.

Seperkara yang menyebabkan kekecewaan Dr Mahathir adalah apabila beliau juga gagal untuk satukan parti-parti pembangkang seperti yang ingin ditirunya di dalam Barisan Nasional. Sejak penubuhan Perikatan, MCA adalah parti politik yang telah jelas termaktub mewakili bangsa Cina tetapi kerana ideologi politiknya yang berpaksikan fahaman kebangsaan, maka MCA dari dahulu sehingga sekarang kekal bergabung di dalam Barisan Nasional.

Ini berbeza dengan sejarah DAP yang kekal berpaksikan sosialis dan pada awalnya adalah serpihan pertubuhan yang berfahaman komunis. Kedua-dua gabungan fahaman sosialis komunis ini masih kekal diperjuangkan DAP walaupun mereka berkali-kali cuba untuk berpura-pura menjadi lebih Melayu. Malangnya, segala kepura-puraan mereka tidak pernah berjaya menawan hati majoriti Melayu.

Sekiranya Dr Mahathir telah lupa, MCA telah bertanding di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu dan mereka telah berjaya mengekalkan kerusi mereka. Contohnya Datuk Liow sendiri dan termasuklah Datuk Wee. Sehingga kini, kedua-dua kerusi di Bentong dan Ayer Hitam adalah kekal milik MCA. Jika bukan kerana prinsip politik MCA yang berteraskan kebangsaan, mana mungkin pengundi Melayu meyakini mereka.

Kejayaan MCA di kawasan Melayu ini juga diteruskan oleh kepimpinan DS Najib, malahan keyakinan kepimpinan DS Liow kepada DS Najib, pula menyebabkan peralihan kepercayaan pengundi Cina di Kuala Kangsar dan Sungai Besar mahupun kejayaan berganda di pilihanraya negeri Sarawak.

Seandainya Dr Mahathir ingin mengaitkan kepimpinan DS Najib dengan rasuah, apakah Dr Mahathir sedang mencuci tangannya dengan kes rasuah terbesar di zamannya dengan skandal PKFZ? Apakah beliau tidak sedar yang kerana skandal PKFZ di bawah kepimpinan beliaulah, maka MCA telah terkesan kehilangan kepercayaan pengundi bangsa Cina. Kini beliau mempersoalkan mengenai rasuah?

Malahan, tiada bukti konkrit untuk menuduh Malaysia terletak di dalam tangga ke10 di dalam Indeks Rasuah Dunia.

DS Najib telah membuktikan kepimpinan yang tidak pilih kasih walaupun ketika 2 pilihanraya lalu, MCA telah menerima kesan peralihan kepercayaan bangsa Cina kepada DAP. Namun, menyedari pentingnya wakil suara bangsa Cina di dalam kerajaan, MCA diletakkan semula di dalam barisan kabinet menteri.

Jika Dr Mahathir ingin hapuskan kepercayaan dan keyakinan kepimpinan MCA terhadap DS Najib, beliau pasti akan kecewa sekali lagi. Kegagalan Dr Mahathir di luar BN/UMNO bukan saja terserlah malahan beliau semakin terdesak. Beliau bukan saja gagal memahami aspirasi MCA hari ini malahan beliau juga gagal memahami siapa itu pembangkang!

Tuesday, December 06, 2016

LIOW : DEMI DR MAHATHIR, DAP SANGGUP TIPU PENGUNDI CINA LAGI

DAP bukan saja telah hilang prinsip politiknya malahan sanggup menipu pengundi cina demi ingin bersekongkol dengan Dr Mahathir. Bagi Presiden MCA DS Liow Tiong Lai, walaupun tiada rakan atau musuh yang kekal di dalam politik tetapi prinsip perjuangan dan maruah parti perlu berterusan dan kekal selamanya.

Ini terbukti apabila pada awal Pakatan Rakyat, DAP menipu pengundi Cina dengan memberi sokongan padu kepada PAS. Sekarang bangsa Cina sekali lagi ditipu apabila menyokong orang yang telah melabelkan Kit Siang dan DAP sebagai rasis selama lebih 30 tahun. Dr Mahathir jugalah orangnya yang telah menghumbankan pemimpin-pemimpin DAP dengan undang-undang ISAnya.

Pada pilihanraya umum ke 13 lalu, DAP mengangkat PAS sebagai rakan politik sejati tetapi setelah berkelahi dan kutuk-mengutuk sehingga terkuburnya Paktan Rakyat dan timbul pula kerjasama dengan seorang yang pernah digelar sebagai diktator, Dr Mahathir adalah suci dari cacian DAP dalam sekelip mata.

Guan Eng jugalah yang menyeru pengundi Cina untuk memberi sokongan kepada calon PAS di PRU13 lalu sehingga terdapat peningkatan kerusi PAS dan kini setelah mereka bergaduh dan Pakatan Rakyat dikuburkan, DAP juga lepas tangan dengan RUU 315 yang dibawa Hadi Awang.

Pasti bangsa Cina akan tertanya-tanya, apa lagi yang Guan Eng akan tipu selepas memuji Dr Mahathir pula? Bagaimana DAP akan bersemuka dengan ahli-ahli keluarga pemimpin-pemimpin terdahulu yang menentang Dr Mahathir dan PAS? Apakah DAP masih ada moralnya?

Oleh itu, DAP tak perlu lagi menjaja kepada bangsa Cina dan penyokongnya mengenai prinsip dan etika di mana ia hanyalah retorik yang tiada lagi maknanya setelah berjaya menghumbankan segalanya demi kepentingan politik semata-mata.

Jika penyokong DAP yang terdahulu masih berprinsip, Datuk Liow sarankan agar mereka beramai-ramai tinggalkan parti ini yang semakin hari hilang maruah dan prinsip sebenar dalam perjuangan.

Di dalam DAP mengagongkan Dr Mahathir, ia hanyalah sikap pemimpin DAP hari ini yang hipokrit dan berterusan menipu pengundi Cina demi kepentingan kedudukan mereka di dalam parti saja kerana kedudukan Guan Eng dan Kit Siang tidak lagi sekukuh dan sekuat jika dibandingkan di masa lalu.



Saturday, December 03, 2016

DATUK ZAHID DAN DATUK LIOW SEPENDAPAT

Tidak ada sebab untuk mana-mana pemimpin mahupun ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional menuding jari kepada satu sama lain di kala pengundi
cina beralih arah kepada DAP dan bukannya kepada MCA.

Samada MCA atau MIC, kesemua ini adalah parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding dengan satu lambang dan satu manifesto.

Itulah mesej yang sama yang disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Zahid Hamidi yang sependapat dengan pandangan Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai. Oleh itu di atas rasa kebersamaan, sesiapa saja yang diletakkan sebagai calon BN, perlu disokong sepenuhnya oleh kesemua ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional.

Yang bertanding adalah BN. Samada kalah atau menang di PRU nanti, kesannya akan ditanggung bersama.

Perlu kita ingat sehingga ke hari ini, di pihak pembangkang sentiasa gagal mendapat kata sepakat untuk bertanding di bawah satu lambang. Mentelah untuk kekal bersatu dan cuba untuk meniru konsep Barisan Nasional.

Walaupun DAP berjaya memperdaya pengundi-pengundi cina di PRU 12 dan PRU13 tetapi akhirnya mereka tidak pernah rasa kedudukan mereka terjamin dan sentiasa berbalah sesama sendiri kerana gagal mendapat kesepakatan.

Parti-parti komponen BN seharusnya mengetahui permainan dan strategi licik pembangkang terutama DAP yang ingin rakan-rakan di dalam BN bercakaran yang akhirnya akan berpecah sepertimana terkuburnya Pakatan Rakyat kerana bergaduh dengan PAS. 

Oleh itu, jangan pula ada yang terperangkap dengan permainan mereka.

Senario pertelingkahan sesama mereka juga diserlahkan ketika PRN Sarawak dan juga PRU di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Demi kejayaan bersama, samada pengundi Cina telah sedar ataupun tidak untuk memberi sokongan kepada MCA semula, kesemua Parti-parti komponen BN mesti terus kekal bersatu dan bekerjasama menentang musuh nyata di pihak pembangkang dan bukan menuding jari sesama sendiri.

Menang atau kalah calon dari mana-mana parti komponen BN, ia bukanlah kemenangan atau kerugian berasingan untuk satu-satu parti komponen BN tetapi ia seharusnya dilihat secara kolektif dan segalanya terletak di bawah satu lambang iaitu Barisan Nasional.