Friday, July 17, 2015

KESEMPATAN AIDIL FITRI UNTUK KUKUHKAN HUBUNGAN DAN ERATKAN PERPADUAN DARI PRESIDEN MCA

Walaupun umat Islam meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa dan meningkatkan amal ibadah, di dalam masyarakat yang berbilang kaum, Presiden MCA, Dato' Sri Liow mengambil kesempatan di hari mulia ini menyampaikan mesej untuk mengukuhkan hubungan sesama rakyat dan sentiasa mengeratkan perpaduan.

Sebagai seorang pemimpin politik di kalangan bangsa Cina, seruan ini sangat penting kepada semua rakyat yang mencintai kedamaian dan keharmonian hidup bersama agar setiap perayaan dapat dikongsi dan dinikmati bersama.



KENYATAAN AKHBAR
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
 
Liow: Aidilfitri kukuhkan hubungan, eratkan perpaduan
 
Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga sambutan Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia dilengkapi dengan penuh keberkatan, kesyukuran serta kegembiraan.
 
Seperti juga musim-musim perayaan yang lain, musim lebaran ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim dan persefahaman antara kalangan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah masyarakat majmuk, rakyat Malaysia amat memahami dan sama-sama menanti-nantikan kehadiran Hari Raya sambil merayakannya bersama lebih-lebih lagi dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
 
Rakyat Malaysia sesungguhnya amat bertuah kerana dapat hidup bersama dalam sebuah negara secara harmoni yang penuh dengan kepelbagaian kaum serta berpeluang menyambut dan meraikan pelbagai jenis perayaan dengan penuh riang-ria dan menghayati budaya yang berwarna-warni. Ini haruslah dihargai dan dipegang teguh oleh kita semua bukan sahaja untuk perayaan kali ini, tetapi lebih penting lagi, untuk generasi akan datang yang bakal menjadi pemacu kemajuan negara.
 
Akhir kata, diharapkan bahawa sambutan Syawal pada tahun ini akan terus menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Disamping itu, nikmatilah Hari Raya ini dengan berhati-hati semasa di jalan raya demi insan-insan yang tersayang.

Seharusnya kita bersyukur dapat menyambut setiap perayaan di dalam suasana tenang dan meriah. 

Semoga kita semua dapat mengekalkan keharmonian dan riang ria di Aidil Fitri dan eratkan perpaduan dengan semangat kunjung mengunjung di antara saudara, rakan dan kenalan tanpa berprasangka di antara kaum.

No comments: