Sunday, October 18, 2015

'FELDA HOUSE WEMBLEY' LONDON - PELABURAN HARTANAH FIC BERHASIL


Felda Investment Corporation (FIC), anak syarikat Felda di dalam bidang pelaburan hartanah kini mengorak selangkah lagi pelaburannya di London dengan mewujudkan Felda House di tengah-tengah Wembley, London. Felda House adalah penginapan serupa unit asrama untuk pelajar-pelajar di sekitar Wembley.

Terletak di tengah-tengah Wembley, asrama ini siap pada Julai lalu dengan kos £58.50 juta (£1 = RM6.36).

Kedudukannya yang strategik inilah antara faktor Felda House laris mendapatkan penyewa. Hanya beberapa jarak dari Stadium Wembley dan dekat dengan stesen bawah tanah yang menghubungi pelajar ke universiti di tengah-tengah London.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sangat berpuas hati dengan langkah tepat FIC melabur di Wembley memandangkan segmen hartanah yang semakin pesat di sekitar London. FIC telah pun mengorak langkah dalam pelaburan hartanah dalam Grand Plaza Service Apartment di Bayswater dan Park City Hotel di Kensington.

Ketika merasmikan Felda House Wembley, Tan Sri Isa menyatakan yang beliau tidak menyangka sambutan yang diluar jangka apabila dalam masa 7 bulan saja, semua bilik telah dipenuhi.

Memandangkan kejayaan FIC di dalam kedua-dua pelaburannya di London dan kini asrama penuntut Felda House di Wembley, Tan Sri Isa berharap agar pelaburan ini mampu memberi pulangan jangka panjang memandangkan matawang Pound Sterling lebih kukuh berbanding Ringgit Malaysia.

Selepas dua pangsapuri Grand Plaza di Bayswater beroperasi, ia telah meraih keuntungan sebanyak £5.1 juta dan Felda telah mendapat RM2 juta setiap tahun. Hotel Park City di Kensington pula telah berjaya meningkatkan penginapannya dari 74% ke 90% dan ia semakin popular kerana pakej-pakej tawarannya seperti majlis perkahwinan dan keraian yang boleh diadakan di laman yang luas di hotel ini.

Felda House Wembley menawarkan 449 bilik untuk disewa penginapan yang mampu memenuhi keperluan setiap pelajar dilengkapi dengan kemudahan di setiap bilik terdapat katil, almari dan perabot. Bagi unit studio pula dilengkapi dengan perabot dapur serta bilik mandi. Yang pasti bangunan penginapan ini ada WiFi dan CCTV untuk keselamatan.

Bangunan ke-2 penginapan penuntut dijangka siap pada tahun hadapan dengan anggaran kos sebanyak £109 million. Sebanyak 872 bilik dan dilengkapi dengan lebih kemudahan seperti kolam renang dan gym.

Segmen penginapan pelajar kini dilihat sebagai satu pelaburan hartanah yang sangat memberangsangkan dan ia juga dikategorikan sebagai pelaburan global ketara di arus perdana yang berpotensi memberi pulangan dan nilai yang tinggi.

No comments: