Wednesday, September 16, 2015

MESEJ PRESIDEN MCA DI HARI MALAYSIA 2015: DEMI KEMUAFAKATAN, TOLERANSI DAN KEMAJUAN


Selepas kemerdekaan Tanah Melayu, kini gabungan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963, sebuah persekutuan baru diwujudkan di bawah nama Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

Sejarah penubuhan MCA pada 27 Februari 1949 dengan Presiden pertamanya, Tun Tan Cheng Lock bersama Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S Lee dengan tujuannya pada ketika itu ingin menyatukan orang-orang Cina di Tanah Melayu, melindungi hak dan kepentingan orang Cina disamping bekerjasama dengan kerajaan menentang ancaman komunis dan seterusnya untuk mencapai kemerdekaan.

Oleh kerana MCA bersetuju menyertai dalam gabungan parti Perikatan, maka Tanah Melayu telah berjaya mendapatkan kemerdekaannya. Perjalanan MCA yang mewakili bangsa Cina bukanlah satu percaturan yang mudah apabila cabaran demi cabaran dihadapi, namun MCA tetap setia bersama-sama UMNO dan MIC mengorak langkah membangunkan negara.

Dengan kepimpinan Datuk Sri Liow Tiong Lai dan Datuk Wee Ka Siong bersama-sama Perdana Menteri, menyeru rakyat Malaysia agar bermuafakat mempertahankan kedaulatan negara. Bertoleransi untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara pelbagai kaum dan agama serta bangkitlah menuju kemajuan dan kejayaan bersama.

Secara ringkasnya, mesej Presiden MCA adalah;

1. Aset negara yang bernilai ialah kepelbagaian budaya.

2. Sekian lama semua lapisan umur, bangsa dan agama  telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang berkembang maju.

3. Fokus ke arah mencapai status negara maju.

4. Hindar dari ketidaktoleransi dan ekstrimisme dan juga sebarang perselisihan serta sikap tidak hormat.

5. Jauhi unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan rakyat.

6. Bersatu sebagai rakyat Malaysia mengatasi segala cabaran menuju kemajuan.

16 September 2015
YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
PRESIDEN MCA

Liow: Demi kemuafakatan, toleransi dan kemajuan

Pada Hari Malaysia ini, marilah mengimbau masa silam untuk mendalami perjalanan negara kita dan kemajuan yang telah dicapai.
 
Sesungguhnya, kita seharusnya berbangga sebagai rakyat sebuah negara yang kian berkembang maju. Sejak penubuhan Malaysia beberapa dekad yang lalu, negara telah menempa kejayaan dan kemajuan di peringkat antarabangsa, baik bagi sektor perdagangan dan diplomasi mahupun di arena sukan dan kebudayaan.
 
Warga Malaysia tanpa mengira lapisan umur, bangsa dan agama telah sama-sama bekerja keras dan banyak berkorban untuk mengecapi segala kejayaan ini, bukan sahaja sebagai individu malahan sebagai sebuah negara. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat hidup dalam keadaan yang begitu harmoni. Kepelbagaian warisan budaya kita merupakan aset yang ternyata bernilai, lebih-lebih lagi semasa keutuhan budaya kita kini diuji. 
Tidak dapat dinafikan bahawa tatkala kita berusaha untuk mencapai status negara maju dan seiring dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk
generasi muda, masih terdapat banyak yang perlu dilakukan. Kini, di saat negara kita berada di persimpangan, kita seharusnya lebih tegas dalam menetapkan pendirian menentang ketidaktoleransi dan ekstrimisme dan juga sebarang perselisihan serta sikap tidak hormat.

Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan masing-masing dalam membentuk masa depan negara. Peranan ini antaranya termasuk saling bertolak ansur
dan hormat-menghormati antara satu sama lain, berbuat kebaikan dan bertimbang-rasa terhadap semua kepercayaan dan budaya dan seterusnya, saling bekerjasama tanpa mengambil kira apa jua perbezaan antara kita.

Demi kebaikan bersama rakyat dan negara, kita harus mengetepikan unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan rakyat. Warga Malaysia dari segenap lapisan masyarakat harus mengatasi segala cabaran ini untuk terus maju ke hadapan sebagai rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu.

Selamat Hari Malaysia.

 

No comments: