Showing posts with label KUIN. Show all posts
Showing posts with label KUIN. Show all posts

Sunday, March 15, 2015

MOU YPPM dan KUIN bersaksikan YAB Perdana Menteri



Kehadiran YAB Perdana Menteri, DS Najib Razak memberi seribu makna kepada institusi pondok di dalam majlis MOU Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Kolej Universiti Insaniah. Di dalam majlis ini juga, dengan rasminya Pusat Kajian Pondok (PKP) ditubuhkan dan perlantikan Datuk Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP juga turut mendapat sokongan Perdana Menteri setelah diumumkan Senat KUIN sebelum ini.


Sokongan PM kepada Datuk Dr Mashitah
Kerjasama strategik di antara YPPM dan KUIN ini adalah bermatlamat menjalankan kajian yang lebih menyeluruh dan meluas terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya di dalam dan luar negara agar khazanah ilmu dan pengetahun mengenai pondok dapat ditambah.

Yayasan Pondok akan sediakan kepakaran dan jaringan manakala KUIN pula menyediakan kemudahan penyelidikan seperti perpustakaan serta logistik untuk program dan aktiviti. Di antara skop kerjasama pula meliputi bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan kemudahan kajian akademik, penganjuran majlis dan wacana ilmu.




Penubuhan Pusat Kajian Pondok ini juga dianggap sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang tentunya memberi tumpuan kepada penyelidikan yang terperinci dan menyeluruh dalam pelbagai aspek yang berkenaan pondok. Ini termasuk mengumpul segala khazanah sumbangan ulama dan tokoh pondok.

Masadepan pengajian pondok juga akan diperincikan di mana isu-isu berkaitan pembangunan, perkembangan dan pengaruh pondok dikaji dan direkodkan.

Pondok adalah sistem pendidikan tertua di negara ini dan telah dibuktikan melalui kajian sejarah tanahair. Ia bermula seawal abad ke-16 yang telah diasaskan oleh pedagang dari Timur Tengah yang pada masa yang sama mengembangkan syiar Islam kepada penduduk tempatan.

Setelah Islam bertapak dan mula berkembang pada abad ke-18, pengajian pondok dibangunkan dengan pertambahan penuntutnya dan kemuncaknya dari pertengahan abad ke-19 hinggalah negara merdeka.

Kajian pondok di PKP akan merentasi sehingga ke luar negara termasuk ke Nusantara dan diperluas sehingga Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Dengan termeterainya MOU di antara YPPM dan KUIN serta perlantikan Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pengarahnya, selangkah lagi kejayaan untuk menaikkan martabat warga pondok di negara ini.

Adalah menjadi harapan agar penuntut-penuntut pondok dapat memanfaatkan juga platform yang diusahakan YPPM ini agar masa depan mereka terbuka luas dan masyarakat di negara ini dapat bersama-sama berkongsi ilmu dan juga lebih memahami ajaran Islam.

Thursday, March 05, 2015

LATARBELAKANG DAN KEBOLEHAN DR MASHITAH MEMBAWA PENGAJIAN PONDOK KE PERINGKAT DUNIA


Dengan pendidikannya, kebolehannya, latarbelakangnya serta pengalamannya, Datuk Dr Mashitah telah dilantik sebagai Pengarah Pusat Kajian Pondok (PKP) di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bermula 1 Mac. Perlantikan ini telah diumumkan Rektor KUIN, Prof Datuk Mohd Yusoff Kassim dan seterusnya pengumuman penubuhan PKP sebagai peneraju kajian dan penyelidikan mengenai institusi pondok di Nusantara.

Penubuhan PKP sebagai pusat khusus kajian pondok dilihat sebagai tepat pada masanya dan begitu juga perlantikan Dr Mashitah yang juga adalah Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia.

Di dalam memartabatkan institusi pengajian pondok, Dr Mashitah telah berajaya membawa pengajian pondok ke tahap yang lebih terbuka dan dinamik di mana di antara usahanya seperti kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberi peluang kepada lulusan dan guru pondok meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya mereka diberi peluang-peluang setanding lulusan universiti tempatan.

Blog ini pernah menulis bagaimana seorang murid pengajian pondok dari Selatan Thailand, Dr Surin, mampu melanjutkan pengajian hingga ke Harvard dan beliau juga adalah bekas Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung Sekretariat Asean.
 
Dr Mashitah juga telah berjaya membawa institusi pondok ke perhatian dan keyakinan kerajaan dan pada Bajet 2015 lalu, peruntukan telah diumumkan. Disamping dilantik sebagai pemantau dana, Kementerian Pendidikan pula adalah platform untuk YPPM memberi input dibuat kajian seperti statistik sekolah pondok di peringkat negeri, berapa ramai guru terlatih dan modul pembelajaran akan dikaji dan dipantau. Satu klasifikasi sekolah-sekolah pondok ini akan dicadang oleh YPPM agar bantuan dapat disalurkan terus kepada sekolah-sekolah yang layak menerimanya.

Kini, dengan pelantikan Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP di KUIN, tanggungjawab kajian institusi pondok dilebarkan ke Nusantara serta negara-negara Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah. 

Misi KPK untuk menjalankan kajian meluas yang meliputi di dalam dan luar negara ini, pasti memerlukan seseorang seperti Datuk Dr Mashitah, yang mempunyai latarbelakang, ilmu dan kebolehan. 

Disamping menjalankan kajian, penyelidikan dan penerbitan, PKP juga akan menganjurkan seminar, persidangan dan bengkel. 

Oleh itu, pelantikan Datuk Dr Mashitah ini bukan sekadar satu pengiktirafan kepadanya, malahan YPPM terus mengorak langkah dalam usaha memaju dan membangunkan institusi pondok di negara ini.