Wednesday, October 28, 2015

CADANGAN INISIATIF KERAJAAN UNTUK FELDA DAN WARGANYA DARI BAJET 2016


Cadangan inisiatif di dalam Bajet 2016 akan mampu menyumbang secara positif kepada dua aspek utama yang berkaitan Felda iaitu perniagaan Felda bersama-sama anak-anak syarikatnya di samping dinikmati terus peneroka-penerokanya.

Di dalam perniagaan FELDA, FGV adalah salah satu daripada anak-syarikatnya yakin akan dapat mengharungi cabaran serta akan mampu berada di kedudukan yang lebih kukuh untuk memanfaatkan keadaan pasaran yang hampir pulih sekarang ini. Bajet 2016 juga melengkapi pelan transformasi lima tahun FGV yang menumpukan usaha peningkatan pendapatan, pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi perniagaan mereka.

Pengumuman cadangan kerajaan untuk kenaikan kadar gaji minima di dalam Bajet 2016 telah disambut baik CEO FGV Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah memandangkan ia selari dengan usaha syarikat yang kini cuba mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan meningkatkan bilangan pekerja daripada rakyat tempatan.

Walaupun ia akan memberi impak kenaikan kos operasi syarikat namun ia tidaklahh begitu ketara kerana FGV akan sedaya upaya meningkatkan produktiviti pekerja. Namun Datuk Emir berharap agar pengumuman cadangan kerajaan akan menarik minat rakyat tempatan untuk bekerja di sektor perladangan. Terkini FGV mempunyai kira-kira 53,000 pekerja dengan 63 peratus daripadanya bakal terlibat dengan kenaikan gaji minimum itu.

Kerajaan mengumumkan kadar gaji minima baharu berkuat kuasa 1 Julai 2016 dengan kenaikan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 kepada RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak, Labuan. Gaji minimum itu melibatkan semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

Usaha kerajaan untuk terus meningkatkan kehidupan peneroka Felda dengan cadangan inisiatif termasuk peruntukan RM200 juta bagi meningkatkan keadaan jalanraya di kawasan penempatan Felda serta pembinaan 20,000 rumah bagi generasi kedua peneroka Felda serta pengurangan rumah FELDA dari RM90,000 kepada RM70,000.

Demi mengutamakan keselamatan peneroka-peneroka Felda di Sabah, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 523 Million untuk pembangunan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) kem tentera di Felda Sahabat. Yang pasti peristiwa hitam yang pernah dialami di Lahad Datu dahulu tidak ingin berulang lagi.

Cadangan kerajaan untuk BR1M dinaikkan ke RM50 setiap kategori turut dinikmati warga FELDA. Pemberian BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800. Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas pula, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan bawah RM1,000 akan menerima RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 akan diteruskan.

Bertepatan dengan tema Bajet 2016 iaitu Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Felda dan warganya sebagai tulang belakang ekonomi negara berterusan mendapat keutamaan belanjawan negara setiap tahun. Setiap impian warga Felda dipenuhi dan nasib mereka sentiasa diperbaiki dan perniagaan Felda pula akan terus mendapat sokongan kerajaan agar hasilnya nanti akan dipulangkan semula kepada warganya nanti.

Monday, October 26, 2015

BOS 1MDB BERSEMUKA DENGAN AHLI-AHLI MCA


Adalah menjadi pendekatan yang sangat tepat apabila 1MDB memilih untuk memberi penerangan secara terbuka kepada umum untuk menerangkan plan rasionalisasi menangani hutang tertunggak syarikat. Oleh itu, CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy telah meluangkan hampir satu setengah jam memberi penerangan terus kepada ahli-ahli MCA kedudukan semasa 1MDB baru-baru ini di dalam sesi soal jawab seminar 'Economic Outlook' di Wisma MCA.

Pendekatan memberi penerangan dan 'engagement' dengan rakyat yang berterusan ini sekali gus adalah juga untuk meredakan kebimbangan di kalangan pelabur ke atas sistem kewangan negara. Di antara pengisian penerangan, Arul Kanda menjelaskan sejarah 1MDB, aktiviti-aktivitinya, cabaran serta perancangan dan bagaimana ia dilaksanakan. Yang pasti kehadiran Arul Kanda telah memberi penjelasan dan jawapan dengan fakta-fakta yang betul.

Di dalam sesi soaljawab 1MDB tersebut, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong dan Naib Presidennya, Datuk Paduka Chew Mei Fun yang turut hadir, menerangkan pendirian MCA tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat melakukan kesalahan. Datuk Wee juga menegaskan yang MCA tidak akan mempertahankan sesiapa dan segala yang dibaca di Facebook atau rencana dari media luar, ahli-ahli MCA diberi peluang keemasan untuk mengemukakan soalan terus kepada CEOnya.

MCA tegas dengan pendirian menuntut agar isu 1MDB disiasat secara telus dan dengan itu juga MCA memilih pendekatan yang lebih berkesan dan tepat iaitu bermula dengan sesi soaljawab terus dengan 1MDB dan akhirnya ahli-ahli MCA tidak akan mudah terpengaruh dengan laporan-laporan palsu.

Bagi pihak Arul Kanda pula, beliau mengaku tidak dapat mengelak daripada soalan-soalan sukar dalam pelbagai isu dan beliau menerima undangan ini kerana 1MDB berpendirian agar lebih terbuka dan berinteraksi dengan orang awam agar penjelasan dapat dibuat secara terus. Malahan sejak awal tahun, 1MDB telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi hampir setiap minggu dan beberapa siri temubual telah diadakan dengan media tempatan seperti TV3, NST, The Edge dan juga media barat seperti BBC.

Sesi khas penerangan ini nampaknya telah menggugat kredibiliti DAP apabila Tony Pua mula mempersoal tindakanArul Kanda membuat sesi penerangan dengan ahli-ahli MCA. Semua sedia maklum pertanyaan Tony Pua hanyalah untuk kepentingan politik parti DAP dan apabila melibatkan MCA, beliau tidak akan duduk diam apabila ahli-ahli MCA khususnya dan komuniti Cina amnya telah mengetahui pembohongan demi pembohongan yang dilakukan beliau.

Tony Pua juga berkemungkinan mengalami penyakit 'lupa' apabila Arul Kanda telah membuat siri penerangan kepada media tempatan dan antarabangsa dan ini jelas ia dibuat secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Apa yang dimaksudkan Arul Kanda yang beliau hanya menjawab kepada pihak berkuasa adalah berkenaan dengan maklumat siasatan yang masih dijalankan. Maka memang sepatutnya Arul Kanda tidak mendedahkan maklumat-maklumat yang diberikan.

Penerangan dan mendedahkan maklumat siasatan adalah dua perkara berbeza yang Tony Pua sendiri keliru. 

Tony Pua tidak perlu risau dengan sesi penerangan Arul Kanda kepada ahli-ahli MCA melainkan seperti kata Datuk Wee Ka Siong ... jika anda bersalah, anda akan tetap bersalah!



Sunday, October 25, 2015

KEPIMPINAN MCA ANGGAP BAJET 2016 KEKAL BERPAKSIKAN KEPERLUAN RAKYAT

Ketika mengulas Bajet 2016 Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai melihat ia masih kekal kepada 'BAJET UNTUK RAKYAT' di mana ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan pembangunan demi rakyat.

Komitmen Kerajaan dalam Bajet 2016 adalah seimbang dengan pembangunan yang terus mampan di mana pembangunan infrastruktur telah mendapat perhatian utama dalam pembentukan masa depan negara demi mencapai cita-cita negara sebagai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Bajet yang dikatakan komprehensif ini juga meliputi kepentingan rakyat semua kaum dan lapisan masyarakat. Keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana telah diutamakan memandangkan kos sara hidup yang terus meningkat dan mempersiapkan rakyat menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

Antara langkah-langkah seperti pelepasan cukai bagi kumpulan pertengahan pendapatan, kenaikan dalam pembayaran BR1M, projek perumahan, dan pengangkutan awam yang lebih baik akan memberi manfaat kepada rakyat.

Bagi sektor pengangkutan, Dato' Liow berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukkan dengan bajet yang agak tinggi berjumlah RM5.8 bilion bagi merangkumi projek-projek jalan raya dan jambatan; keretapi dan transit laju; penerbangan awam; pelabuhan dan perkhidmatan laut, yang dijangka mampu memberangsangkan ekonomi.

Bagi parti MCA pula, nampaknya 'wishlist' Bajet 2016 yang telah disuarakan agar sektor usahawan PKS di golongan masyarakat Cina diberi perhatian telah mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah KOJADI.


Timbalan Presiden MCA dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong pula berpendapat bahawa tiada peningkatan dalam pendapatan negara yang mendadak, ini bermakna kita perlu lebih berhemah dan berhati-hati dalam setiap perbelanjaan.

Namun Datuk Wee berpuas hati apabila rakyat yang berpendapatan rendah termasuk penjawat awam, petani dan kumpulan B40 mendapat manfaat yang cukup banyak dari bajet 2016 ini. Bagi kelas berpendapatan sederhana pula, mereka akan mendapat manfaat daripada rebat cukai dan seterusnya mereka akan menikmati akan mendpat pengecualian untuk pendidikan anak-anak mereka. Sekali gus kelas sederhana mampu mengurangkan beban daripada membayar sejumlah besar cukai pendapatan.

Datuk Wee juga menjelaskan bahawa Bajet 2016 kini lebih melindungi kelas berpendapatan rendah apabila lebih banyak produk akan mendapat pelepasan GST. Di antara produk yang mendapat perhatian adalah ubat-ubatan yang kini diperluaskan kepada lebih dari 4,000 jenis. Di samping itu, bajet 2016 juga memberi manfaat kepada kaum petani yang mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan beban mereka.

Bajet 2016 telah dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu, merupakan bajet yang pertama daripada lima belanjawan tahunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Bertemakan "Memakmur Kehidupan Rakyat", Bajet 2016 mempunyai lima bidang utama iaitu yang pertama - memperkukuh daya tahan ekonomi negara dengan keutamaan yang melibatkan lebih banyak pelaburan domestik; kedua - meningkatkan pasaran modal menerusi inisiatif, termasuk potongan cukai ke atas kos mengeluarkan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab bon sukuk; ketiga - PKS dengan langkah-langkah termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah; keempat - infrastruktur sebagai pemangkin untuk semua pembangunan ekonomi dan sosial dan terakhir adalah sektor pelancongan termasuk melanjutkan pengecualian 100% cukai pendapatn hingga 2018.

Friday, October 23, 2015

BILA BAS EKSPRES KE UTARA PINDAH KE TBS, SIAPA AGAKNYA YANG AKAN BANTAH?

Keputusan yang diambil Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai perpindahan perkhidmatan bas-bas ekspres ke zon utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bas Tasik Selatan (TBS) telah dilakukan setelah perbincangan diadakan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Pada 20 Januari tahun lalu, pengumuman perpindahan ini telah dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) Tan Sri Syed Hamid Albar dan penangguhan tidak boleh terlalu lama mahupun dalam keadaan tergesa-gesa bagi mengelak kesukaran semua pihak termasuk pengguna.

Berkuatkuasa November 1, 2015 perkhidmatan Bas Ekspres Koridor Utara dengan rasminya akan berpindah ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) yang merangkumi perjalanan ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Jika dikatakan perpindahan ini menyulitkan dan menyusahkan pengguna, yang pasti akan terasa hanyalah ulat-ulat tiket. Apabila sistem tiket di TBS mengguna sistem secara berpusat (centralised) dan hanya boleh dituntut di kaunter tiket, secara langsung ulat-ulat tiket ini tidak akan dapat bergiat. Malahan, tiket perjalanan boleh ditempah lebih secara 'online' bagi mereka yang mempunyai kemudahan berinteraksi di internet. Oleh itu, secara langsung kita menyokong polisi toleransi sifar terhadap ulat tiket.

Mungkin ada yang kata kesukaran penumpang untuk ke TBS yang agak jauh tetapi sebenarnya pelbagai kemudahan pengangkutan awam di dalam satu lokasi seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit dan perkhidmatan teksi salinghubung untuk ke pusat bandar.



Apakah di TBS keselesaan dan keselamatan penumpang terjamin? Kepada sesiapa yang pernah mengunjungi TBS, kita bukan sahaja akan kagum dengan prasarana moden, sistematik dan indah tetapi akan berasa selesa dengan kemudahan yang disediakan seperti bilik istirehat VIP, bilik penjagaan bayi dan kemudahan  mesra OKU. Malahan terdapat skrin paparan elektronik jadual perjalanan bas seperti yang terdapat di lapangan-lapangan terbang untuk menyenarai kedatangan dan pelepasan bas.

Pengurusan TBS juga menyediakan perkhidmatan kaunter yang lebih mesra serta kawalan keselamatan yang ketat di mana, pengunjung bukan sahaja akan rasa lebih selamat malahan pegawai-pegawai keselamatan akan pasti menghulur bantuan kepada penumpang ke destinasi pintu perlepasan dan arah tuju pengunjung TBS.

Pihak SPAD telah mengambil keputusan ini dengan persetujuan pihak-pihak berkepentingan seperti berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan pihak Pengendali Bas yang terlibat. Keputusan ini juga mengambil maklum kesan jangkapanjang ke atas Pudu Sentral di mana, masalah kesesakan jalanraya di sekitar Puduraya mampu diatasi apabila sebanyak 545 dari 635 bas ekspres ke utara dipindahkan nanti.

Apa pula perkhidmatan bas yang akan ada di Pudu Sentral nanti? Terminal PS ini akan terus digunakan sebagai terminal bas ekspres jarak dekat dan bas henti-henti termasuk perjalanan dari PS ke Tanjung Malim, KLIA 1, KLIA2 dan Seremban. Malahan, PS akan ditransformasi kepada memainkan peranan sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada kerajaan dan sektor swasta kepada rakyat.

Dengan kemudahan, keselesaan dan keselamatan yang dijanjikan SPAD kepada penumpang dan operator bas pelbagai kategori termasuklah perkhidmatan rel dan teksi, transformasi ini adalah sangat bertepatan. Mungkin ada yang berasa sedikit janggal untuk waktu terdekat ini tetapi dari semasa ke semasa, kita pasti akan dapat menerima perubahan ini setelah mengalaminya sendiri.

Yang lebih pasti, kita akan menikmati perjalanan ke destinasi dengan lebih yakin dan selesa tanpa gangguan dan penipuan ulat-ulat tiket. 

Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.spad.gov.my atau hubungi Hotline SPAD di 1-800-88-SPAD (7723).

Thursday, October 22, 2015

VTAR MELENGKAPKAN INSTITUSI PENDIDIKAN MCA


Dulu dikenali sebagai Institut Kojadi dan setelah penjanamaan semula, ia dikenali sebagai Institut VTAR. Maka lengkaplah rangkaian institusi pendidikan MCA yang ketika ini ada Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Taruc) dan Institute of Childhood Education-Studies and Community Education (Cece). 

Sejarah ringkasnya, Institut Jayadiri (IJ)bermula pada 1990 sebagai projek kemasyarakatan KOJADI dan kelas-kelas terletak di beberapa lot kedai di Old Klang Road. IJ kemudiannya ditempatkan di Wisma MCA dan dinamakan Institut KOJADI dengan persetujuan Presiden MCA agar premis baru ini lebih sesuai kepada penuntut-penuntutnya.

Penjanamaan semula Institut VTAR telah dirasmikan Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai di bangunan barunya di kampus TARUC, Setapak dengan dihadiri bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi dan negeri MCA.

Selepas penjanamaan semula dan transformasi Institut VTAR, sasarannya adalah pengambilan lebih banyak pelajar dan penawaran pelabagai kursus kepada lepasan sekolah dan belia di dalam pendidikan teknikal dan vokasional. Menurut Datuk Liow, ini adalah selaras dengan keperluan transformasi Malaysia dan tuntutan ekonomi global yang menuntut untuk mengubah negara daripada berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.

MCA bangga apabila telah terdapat permintaan terhadap penuntut-penuntut VTAR dari syarikat-syarikat elektronik walaupun mereka belum tamat pengajian dan sekali gus menunjukkan kursus teknikal dan vokasional yang ditawarkan menepati tuntutan industri di Malaysia.

Adalah menjadi visi Datuk Liow agar mereka yang tercicir dari persekolahan dapat dibantu dan statistik telah menunjukkan hampir 30% adalah datangnya dari masyarakat Cina dan mereka perlu diberi peluang latihan kemahiran agar mereka juga dapat menyumbang ke arah pembangunan negara.



Di antara kursus-kursus yang ditawarkan di VTAR termasuklah bidang eletrikal, terapi kecantikan, kecantikan rambut dan bakeri. Kursus automotif dan pendawaian serta diploma dalam elektronik akan bermula tahun hadapan.

MCA sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan dengan kursus-kursus latihan kemahiran di VTAR adalah bertepatan memenuhi permintaan 50,000 tenaga kerja mahir setiap tahun. Datuk Liow yakin VTAR mampu mencapai permintaan ini kerana ia mempunyai komitmen, keupayaan dan kapasiti.


Wednesday, October 21, 2015

RESPON PENYERTAAN KAJI SELIDIK KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA SANGAT MEMBERANGSANGKAN


Sejak dilancarkan Kaji Selidik Pasaran Bersama projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) dan Pihak Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) melalui Permintaan untuk Maklumat (RFI) pada 7 Oktober lalu, sebanyak 150 syarikat dan konsortium telah mendaftarkan minat untuk mengambil bahagian.

Pengumuman ini telah dibuat pihak SPAD baru-baru ini di mana sehingga jam 6 petang pada 16 Oktober 2015, pendaftaran telah diterima daripada rangkaian nilai industri HSR yang berpusat di Malaysia, Singapura, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah, dan Amerika Utara.

Kaji selidik pasaran melalui kaedah RFI lazim dibuat dalam sesuatu proses eksesais untuk membuat keputusan dan menjadi penanda aras yang biasanya mengikut format yang boleh digunakan untuk tujuan perbandingan. Eksesais ini mampu mengumpul maklumat minat pasaran dalam sesuatu projek serta mengumpul pendapat industri mengenai aspek komersial dan teknikal tertentu projek berkenaan.

Projek mega HSR di antara Malaysia dan Singapura yang menenlan belanja berpuluh bilion ini, sedang melalui fasa proses tender dan maklumbalas RFI yang diterima akan digunakan dalam perbincangan dua hala yang berterusan. Melalui RFI, maklumat maklumbalas dari pihak yang berkepentingan ini mampu membantu memperbaiki dan mengesahkan pilihan projek ini adalah tepat dan melancarkan proses mengeluarkan tender.

Terdahulu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar telah memberi respon kepada Moody’s Investors Service Singapore Pte Ltd, sebuah organisasi penganalisa projek, bahawa faedah jangka panjang projek HSR bagi Malaysia adalah jelas dan tidak dapat dinafikan dan kerajaan amat komited untuk melaksanakan dasar yang betul untuk kebaikan rakyat.

Moody's juga telah menyentuh perihal kos tiket yang jika ia sama dengan tiket kapal terbang KL-Singapura, maka berkemungkinan projek mega HSR ini tidak akan memberi banyak kesan.

Namun, sebagai langkah meyakinkan bahawa projek keretapi ini mengimbangi keperluan orang awam dan beroperasi secara mampan, SPAD telah melantik perunding bagi membuat kajian di dalam menilai daya maju projek ini dari perspektif teknikal dan kewangan, termasuk ekonomi projek dan kesan ke atas sosio-ekonomi kepada kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan di Singapura, Lee Hsien Loong secara rasmi bersetuju untuk membina sambungan HSR, yang dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan negara itu kepada 90 minit.

Dengan respond yang memberangsangkan dari pihak berkepentingan dalam jangka waktu singkat ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Malaysia (SPAD) mewakili Malaysia dan Land Transport Authority (LTA) pula mewakili Singapura, mereka yakin maklumbalas ini mampu memastikan projek HSR ini dapat berjalan dengan lancar.

Syarikat-syarikat yang belum mendaftar minat untuk mengambil bahagian masih berpeluang berbuat demikian kerana semua maklum balas perlu dikemukakan kepada pihak SPAD dan LTA sebelum jam 12 tengah hari pada 18 Novemebr 2015. Eksesais RFI ini dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Monday, October 19, 2015

MEMORANDUM PETEKMA KEPADA PERDANA MENTERI UNTUK BAJET 2016


Bajet 2016 akan dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak di Parlimen pada 23 Oktober (Jumaat) ini dan tidak terlambat bagi PETEKMA untuk menyuarakan masalah mereka agar kepentingan pemandu-pemandu teksi tidak diketepikan. 4 perkara pokok telah dikemukakan di dalam satu memorandum ketika Mesyuarat Agung Tahunan pada Sabtu lepas, walaupun Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah melancarkan laman webnya pada pertengahan September lalu, mengajak rakyat memberi cadangan dan di antaranya termasuklah kategori pengangkutan.


NGV, TOL DAN GST

Empat perkara yang terkandung di dalam memorandum PETEKMA adalah berkenaan harga NGV, harga tol di dalam bandar, GST dan perkhidmatan haram teksi seperti UBER dan GrabCar. PETEKMA telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Tan Sri Dr Rais Yatim, yang juga penasihat PETEKMA serta Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan.

Pada masa yang sama, PETEKMA juga tidak ketinggalan menyatakan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang telah berjaya memperjuangkan kenaikan kadar tambang teksi yang sekali gus telah memberi nafas kepada mereka. Namun pada masa yang sama, pemandu dan operator teksi berhadapan dengan kenaikan harga NGV sehingga 45 peratus, kenaikan tol di dalam bandar yang melibatkan dua tol iaitu tol SMART dan Besraya.

Maka pihak PETEKMA memohon agar pihak kerajaan dapat pertimbangkan untuk mengurangkan ataupun menunda kenaikan harga NGV, serta memberikan potongan 50 peratus kepada kenderaan kelas 4 di kedua-dua tol yang telah disebutkan.

Selanjutnya, PETEKMA telah menyatakan masalah pemandu-pemandu teksi yang terpaksa menanggung kenaikan kos operasi seperti alat ganti, bayaran sewa teksi dan pinjaman bank dikenakan GST manakala penumpang terkecuali.


UBER dan GrabCar

Memorandum PETEKMA juga telah menyentuh mengenai aplikasi talian UBER, GrabCar dan seumpamanya apabila kegiatan ini telah menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi terutama di sekitar bandaraya. Menurut Pengerusi PETEKMA En Mohd Syahrir Abdul Aziz, syarikat yang mengendali perkhidmatan teksi melalui talian ini perlu diharamkan kerana tidak menepati syarat-syarat SPAD dan PUSPAKOM.

Mereka telah mengelak dari membayar insuran, yuran proses, lesen, pemeriksaan PUSPAKOM dan mengambil kesempatan mengaut untung sehingga mampu menjejaskan pendapatan ahli-ahli PETEKMA yang sedia patuh kepada syarat-syarat SPAD dan PUSPAKOM. Oleh itu, Pengerusi PETEKMA mencadangkan agar adalah wajar sekiranya kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengharamkan aplikasi atas talian yang digunakan.

Walaupun apa yang dikemukakan PETEKMA di dalam memorandum berkemungkinan agak sedikit terlambat untuk PM masukkan ke dalam Bajet 2016 nanti, namun perkara-perkara seperti isu perkhidmatan teksi haram patut ditangani dengan segera kerana ia melibatkan keselamatan di mana sekiranya berlaku kejadian seperti kemalangan, salah laku atau jenayah, samada penumpang mahupun pemandunya tidak akan boleh membuat tuntutan.


HARAPAN PETEKMA

PETEKMA adalah persatuan yang mewakili pemandu-pemandu teksi dan limosin dengan keahlian melebihi 60,000 dan mempunyai 189 cawangan di seluruh negara memohon agar dapat bertemu Perdana Menteri bagi berbincang dan berunding dengan kerajaan serta mendengar denyut nadi mereka. 

Pendekatan PETEKMA adalah berbincang dan berunding dan tidak seperti sesetengah persatuan yang memilih untuk membuat bantahan jalanan ataupun mogok. PETEKMA juga selalu mengadakan perbincangan dan rundingan bersama SPAD, hasilnya berjaya mendapatkan kenaikan kadar tambang teksi yang berpatutan. 

Penguatkuasa SPAD juga telah memainkan peranan yang sangat berkesan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi ke atas pemandu-pemandu dan kereta Uber dan GrabCar. Namun, selagi aplikasi talian perkhidmatan mereka masih aktif, kereta-kereta haram ini akan masih lagi berkeliaran.

Oleh itu, 4 permintaan PETEKMA di dalam memorandum mereka diharapkan mendapat perhatian dan tindakan kerajaan agar industri teksi dan limosin terutama di bandar-bandar dapat diteruskan dan seterusnya diperkembangkan. PETEKMA juga berharap agar Perdana Menteri dan selaku Menteri Kewangan, dapat menimbangkan permintaan mereka dan sekali gus diadakan perundingan di meja bulat nanti.

Sunday, October 18, 2015

'FELDA HOUSE WEMBLEY' LONDON - PELABURAN HARTANAH FIC BERHASIL


Felda Investment Corporation (FIC), anak syarikat Felda di dalam bidang pelaburan hartanah kini mengorak selangkah lagi pelaburannya di London dengan mewujudkan Felda House di tengah-tengah Wembley, London. Felda House adalah penginapan serupa unit asrama untuk pelajar-pelajar di sekitar Wembley.

Terletak di tengah-tengah Wembley, asrama ini siap pada Julai lalu dengan kos £58.50 juta (£1 = RM6.36).

Kedudukannya yang strategik inilah antara faktor Felda House laris mendapatkan penyewa. Hanya beberapa jarak dari Stadium Wembley dan dekat dengan stesen bawah tanah yang menghubungi pelajar ke universiti di tengah-tengah London.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sangat berpuas hati dengan langkah tepat FIC melabur di Wembley memandangkan segmen hartanah yang semakin pesat di sekitar London. FIC telah pun mengorak langkah dalam pelaburan hartanah dalam Grand Plaza Service Apartment di Bayswater dan Park City Hotel di Kensington.

Ketika merasmikan Felda House Wembley, Tan Sri Isa menyatakan yang beliau tidak menyangka sambutan yang diluar jangka apabila dalam masa 7 bulan saja, semua bilik telah dipenuhi.

Memandangkan kejayaan FIC di dalam kedua-dua pelaburannya di London dan kini asrama penuntut Felda House di Wembley, Tan Sri Isa berharap agar pelaburan ini mampu memberi pulangan jangka panjang memandangkan matawang Pound Sterling lebih kukuh berbanding Ringgit Malaysia.

Selepas dua pangsapuri Grand Plaza di Bayswater beroperasi, ia telah meraih keuntungan sebanyak £5.1 juta dan Felda telah mendapat RM2 juta setiap tahun. Hotel Park City di Kensington pula telah berjaya meningkatkan penginapannya dari 74% ke 90% dan ia semakin popular kerana pakej-pakej tawarannya seperti majlis perkahwinan dan keraian yang boleh diadakan di laman yang luas di hotel ini.

Felda House Wembley menawarkan 449 bilik untuk disewa penginapan yang mampu memenuhi keperluan setiap pelajar dilengkapi dengan kemudahan di setiap bilik terdapat katil, almari dan perabot. Bagi unit studio pula dilengkapi dengan perabot dapur serta bilik mandi. Yang pasti bangunan penginapan ini ada WiFi dan CCTV untuk keselamatan.

Bangunan ke-2 penginapan penuntut dijangka siap pada tahun hadapan dengan anggaran kos sebanyak £109 million. Sebanyak 872 bilik dan dilengkapi dengan lebih kemudahan seperti kolam renang dan gym.

Segmen penginapan pelajar kini dilihat sebagai satu pelaburan hartanah yang sangat memberangsangkan dan ia juga dikategorikan sebagai pelaburan global ketara di arus perdana yang berpotensi memberi pulangan dan nilai yang tinggi.

Saturday, October 17, 2015

DATUK LIOW : PENDAKWAAN #MH17 ADA BUKTI KUKUH


Seperti yang dijanjikan kerajaan Malaysia, laporan dari Majlis Keamanan Belanda atau Dutch Safety Board (DSB) telah dikeluarkan dan mengesahkan MH17 telah ditembak peluru berpandu BUK atau BUK surface-to-air missile. Laporan muktamad ini jelas bercanggah dan menafikan teori Rusia bahawa pesawat MH17 telah ditembak oleh jet pejuang Ukraine. Siasatan DSB juga mendapati teori alternatif lain sekiranya pesawat ini menjunam akibat daripada letupan dalaman, terkena tembakan mahupun serangan di udara.

Di dalam siaran akhbarnya, Menteri Pengangkutan Dato 'Sri Liow Tiong Lai telah menyeru untuk teruskan pendakwaan walaupun telah digagalkan dengan kuasa veto Rusia ketika dibentangkan ke Majlis Keselamatan PBB untuk menetapkan satu tribunal antarabangsa.

Ketika perjumpaan ketua-ketua negara JIT bertemu baru-baru ini di New York, Perdana Menteri Najib Razak telah bersetuju bahawa perjanjian untuk menubuhkan mahkamah bebas antarabangsa bagi mengadakan satu mekanisme pendakwaan yang lebih berkesan ke atas mereka yang bertanggungjawab. Oleh itu, tidak perlu dilengahkan lagi untuk dibicarakan penjenayah-penjenayah ini dan Malaysia bersama-sama dengan negara Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia sentiasa berusaha untuk mencari keadilan bagi waris para penumpang dan anak kapal MH17.

Ketika laporan yang telah dibentangkan di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda, Pengerusi Majlis Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra, berdiri di hadapan bahagian ketiga rangka kapal terbang yang dibina semula dari serpihan yang ditemui dari kawasan Timur Ukrain.

MH17 telah terhempas di Timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777.

Laporan DSB juga mendedahkan ketika MH17 terhempas, kedua-dua pilot telah terbunuh serta merta tetapi penumpangnya masih hidup dalam jangkamasa seminit setengah dan pada masa yang sama, mendapati peluru berpandu BUK buatan Rusia telah dilepaskan dari beberapa meter menuju ke arah kokpit kapalterbang tersebut. Selain itu, DSB mendapati apabila arah peluru berpandu tersebut dikajisemula, ianya datang dari kawasan sekitar 320 kilometer selatan-timur Grabovo, Ukrain di mana kebanyakan kawasan tersebut dikawal pihak pemisah.

Antara lain, DSB juga menafikan beberapa lagi punca kemalangan berdasarkan analisa yang kurang tepat termasuklah punca dari anak-anak kapal, jadual penerbangan, muatan kargo dan juga sekatan ruang udara.

Bagi pihak Malaysia, Datuk Liow ingin merakamkan terima kasih kerajaan kepada DSB ke atas siasatan yang sangat teliti lagi telus dan dengan bukti-bukti yang kukuh, tiba masanya negara-negara mangsa meneruskan pendakwaan mereka. Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu dalam usaha untuk memastikan keadaan yang lebih selamat di ruang udara dan perubahan ke atas operasi penerbangan komersial antarabangsa tidak dilengahkan.

Datuk Liow telah mencadangkan agar International Civil Aviation Organization (ICAO) perlu menguatkuasakan maklumat yang relevan mengenai risiko penerbangan dan mewujudkan protokol antarabangsa untuk menyebarkan maklumat-maklumat tersebut kepada negara-negara anggotanya serta syarikat-syarikat penerbangan di mana ia mampu menyelamatkan nyawa manusia.

Pada masa yang sama, dilaporkan Datuk Sri Najib Razak juga menyeru agar negara-negara mangsa bekerjasama membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas 'pembunuhan' ini ke muka pengadilan dan menganggap ia sebagai serangan yang tidak sepatutnya berlaku. Walaupun telah melangkaui lima belas bulan, komitmen Malaysia untuk mendakwa pelaku-pelaku ini masih utuh sebagaimana ketika hari tragedi yang mengorbankan beratus nyawa mangsa yang tidak berdosa di dalam konflik yang mereka tidak terlibat.

Tuesday, October 13, 2015

ISU KENAIKAN TOL... APA SEBENARNYA

LAPORAN TAHUNAN MCA DALAM PERHIMPUNAN AGUNG KE 62


Setiap tahun MCA akan membentangkan laporannya kepada ahli-ahli agar dapat mengikuti perkembangan dan hala tuju parti seterusnya. Di dalam merancakkan lagi aktiviti parti, ahli-ahli MCA yang berjumlah lebih dari 1 juta di seluruh tanah air juga telah disuntik semangat bersatu dan setiakawan di antara parti-parti komponen Barisan Nasional yang terjalin sejak 62 tahun lalu.

Buat pertama kalinya, perhimpunan MCA dihadiri delegasi jemputan dari negara-negara ASEAN dan China selain daripada rakan-rakan parti komponen BN. Kehadiran Presiden BN merangkap Perdana Menteri Malaysia merasmikan perhimpunan tahunan ini juga membawa keyakinan bahawa MCA bukan parti politik bangsa Cina yang perlu dipinggirkan seperti tuduhan DAP. Malahan, kehadiran delegasi dari negara-negara lain juga membuktikan bahawa MCA mempunyai hubungan yang erat di peringkat antarabangsa.

Empat perkara pokok yang dibentangkan di dalam lapuran Presiden merangkumi situasi politik semasa, cabaran ekonomi dan transformasi MCA, agenda pendidikan dan persediaan menghadapi pilihanraya.

SITUASI POLITIK SEMASA

MCA bimbang dengan suasana politik negara seperti jerebu yang melanda di mana unsur-unsur ketegangan kaum sedang melanda. Bermulanya percikan api kebencian dari parti politik pembangkang sehingga menggugat kehidupan seharian masyarakat. Oleh itu, Datuk Liow telah mengingatkan semula semangat dan prinsip yang diperjuangkan Barisan Nasional yang berteraskan konsep kesederhanaan dan kepelbagaian yang telah menjadi formula kejayaan Malaysia.
Datuk Liow Tiong Lai telah memetik kata-kata pengasas parti MCA ini pada 30 Mac 1947 “The different communities in Malaya must develop the feeling of nationality of a Malaya type; they must learn to be united among themselves by common sympathies and be willing to cooperate with each other for common purpose, while at the same time preserving their cultural and intellectual independence.”

Dengan semangat inilah maka UMNO, MCA dan MIC dibawah satu perikatan mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya menjadi pengasas kepada negara sehingga terbentuknya BN pada tahun 1974 dan terus menerajui pemerintahan.

Oleh itu, Datuk Liow telah mencadangkan satu penyelesaian yang komprehensif agar kerajaan mewujudkan satu Majlis Rekonsilasi dalam mengatasi dan menyelesaikan isu-isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan juga sosio ekonomi masyarakt. Tanggungjawab majlis ini juga perlu melihat dan mencari solusi bagi jurang pemikiran antara kaum, antara generasi serta di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Selaras dengan pendekatan dan penerapan nilai-nilai Wasatiyyah yang didokong Perdana Menteri Najib Razak, MCA juga mengamalkan dasar tersebut dalam melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian.



CABARAN EKONOMI DAN TRANSFORMASI MCA

Di dalam menghadapi cabaran ekonomi negara, Datuk Liow menjelaskan perlunya semua lapisan masyarakat perkuatkan azam dan perkukuhkan perpaduan di mana MCA dibawah kepimpinannya telah bersama-sama menjayakan setiap inisiatif kerajaan.

Di antara usaha transformasi MCA, tiga fasa utama iaitu kempen Teguh Bersama, Memupuk Kepelbagaian dan 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi telah dilaksanakan dan membuahkan hasil dalam meningkatkan ekonomi rakyat.

Fasa pertama iaitu kempen 'Teguh Bersama' telah kembalikan perpaduan dan keutuhan dalam MCA berbanding dua tahun lalu dan fasa keduanya pula iaitu 'Memupuk Kepelbagaian' pula telah diterjemahkan dalam mencorakkan ciri-ciri unik Malaysia yang menarik daya saing antarabangsa.

Pada tahun ini, MCA telah melancarkan fasa ketiganya iaitu 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi yang mensasarkan kumpulan berkepentingan dan memerlukan. Inisiatif 'One Belt One Road' dan MCA adalah pemudahcaranya untuk perdagangan di antara Malaysia dan negara China.

MCA juga telah mewujudkan urusetia Urusetia untuk Kemajuan Keusahawanan Malaysia (SAME) bagi membantu dan menyelesaikan isu IKS terutamanya dari segi pembiayaan kewangan. YAB Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta di dalam bajet 2015 dan memandangkan sambutan yang menggalakkan serta keberkesanan membantu pembangunan ekonomi, MCA berharap agar di dalam bajet 2016, Perdana Menteri dapat meluluskan sekurang-kurangnya RM50 juta lagi serta penubuhan Bank Koperasi Kojadi.

Program Neo Urbanisasi telah diperkenalkan MCA bagi pekan-pekan tahap kedua dan ketiga serta kampung-kampung baru di seluruh negara. Pusat Strategik Urbanisasi Baru pula adalah untuk menambahkan lagi peluang pembangunan ekonomi di tempat masing-masing.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang lebih luas dalam perdagangan global, MCA menyokong penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPP). MCA akan berperanan membantu perniagaan dan usahawan tempatan meluaskan prospek perniagaan mereka di persada antarabangsa.


AGENDA PENDIDIKAN

MCA berpendirian tegas dan tidak akan akur kepada mana-mana pihak yang ingin menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Dalam usaha meningkatkan pendidikan SJKC, MCA telah melancarkan Pelan Sekolah Pintar 2.0 bagi mempertingkatkan tahap penguasaan Bahasa Malaysia dan Inggeris di kalangan pelajar-pelajar SJKC.

Ketegasan MCA ini bukan sekadar ingin mengekalkan legasi tetapi telah ditegaskan juga oleh YAB PM di dalam ucapannya, kepelbagaian aliran pendidikan adalah juga prinsip Barisan Nasional sejak penubuhannya.

Di dalam menuju pencapaian negara maju menjelang tahun 2020, selain menambahbaik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), MCA telah mempersiapkan pusat-pusat pengajian teknikal dan vokasional melalui kolej Technical Vocational Education Training (TVET) di Setapak serta dua lagi kampus di di Kuantan, Pahang dan kampus di Kota Kinabalu, Sabah.

Pertama kali, UTAR telah berjaya melahirkan kumpulan pertama 25 graduan dari fakulti perubatan dan bagi melatih lebih ramai pakar perubatan, MCA sedang berusaha membangunkan sebuah Hospital Universiti Swasta di Kampar, Perak.



BERSEDIA MENGHADAPI PILIHANRAYA

Datuk Liow telah memberi jaminan peribadinya yang MCA akan terus perjuangkan kepentingan majmuk dan khususnya masyarakat Cina. MCA akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dengan mengutamakan nilai-nilai murni seperti tadbir urus (good governance) yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Taktik politik kotor pembangkang yang dahulunya Pakatan Rakyat dan kini timbul pula Pakatan Harapan, akan terus didedahkan MCA. Kekeliruan dan penipuan yang sengaja diwujudkan pembangkang ini jelas terbukti apabila  di antara mereka gagal bersatu dan berkompromi sesama mereka. Justeru, taktik kotor mereka ini hanyalah untuk menutup kegagalan mereka menangani perbezaan dan sekali gus membuktikan impian mentadbir Malaysia hanyalah satu impian kosong.

MCA akan menyedarkan rakyat agar tidak dijadikan mangsa yang akhirnya mereka yang menerima padah akibat dari pertelingkahan yang tiada kesudahan sesama parti-parti pembangkang.

Pendekatan DAP yang gemar menyemai benih kebencian antara kaum dengan pendekatan konfrontasi hanya akan membawa kerugian besar kepada masyarakat Cina. Oleh itu, Datuk Liow menegaskan, MCA di bawah kepimpinannya tidak akan sekali-kali memainkan isu perkauman seperti yang dilakukan DAP yang sebenarnya hanya untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Justeru, MCA tidak pernah dan tidak akan menyerah kalah malah akan terus menggalas tanggungjawab dan amanah yang dipegang sejak kemerdekaan lagi untuk bersama-sama memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum.

Apabila YAB Perdana Menteri telah memberi peluang kedua kepada MCA menduduki jawatan di dalam kabinet kerajaan, maka MCA bukan sahaja berterima kasih malahan MCA perlu mempunyai satu suara dan satu matlamat dalam berganding bahu bekerjasama dalam perjuangan dan jauhkan diri dari bertelagah sesama sendiri.

Memetik kata-kata Aesop, ahli falsafah yunani purba “Those who betray their friends, do not always realize that they are destroying themselves” dan berpesan agar janganlah kita menjadi enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing, Datuk Liow berharap agar perselisihan faham sesama sendiri perlu dihentikan.

Beliau mengakhiri laporan tahunan MCA dengan menyeru ahli-ahli MCA agar bangkit dan bersatu bagi memastikan kesinambungan BN terjamin pada PRU akan datang sebagai satu kenyataan, malahan yang lebih utama ialah memastikan masa depan Malaysia terjamin, aman dan makmur selama-lamanya.

Monday, October 12, 2015

TRANSFORMASI MODUL PLKN 2.0 ... MANTAP


Transformasi Modul PLKN 2.0 adalah sejajar dengan perkembangan semasa negara untuk memenuhi tuntutan tenaga berkemahiran. Oleh itu Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) memperkenalkan 8 modul baru untuk persiapan mulai tahun hadapan.

5 modul utama PLKN 2.0 merangkumi Cergas Tangkas (FIT4LIFE), Bicara Tekno (TECH & TALK), Pembangunan Diri (I-UPGRADE), MalaysiaKu dan Cakna Negara (BE SAFE, BE ALERT) dan 3 lagi sub-modul adalah Kerohanian (SPIRITUALITY), KerjayaKu (MYFUTURE) dan Khidmat Masyarakat (SERVICE LEARNING) yang bertepatan dengan 3 teras utama PLKN iaitu Kesukarelawanan, Perpaduan dan Cintakan Negara.

Pengumuman ini telah dibuat oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Harun Narrashid dan PLKN 2.0 akan dilaksanakan dalam 2 fasa iaitu Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) dan Program Sijil Kemahiran Teknikal.

Di antara penambahbaikan lain adalah pengambilan pelatih terbuka kepada sukarelawan di mana diperuntukkan 30 peratus dan selebihnya adalah untuk pelajar-pelajar lepasan sekolah yang mendapat cadangan dan perakuan dari pihak sekolah. Tempoh perlaksanaan program ini juga akan dipendekkan dari 12 minggu ke 8 minggu dan sekali gus mampu mengurangkan kos program serta ia bertujuan untuk membuat penambahan pengambilan bagi setiap program dalam setahun.

PLKN 2.0 juga melibatkan 420 agensi awam kerajaan dan 10 kementerian di dalam program jangkamasa panjang dibuat sebagai Follow-up Program di mana bekas pelatih PLKN 2.0 akan diberi peluang menjalani latihan kemahiran dan amali untuk membina kerjaya mereka kelak. Pelatih yang gagal mendapat peluang melanjutkan pengajian di universiti juga akan berpeluang menyertai program kemahiran. Ini adalah memastikan pelatih-pelatih PLKN tidak menjadi golongan terpinggir yang tiada pekerjaan, tiada kemahiran dan tiada masa depan.

Yayasan Alumni PLKN turut dibentuk bagi mengemaskini data mengenai bekas-bekas pelatih sebelum ini.

Di antara aspek penting yang dipertingkatkan adalah faktor keselamatan samada dari segi perlaksanaan modul mahupun penempatan pelatih. Sehubungan itu, penyelenggaraan semula lebih 80 kem Khidmat Negara seluruh Malaysia telah pun mula dilaksanakan bagi persedian PLKN 2.0 pada Januari 2016 nanti.

Seramai hampir 400 peserta akan mengambil bahagian di mana 309 pelatih adalah dari kalangan sukarelawan, 32 pelatih dari Malaysian Automotive Institute dan selebihnya adalah individu yang membuat penangguhan latihan pada program yang lalu.

Friday, October 09, 2015

KEPIMPINAN MCA TIDAK MUDAH MELATAH DENGAN KENYATAAN MANTAN PRESIDENNYA


Untuk beberapa ketika ini, soalan-soalan panas dari wartawan akan pasti dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin MCA setelah mantan Presidennya, Tun Ling Liong Sik secara terbuka menyatakan untuk menyertai gelanggang Tun Mahathir setelah menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di Perth, untuk menuntut agar Perdana Menteri DS Najib Razak meletak jawatan.

Soalan panas akan berterusan setelah di antara Tun Ling dan DS Najib bakal dibawa ke muka pengadilan di mahkamah. Justeru, pendirian dan pandangan kepimpinan MCA terutama dari kepimpinan Datuk Liow Tiong Lai pasti dituntut bukan saja dari wartawan malahan dari kesemua parti politik terutama parti-parti komponen Barisan Nasional.

Oleh kerana pihak Perdana Menteri sedang membawa kenyataan mantan Presiden MCA ke muka pengadilan di mahkamah, maka ketiga-tiga kepimpinan tertinggi MCA secara sebulat suara bersetuju agar ia diadili dan diselesaikan mengikut undang-undang. Secara sebulat suara juga, mereka bersetuju bahawa kritikan Tun Ling adalah pandangan peribadinya dan bukan kenyataan rasmi MCA. Maka Tun Ling perlulah bertanggungjawab ke atas kenyataannya sendiri.

Kematangan dan kebijaksanaan sebeginilah yang perlu dipuji rakyat agar memahami di antara kenyataan rasmi parti dibezakan dengan pandangan peribadi. Walau apa pun yang dikeluarkan oleh mantan-mantan Presiden, itu adalah hak peribadinya yang sememangnya mempunyai tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan parti.

Tetapi ia seolah-olah MCA cuba melarikan diri daripada mendepani isu ini.

Sebagaimana MCA menghormati pandangan peribadi mantan Presidennya, begitu jugalah MCA menghormati tindakan tuntutan ke mahkamah oleh PM Najib Razak dan beliau lebih berhak mengambil tindakan kerana ia lebih kepada peribadi. Begitu juga berlaku apabila Tun Mahathir keluarkan kenyataan-kenyataan mengkritik PM Najib, UMNO tidak mengambil tindakan undang-undang kerana ia perlu diselesaikan didalam gelanggang parti.

Malahan, pendekatan yang diambil MCA memilih untuk menyelesaikan sebarang isu dengan semangat berpasukan dan setiakawan sebagai sebuah keluarga Barisan Nasional. Walau apa pun pandangan parti lawan, keutuhan kerajaan yang ada perlu dipertahankan walau apa pun isu sedang melanda, maka MCA mengajak kita melihat dalam konteks 'the BIG picture'.

Bagi MCA, menyokong kepimpinan Najib Razak adalah keutamaan kerana beliau telah dipilih di dalam amalan demokrasi dan adalah tidak menyalahi undang-undang negara. Seterusnya, sebagai parti penyokong kerajaan segala aspirasi dan perancangan untuk negara dan rakyat adalah lebih baik diberi tumpuan. Tuntutan agar rakyat bersatu menghadapi cabaran yang mendatang adalah juga keutamaan MCA.
 

Thursday, October 08, 2015

PERSEPSI JAHAT LEBIH PENTING UNTUK SABITKAN MP UMNO

Ada pepatah mengatakan mata pena lebih tajam dari pedang, tetapi hari ini di zaman segalanya dihujung jari, nampaknya pepatah ini lebih sesuai ditulis... hujung jari lebih tajam dari pedang. Ia lebih sesuai jika diajukan kepada wartawan dan penulis di portal-portal berita untuk mewujudkan persepsi samada baik mahupun buruk, yang penting persepsi diutamakan.

Ini adalah contoh jari-jari tajam yang menulis berita yang belum disahihkan dan mewujudkan persepsi buruk terhadap seorang Ahli Parlimen UMNO, walaupun dalam waktu yang beberapa jam...



Pada pukul 2.31 ptg, Malaysiakini terbitkan satu artikel bertajuk, "MP Umno akan dipanggil bantu siasatan kes tanah", dengan ulasan bahawa seorang ahli parlimen Umno yang juga pengarah di sebuah anak syarikat Felda didakwa disiasat SPRM berkaitan pembelian tanah di Johor susulan dakwaan salah guna kuasa.

Mkini hanya tulis dari sumber SPRM dan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Azam Baki enggan mengulas dakwaan itu ketika dihubungi.

Jika disemak melalui 'google search', terdapat beberapa portal dan blog yang telah pun berkongsi berita dalam masa beberapa jam sahaja dan di antaranya, yang pasti adalah portal mesra pembangkang seperti Malaysia Chronicle dan Free Malaysia Today.

Maka satu persoalan timbul, siapakah MP tersebut, seorang pengarah di sebuah anak syarikat Felda dan berkaitan Johor? Pasti akan ada yang membuat siasatan dan paling terpantas ialah mencari di laman web anak syarikat Felda, maka nama Datuk Ehsan, MP Kota Tinggi adalah nama yang pasti ingin disabitkan.

Kemudian pada pukul 6.00 ptg, MalaysiaKini tulis pula 'SPRM nafi wakil seorang rakyat Umno disiasat' dengan penafian dari Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdul menahan, menyoal siasat atau meminta seorang anggota parlimen Umno untuk membantu siasatan. 

Malangnya, tidak pula Malaysia Chronicle mahupun Free Malaysia Today atau blog-blog mesra pembangkang kemaskini penafian ini.

Pokoknya dalam jangka waktu hampir 4 jam sebelum penafian SPRM, persepsi buruk terhadap Datuk Ehsan telah mula viral yang beliau menepati teka-teki Malaysiakini. Persepsi jahatnya ialah beliau disabitkan dengan salahguna kuasa dan lebih malang apabila ada yang mula mempercayainya bukan sahaja dari kalangan parti lawan malahan dari parti UMNO sendiri.

Damage done! Datuk Ehsan yang selama ini mempunyai profil yang dihormati mula tercemar. Beliau bukan sahaja berada di dalam Lembaga Pengarah agensi kerajaan Felda, malahan beliau juga adalah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara dan baru-baru ini di peringkat antarabangsa, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi AIPA Fact-Finding Committee (AIFOCOM) ke 12 untuk memerangi kegiatan haram dadah.

Itulah kuasa hujung jari pada era teknologi hari ini, etika kewartawanan dicabuli asalkan rating berita mampu dinaikkan. Rasa bertanggungjawab sudah hilang namun yang penting mampu sensasikan berita dan samada pembaca percaya atau tidak, yang lebih penting 'character assasination' telah bermula untuk seorang ahli politik pro-kerajaan. Bukankah jelas tertulis nama UMNO?

Sebagai pembaca portal-portal berita mesra pembangkang, kita bukan sahaja perlu berhati-hati dengan pemberitaan mereka, malahan perlu memantau setiap perkataan dan para yang ditulis. Sekiranya perlu diambil tindakan undang-undang, ia perlu diteruskan.

Kerosakan yang dilakukan pemberitaan mahupun penulisan seperti ini bukan sekali, malahan telah kerap berlaku. 

Felda telah pun berjaya membawa penulisan-penulisan fitnah dan palsu ke mahkamah dan memenangi saman  ke atas lidah rasmi pembangkang seperti Suara Keadilan dan Harakah.

Tetapi, yang lebih penting, siapa pemberi maklumat kepada portal-portal ini?