Saturday, July 25, 2015

TUGAS DAN OPERASI PENGUATKUASA SPAD SEBELUM DAN SEPANJANG AIDIL FITRI


Demi menjamin pengguna pengangkutan awam selamat ke destinasi dan pulang dengan senyuman di musim perayaan Aidilfitri, pihak SPAD telah pun mengumumkan pada awal bulan Julai, akan menggerakkan 300 pegawai penguatkuasa bagi operasi Aidilfitri di seluruh negara.

Operasi selama dua minggu ini yang lebih giat pada tiga hari sebelum dan empat hari selepas Aidilfitri di mana tumpuan penguatkuasa SPAD adalah di terminal bas utama. Perhatian pegawai penguatkuasa adalah untuk memastikan pengusaha-pengusaha bas ekspres memiliki lesen yang sah dan menjual tiket dengan tambang yang sepatutnya.

Di antara nasihat yang diberikan oleh Ketua Penguatkuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad, semua penumpang perlu memastikan tiket mereka adalah sah dan dicetak secara elektronik dengan maklumat seperti syarikat bas, destinasi, harga tiket dan juga masa berlepas.



Dan sekiranya terdapat pemandu membawa bas ekspres melebihi had laju, ataupun keadaan bas yang mencurigakan, Datuk Che Hasi menasihatkan penumpang agar tidak teragak-agak melaporkan kepada SPAD.

Walaubagaimanapun, sebanyak 547 buah bas tambahan telah mendapat kelulusan Lesen Perkhidmatan Sementara (LPS) dari SPAD bagi memastikan tiada kekurangan bas di musim perayaan ini.

Di dalam kempen keselamatan jalan raya lalu, penguatkuasa SPAD telah pun ditugaskan untuk memantau penjualan tiket haram dan lanun-lanun teksi tertutama di sekitar Lembah Klang. 

Oleh itu, penguatkuasa SPAD telah menjalankan Operasi Khas Parasit (Ulat Tiket) di Pudu Sentral dan 10 ulat tiket telah ditangkap serta dilanjutkan dengan Ops Serkap apabila beberapa teksi sapu juga telah disita kerana mengguna kereta peribadi untuk menerima upah dari penumpang melalui pesanan talian telefon.


Di ibu negeri lain, SPAD juga giat membuat operasi. Seperti di Johor Bharu, 20 orang termasuk 'ulat tiket' dan pemandu teksi yang melakukan pelbagai kesalahan ditahan dalam operasi 3 hari pada 9 Julai lalu.

3 teksi sapu telah disita ketika operasi SPAD pada 7 Julai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan ini termasuk Proton Wira, Proton Saga dan
Toyota Hiace. 


Sementara, penguatkuasa SPAD di bahagian Pantai Timur telah melakukan 'walk-about' di beberapa Terminal Bas seperti di Terminal Bas MBKT Kuala Terengganu, Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh, Kota Bharu dan Terminal Sentral Kuantan(TSK) sambil menyebarkan risalah Hak-Hak Pengguna Bas Ekspres, pengagihan pek berbuka puasa kepada penumpang bas ekspres, meninjau operasi bas ekspres dan kaunter tiket bas ekspres.

No comments: