Monday, November 13, 2017

SPAD : SATU KAD UNTUK SEMUA PERJALANAN MENJELANG 2019


Pengguna pengangkutan awam terutamanya rel pasti sudah mengetahui yang kini mereka tidak lagi perlu beratur panjang untuk membeli tiket. Ini adalah kerana kemudahan kad 'Touch n Go' juga boleh digunakan untuk perjalanan harian mereka. Namun itu hanya untuk mereka yang mengguna khidmat rel dan pihak SPAD sedang merancang agar pengguna bas dan bas ekspres juga dapat manfaatkan kad yang membolehkan mereka tidak lagi membuat bayaran tunai serta beratur panjang.

Oleh itu, satu sistem yang akan diperkenalkan SPAD iaitu "Integrated Common Payment System (ICPS)" yang pada awalnya dirancang penggunaannya pada tahun 2018 telah ditunda ke 2019. Penggunaan satu kad ini akan dikuatkuasakan di sekitar Lembah Klang dan diperluaskan secara berperingkat-peringkat.

Penggunaan kad pintar yang sedang diusahakan pihak SPAD dengan sistem ICPS ini akan diperluas untuk penumpang bas, rel, metro dan rangkaian monorel. Kad ini boleh ditambah nilai melalui kad MyDebit atau kad Touch n Go di samping membuat bayaran secara talian.

Lebih menarik, penumpang yang mengguna kad melalui ICPS, akan diberi diskaun sebanyak 20 peratus berbanding jika mereka membayar secara tunai. Sistem ICPS ini adalah projek kerajaan yang dipantau SPAD di bawah Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) untuk Pengangkutan Awam Bandar untuk mengintegrasikan semua sistem tambang kereta api dan bas transit di Lembah Klang..

Pada masa yang sama, di dalam menjawab pertanyaan Parlimen, Menteri yang bertanggungjawab ke atas pengangkutan awam darat dan SPAD YB Nancy Shukri juga menerangkan yang bermula tahun hadapan, semua pemandu bas ekspres wajib memperolehi kad pemandu manakala pemandu bas di dalam kategori lain boleh melakukannya berperingkat-peringkat sehingga 2019.

Walaubagaimanapun, pemandu-pemandu bas ini akan melalui proses semakan yang ketat dengan kerjasama polis dan JPJ dan sekiranya ada di antara mereka yang didapati melanggar syarat seperti jika mereka didapati di bawah pengaruh dadah mahupun mempunyai rekod jenayah, kad mereka akan dibatalkan dan diarahkan melalui latihan pemulihan sebelum mendapatkan semula kad pemandu mereka.

Inilah di antara inisiatif kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada SPAD untuk memastikan bukan saja sistem pengangkutan awam lebih selamat dan efisien, malahan mod pengangkutan awam pasti akan dijadikan mod utama rakyat suatu ketika nanti.

No comments: