Thursday, October 08, 2015

PERSEPSI JAHAT LEBIH PENTING UNTUK SABITKAN MP UMNO

Ada pepatah mengatakan mata pena lebih tajam dari pedang, tetapi hari ini di zaman segalanya dihujung jari, nampaknya pepatah ini lebih sesuai ditulis... hujung jari lebih tajam dari pedang. Ia lebih sesuai jika diajukan kepada wartawan dan penulis di portal-portal berita untuk mewujudkan persepsi samada baik mahupun buruk, yang penting persepsi diutamakan.

Ini adalah contoh jari-jari tajam yang menulis berita yang belum disahihkan dan mewujudkan persepsi buruk terhadap seorang Ahli Parlimen UMNO, walaupun dalam waktu yang beberapa jam...



Pada pukul 2.31 ptg, Malaysiakini terbitkan satu artikel bertajuk, "MP Umno akan dipanggil bantu siasatan kes tanah", dengan ulasan bahawa seorang ahli parlimen Umno yang juga pengarah di sebuah anak syarikat Felda didakwa disiasat SPRM berkaitan pembelian tanah di Johor susulan dakwaan salah guna kuasa.

Mkini hanya tulis dari sumber SPRM dan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Azam Baki enggan mengulas dakwaan itu ketika dihubungi.

Jika disemak melalui 'google search', terdapat beberapa portal dan blog yang telah pun berkongsi berita dalam masa beberapa jam sahaja dan di antaranya, yang pasti adalah portal mesra pembangkang seperti Malaysia Chronicle dan Free Malaysia Today.

Maka satu persoalan timbul, siapakah MP tersebut, seorang pengarah di sebuah anak syarikat Felda dan berkaitan Johor? Pasti akan ada yang membuat siasatan dan paling terpantas ialah mencari di laman web anak syarikat Felda, maka nama Datuk Ehsan, MP Kota Tinggi adalah nama yang pasti ingin disabitkan.

Kemudian pada pukul 6.00 ptg, MalaysiaKini tulis pula 'SPRM nafi wakil seorang rakyat Umno disiasat' dengan penafian dari Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdul menahan, menyoal siasat atau meminta seorang anggota parlimen Umno untuk membantu siasatan. 

Malangnya, tidak pula Malaysia Chronicle mahupun Free Malaysia Today atau blog-blog mesra pembangkang kemaskini penafian ini.

Pokoknya dalam jangka waktu hampir 4 jam sebelum penafian SPRM, persepsi buruk terhadap Datuk Ehsan telah mula viral yang beliau menepati teka-teki Malaysiakini. Persepsi jahatnya ialah beliau disabitkan dengan salahguna kuasa dan lebih malang apabila ada yang mula mempercayainya bukan sahaja dari kalangan parti lawan malahan dari parti UMNO sendiri.

Damage done! Datuk Ehsan yang selama ini mempunyai profil yang dihormati mula tercemar. Beliau bukan sahaja berada di dalam Lembaga Pengarah agensi kerajaan Felda, malahan beliau juga adalah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara dan baru-baru ini di peringkat antarabangsa, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi AIPA Fact-Finding Committee (AIFOCOM) ke 12 untuk memerangi kegiatan haram dadah.

Itulah kuasa hujung jari pada era teknologi hari ini, etika kewartawanan dicabuli asalkan rating berita mampu dinaikkan. Rasa bertanggungjawab sudah hilang namun yang penting mampu sensasikan berita dan samada pembaca percaya atau tidak, yang lebih penting 'character assasination' telah bermula untuk seorang ahli politik pro-kerajaan. Bukankah jelas tertulis nama UMNO?

Sebagai pembaca portal-portal berita mesra pembangkang, kita bukan sahaja perlu berhati-hati dengan pemberitaan mereka, malahan perlu memantau setiap perkataan dan para yang ditulis. Sekiranya perlu diambil tindakan undang-undang, ia perlu diteruskan.

Kerosakan yang dilakukan pemberitaan mahupun penulisan seperti ini bukan sekali, malahan telah kerap berlaku. 

Felda telah pun berjaya membawa penulisan-penulisan fitnah dan palsu ke mahkamah dan memenangi saman  ke atas lidah rasmi pembangkang seperti Suara Keadilan dan Harakah.

Tetapi, yang lebih penting, siapa pemberi maklumat kepada portal-portal ini?
 

No comments: