Thursday, September 03, 2015

PRESIDEN MCA : #SEHATISEJIWA DEMI MALAYSIA


Sehati Sejiwa adalah satu tema yang sinonim dengan perpaduan dan bersatu. Setiap kali dalam meraikan Hari Merdeka, tema perpaduan adalah merupakan mesej penting perlu disampaikan memandangkan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik bangsa.

Inilah juga mesej yang ingin diutarakan Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai kepada semua rakyat terutama bangsa Cina yang diwakili parti politik ini.

Jika diimbas kembali sejarah kemerdekaan negara, syarat utama pihak British melepaskan Tanah Melayu adalah apabila bangsa Melayu, Cina dan India dapat bersatu dan ini telah dibuktikan dengan semangat perpaduan di bawah parti Perikatan yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC ketika itu.

Kejayaan Malaysia hari ini telah diperkukuhkan dengan semangat dari Sabah dan Sarawak yang membentuk negara bernama Malaysia.

Lautan mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan. Begitulah negara kita dalam menuju kejayaan, dugaan demi dugaan telah kita lalui dan di dalam era ini, negara kita sedang menghadapi cabaran ekonomi global serta insiden-insiden malapetaka dan tidak kurang dengan serangan persepsi.

Selama lebih setengah dekad, kita bersungguh-sungguh membina jambatan kejayaan dan tiba masanya kita melalui jambatan mempertahankan kejayaan yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. 

 

Oleh itu mesej yang sama juga ingin disampaikan Presiden MCA dan di antara intipatinya adalah;

1. Perjuangkan nilai-nilai asas perpaduan dan keharmonian.

2. Jenguklah semula azam dan kesetiaan pengasas negara terdahulu.

3. Tanpa mengira siapa kita tetapi sebagai rakyat Malaysia, bersatu hati menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

4. Janganlah terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba menghancurkan khazanah bangsa.

5. Tiba masanya rakyat Malaysia bangkit melindungi apa yang telah dipertahankan pengasas kemerdekaan kita selama ini.
 

Bagi menghadapi cabaran yang mendatang, perpaduan dan bersatunya rakyat Malaysia ditagih, ikuti teks penuh Presiden MCA;

KENYATAAN MEDIA
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN

Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Kukuh
 

Hari ini merupakan hari penghormatan di atas segala pengorbanan dan jerih payah para pejuang dan bapa kemerdekaan kita dalam membina asas negara yang kita cintai ini. Pada hari ini juga kita mengiktiraf mereka yang terus memperjuangkan nilai-nilai asas perpaduan, keharmonian dan penerimaan seiring dengan tema sambutan Merdeka tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

Sejak merdeka, kita telah membuktikan kekuatan kita sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, tradisi, budaya dan kepercayaan. Kebelakangan ini, kita sering diuji dengan pelbagai ujian mendatang dan cabaran ekonomi. Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama kita imbau kembali azam dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi yang telah dipamerkan oleh para pengasas negara yang terdahulu. Kita harus percaya bahawa selagi kita bersatu hati dan teguh bersama, semestinya kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan sebagai sebuah negara berdaulat.

Oleh itu, marilah kita berdiri bersama, seluruh warganegara rakyat Malaysia, tua dan muda, tanpa mengira bangsa dan kedudukan sosial, dengan azam yang jitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

Kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Daripada terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan Malaysia, marilah kita sebaliknya mengekang perasaan curiga dan segala unsur perpecahan sambil berusaha bersama-sama untuk membina sebuah negara yang lebih mapan, baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan melindungi kepelbagaian budaya kita yang merupakan khazanah bangsa dalam usaha kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju dan matang.

Sekali lagi, Selamat Hari Merdeka saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kepada mereka yang bercuti pada hujung minggu ini, semoga selamat dalam perjalanan dan berhati-hati di jalan raya.

No comments: