Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,
Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd
1. Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah SWT,
kerana saban tahun, apabila terbitnya fajar syawal yang mulia, umat
Islam di Malaysia dan serata dunia, dengan penuh kesyukuran dan rasa
gembira, menyambut hari kemenangan yang ditunggu-tunggu, setelah sebulan
kita berpuasa, mujahadatun nafsi, yakni berjihad melawan hawa nafsu.
2. Sesungguhnya, Ramadan, adalah bulan yang penuh keberkatan dan
begitu istimewa. Padanya diturunkan Al-Quran dan terkandung Lailatul
Qadar, yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan.
3. Benarlah bahawa, ramadan itu bulan untuk mentarbiyyah jiwa dan mensuci hati, membina akhlak serta membangun peribadi.
4. Menunaikan ibadah puasa, tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, atau mengekang hawa nafsu semata-mata.
5. Bahkan, ia mampu mendidik rohani dan menginsafi diri, supaya
sentiasa berasa belas serta lebih prihatin, khususnya terhadap nasib
golongan yang serba kekurangan dan dihimpit pula kesempitan hidup.
6. Meskipun umat Islam di beberapa negara-negara lain sedang bergelut
menempuh rintangan, negara ini pula berdepan dengan pelbagai cabaran
dan musibah yang tidak terduga, masyarakat Islam di Malaysia, tetap
merayakan Aidilfitri dengan keriangan dan penuh kemeriahan, tanpa
diganggu oleh sesiapa pun.
7. Ini semua hanya boleh berlaku, sekiranya negara ini ditadbir dan diuruskan melalui kepemimpinan yang cekap serta berkesan.
8. Sebab itulah, baru-baru ini Fitch Ratings, sebuah agensi penarafan
kredit antarabangsa telah meningkatkan unjuran Malaysia daripada
‘negatif’ kepada stabil’.
9. Sekaligus meletakkan Malaysia pada asas ekonomi yang kukuh dan
berada di landasan yang betul, dalam usaha menuju sebuah negara High
Income Advanced Economy menjelang tahun 2020.
Saudara dan Saudari,
10. Kira-kira beberapa minggu yang lalu, kita dikejutkan dengan
serangan pengganas di Tunisia, Kuwait dan Perancis. Tindakan kejam
angkara kumpulan militan Negara Islam atau IS itu, telah mengakibatkan
ramai orang awam yang tidak berdosa terbunuh dan mencederakan ratusan
yang lain.
11. Semestinya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut
dan tindakan terkutuk itu benar-benar bertentangan serta terpesong
daripada ajaran Islam yang sebenar.
12. Sedangkan ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan
mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah, yakni
kesederhanaan, dengan tidak terlalu ekstrem dalam kefahaman, bukan pula
sangat liberal atau longgar akidahnya dalam beragama.
13. Sememangnya, kita sentiasa mengutuk sebarang tindakan yang tidak
berperikemanusiaan, waima dilakukan oleh sesiapapun tanpa mengira agama,
keturunan dan sempadan geografi.
14. Lantaran, Kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan keselamatan,
agar fahaman ekstrem seperti militan IS ini, tidak akan merebak serta
menular masuk ke negara ini.
15. Seterusnya, Malaysia akan terus beristiqamah bagi membantu dan
memperjuangkan nasib golongan yang tertindas, di seluruh dunia.
16. Apatah lagi, jika ia menimpa saudara seakidah kita seperti yang
berlaku di Palestin, atau mana-mana sudut di arena global ini.
17. Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, Malaysia juga turut bersimpati akan
nasib malang kaum pelarian Rohingya dan berperanan dengan menawarkan
bantuan-bantuan yang sewajarnya kepada mereka.
Saudara dan Saudari,
18. Mutakhir ini, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam
progresif dan menjadi contoh di kalangan negara membangun serta negara
Islam yang lain. Tambah mengukuhkan kedudukan tersebut, kita telah
melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015.
19. Indeks ini, merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di
Malaysia, yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara. Ia
menjadi satu kaedah pengukuran saintifik, bagi menentukan ukur kedudukan
dalam menjalankan pentadbiran negara, berdasarkan kepada prinsip
Maqasid Syariah.
20. Pada sisi lain, saya mendengar dan amat memahami keluh kesah
rakyat masa kini, terutama berhubung dengan kos sara hidup yang kian
meningkat.
21. Sebab itulah, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif
untuk meringankan beban kehidupan mereka, antaranya menambah kadar
Bantuan Rakyat 1Malaysia, untuk tahun ini.
22. Berkaitan hal ini, rakyat patut membuat aduan terhadap
peniaga-peniaga yang mengenakan harga yang tidak berpatutan dan
keuntungan berlebihan.
23. Malah, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas yang dibentangkan
baru-baru ini, selain berusaha mencapai pertumbuhan yang bersifat
inklusif, sustainable, growth with equity, ditekankan juga tentang
keperluan membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah,
yakni B40.
24. Namun, saya mengambil maklum, ini semua masih belum mencukupi.
Yakinlah, apabila hasil pendapatan negara bertambah, Kerajaan akan terus
mencari jalan untuk melakukan lebih banyak lagi inisiatif, bagi
meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Saudara dan Saudari,
25. Berbekalkan kepada mafhum pengertian surah Al-Anfal ayat 60, yang
menyeru umat Islam supaya sentiasa bersiap siaga dengan sepenuh
kekuatan dan terus berwaspada, untuk berdepan dengan segala kemungkinan
serta realiti semasa.
26. Ini termasuk ancaman dari dalam dan luar, ataupun campurtangan
kuasa asing, yang sering cuba untuk mengganggu-gugat kestabilan,
kerukunan serta kedaulatan negara, yang kita telah kecapi selama ini.
Saudara dan Saudari,
27. Kini, Ramadan telah pun berlalu, syawal pula kunjung tiba.
Tatkala menyambut kemeriahan perayaan ini, marilah kita merakamkan
takziah dan simpati kepada semua mereka yang pernah ditimpa bencana.
28. Ingatan ini, turut dipanjangkan kepada para anggota keselamatan
yang sedang bertugas di perbatasan mahupun di mana-mana inci bumi
bertuah ini.
29. Termasuklah juga kepada wira-wira yang tidak didendang dan turut
sama mempertaruhkan jiwa serta raga, demi mempertahankan keselamatan dan
kedaulatan tanahair tercinta.
30. Pada hari baik di Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita
kembali kepada fitrah. Jernihkan hubungan yang telah layu,
perkukuhkanlah persaudaraan yang hampir lesu. Bukalah seluas-luasnya
pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela
silaturrahim 1Malaysia.
Saudara dan Saudari,
31. Di hari raya, ziarahilah ayah dan ibu, yang mungkin lama tidak
bertemu. Ingatlah, apabila semua itu sudah berlalu, yang tinggal adalah
kenangan dan sebuah kerinduan.
32. Di hari raya ini, kunjungilah sanak dan saudara, tak kira dekat
atau nun jauh di sana, dengan mengajak rakan taulan berbilang bangsa dan
agama, berkunjung ke kediaman anda, bermaaf-maafan serta menjamu
selera.
33. Pada kesempatan ini juga, saya dengan kerendahan hati, ingin
menyusun jari nan sepuluh, mohon ampun dan kemaafan dipinta, bagi pihak
diri, isteri serta seisi keluarga, atas segala kesalahan dan khilaf yang
mungkin tidak disengajakan.
34. Bersempena kedatangan bulan syawal ini, saya berazam untuk
berusaha segigih mungkin, dalam mentransformasikan Malaysia ke mercu
kejayaan.
35. Saya juga berdoa, semoga Allah SWT mengurniakan kerahmatan ke
atas seluruh umat Islam, agar mereka menyambut hari lebaran ini, dengan
gembira dan bahagia, bersama yang tersayang di sisi.
36. Akhir kalam, kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia,
bersatu padulah kita semua hendaknya, hentikan fitnah menfitnah sesama
agama dan rakan sebangsa. Bersabarlah dengan ujian, teguhkanlah
pendirian, kerana yang batil itu akan musnah, jalan kebenaran pasti
muncul dan terbentang jua akhirnya.
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment