Monday, January 30, 2017

SPAD BERTUGAS DI SELURUH NEGARA SEPANJANG RAKYAT BERCUTI PADA TAHUN BARU CINA

Walaupun rakyat sedang menikmati cuti panjang sempena Tahun Baru Cina, penguatkusa SPAD tetap menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab bagi memastikan setiap penumpang pengangkutan awam darat terutama yang menaiki bas akan terjamin keselamatan mereka dan sampai ke destinasi tanpa ada sebarang gangguan.

Sejak dilancarkan pelbagai kempen keselamatan jalanraya tatkala menjelang cuti Tahun Baru Cina, SPAD juga telah menjalankan operasi bersama-sama agensi lain dan di antaranya adalah;



SPAD Wilayah Selatan telah mengadakan program walkabout bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina di terminal Larkin Sental, Johor Bahru. Program ini turut disertai oleh beberapa agensi lain seperti JPJ, PDRM, PAJ, AADK,BPA, JKJR dan beberapa pengendali bas ekspres.

SPAD Timur, cawangan Kelantan dan UTC Pahang turut mengadakan Kempen Kesedaran Pengguna Pengangkutan Awam Darat "Safe Journey For All" sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2017 yang telah diadakan di Terminal Bas Lembah Sireh dan bagi UTC Pahang di Terminal Sentral Kuantan.

SPAD Melaka telah menyertai Majlis Pelancaran Ops Selamat yang diadakan di Tol Simpang Ampat dan di Freeport A Famosa Oulet, Alor Gajah, Melaka. Program telah disempurnakan oleh YB Datuk Lim Ban Bong, Exco Pengangkutan dan Datuk Abd Jalil - Ketua Polis Melaka. "Emergency Respond Team Ops Selamat turut dilancarkan yang melibatkan agensi-agensi seperti JPJ, SPAD, JBPM, PDRM, APM, Jab. Kesihatan, JKJR dan MKJR. yang bertujuan untuk memberikan bantuan jika berlaku sebarang kemalangan disepanjang lebuhraya.

SPAD Wilayah Tengah telah mengadakan program walkabout bagi Kempen Keselamatan Dan Hak Sebagai Pengguna Bas Ekspress Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2017 yang bertempat di Terminal Bas Klang Sentral. Sebanyak 100 beg "goodies" telah diedarkan kepada penumpang bas dan mereka turut diberi penerangan berkenaan hak dan tanggungjawab sebagai penumpang.

SPAD UTC Kedah telah mengadakan Kempen Kesedaran Pengguna Pengangkutan Awam. Kempen ini diadakan di Terminal Bas Shahab Perdana. Goodies dan flyers 'Hak Penumpang Bas Ekspres' telah diedarkan dimana kakitangan SPAD turut memberi penerangan berkenaan Hak Penumpang Bas Ekspres dan aplikasi MeterOn kepada penumpang bas ekspres serta pemandu bas Ekspres. Sewaktu kempen dijalankan, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JPJ Malaysia, Dato Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman mengadakan kunjungan serta penyerahan buah limau kepada kakitangan yg bertugas.Turut hadir bersama Pengarah JPJ Kedah, En IsmaSuhaimi Shariff.

Penumpang juga disarankan untuk membuat aduan ke talian bebas aduan SPAD 1800887723 atau membuat aduan terus dengan menggunakan aplikasi MeterOn jika terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pemandu bas. 

Pada masa yang sama, sepanjang operasi yang dijalankan, beberapa tangkapan telah di buat dan di antaranya;

 .... dan juga;

Saturday, January 28, 2017

KIT SIANG HENDAK BERJUMPA PRESIDEN MCA DAN GERAKAN. APA DAH JADI?


Sebelum Kit Siang boleh menjerat mangsa seterusnya, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong telah mendedahkan yang Kit Siang telah meminta untuk menemui kedua-dua Presiden MCA dan Gerakan dalam kempen 'Save Malaysia' yang diusahakan Dr Mahathir. Ini adalah satu pendedahan yang sangat mengejutkan apabila semua rakyat Malaysia sangat mengetahui bahawa bukan sahaja UMNO malahan MCA juga sentiasa menjadi bahan kritikan dan celaan mulut lantang Kit Siang.

Setelah segala rundingan dengan PAS oleh Muhyiddin dan Azmin sedang buntu, Kit Siang baru-baru ini telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Presiden PAS  Hadi Awang bagi meyakinkan bahawa ia dilakukan dengan niat yang baik dan seolah-olah dia menyesal kerana apa yang telah berlaku sehingga tercetusnya konflik di antara mereka.
Rupa-rupanya di dalam drama syahdu ini dengan PAS, di belakang tirai lain pula yang Kit Siang buat. Mungkin bagi sesetengah mereka, ia melihatkan betapa seriusnya Kit Siang untuk berbaik-baik dengan Hadi Awang tetapi jika kita mengetahui seseorang yang licik seperti Kit Siang yang penuh dengan helah, ia hanyalah untuk memenuhi kepentingan politiknya.

Sebelum Kit Siang ingin meneruskan niatnya, Datuk Wee menuntut terlebih dahulu agar beliau menjelaskan pendiriannya samada sekarang ini beliau sedang bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan PAS atau beliau lebih suka untuk memilih MCA dan Gerakan? Seterusnya, Datuk Wee mempersoalkan samada Kit Siang bertindak bagi pihak Pakatan Harapan, partinya atau mungkin ia adalah inisiatif sendiri dan untuk dirinya sendiri?

Bukan sahaja Datuk Wee agak sukar untuk memahami plot politik Kit Siang sejak bersekongkol dengan Dr Mahathir, pendedahan mengejutkan ini sudah pasti menunjukkan betapa Kit Siang, DAP dan Dr Mahathir adalah sangat terdesak. Walaupun tanpa apa-apa pengesahan daripada mereka, niat untuk memastikan satu pasukan pembangkang yang kuat, sebenarnya mereka sedang nazak.

MCA bukan baru setahun jagung dalam dunia politik tanahair dan begitu juga parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional yang sangat memahami bahawa Kit Siang dan DAP adalah rakan yang sekali-kali tidak boleh dipercayai. Sejarah politik negara kita telah menyaksikan betapa DAP sebagai parti oportunis sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip untuk bersama parti-parti lain selagi ia boleh memberi manfaat kepada mereka.

Ternyata yang DAP tidak pernah konsisten, untuk kali kedua, DAP telah berbaik-baik dengan PAS hanya semata-mata untuk memancing undi Melayu dan terkini mereka telah sanggup menghumban segala dosa dan salah laku musuh ketat mereka yang mereka sendir telah menuduh dan membongkar. Dr Mahathir dan Muhyiddin yang terkenal dengan pendirian ultra-Melayunya, kini diterima sebagai rakan untuk bekerjasama. 

Dari awal lagi, MCA adalah tegas dalam pendirian mereka untuk menolak undang-undang hudud PAS tetapi tidak seperti DAP yang sentiasa bermain tali dengan PAS demi untuk mendapatkan sokongan Melayu daripada parti dan dengan seterusnya mengkhianati masyarakat bukan Islam. Bagi MCA, sekiranya DAP serius dalam menentang enakmen hudud PAS, mengapa mereka perlu kembali untuk berkawan dengan PAS jika ia tidak bermaksud untuk berterusan mengkhianati penyokong mereka.

Walaupun dengan alasan kempen 'Save Malaysia' yang dimulakan oleh Dr Mahathir, MCA menganggap permintaan Kit Siang untuk bertemu dengan Presiden MCA dan Gerakan sebagai tidak boleh dipercayai dan agak manipulatif. Kit Siang juga nampaknya terlalu terdesak untuk memastikan nasib politik anaknya tidak terkubur selepas pertuduhan rasuah yang berkemungkinan akan berakhir di penjara.

Sehingga Kit Siang dapat menjelaskan tindakannya yang mengkhianati masyarakat bukan Islam dengan memikat PAS, permintaannya untuk bertemu dengan Dato Liow dan Datuk Mah langsung tidak masuk akal.

Sebagaimana yang sentiasa diperkatakan pemimpin-pemimpin MCA, keutamaan mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesejahteraan masyarakat Cina dan juga memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional. 

Ia akan menjadi satu tindakan yang kurang cerdik seandainya MCA bekerjasama dengan Kit Siang demi untuk merealisasikan niat tersiratnya untuk merebut jawatan Timbalan Perdana Menteri sekira pakatan pembangkangnya menang pada pilihan raya umum akan datang.

MCA pasti akan sentiasa berwaspada dengan politikus licik seperti Kit Siang dan Dr Mahathir yang diibaratkan seperti seekor ular yang sanggup berlakon jinak terhadap mangsanya tetapi apabila mereka berada di dalam keadaan terperangkap, tanpa belas kasihan mangsa-mangsa mereka akan terus dibaham.

Friday, January 27, 2017

PERUTUSAN TAHUN BARU CINA PRESIDEN MCA : MENANGANI MASALAH RAKYAT, AGENDA UTAMA 2017


Bermain politik bukanlah agenda MCA semata-mata di mana sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini, Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai menekankan yang MCA akan bersama-sama PM Najib Razak menguruskan keperluan rakyat di dalam berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup mereka ketika ekonomi negara sedang menghadapi kesan dari cabaran ekonomi dunia.

Itulah iltizam MCA sempena kedatangan tahun lunar baru masyarakat Cina 2017.

Di dalam ucapan dan amanahnya, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga menyeru agar rakyat Malaysia sentiasa bersatu membina semangat kesederhanaan, toleransi dan berfikiran ke depan serta sentiasa menghormati hak bersama, kepercayaan dan tradisi masing-masing. Bagi beliau, masyarakat yang berbilang kaum di negara ini adalah kekuatan kita dan perlunya mempertahankan keharmonian ini.

MCA sangat menekankan kepentingan pendidikan rakyat seperti yang telah pun diwujudkan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Tunku Abdul Rahman University College (TAR UC), sementara MCA juga telah mengusahakan bantuan kewangan kepada usahawan-usahawan melalui Koperasi Jayadiri Malaysia (Kojadi) khas untuk skim pinjaman di bawah perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Maka dengan inisiatif berterusan yang diberi perhatian oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri DS Najib Razak, MCA yakin yang inisiatif ini akan akhirnya dapat meneguhkan ekonomi negara, lantas inilah sebabnya MCA terus bekerja keras untuk meningkatkan keperluan dan kesejahteraan rakyat.


Pada masa yang sama, MCA sangat berbangga dan berterima kasih apabila mendapat kepercayaan dari pihak kerajaan dan juga negara China untuk menerajui pelaburan bernilai beratus bilion dari negara China, negara kedua terbesar ekonomi dunia.

Di antara yang boleh dimanfaatkan rakyat Malaysia pastilah projek yang melibatkan pengangkutan awam seperti yang dirancang kerajaan iaitu rangkaian East Coast Rail (ECR). Kesemua rakyat Malaysia pasti dapat memanfaatkan kepakaran dari negara China ini yang bakal meningkatkan perhubungan di antara pantai barat dan timur Semenanjung Malaysia.

Selaku Menteri Pengangkutan, kementerian ini akan terus mengukuhkan industri logistik negara di bawah Pelan Induk Perdagangan Logistik Kebangsaan dan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab logistik di rantau ASEAN. Yang pasti, segala inisitiaf kerajaan Barisan Nasional ini akan memberi manfaat kepada negara dan juga rakyat Malaysia.

Datuk Liow juga tidak lupa untuk mengingatkan rakyat Malaysia agar bersama-sama kerajaan membentras segala bentuk ekstrimisma dan perpecahan.

Inilah MCA pada hari ini yang sentiasa mengajak untuk mengelak dari perbalahan di antara kaum dan mengekalkan keharmonian di antara pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, MCA bukan sekadar berkata-kata kosong seperti DAP dan juga sekutunya di mana segala keperitan rakyat tetap diusahakan dan direalisasikan.

Pihak pembangkang hanya tau bermain politik pada setiap masa manakala MCA mengimbangi politik mereka dengan mendahulukan kepentingan dan juga masadepan rakyat Malaysia khasnya masyarakat Cina.

Selamat Tahun Baru dan Gong Xi Fa Cai dari Presiden serta seluruh warga MCA untuk rakyat Malaysia. 

Tuesday, January 24, 2017

MCA ANGGAP TUDUHAN DR MAHATHIR HANYA UNTUK TUTUP PEKONG SENDIRI


Sekiranya Dr Mahathir ingin melihat hubungan baik di antara MCA dan UMNO bertukar tegang malahan mungkin kucar-kacir dengan kenyataan 'u-turn' terbarunya di mana dikatakan MCA telah menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau dan rakan-rakan DAP terutama Kit Siang akan hanya kecewa kerana kedua-dua mereka ini tidak lebih dari dianggap sebagai pengacau dan tidak lagi relevan.

Setelah tersedar yang beliau telah secara tidak sengaja mengesahkan pakatan sulitnya dengan Kit Siang, Dr Mahathir kini beralih untuk mencari alasan dan menuding jari kepada MCA. Dr Mahathir terpaksa mengambil masa lebih daripada 24 jam untuk menyedari bahawa dia telah mengecewakan DAP dan Kit Siang dan terus menukar kepada kenyataan 2009 oleh bekas timbalan MCA Setiausaha Agung.

Walaupun ia adalah petikan akhbar pada tahun 2009, semua faham akan senario politik pada ketika itu adalah sama sekali berbeza daripada hari ini malahan pemimpin-pemimpin MCA telah bersilih ganti, begitu juga landskap politik mereka.

Ini jelas menunjukkan bahawa Dr Mahathir adalah sangat terdesak untuk mencari alasan lain bagi menutup kelicikan politik DAP yang sedang rancak meraih pengaruh dan simpati pengundi Melayu. Maka, segalanya perlu dilakukan walaupun terpaksa melencong untuk berkali-kali demi memastikan agenda politik DAP tidak terhalang dan perlu diteruskan.

Malangnya, UMNO dan MCA yang telah sekian lama menjadi rakan politik yang setia, tidak sekali-kali akan terpedaya mahupun tergugat. Pemimpin-pemimpin dan juga ahli-ahli kedua-dua parti ini terlalu memahami siapa itu Dr Mahathir dan Kit Siang  ketika ini.

PM Najib Razak juga didalam kenyataannya mengesahkan yang kepimpinan MCA hari ini tidak pernah menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan ia hanyalah untuk menambahkan lagi koleksi u-turn Dr Mahathir demi memujuk hati rakan barunya Kit Siang yang disebabkan mulut yang celuparnya sendiri.

Apabila Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menganggap tuduhan Dr Mahathir sebagai merepek, ia adalah tepat sekali kerana mana mungkin tatkala MCA di dalam kedudukan yang terlalu lemah, mereka akan mampu membuat tuntutan untuk jawatan tertinggi tersebut. Pada tahun 2008, MCA hanya mampu menang 15 kerusi parlimen daripada 31 yang telah dipertandingkan.

Bagi Datuk Wee, walaupun ia telah dilaporkan di media namun ia bukanlah cadangan rasmi MCA kerana ia sekadar pandangan peribadi. Cadangan dari ahli-ahli ketika berbahas adalah suatu perkara biasa dan ia bukan saja berlaku di dalam MCA malahan di pihak pembangkang juga. Baru-baru ini, di dalam konvensyen DAP, ada cadangan agar Kit Siang meletakkan jawatan kerana bersekongkol dengan Dr Mahathir namun DAP tidak pula menganggap ia sebagai kenyataan rasmi mereka.

Datuk Wee juga mengingatkan DAP, apakah jawatan Timbalan Perdana Menteri dijadikan tujuan utama untuk berbaik-baik dengan Dr Mahathir? Pada masa  yang sama, Timbalan Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun menyeru agar ahli-ahli MCA tidak terkesan dengan kenyataan u-turn Dr Mahathir malahan tidak perlu diambil peduli kerana Dr Mahathir sendiri 'blur' dengan apa yang dikatakan sendiri.

Yang pasti, samada UMNO atau MCA dan mahupun rakan-rakan politik lain di dalam Barisan Nasional tidak terkesan dengan u-turn terbaru Dr Mahathir. Ini adalah kerana mereka cukup memahami ia sekadar permainan politik seorang usang yang terlalu terdesak dan akan lakukan apa saja walaupun terpaksa memutar-belit kenyataannya sendiri.
 

Sunday, January 22, 2017

41 LAGI PEGAWAI PENGUATKUASA SPAD TAMAT LATIHAN

Jangan ada yang terperanjat apabila SPAD hanya ada 343 anggota penguatkuasaan di seluruh negara berbanding tugasan yang sangat mencabar perlu mereka hadapi dan laksanakan. Maka, baru-baru ini, satu majlis perbarisan tamat latihan untuk 41 anggota barunya di Kem Bumi Jati, Klang telah disempurnakan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar Jaafar Albar.

Walaubagaimanapun, anggota penguatkuasa SPAD bukan calang-calang pegawai di mana mereka adalah pemegang ijazah dan juga diploma yang berumur di antara 23 dan 30 tahun. Mereka juga telah menjalani kursus intensif selama 2 bulan yang di antaranya menitikberatkan hal ehwal perundangan, penguatkuasaan dan operasi, tatacara pemeriksaan dan sekatan jalan raya, siasatan dan pendakwaan, Kod Amalan Industri Keselamatan (SPAD ICOP Safety), etika penguatkuasaan dan ilmu beladiri.


Sebagai Pengerusi SPAD, Tan Sri telah mengingatkan yang anggota penguatkuasa ini perlu memainkan peranan penting di dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan sebagai barisan hadapan, mereka perlu menunjukkan displin dan mempunyai integriti yang tinggi.

Sempena Tahun Baru Cina dan cuti panjang untuk rakyat Malaysia yang bakal menjelang tidak lama lagi, Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Major Jeneral (B) Dato’ Paduka Che Hasni Che Ahmad telah memaklumkan yang anggota-anggota penguatkuasa yang baru tamat latihan ini akan menyertai operasi SPAD dengan kadar serta-merta.

Merkea akan ditugaskan di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya bersama-sama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti JPJ, PDRM dan AADK di dalam Operasi Khas Tahun Baru Cina daripada 21 Januari sehingga 5 Februari. Penugasan anggota selama 24 jam akan hanya dilaksanakan pada 27 Januari sehingga 1 Februari nanti.

Di antara bidang tugas yang akan dilaksanakan mereka nanti termasuk pemeriksaan kaunter, pemantauan penjualan tiket dan ulat, pemeriksaan dokumen bas di terminal, pemantauan dan rondaan terhadap penggunaan meter teksi di pusat bandar, dan penyamaran di dalam bas ekspres.

Tahniah dan syabas kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana telah berjaya mengukuhkan pasukan penguatkuasa dengan lantikan 41 pegawai baru. Sempena perayaan Tahun Baru Cina, diharapkan walaupun hanya dengan tambahan 41 anggotanya, mereka akan terus dapat mengekang kemalangan jalanraya dan memerangai segala bentuk yang menyalahi undang-undang jalanraya.