BismillahirRahmanirRahim,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nasta’in,
Allahhumma Solli A’la Saidina Muhammad wa A’la Saidina Muhammad,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
1. Sebelum memulakan
ucapan, saya difahamkan bahawa, yang dijemput hadir dalam dewan ini,
terdiri daripada para menteri dan anggota pentadbiran kerajaan,
kakitangan serta penjawat awam, ahli-ahli korporat, wakil-wakil NGO,
para pensyarah dan golongan pendidik, budayawan, mahasiswa serta
individu-individu perseorangan mewakili tokoh-tokoh juga golongan
masyarakat.
2. Makanya, Saya
berasa yakin, bahawa setiap seorang daripada kita berada di sini kerana,
ingin sama-sama memperingati satu peristiwa amat penting dalam
perjalanan negara, yakni, kemerdekaan Malaysia tercinta, tanggal 31 Ogos
1957.
3. Justeru, sebelum
dilanjutkan sebarang kata-kata, saya pinta kepada semua, terutamanya
dalam dewan ini, sama ada yang sedang duduk, mahupun saudara-saudara
yang masih berdiri.
4. Tanpa membuang masa
lagi, marilah, kita sama-sama menumpukan seluruh perhatian, berdiam dan
bertafakur, sambil memejamkan mata masing-masing sebentar, tunduk,
dengan rasa keinsafan.
5. Renungkanlah
sejenak sedalam-dalamnya, dan tanyalah di sanubari masing-masing, apakah
setiap daripada kita ini, benar-benar mengerti serta mampu menghayati
maksud kemerdekaan.
Saudara dan saudari sekalian, kini, bukalah kembali mata kita masing-masing.
6. Satu hal lagi yang
tidak boleh dilupakan, apabila kita dapat berkumpul dengan aman
sebegini, tidak ada orang yang boleh menafikan bahawa, adalah berkat
jasa dan bakti para perajurit serta anggota keselamatan tanah air, yang
selama ini, tidak pernah kenal erti penat lelah, berkorban apa saja,
bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman serta sentosa.
7. Kerana itulah, kita
menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat
ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak
langsung mencerminkan kematangan, bahkan bukanlah sebagai saluran yang
betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara berdemokrasi.
8. Seperti diketahui,
apa yang berlaku sehari dua ini adalah sungguh tidak wajar. Oleh sebab
ia mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan.
9. Waima, Mufti
Kelantan sendiri telah menyatakan bahawa demonstrasi jalanan dan
perhimpunan Bersih 4.0 tersebut adalah hukumnya Haram di sisi agama
Islam.
10. Oleh itu, segala
susah payah anggota keselamatan akan sentiasa kita beri penghargaan dan
penghormatan yang tinggi kerana bakti merekalah, keharmonian serta
kerukunan dapat terus dikecapi pada setiap masa.
11. Lantaran, marilah
kita beramai-ramai merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah serta
memberikan tepukan gemuruh kepada kesungguhan Anggota Tentera Malaysia
dan ucapan syabas pula di atas keberanian dan ketegasan pasukan Polis
Diraja Malaysia, demi mendaulatkan negara!
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
12. Sebetulnya,
kemerdekaan hanya datang sekali. Ia bukanlah barang mainan mahupun
timbul berulang-ulang. Kerana itu, ia harus dijaga, dipupuk dan
dipelihara sebaik-baiknya.
13. Hakikatnya, kemerdekaan adalah sebuah anugerah yang
besar lagi tidak ternilai. Ia mengajar sesebuah watan itu berdiri di
atas kaki sendiri, mendewasa, dan mematangkan diri.
14. Dalam hal negara ini, Alhamdulillah, satu titik
persefahaman telah pun kita capai sepertimana saya sebutkan pada hari
Malaysia yang lalu bahawa, kini, tidak timbul lagi polemik, dan
menetapkan bermula tahun lepas, semua rakyat Malaysia akan menyambut
hanya satu tarikh kemerdekaan sebagai simbolis solidariti, sehati
sejiwa, bagi seluruh Malaysia.
Saudara dan saudari,
15. Di satu sudut, Sabah dan Sarawak, dari penghujung Ulu Lachau membawa ke Lahad Datu, nun jauh di pinggir sana,
16. Pada sisi yang lain, bermula dari Arau Perlis hingga ke
Tanjung Piai di penamat Tanah Semenanjung, bahkan untuk pengetahuan
semua, Tanjung Piai itulah pengakhirnya Tanah Besar Asia.
17. Selanjutnya, bumi Malaysia yang bertuah dan langit
pertiwi yang kita junjung ini, sekarang didiami oleh hampir 30 juta
penduduk, dengan ratusan etnik dan suku, antaranya, orang Melayu, Cina,
India, Iban, Orang Ulu, Melanau, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli,
orang Siam keturunan Malaysia, Punjabi dan orang-orang Serani dan
lain-lain lagi.
18. Lantas, pada malam ulangtahun kemerdekaan ini, saya
berdiri di sini, bukan sekadar sebagai seorang Perdana Menteri, tidak
juga hanya menjadi pemimpin parti,…
19. Tetapi, saya berdiri di sini, sebagaimana saudara dan
saudari semua, dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta
bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa,…
20. …negara serta tanahair ini, adalah milik setiap seorang
daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapapun menjadi dalang
serta pengkhianat untuk memusnahkannya.
Hidup Malaysia, Hidup Malaysia!
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,
21. Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu
domba, meski apapun akan berlaku,… biar berdentum guruh di langit,
walau bumi berkeping dua, persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan
Semenanjung, bak pesan orang lama-lama, bercerai kasih bertalak tidak,
ibarat besi terpatri mati.
22. Oleh yang demikianlah, malam ini, buat kali kedua,
sejak menjadi Perdana Menteri, saya memilih untuk berdiri secara
langsung di hadapan saudara dan saudari sekalian, tidak seperti
perutusan biasa, supaya saya dapat berucap dari hati ke hati kepada
semua yang mendengar.
23. Sebelum itu, adalah molek kita mengimbau sedikit
tentang dari mana kita datang,… di mana kita kini, dan ke manakah arah
tuju negara selepas ini.
24. Pokoknya, kita wajar, terus menghitung syukur ke hadrat
Ilahi kerana, selama lebih 50 tahun, telah sama-sama mengharungi dan
melalui suka duka, pembinaan sebuah negara bangsa.
25. Oleh itu, jangan sesekali dilupa, semasa meraih
kemerdekaan, dunia umumnya, sangsi dan ragu-ragu akan kemampuan sebuah
negara kecil ini, dengan penduduk yang berbilang bangsa bahawa, mampukah
kita untuk mencipta dan menempa kisah kejayaan.
26. Sebaliknya, setelah dinaungi lebih 170 tahun oleh
pentadbiran British, istilah yang digunakan ramai ketika itu adalah,
pihak British sendiri ‘mengangkat tabik’ atas kesanggupan orang-orang
Melayu, khususnya perjuangan UMNO, dan parti Perikatan, yang cekal dan
tabah untuk mengambil tanggungjawab serta berani untuk bernegara
sendiri.
27. Oleh yang demikian, kalau ada sesiapa pun mempersoal,
mengapa kemerdekaan begitu dekat dengan hati orang Melayu, begitu dekat
dengan UMNO dan Barisan Nasional, jawapannya, tidak lain dan tidak
bukan, kerana, kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda
tingginya kesungguhan, dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang
Melayu, UMNO dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara
bangsa.
28. Malah, telah tercatat pada hari kemerdekaan disebutkan
bahawa, sebuah bintang baharu telah bersinar di Timur, kata orang, sama
ada naik atau turunnya bintang itu, yakni Malaysia tercinta, kitalah,
kitalah, yang menentukan nasibnya.
Saudara dan Saudari,
29. Syukur, terbukti dan ternyata, selama puluhan tahun
ditunjangi pentadbiran kerajaan yang cekap dan sistematik, untung nasib
sebuah bintang di Timur ini telah digilap dengan sungguh bersinar serta
kini mampu diperbanggakan.
30. Kita telah bertatih daripada sebuah negara pertanian,
menjadi sebuah negara perindustrian dan kini dengan deras memacu ke arah
menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Syabas kepada kebijaksanaan para pimpinan terdahulu
sehingga kini, para kakitangan awam dan tentunya, tahniah kepada seluruh
rakyat Malaysia!
Saudara dan saudari,
31. Kenapa saya sorot dan imbaukan kembali sedikit sebanyak
kisah kemerdekaan negara. Sebabnya, mahu tidak mahu, tawarikh perlu
sentiasa dibugar dan diperingatkan, bukan sahaja kepada generasi umum,
yang barangkali mudah lupa asal-usul dan pastinya, seperti kata para
cerdik pandai, kita tidak mahu kemudiannya dihukum pula oleh sejarah itu
sendiri.
32. Bahkan dalam pidato ketika dimasyhurkan kemerdekaan,
disebut bahawa, kita telah menjadi sebuah negara berdemokrasi, yang
merdeka lagi berdaulat, berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan serta
mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.
33. Manakala, mencecah lebih 50 tahun kemerdekaan sesudah itu, ditakdirkan pula saya mengambil alih tampuk pentadbiran.
34. Bermula 3 April 2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar
Transformasi Nasional, sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara.
35. Sekiranya hampir 60 tahun lalu, Tunku telah menzahirkan
beberapa kriteria asas tersebut kepada sebuah watan yang baru menempa
kemerdekaan, kini, kita sedang melangkah lebih jauh berasaskan
kriteria-kriteria itu, sepertimana saya telah simpulkan ketika
membentang Rancangan Malaysia Kesebelas bahawa, falsafah pembangunan
negara, mestilah lebih tuntas dan konkrit.
36. Antaranya, untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat
inklusif, sustainable, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat
yang bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat
yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah,
berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.
37. Makanya, di persimpangan ini, benarlah kata-kata Almarhum Tunku bahawa, cabaran lebih besar adalah pengisian kemerdekaan.
38. Ertinya, dalam meniti permatang kejayaan negara, kita
tidak akan sunyi daripada dihadapkan oleh pelbagai situasi dan kemelut,
sama ada berbentuk siasah mahupun ekonomi serta kini ternyata, kita
dihadapkan dengan cabaran domestik, ekonomi, di kala negara sedang
bergerak pantas dan menuju gerbang menjadi entiti sebuah negara maju,
High Income Advanced Economy.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
39. Pada malam ini, seperti yang saya nyatakan, adalah elok
saya perjelaskan dalam bahasa yang lebih mudah, agar difahami oleh
rakyat teramai, seperti pakcik-pakcik dan abang-abang yang bersembang di
kedai-kedai kopi, sambil minum teh tarik, para surirumah, anak-anak
kita Generasi Y, para mahasiswa di kolej dan universiti, kawan-kawan
kita yang aktif di alam siber serta yang pentingnya masyarakat
keseluruhan, akan apa yang sebenarnya sedang berlaku.
40. Pertama, kita mendengar kisah-kisah, yang
berlegar-legar di sekeliling masyarakat, misalannya, tentang kemerosotan
nilai ringgit berbanding nilai dolar Amerika, kejatuhan harga minyak
dunia, naik turun harga komoditi yang tidak menentu, seperti minyak
sawit, yang sebenarnya semua ini adalah berada di luar kawalan kita.
41. Bahkan, sejak beberapa bulan lalu, rakyat telah
disogokkan dengan bermacam-macam maklumat dan cerita-cerita yang tidak
menyenangkan.
42. Hatta, ramai di antara kita yang sampai telah percaya,
kononnya Malaysia akan menjadi bangkrap seperti negara Greece. Katanya
lagi, ekonomi negara pula semakin meruncing dan gawat serta pelbagai
lagi andaian atau spekulasi yang disebarkan oleh sesetengah pihak yang
tidak bertanggungjawab, atas agenda-agenda tertentu masing-masing.
43. Lantas, jika selama beberapa bulan ini, saya hanya
banyak berpeluang dan bertemu dengan kelompok-kelompok yang lebih
khusus, berkaitan penyelesaian isu-isu ekonomi di peringkat-peringkat
tertentu sahaja.
44. Makanya, pada majlis malam ini, saya ingin mengambil
kesempatan untuk seboleh mungkin, dalam ruangan yang terhad, bagi
memperbetulkan keadaan, beberapa salah faham dan menerangkan serta
memperjelaskan isu-isu berbangkit, supaya rakyat dapat mendengar terus
dari saya, sebagai pemimpin, agar menjadi lebih rasional, lebih faham
serta lebih tenang.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
45. Secara ringkasnya, kita boleh bahagikan maklumat dan
sumbernya yang kita sering perolehi, kepada dua, pertama sekali,
berasaskan kepada fakta-fakta yang benar dan bersifat realiti atau sahih
lagi boleh dipercayai.
46. Keduanya pula, adalah maklumat dan sumbernya yang
didapati atas dasar dengar-dengar khabar sahaja, persepsi dan tekaan
serta bersifat propaganda semata-mata.
47. Misalnya, sewaktu kegawatan ekonomi 1998, Kerajaan yang
mentadbir ketika itu, telah berjaya menerangkan kepada rakyat, dengan
memperbetulkan persepsi bahawa, keadaan ekonomi pada waktu tersebut,
adalah di luar kawalan Kerajaan, malah berupaya meletakkan segala
kesalahan, kepada penyangak matawang iaitu George Soros.
48. Seringkali pula semua maklumat berbentuk sebegini,
begitu cepat dihidang dan disebarkan melalui media sosial, hingga
menjadi viral tidak menentu dan disensasikan sesuka hati.
49. Makanya, saudara saudari sekalian, saya ingin
menerangkan dengan jelas bahawa, apa yang rakyat perlu faham adalah,
sekurang-kurangnya, lima petunjuk utama ekonomi negara sebagai petanda
sebenar bahawa, Malaysia pada realiti dan hakikatnya, masih berada di
atas jajaran kukuh serta landasan yang betul.
50. Petunjuk pertama; Di sebalik segala ketidaktentuan
pertumbuhan ekonomi serantau dan global, saya ingin maklumkan kepada
rakyat sekalian, usahlah menjadi terlalu bimbang, hakikatnya ekonomi
semasa Malaysia masih berkembang, contohnya tahun lepas, kita berada
pada kadar 6 peratus dan tahun ini pula insyaAllah, akan mencapai 5
peratus.
51. Tidak seperti tahun 1998, ketika berlakunya krisis
kegawatan ekonomi Asia, di mana ekonomi kita telah menguncup sebanyak
negatif 7 peratus.
52. Petunjuk kedua; Sebetulnya, fundamental atau asas
ekonomi negara pada hari ini, lebih kukuh lagi kerana kita telah
mempelajari dari kesan krisis tersebut.
53. Antara contohnya seperti defisit fiskal Kerajaan yang
telah dapat dikurangkan dari negatif 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada
3.2 peratus yang dijangka akan dicapai pada tahun ini.
54. Seterusnya, sistem perbankan dan kewangan yang kekal
mempunyai modal kukuh dan kecairan yang mencukupi. Kadar pinjaman tidak
berbayar dan inflasi yang rendah serta terkawal.
Saudara dan saudari,
55. Petunjuk ketiga; kejayaan dasar-dasar negara khususnya
melalui Dasar Transformasi Nasional, telah membawa kepada penurunan
kadar kemiskinan, daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya
0.6 peratus pada tahun 2014.
56. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar pula telah meningkat
sebanyak 47.7 peratus dari 2009 hingga 2014. Manakala, sebanyak 1.8 juta
peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak pelancaran Program
Transformasi Ekonomi pada 2010.
57. Petunjuk keempat; Sekalipun Malaysia terus dihadapkan
dengan sekian banyak cabaran domestik dan di arena global, kita masih
kekal diiktiraf di mata dunia, kerana masih mampu mengawal pengurusan
ekonomi negara dengan begitu baik.
58. Ini terbukti, melalui penarafan dan laporan daripada
agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s,
Standard & Poor’s, IMF, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang
keadaan serta pengurusan ekonomi semasa.
59. Di sinilah, saya mahukan rakyat sekalian faham bahawa,
segala kajian dan dapatan terhadap pencapaian Malaysia, bukanlah
direka-reka, jauh sekali dipetik dari awan nan biru.
60. Senarai penaraf-penaraf peringkat antarabangsa yang
saya sebutkan tadi, merupakan pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi yang
tidak boleh dipertikai dan diperentengkan kerana hasil kajian dan
pandangan merekalah yang diterima pakai di seluruh dunia.
61. Antara lain lagi, Malaysia telah berjaya menduduki
tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook
2014.
62. Namun, saya sedar bahawa, telah timbul keresahan akibat
kejatuhan nilai matawang. Harus disedari bahawa ini merupakan fenomena
global dan hampir kesemua negara tidak terkecuali daripada menerima
kesan kejatuhan mendadak harga minyak dan komoditi, pengucupan ekonomi
dunia, termasuk negara China, sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.
63. Bagi maksud ini, saya perakui ada faktor-faktor dalaman yang masih berada dalam kawalan kita untuk dilakukan penambahbaikan.
64. Maka, beberapa hari lalu, saya telah menubuhkan
Jawatankuasa Khas Ekonomi, dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh
korporat, yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan
tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi menjadi reda.
65. Apa yang penting,… saya beri jaminan bahawa, Kerajaan
tidak akan hilang fokus, malah akan terus membela untung nasib dan
mendahulukan kepentingan, juga kesejahteraan rakyat.
66. Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda-agenda
pembangunan yang dekat di hati rakyat, seperti projek perumahan mampu
milik, penambahbaikan projek kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan
dan latihan serta kemahiran, seterusnya menangani kos sara hidup rakyat.
67. Akhirnya, petunjuk kelima; jangan sesekali kita lupa
bahawa, sekian banyak lagi usaha dan ikhtiar telah dilaksanakan oleh
Kerajaan seperti penubuhan UTC, RTC, BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia dan
sebagainya selama ini, telah berjaya membantu meringankan beban sara
hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Saudara dan saudari,
68. Jelas terbukti bahawa, Malaysia bukan negara yang
gagal, seperti yang didakwa, bukannya nak bangkrap, malah kita pada
hakikat sebenarnya masih berada dalam keadaan yang stabil, dengan
‘fundamental’ yang kukuh dan akan terus mampu bertahan serta berdaya
saing.
69. Jadinya, rakyat sekalian, hakimilah Kerajaan melalui
peti undi pada pilihanraya kelak. Sehingga itu, berilah peluang kepada
Kerajaan ini untuk terus memikul amanah dan berbuat sehabis baik.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
70. Bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tidak
bergelora. Justeru, berbekalkan pengertian surah Al-Insyirah bahawa,
bagi setiap kesusahan, akan datangnya kesenangan dan bahagia yang bakal
menanti.
71. Manusia merancang, Tuhan jua merancang, tentunya rancangan Allah adalah yang terbaik,…
72. Merujuk hal ini, pada 28 Julai yang lalu, dengan hati
yang bertawakal, saya telah membuat keputusan untuk merombak semula
kabinet Persekutuan, buat julung-julung kalinya, setelah mendapat mandat
daripada Pilihanraya Umum ke-13.
73. Semestinya, saya dan rakan-rakan yang setia dalam
anggota pentadbiran dan Barisan Nasional berjanji dan menjamin akan
terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia serta
mensejahterakan rakyat, bahkan tidak sesekali menoleh ke belakang.
74. Suka saya ulangi disini…Sekali layar sudah
dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan
anak-anak kapalnya berbalik haluan.
Saudara dan Saudari,
75. Lalu…saya menyeru, ambillah semangat dan ceduklah roh
kemerdekaan 1957, seolah-olah bendera Union Jack baru turunkan dan besok
paginya kita mula bernegara baru.
Ladies and gentlemen,
76. Indeed, we will never allow anyone from within or from
outside, to simply walk in and steal, ruin or destroy all that we have
built so far.
77. Akan tetapi, sayang seribu kali sayang, pada ambang
kemerdekaan yang penuh bermakna ini, ada segelintir pihak yang sanggup
dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan dan api bermusuhan.
78. Dari itu, beringatlah semua, jika kita tidak bersatu,
hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat
diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama
ini akan hancur dan musnah begitu sahaja.
79. Pastinya, walau apapun cabaran yang melintang, meski
apa dugaan yang melanda, saya, secara peribadi yang lahir dari leluhur
kepimpinan negara dan tentunya bersama rakan-rakan, Dato’ Sri Zahid
Hamidi dan yang lain-lain dalam anggota pentadbiran, tidak mungkin akan
membiarkan Malaysia sebagai bintang yang telah lahir di Timur hampir 6
dekad lalu, jatuh,.. bahkan, kita akan terus menggilap dan membangun
tanahair tercinta ini hingga muncul makmur di gelanggang dunia sampai
bila-bila. InsyaAllah.
80. Semoga Pencipta Yang Maha Berkuasa, kekal
memayung-mayung dan merahmati Negara bertuah ini. Dijauhkan dari segenap
mara bahaya zahir dan batin.
Saudara dan saudari sekalian,
81. Bersamalah kita
berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit, dengan hati
yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan
jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti, senada seirama,
sehati sejiwa, kita gemakan,…
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment