Thursday, December 24, 2015

BIDANGKUASA SKMM MEMANTAU DAN BERTINDAK KE ATAS APLIKASI UBER DAN GRABCAR


Sekali lagi isu perkhidmatan kereta persendirian seperti Uber dan GrabCar mendapat perhatian di media setelah dibawa ke parlimen. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dalam jawapan lisan mengatakan yang pihak SKMM bukanlah agensi yang memberi kelulusan perkhidmatan Uber dan GrabCar ini dan aplikasi perkhidamatan hanya akan diambil tindakan sekiranya mendapat permintaan dari pihak SPAD.

Timbalan Menteri juga menyatakan yang SKMM tidak boleh block mana-mana aplikasi yang tidak melanggar undang-undang. Dengan lain kata, aplikasi kereta sewa seperti Uber, GrabCar dan yang serupa tidak melanggar undang-undang. Kenyataan Timbalan Menteri ini boleh dibaca ... DI SINI.

Bagi pihak JPJ pula, mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang perkhidmatan yang ditawarkan menerusi aplikasi telefon seperti Uber dan GrabCar adalah menyalahi undang-undang kerana kenderaan yang digunakan tidak berdaftar dengan SPAD dan juga JPJ. Pihak JPJ juga beri jaminan untuk membanteras kegiatan ini dan mengakui menghadapi kesukaran memandangkan kenderaan peribadi ini tidak berdaftar. Maklumat ini dipetik ... DI SINI.


Kedua-dua kenyataan di atas mengesahkan yang perkhidmatan kereta persendirian Uber dan GrabCar adalah salah tetapi mereka mungkin terlepas pandang yang punca perkhidmatan ini datangnya dari aplikasi telefon yang pasti di bawah bidangkuasa SKMM.

Ini yang ingin diketengahkan Pengerusi SPAD Sri Syed Hamid Albar yang SKMM perlu bertanggungjawab memantau dan mengawal aplikasi Uber dan GrabCar. Tan Sri juga menjelaskan bahawa memberi perkhidmatan aplikasi tidak menjadi satu kesalahan di bawah SPAD, oleh kerana itu pihak SPAD hanya mengambil tindakan ke atas kenderaan yang digunakan dan pemilik kereta sahaja.

Berbeza dengan aplikasi MeterOn yang diperkenal SPAD yang meliputi lebih 50,000 teksi berlesen di Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan standard perkhidmatan teksi. Aplikasi ini menawarkan kepada pelanggan platform dengan dilengkapi enam ciri utama iaitu pengesahan pemandu, alat menjejaki perjalanan, anggaran tambang, penilaian pemandu, amaran SOS dan maklum balas atau laporan.

Tan Sri juga mengesahkan yang pihak SPAD telah berunding dengan SKMM untuk mencari penyelesaian ini dan seharusnya mereka bertanggungjawab kerana di bawah undang-undang ia sememangnya tugas SKMM untuk mengawal selia semua aplikasi telefon.

No comments: