Saturday, August 08, 2015

PABM 2015 PERINGKAT AKHIR: SAINGAN SENGIT DARI FINALIS


Wakil negara dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015, Then Siaw Lian dan Mohd Akmal Aizat Umar berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir selepas muncul antara tiga peserta terbaik dalam kategori Alam Melayu pada peringkat separuh akhir.

Siaw Lian yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak merupakan peserta bukan Melayu pertama mewakili negara yang layak ke peringkat pertandingan pidato berprestij itu.

Pada peringkat separuh akhir, Siaw Lian menyampaikan pidato bertajuk Makna Sebuah Perpaduan manakala Mohd Akmal Izzat memilih tajuk Sengsara Dunia: Di Mana Silapnya?

Dua wakil negara itu bakal diberikan saingan sengit oleh wakil Thailand, Awabeen Samsuding yang turut melepasi halangan di peringkat separuh akhir menerusi pidato bertajuk Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.

Kategori Antarabangsa pula menyaksikan pertandingan tiga finalis antara wakil Australia, Emma Cecilia Roberts, wakil Amerika Syarikat (AS) Wyatt Evan Gordon dan pemidato United Kingdom, Joshua Parfitt.

Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) pula bakal menampilkan persaingan antara Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pemidato Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maher G.M Abdolrasol dan wakil Universiti Putra Malaysia (UPM), Waleed Basil Mohammed Ali.

PABM 2015 yang berlangsung selama lima hari bermula kelmarin disertai 71 peserta dari serata dunia dalam tiga kategori iaitu Alam Melayu, Antarabangsa dan PAM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri pertandingan akhir PABM 2015 yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
 

No comments: