Thursday, May 21, 2015

SAMADA TOYOTA ATAU NISSAN BAKAL GANTI TEKS1M PROTON EXORA



Target SPAD pada hujung tahun ini untuk memastikan 7,500 kenderaan TEKS1M mungkin tidak akan kesampaian apabila pihak Proton didapati terlalu lembap membuat pengeluaran Exora.

Sejak pelancaran TEKS1M pada 2013 dan mula beroperasi selepas 6 enam bulan, hanya 1,000 teksi Exora sahaja yang dikeluarkan untuk Lembah Kelang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dan sehingga kini, penambahan unit masih lagi dinantikan.

TEKS1M adalah kelas perkhidmatan baru yang diperkenalkan oleh SPAD dalam melaksanakan agenda transformasi industri teksi di negara ini. Walaupun lebih cantik dan canggih serba-serbi, TEKS1M masih mengenakan tambang teksi bajet.

SPAD sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab ke atas migrasi 42,642 teksi bajet dan teksi eksekutif ke TEKS1M, terpaksa mencari sumber lain bagi memastikan perancangan lima tahun akan datang tercapai.

Kini pihak SPAD sedang berbincang dengan pihak Toyota dan Nissan untuk mengatasi kelembapan pengeluaran Proton Exora. Perbincangan juga telah diadakan dengan pihak MTEN pada awal tahun ini dan dikatakan segala maklumat telah dibentangkan untuk dibuat kajian dan seterusnya dibuat keputusan.

Di antara kenderaan keluaran Toyota yang telah dikenalpasti paling sesuai ialah Innova 2.0 yang berharga RM73,228 untuk kenderaan manual dan RM76,011 untuk kenderaan otomatik. Walaubagaimanpun, pihak Toyota menjangkakan pengeluaran akan siap dalam tempoh 3 bulan.

Pengeluaran TEKS1M oleh Toyota akan dilengkapi dengan alat pengesan untuk CTSS (Centralised Taxi Service System), tangki gas NGV, mesin kredit dan beberapa kriteria yang telah ditetapkan pihak SPAD.

SPAD juga sedang berunding dengan pihak Toyota agar harga yang ditawarkan untuk model Innova adalah berpatutan dan jimat untuk jangka masa panjang bagi syarikat pengusaha teksi dan pemilik lesen individu.

Tuesday, May 19, 2015

MCA TIDAK SETUJU DAKWAAN MAHATHIR BILA DIKATAKAN MASYARAKAT CHINA MENOLAK BR1M



MCA yang mewakili kaum Cina juga tidak bersetuju dengan dakwaan Dr Mahathir yang BR1M adalah satu rasuah kepada rakyat terutama kepada bangsanya.

Setiausaha Agong MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan meminta bukti dengan menunjukkan angka dan bukan sekadar menuduh sekiranya benar masyarakat Cina menolak BR1M.

Mengikut Datuk Ong, sebaliknya yang berlaku di mana semua rakyat menghargai pemberian BR1M dari kerajaan di mana hasil yang telah diperolehi kerajaan telah dikongsi bersama rakyat dan yang paling utama adalah terus kepada kumpulan sasarnya.

Datuk Ong juga menempelak bahawa tanpa bukti, ia hanya sekadar tuduhan oleh Dr Mahathir dan mereka yang pernah menerimanya sahaja yang tahu bersyukur. Yang penting Dr Mahathir perlu sertakan buktinya apabila membuat tuduhan.

Sejak mula BR1M diberi kepada rakyat, Datuk Ong yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, belum pernah mendengar respon dari masyarakat Cina mendakwa mereka telah dirasuah kerajaan dengan penerimaan BR1M.

Dr Mahathir juga telah menuduh pemberian BR1M adalah rasuah politik kepada rakyat tetapi telah diterangkan Perdana Menteri bahawa ia bukanlah diputuskan oleh Barisan Nasional malahan dibuat jawatankuasa fiskal Bank Negara Malaysia.

BR1M telah diberi kepada 40% rakyat Malaysia yang dikategorikan di bawah kumpulan berpendapatan rendah dan pemberian ini diberi kepada mereka tidak mengira bangsanya dan fahaman politiknya. Inilah bukti ia bukan bertujuan rasuah politik.

MCA juga bersetuju dengan pandangan DS Najib apabila ada di antara ahli-ahli politik yang gagal melihat BR1M dari perspektif ekonomi tetapi lebih cenderung mempolitikkannya dan mengaitkan dengan rasuah politik. Ini ternyata dengan dakwaan mereka yang walaupun BR1M diberi, tetapi mereka masih tidak mengundi BN.

Malahan mekanisme bantuan rakyat seperti BR1M bukan sahaja di Malaysia tetapi telah diamalkan beberapa negara maju seperti Hong Kong dan Taiwan.

Amalan membantu kumpulan sasar seperti BR1M ini mampu menangani kos sara hidup dan seterusnya kerajaan dapat mengurus mekanisma subsidi negara dengan lebih berkesan dan mengurangkan ketirisan.

Saturday, May 16, 2015

SPAD BANGGA BILA PRASARANA BERJAYA TEMBUSI MEKAH



Prasarana baru-baru ini dianugerahkan kontrak tiga tahun bernilai 807 juta riyal oleh Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar Arab Saudi untuk mengendali dan menyelenggarakan laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddasah-Makkah sedia ada yang beroperasi secara khusus semasa musim haji.

Inilah hasrat Perdana Menteri kita yang ingin melihat syarikat tempatan setaraf dengan pengangkutan bertaraf dunia dan diiktiraf dunia.

Menembusi pasaran di Makkah bukan sesuatu yang mudah apabila yang pasti membida kontrak ini terdiri daripada syarikat-syarikat bas yang bertaraf dunia dengan menawarkan perkhidmatan yang sangat kompetitif dan berkesan.

Sekaligus, pengiktirafan dunia diberi kepada negara kita dan lebih membanggakan ia adalah sebuah syarikat tempatan.

Ditubuhkan pada 1998 dan beroperasi sejak 2002, Prasarana adalah pemilik aset dan pengendali dua rangkaian pengangkutan negara iaitu LRT dan KL Monorail selain perkhidmatan bas RapidKL, RapidPenang serta RapidKuantan.

Ketika bercakap dengan wartawan di majlis prapelancaran bas dua tingkat RapidKL Prasarana,Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal menyeru agar lebih banyak syarikat tempatan mengambil pendekatan Prasarana untuk meyakinkan pasaran antarabangsa bahawa Malaysia mampu setanding perkhidmatan dunia lain.

Syarikat tempatan juga perlu terus mencontohi langkah Prasarana untuk membangun dan memperbaiki pengendalian sistem pengangkuta mereka, tetapi juga aspek penyenggaraan dan baik pulih serta reka bentuk kenderaan pengangkutan awam.

Pengiktirafan demi pengkitirafan dari kerajaan terhadap pengendali-pengendali industri pengangkutan tempatan adalah langkah pertama yang diusahakan SPAD dalam membantu mereka menembusi pasaran dunia.

Kita bukan saja ingin menjadi jaguh di negara sendiri, malahan perlu meletakkan kemampuan perkhidmatan pengangkutan di peta dunia juga. Diharap lebih banyak syarikat-syarikat pengendali tempatan berani ke hadapan di pentas dunia.

Pada akhir tahun lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga telah memenangi bida Makkah Metro mengalahkan saingan operator rel bertaraf dunia daripada Turki dan Korea.

Friday, May 15, 2015

APAKAH SUARA KEADILAN CUBA MENGELAK GANTI RUGI RM100 JUTA KEPADA FELDA?



Tiga artikel yang pernah disiarkan di dalam Suara Keadilan iaitu 'Felda Bankrap', 'Kotroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu' telah memberi kemenangan kepada Felda dalam kes saman RM100 juta pada tahun lalu.

Perbicaraan taksiran ganti rugi telah berlangsung bagi menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Suara Keadilan dan akan bersambung pada 11 Jun nanti.

Apakah ini bermakna kerosakan reputasi yang telah dilakukan Suara Keadilan terhadap Felda dan anak syarikatnya perlu dikompromi?

Perlu kita faham, Felda mengambil tindakan undang-undang terhadap 3 artikel dari Suara Keadilan kerana ia adalah fitnah. Tujuan fitnah artikel tersebut berniat jahat untuk merosakkan reputasi Felda dan anak syarikatnya agar peneroka meragui kredibiliti pengurusan Felda. Yang lebih memberi kesan negatif adalah perniagaan Felda dan anak syarikatnya samada di dalam mahupun di luar negara termasuk. 

Felda and anak syarikatnya juga turut terjejas reputasinya untuk mendapat keyakinan bakal-bakal rakan kongsi perniagaan dan pelabur. Malahan ada di antara rakan kongsi sediada juga turut meragui kedudukan kewangan Felda.

Kerosakan reputasi  Felda juga telah memenuhi di ruangan media sosial dan sehingga dijadikan tajuk perbincangan samada di pentas-pentas politik mahupun di program-program wacana dan forum anjuran parti politik pembangkang.

Sebelum pihak Felda mengambil keputusan untuk membawa Suara Keadilan ke muka pengadilan, Suara Keadilan dan pengurusan tertingginya telah diminta untuk menarik semula tiga artikel tersebut dan seterusnya memohon maaf. Namun, Presiden PKR, Dr Wan Azizah dan Naib Presidennya ketika itu, Dr Syed Husin Ali dengan angkuh enggan berbuat demikian serta terus membiarkan ia terus disiar dan disebarkan.

Dzulkarnain Taib, editor Suara Keadilan ketika itu telah pun membuat pengakuan dan memohon maaf di mahkamah telah mendedahkan yang 3 artikel Suara Keadilan itu sengaja diterbitkan dengan tujuan memfitnah dan merosakkan reputasi Felda dan anak syarikatnya hingga ke tahap maksimum walaupun telah menasihatkan pengurusan kanan untuk tidak menyiarkannya.

Bersandarkan terkesannya akibat kerosakan maksimum dengan niat sengaja dari 3 artikel Suara Keadilan, apakah tuntutan gantirugi 100 juta perlu dikompromi?

DAP CUBA TUTUP MISI KE JORDAN TAPI PERSOAL JEMPUTAN DELEGASI MCA KE CHINA


Masyarakat Melayu gemar gunakan pepatah... Melata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih, apabila seseorang itu gemar mencari kesalahan dan kesilapan orang lain tetapi terlupa kesilapan dan kesalahannya lebih besar dan paling menjengkelkan apabila cuba disembunyikan dengan mencari kesilapan orang lain.

Itulah selalunya berlaku kepada pemimpin DAP dan sekali lagi mereka cuba pertikaikan lawatan MCA ke negara China seolah-olah ia adalah satu kesalahan besar.

Khoo Poay Tiong, ADUN Ayer Keroh di dalam twitternya cuba ambil perhatian di ruangan Twitternya dengan menyoal perbelanjaan rombongan MCA ketika melakukan lawatan kerja ke China. Hakikatnya, Khoo sedang cuba mengalihkan perhatian pengikutnya daripada terus mempersoal misi rombongan pemimpin DAP ke Jordan.

Seharusnya kita berasa hairan mengapa DAP memilih sebuah negara Islam di mana hampir seratus peratus penduduknya adalah umat Islam jika dikatakan rombongan itu adalah satu percutian. Apakah dengan isu hudud yang sedang melanda kegagalan DAP merubah pendirian PAS, maka DAP sedang mengatur langkah untuk memahami hukum hudud di Jordan pula? Pasti terasa agak melucukan!

Beza ketara di antara rombongan MCA ke China dan DAP ke Jordan adalah, MCA membuat lawatan di atas jemputan tetapi DAP, siapa pula di Jordan yang mengenali pemimpin DAP untuk menghantar jemputan ke negara itu?

Yang pasti, MCA tahu membezakan di antara tugas parti dan tugas rasmi. Memenuhi jemputan negara China adalah di atas dasar hubungan 'government-to-government' bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala dan persahabatan. Ini termasuklah lawatan ke Akademi Kepimpinan Pudong di mana MCA sedang bekerjasama di dalam bahagian latihan.

MCA telah berjaya melaksanakan tugasan-tugasan mereka dengan cemerlang di dalam masa sesingkat itu, dan apakah mungkin DAP juga telah memahami hukum hudud di dalam misi mereka ke Jordan?

Taktik amalan DAP membuli pencabar mereka di media sosial perlu dinilai semula dan diawasi kerana di sebalik setiap kenyataan mereka, pasti tersembunyi perkara buruk untuk dilindungi.

MCA Melaka telah mendedahkan bagaimana Adun Ayer Keroh dari DAP ini telah tidak hadir dalam pertemuan dengan Persatuan Hokkien pada 25 November 2012 di Jasin Melaka untuk sesi penerangan mengenai Komputer 1Malaysia.

Khoo juga pernah dirujuk ke Lembaga Displin DAP pada Januari 2011 kerana mendaftarkan pembelian kereta ke atas nama isterinya mengguna dana parti.

Namun MCA tidak mengambil pendekatan menyerang Khoo seperti mana yang sering dilakukannya di media sosial. Nampaknya, amat sesuai sekali pepatah Melayu untuk pemimpin-pemimpin DAP ni... melata dulang paku serpih, mengata orang dia rupanya yang lebih!