Wednesday, September 02, 2015

TERIMA KASIH EN NUR ISMAL DAN SELAMAT DATANG EN AZHARUDDIN KE SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan pada tahun 2012 dengan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam darat bagi memenuhi peningkatan perjalanan yang telah mencecah ke 40 juta pada waktu itu.

Setelah kerajaan menggariskan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara, sebagai agensi kerajaan yang telah diamanahkan untuk perlaksanaannya, SPAD telah bergerak secara dinamik dan pastinya memerlukan seseorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menerajui agensi ini.

Di antara pengangkutan awam yang mendapat perhatian khusus kerajaan ialah projek keretapi laju di antara KL-Singapura. Memandangkan fokus khusus diperlukan, maka En Mohd Nur Ismal telah diamanahkan untuk menerajui myHSR Corp sebagai Pegawai Eksekutif yang baru.

En Azharuddin mula bertugas sebagai CEO pada 1 September 2015

Bagi meneruskan amanah kerajaan agar operasi SPAD berjalan dengan dinamik untuk mencapai sasarannya, En Mohd Azharuddin Bin Mat Sah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya, berkuatkuasa 1 September 2015 bagi mengganti En Mohd Nur Ismal.

En Azahruddin pernah memegang jawatan sebagai Pengarah, Greater KL / Lembah Klang dan Bandar Pengangkutan Awam PEMANDU (Persembahan Pengurusan dan Pelaksanaan Unit, Jabatan Perdana Menteri) sebelum dilantik ke jawatan CEO SPAD.

Pelbagai pengalaman dan pengalaman dari pelbagai jawatan penting dalam organsasi seperti Microsoft sebagai Pengarah Kumpulan Sektor Awam, Malaysia, Khazanah Nasional sebagai Naib Presiden Kanan Projek Khas dan Royal Dutch / Shell dengan tugas di Malaysia dan korporat ibu pejabat di London, adalah merupakan satu kelebihan bagi penambahbaikan pengurusan SPAD. Kesinambungan usaha-usaha SPAD dalam memastikan pertumbuhan eksosistem pengangkutan awam darat agar berdaya maju adalah peranan utama yang dipertanggungjawabkan kepada En Azharuddin.

Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar selaku Pengerusi SPAD positif dengan perlantikan En Azharuddin dan yakin dengan kemampuan pengetahuan serta pengalaman beliau untuk bekerjasama dalam menggerakkan setiap rancangan dengan lebih fokus dan lancar.

Pada masa yang sama, Tan Sri Hamid juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Nur Ismal yang telah bersama-sama SPAD sejak penubuhannya. Bukan sahaja SPAD telah mampu mencapai sasaran perancangannya dalam masa 5 tahun, tetapi En Nur Ismal adalah merupakan rakan kerja yang sentiasa bersama-samanya menghadapi dan mengatasi setiap isu pengangkutan awam darat.

Sepanjang 5 tahun ini juga, En Nur Ismal bersama-sama Tan Sri Hamid telah mampu menyelesaikan beberapa isu kritikal dan di antaranya seperti tragedi kemalangan bas di Genting Highlands, isu kenaikan tambang teksi yang dipolitikkan sesetengah pihak, penyelesaian tuntutan kenaikan kadar tambang bas sekolah serta penyelesaian tuntutan Kesatuan Pekerja KTMB.

Adalah bertepatan apabila kerjasama Tan Sri Hamid dengan En Nur Ismal diibaratkan seperti aur dengan tebing mahupuan seperti isi dengan kuku apabila setiap konflik rakyat yang bersabit pengangkutan awam, mendapat respon pantas dari mereka berdua. Imej SPAD juga telah dibawa ke tahap yang dihormati dan diterima baik rakyat apabila isu-isu seperti ulat tiket, samseng kereta sapu dan lori hantu telah diambil tindakan agresif mengatasinya.

Selama SPAD diterajui Tan Sri Hamid bersama-sama En Nur Ismal, nasib pengusaha-pengusaha bas henti-henti dan teksi telah dapat diselamatkan malahan diperbaiki dengan usaha-usaha rancangan 'win-win' kepada mereka dan juga rakyat.

Terima kasih En Nur Ismal dan Selamat Datang En Azharuddin ke SPAD semoga setiap perancangan akan lebih dinamik dan berterusan.

No comments: