Thursday, August 03, 2017

SPAD : SYARAT DAN GARIS PANDUAN E-HAILING YANG PERLU DIKETAHUI SEMUA


Malaysia satu-satunya negara di dunia dan yang pertama telah mengiktiraf pekhidmatan e-hailing seperti Uber dan GrabCar. Selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKK) 1987 pada 27 Julai lalu, semua syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing dan pemandunya dikehendaki memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan pihak SPAD akan bertanggungjawab menggariskannya.

Justeru, pihak SPAD telah menggariskan beberapa syarat utama untuk persediaan setiap syarikat e-hailing dan pemandunya sebelum pindaan Akta ini diwartakan dan berkuatkuasa sepenuhnya. Ia dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan Oktober nanti.

Paling utama, Rang Undang-Undang ini mewajibkan syarikat pengendali memperolehi Lesen Perniagaan atau Intermediation Business Licence (IBL) dari SPAD untuk menjalankan perniagaan mereka secara sah. IBL ini merangkumi aspek pembaharuan lesen, pembatalan atau penggantungan lesen, larangan pemindahan lesen serta garispanduan kewajipan pemegang IBL.

Setiap garispanduan yang dibentangkan pihak SPAD adalah terperinci dan menyeluruh dan kepentingan keselamatan masyarakat awam sentiasa menjadi keutamaan di mana polisi yang dicadangkan SPAD termasuk juga insuran penumpang, pemandu dan juga kenderaan serta pihak ketiga. Di antara lain yang akan dikuatkuasakan adalah butang SOS di setiap aplikasi e-hailing untuk kecemasan. 

PEMANDU E-HAILING : Perlu diketahui, setiap pemandu dari syarikat e-hailing, rekod mereka akan melalui penapisan SPAD, PDRM dan juga JPJ. Pihak SPAD sebenarnya telah menjalankan proses penapisan data pemandu sejak Jun 16 lalu dengan kerjasama syarikat-syarikat pengendali dan setakat ini, dianggarkan seramai lebih kurang 180,000 pemandu e-hailing terdapat di seluruh negara dan 70 peratus daripadanya adalah pemandu sambilan.

KENDERAAN : Di antara syarat ketika proses memohon sebagai pemandu e-hailing, kenderaan yang digunakan yang berdaftar dengan JPJ di mana hayatnya kurang dari 3 tahun, tidak dikehendaki menjalani pemeriksaan Puspakom. Berdasar perbincangan pihak SPAD dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, kereta yang berusia tidak melebihi lima tahun sahaja dicadangkan sesuai bagi mengutamakan keselamatan.

Pada masa yang sama, isu pajakan teksi juga telah diberi penerangan oleh CEO SPAD En Mohd Azharuddin Mat Sah di mana walaupun ramai pemandu teksi telah mengemukakan rasa tidak puas hati mereka berkenaan perjanjian pajak teksi yang dianggap berat sebelah, sebelum pindaan Akta diluluskan, pihak SPAD tidak boleh campurtangan perjanjian yang telah dipersetujui di antara syarikat teksi dan pemandu.

Walaubagaimanapun, kini pihak SPAD boleh menetapkan peraturan dan kandungan kontrak pajak yang lebih seimbang untuk faedah pemandu teksi di mana pemandu teksi tidak lagi perlu membayar sewa harian ketika perlu melalui pemeriksaan Puspakom atau pada hari cuti tahunan dan cuti sakit, meletakkan had penalti tertentu ke atas kontrak yang ingin ditamatkan lebih awal, insurans peribadi untuk pemandu dan juga syarikat teksi perlu membekalkan pakaian seragam untuk pemandunya.

Manakala pemandu teksi yang telah memenuhi tamat tempoh pajakannya kini boleh memohon lesen teksi peribadi sepertimana program Transformasi Industri Teksi yang telah diumumkan kerajaan pada Ogos tahun lalu. Menurut En Azharuddin, sejak Sepetember tahun lepas sehingga hari ini, pihak SPAD telah menerima 3,474 permohonan dan telah meluluskan sebanyak 1,772.

Disamping itu, kerajaan juga memberi geran sebanyak RM5,000 untuk menggalakkan mereka membeli kereta baru dan sehingga kini kerajaan telah memberi sebanyak RM2.15 juta secara tunai kepada 431 pemandu teksi.

Sekiranya ada yang berminat dan berura-ura untuk menjadi pemandu teksi Uber atau Grabcar samada sepenuh masa mahupun secara sambilan di samping ingin mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai syarat-syarat e-hailing yang akan ditetapkan kerajaan, bolehlah menghubungi seperti berikut;

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
Tel: +603 2726 7000/Fax: +607 2726 7300
E-mail: communications@spad.gov.

No comments: