Friday, September 15, 2017

MCA : PAS BUKAN "SEMAKIN BIRU", TAPI DAP YANG SEDANG BERPUTIH MATA


Dalam menutup kesilapan mereka membubarkan Pakatan Rakyat kerana konon PAS telah melanggar perjanjian untuk tidak meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan seterusnya kini menyedari yang gabungan dalam Pakatan Harapan tidaklah sekuat mana untuk mendapatkan undi majoriti dari pengundi Melayu, DAP bukan saja terdesak malahan sedang berputih mata kerana bakal menyaksikan kekalahan yang lebih teruk dari pilihanraya umum lepas.

Sepertimana yang diulas Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA Chris Daniel Wong seperti berikut;

"Rata-rata penganalisa politik tanahair akan bersetuju mengatakan bahawa maruah PAS telah tercalar setelah ditikam dari belakang oleh parti DAP yang  membelakangkan perjanjian Pakatan Rakyat yang dimeterai sebelum pilihanraya ke-13 pada 2013." Ini adalah perjanjian gabungan di antara DAP, PKR dan PAS yang membenarkan PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan yang cuba disembunyikan DAP.

Sebaliknya, DAP telah mengecam dan menghina Presiden PAS sehingga Guan Eng juga turut menggelar Hadi Awang sebagai 'bodoh' dan 'penipu'. Kebenaran di sebalik kemuncak kemarahan DAP terhadap PAS bukanlah kerana hukum hudud tetapi telah disahkan oleh pelbagai pihak dan terkini dari kenyataan rasmi penasihat SUARAM Kua Kia Soong, di mana Hadi Awang telah memilih Azmin Ali dan bukan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid Ibrahim.

Di dalam terlalu percayakan DAP, PKR juga sekarang ini telah menyesali keputusan mereka memusuhi PAS terutama sekali Azmin dan kerajaan pimpinannya di Selangor.

Bagi Chris Daniel, DAP juga cuba berselindung yang Pakatan Harapan dan terutamanya DAP sedang terdesak apabila gagal menyekat Azmin daripada berunding dengan PAS dan kegagalan paling ketara DAP adalah apabila mereka tidak berjaya menyekat PAS dari terus berada dalam pentadbiran Selangor.

Bukan saja PKR yang bakal terkesan apabila PAS tidak bekerjasama dengan mereka, malahan DAP juga akan mendapat tempiasnya apabila PKR bakal
kehilangan beberapa kerusi tanpa sokongan jentera PAS dan terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.

Berkemungkinan DAP mampu mengekalkan kerusi mereka tetapi apakah angan-angan yang dijanjikan kepada masyarakat Cina untuk menawan Putrajaya mampu direalisasikan? Sekali lagi untuk entah berapa kali DAP akan membohongi masyarakat Cina yang pembangkang terutama DAP akan berjaya merampas pentadbiran negara dari Barisan Nasional.

PAS yang dikatakan semakin biru hanyalah cubaan DAP untuk memujuk masyarakat Cina agar tidak marah dengan kegagalan mereka. Pada masa yang sama, harapan DAP agar penyokong PAS akan merasa marah apabila diberi gambaran seolah-olah PAS kini adalah kuda tunggangan UMNO. Tetapi kepada mereka yang menyedari realiti politik hari ini, DAP yang sedang berputih mata apabila dengan ketegasan PAS untuk bertanding solo akan mengakibatkan calon-calon dari Pakatan Harapan terpaksa bertembung dengan PAS dan juga calon UMNO.

Justeru, apa yang berlaku di PRN Sarawak, PRU Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan tidak dapat dielakkan di mana Pakatan Harapan telah mengalami kekalahan yang teruk. Inilah sebenarnya ketakutan DAP dan yang pasti, mereka akan terus berputih mata termasuklah faktor mengkhianati penyokong mereka apabila mendampingi Dr Mahathir yang pernah dijadikan musuh utama mereka.

Sebagaimana yang dikatakan Chris Daniel, inilah muka DAP yang sebenar apabila bukan sahaja maruah PAS yang dicalarkan tetapi maruah PKR juga dinodai agar matlamat DAP dapat dicapai dengan apa cara sekali pun walaupun mengkhianati rakan sendiri dan juga masyarakat Cina.

No comments: