Friday, January 29, 2016

DATO' LIOW - PENUNGGANG MOTOSIKAL TETAP CATAT KEMALANGAN JALANRAYA TERTINGGI

Sebelum kita terus ke ucapan dan nasihat dari Menteri Pengangkutan DS Liow Tiong Lai, kita dengar video ini dulu; 

Watch my Chinese New Year Video here.
Posted by Liow Tiong Lai on Monday, January 25, 2016


Setiap kali ada perayaan besar di negara, pasti Kementerian akan lancarkan kempen keselamatan jalanraya. Kali ini sambutan Tahun Baru Cina akan diraikan dan seperti biasa kita akan bercuti panjang, maka ramailah yang akan berada di serata jalan raya.


Tema kempen keselamatan jalanraya kali ini adalah 'Tunggangan Berhemah, Amalan Kita" adalah untuk menyedarkan kita betapa pentingnya sikap berhemah ketika berada di jalanraya. Majlis Kempen Keselamatan Jalanraya Kawasaki 2016 telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Dato' Sri Liow Tiong Lai di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan.

Kita juga ingin kongsikan statistik kemalangan hanya untuk peringatan kita betapa gerunnya apabila setiap tahun ada saja peningkatan berlaku;
  • Jumlah kemalangan jalan raya bagi 2015 adalah 489,606 berbanding 476,196 pada tahun 2014
  • Jumlah kemalangan maut pula mencatatkan 6,706 orang bagi tahun 2016 dari 6,674 untuk 2014
  • Kadar kematian jalan raya adalah seramai 18 orang setiap hari
  • Bagi 10 tahun yang lepas, penunggang motosikal adalah mangsa tertinggi kemalangan jalanraya iaitu seramai 39,744
  • Pada 2015 dari Januari hingga September, seramai 4,203 penunggang motosikal adalah mangsa kemalangan berbanding dengan 4,179 kes dalam tempoh sama pada tahun 2014
  • Di waktu perayaan Tahun Baru Cina tahun lalu pula, sebanyak 17,632 kemalangan telah tercatat melibatkan 186 kemalangan maut, 199 kematian dengan purata 13 kematian sehari

Pasti kita ngeri bila mengetahui angka-angka yang dicatatkan dan penunggang motosikal tetap mencatat kemalangan jalanraya yang tertinggi. Namun, masih ada yang tidak ambil perhatian serius. Walaubagaimanapun, sebagai tanggungjawab kerajaan yang mengambil berat keselamatan rakyat, pelbagai inisiatif akan tetap diteruskan terutama untuk kesedaran penunggang motorsikal.

Kempen keselamatan jalanraya kali ini juga adalah untuk mengetengahkan modul pendidikan keselamatan jalan raya dan menggalakkan penunggang motosikal yang kebanyakannya dari golongan muda untuk mendapatkan lesen yang sah dengan harga yang lebih rendah.

Di antara fakta lain yang perlu kita ketahui adalah Malaysia berada di tempat ketiga di antara negara-negara ASEAN di dalam angka kematian kemalangan jalanraya di dalam Global Status Report on Road Safety 2015 World Health Organisation.

Kajian MIROS pula mendapati 80% faktor menyumbang kepada kemalangan jalanraya adalah dari kelalaian manusia, 13.2% jalanraya dan hanya 6.2% dari kenderaan itu sendiri.

Apakah tips perjalanan selamat di musim-musim perayaan?
  • Pentingnya sikap berhemah di jalanraya.
  • Penguasaan sikap pengguna dijadikan keutamaan.
  • Sikap bertanggungjawab dan toleransi serta penyayang boleh menyumbang kepada cara pemikiran pemanduan yang positif
  • Merancang perjalanan dan masa mampu mengurangkan keletihan serta mengelak dari terperangkap dalam kesesakan di sepanjang perjalanan

Mengurangkan kadar kemalangan bukan saja dipertanggungjawabkan kepada kerajaan sahaja, malahan ia adalah tanggungjawab kita semua. Namun bagi mempastikan keselamatan untuk semua, kerjasama dari pihak swasta, NGO dan pemimpin-pemimpin masyarakat telah sekali lagi berganding bahu di dalam siri kempen keselamatan jalanraya di musim perayaan.

Syabas kepada komitmen Kawasaki Motors Malaysia dan Persatuan Penjual Motorsikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) yang telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan kempen keselamatan jalan raya kali ini. Beberapa syarikat swasta lain yang terlibat termasuklah Tokio Marine Insurans (M) Bhd, AEON Credit Service, KHI Helmet, Bridgestone serta semua agensi-agensi kerajaan yang lain.

Semoga rakyat Malaysia dapat meraikan Tahun Baru Cina dan menikmati percutian di dalam suasana yang tenang dan gembira tanpa menerima perkhabaran sedih kemalangan nanti. Sama-sama di antara kita mengingatkan antara satu sama lain agar berhemah di jalanraya agar perjalanan kita selamat dan lancar hingga tiba ke destinasi yang dituju.

SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA.

No comments: