Showing posts with label JPN. Show all posts
Showing posts with label JPN. Show all posts

Wednesday, December 17, 2014

MYKAD TIDAK WAJIB DITUKAR


KENYATAAN MEDIA
YBHG. DATO’ SULAIMAN BIN HAJI KELING
KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA
GANTIAN MYKAD TIDAK DIWAJIBKAN
16 DISEMBER 2014
WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin mengingatkan orang ramai agar berwaspada berkaitan hebahan maklumat berkaitan penukaran MyKad yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham orang awam bahawa MyKad perlu ditukar selewat-lewatnya pada hujung tahun 2014 ini atau akan didenda.

2. MyKad mula diperkenalkan sejak tahun 2000 dan MyKad versi yang terkini telah dikeluarkan mulai pada 3 Januari 2012. Tidak seperti Kad Pengenalan Kertas atau Kad Pengenalan Plastik yang kekurangan ciri-ciri keselamatan, MyKad adalah kad pintar pelbagaiguna kerajaan yang menggunakan aplikasi cip. Mykad terkini telah di tambahbaik dari segi rekabentuk, dan juga ciri – ciri keselamatannya seperti diperbuat daripada bahan Polikarbonat yang lebih tahan, menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad dan menggunakan cip baru yang lebih tahan supaya menepati perkembangan terkini teknologi kad pintar antarabangsa. 

3. Jabatan ini ingin menjelaskan bahawa peraturan membuat MyKad adalah seperti berikut :

i) Seseorang Kanak - kanak Warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 12 tahun adalah wajib untuk membuat kad pengenalan bagi kali pertama di bawah Peraturan 3, Peraturan – Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (kecuali Orang-orang terkecuali sebagaimana di bawah Peraturan 27, Peraturan – Peraturan Pendaftaran Negara 1990).Page 2 of 2

ii) Warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun dan sebelum mencapai umur 25 tahun wajib membuat penukaran dan ianya hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 18, Peraturan – Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

iii) Gantian kad pengenalan yang dibuat sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan kad pengenalan atau cip tidak berfungsi, dan pertukaran butiran yang telah diluluskan oleh JPN.

4. Sehubungan dengan itu, sekiranya Mykad yang dimiliki masih dalam keadaan baik dan berfungsi maka mereka tidak diperlukan membuat gantian baru kad pengenalan. JPN juga ingin memaklumkan bahawa gantian MyKad struktur baru adalah TIDAK DIWAJIBKAN. Penukaran kepada MyKad yang baru adalah merupakan pelaksanaan yang berterusan dan tiada tarikh tutup.

5. JPN mengharapkan kerjasama orang ramai untuk tidak mempercayai sumber berita dari laman sosial atau media tidak rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. Penyiaran maklumat berkaitan kad pengenalan hanya boleh disahkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Pegawai Pendaftaran yang dilantik sahaja.

6. Oleh yang demikian bagi sebarang maklumat yang berkaitan dengan Jabatan ini, orang awam adalah dinasihatkan untuk melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di talian 03 – 8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau emel ke pro@jpn.gov.my.

Friday, February 14, 2014

PENEMUAN 6 "ALIEN" DALAM OPERASI SPAD

Nampaknya kempen aduan dari orang ramai oleh SPAD terhadap salahlaku pemandu-pemandu teksi terutama di sekitar Kuala Lumpur, sangat dipandang serius oleh pihak SPAD. Di antara aduan yang telah diterima pihak SPAD, terdapat warga asing membawa teksi.

Bertindak ke atas aduan ini pihak SPAD telah mengenalpasti kawasan-kawasan mereka beroperasi dan mereka ni gemar beroperasi di kawasan 'Hot Spot' sekitar Kuala Lumpur seperti yang pernah ditulis dalam blog ini ... DI SINI.

Satu operasi telah diadakan yang dinamakan Ops Tegas "Alien" bertujuan untuk membenteras kegiatan warga asing membawa teksi telah berjaya dijalankan dengan kerjasama PDRM, Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.



Kali ini, 6 warga Pakistan ditangkap selain daripada 21 yang tidak mengguna meter, 5 menetapkan harga tambang, 1 tiada kad pemandu dan 1 enggan mengambil penumpang.

Yang menjadi peliknya, alien-alien Pakistan ini mempunyai Kad Pengenalan dan ada yang mengaku datang dari Sabah. Tetapi dengan kehadiran JPN serta pihak Imigresen, kad pengenalan mereka dirampas untuk disemak kesahihannya.

Inilah salah seorang alien yang mempunyai Kad Pengenalan... boleh percaya? 




Isu kedua mengenai alien ni, bagaimana pula dia boleh dibenarkan membawa teksi?

Pengarah Penguatkuasaan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni telah mendedahkan beberapa modas operandi mereka. Kebanyakan teksi yang dibawa alien ini bukanlah milik mereka dan mereka menyewa daripada syarikat-syarikat teksi. Oleh kerana, mereka sekadar menunjukkan kad pengenalan dan pihak syarikat tidak membuat semakan, maka mereka dibenarkan.

Ada antara muka-muka 'alien' ini menunjukkan kad pengenalan dengan nama melayu dan mengaku menetap di Sabah tetapi percakapan mereka tidak langsung mempunyai slanga seorang Sabah.

Dan yang paling banyak berlaku apabila ada yang membawa teksi sebagai pihak ketiga di mana, mereka menyewa teksi dari mereka yang telah mendapat kebenaran menyewa teksi dari syarikat.

Inilah hasil kerjasama dari aduan rakyat. Penguatkuasa SPAD akan sentiasa bertindak tegas dan keras terhadap pesalah-pesalah teksi dan dengan kerjasama dari rakyat, maka mereka pasti akan terperangkap di waktu yang lain walaupun ketika operasi kali ini, mereka terlepas.

Apa yang rakyat boleh bantu ialah apabila mereka mendapati pemandu-pemandu teksi ini melakukan kesalahan, mereka boleh ambil gambar atau video ataupun merakamkan perbualan dan hantar kepada SPAD.

Seboleh mungkin maklumat biarlah lengkap dengan gambar pemandu dan juga yang gambar di dashboard untuk memastikan samada pemandu dan gambar di dashboard adalah orang yang sama. Nombor kenderaan dan nama syarikat di badan teksi juga dapat membantu siasatan.

SPAD sedaya mungkin cuba berlaku adil terhadap pemandu-pemandu teksi yang ikhlas mencari rezeki dengan mengikut peraturan. Disebabkan beberapa pemandu teksi yang melanggar undang-undang, maka pemandu-pemandu teksi yang jujur ini juga mendapat tempiasnya.

Oleh itu, kita di pihak pengguna pun perlu berlaku adil terhadap mereka dengan bekerjasama dengan SPAD mencegah penyangak-penyangak teksi ini. Yang pasti, ini bukan kali terakhir SPAD akan melakukan operasi tetapi pada bila-bila masa saja.