Di antara 86 kerusi parlimen daripada 133 yang dimenangi UMNO, beberapa kerusi yang dianggap pihak pembangkang sebagai kerusi yang wajib dirampas terdiri daripada kerusi Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Di antaranya termasuklah Pekan, Bagan Datuk dan Sembrong. Kini, satu lagi kerusi idaman pembangkang terutamanya dari Pakatan Harapan ialah Ketereh di Kelantan.
Parlimen Ketereh telah mendapat liputan khas portal berita pro-pembangkang baru-baru ini bukan sahaja seperti mana yang diulas tetapi yang lebih penting adalah kerana ia dimenangi Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa. Ia merupakan satu jawatan yang sangat penting yang digeruni pembangkang dalam membongkar segala muslihat dan strategi kotor mereka.
Di samping itu, seseorang yang memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO selalunya bertanggungjawab mengatur strategi kempen pilihanraya di seluruh negara.
Salah satu pendekatan yang diambil Tan Sri Annuar Musa kini adalah mengadakan siri-siri penerangan berbentuk 'town hall debate', iaitu dalam bentuk forum bersama rakyat di peringkat akar umbi yang berbeza dari pendekatan tradisi yang sekadar menyebarkan poster dan risalah. Malahan dengan wujudnya media baru yang dikenali dan digemari rakyat untuk menyampai maklumat lebih pantas dan lebih meluas seperti Facebook dan Twitter, segala penerangan dilakukan secara lintasan langsung dan berada di hujung jari pemilik telefon pintar mahupun mereka yang memiliki komputer atau laptop.
Menerusi program UMNO yang diterajui Tan Sri Annuar yang bermula dengan Program Jelajah Perjuangan 4All, di mana tokoh-tokoh politik UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional disatukan atas pentas memberi penerangan kepada akar umbi. Kini satu lagi program yang lebih santai, Forum - Anda Tanya Kita Jawab, bukan saja tokoh-tokoh politik UMNO, malahan mereka yang terdiri daripada pemerhati dan penganalisa malahan individu yang menjadi perbincangan semasa juga dijemput sebagai panel forum.
Oleh kerana perubahan pendekatan yang dibawa Tan Sri Annuar Musa ini telah mendapat sambutan hebat dan seterusnya memberi impak yang kuat kepada pembangkang, justeru, Tan Sri Annuar telah jatuh ke dalam radar target utama pembangkang terutamanya dari Pakatan Harapan, beliau mesti dikalahkan pada PRU14 nanti.
Maka, diterbitkan satu artikel khas bertajuk "Annuar Musa tenat di Ketereh?" oleh Faiz Zainudin, seorang bekas pensyarah dari Tasmania yang telah berkhidmat di sana selama berbelas-belas tahun dan baru saja meletakkan jawatannya. Jika dibaca artikelnya ini, ia tidak lebih dari analisa akademik dan gagal memberi penerangan sebenar tetapi berpandukan persepsi terpilih terutama yang menyentuh isu MARA dan bolasepak.
Kajian Faiz ternyata gagal dalam isu MARA kerana ketika pembelian aset-aset MARA di Australia yang berakhir sebagai satu skandal, Tan Sri Annuar Musa bukanlah Pengerusinya. Malahan Faiz tidak langsung menyebut yang Tan Sri Annuar sendiri telah membuat laporan kepada SPRM agar diadakan siasatan lanjut dan mahkamah juga telah menetapkan yang Tan Sri Annuar tidak terlibat.
Oleh itu, jika bukan niat buruk untuk mencalar nama dan segala prestasi khidmat baik Tan Sri Annuar kepada penduduk parlimen Ketereh, selain menjadi alat propaganda pembangkang, mengapa perlu secara tiba-tiba Parlimen Ketereh yang disandang Ketua Penerangan UMNO ini diberi liputan eksklusif oleh FMT?
No comments:
Post a Comment