Tuesday, February 21, 2017

MAKMAL TRANSFORMASI BAS EKSPRES KEMBALIKAN KEYAKINAN RAKYAT

Kebimbangan dan keraguan rakyat terhadap tahap keyakinan ke atas keselamatan bas-bas ekspres berada di garisan yang sangat kronik apabila berlakunya beberapa tragedi kemalangan jalanraya sehingga melibatkan nyawa setiap kali berlakunya cuti perayaan. Maka, seperti mana yang telah dijanjikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri pada beberapa bulan yang lalu, kerajaan telah komited dan mengambil inisiatif untuk menubuhkan Makmal Transformasi Bas Ekspres.

Di antara perkara yang dititiberatkan makmal ini adalah;

- Makmal ini akan mampu mengenalpasti permasalahan terperinci yang dihadapi bas-bas ekspres di pengakhiran setiap minggu di mana ia akan berasaskan pengesahan data dari pihak juru runding dan kaji selidik. 2 minggu pertama, tumpuan akan diberikan untuk mengenal pasti isu-isu sebenar dan mengambilkira keadaan semasa industri.

- Makmal ini dijangka akan berlangsung selama 6 minggu dan jika memerlukan tambahan waktu, 2 minggu lagi akan dipertimbangkan.

- Makmal ini telah dilaksanakan terlebih awal dan ia adalah sebahagian daripada usaha pihak SPAD dalam menjalin kerjasama dengan semua Kementerian, agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat bertujuan menjalinkan kerjasama untuk bersama-sama mencari penyelesaian yang terbaik serta mampu untuk meningkatkan taraf industri bas ekspres.

- 5 kategori utama yang akan dititikberatkan adalah;
a. Model Perniagaan
b. Keselamatan, Standard dan Teknologi
c. Kebolehpercayaan perkhidmatan dan kebolehcapaian
d. Sumber tenaga dan kepakaran pemandu
e. Strategi lautan biru nasional dan komunikasi

* Segala permasalahan industri juga akan dimasukkan ke dalam kategori berkenaan.

Di antara faktor yang telah dikenalpasti oleh pihak SPAD sebelum Makmal Transformasi Bas Ekspres ini dilancarkan dan ketika SPAD membuat kajiannya, termasuk aspek harga dan kaedah kelulusan lesen PSV yang perlu disusun semula sistemnya. Akibatnya, pihak syarikat bas ekspres berhadapan dengan pemandu-pemandu bas yang efisen dan terpaksa mengambil pemandu sambilan yang kurang cekap.

Upah juga menjadi salah satu faktor penting yang boleh menyumbang kepada kemalangan bas ekspres di mana di antara pemandu mendapat upah yang tidak setimpal sehingga mereka enggan berkongsi upah dan enggan membawa kapten bas bersama. Oleh itu, kebajikan dan bayaran upah kepada pemandu dan kapten telah mendapat perhatian utama.



YB Nancy juga telah mengambilkira saranan SPAD agar faktor umur di kalangan pemandu bas ekspres di mana lebih ramai belia dan juga di kalangan kaum wanita akan direkrut berbanding dengan mereka yang telah mempelopori kerjaya ini yang berusia agak tua di sekitar 40 dan 50 tahun.

Semoga usaha kerajaan ini akan mampu membuahkan keberkesanannya dan dikembalikan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan bas-bas ekspres.

Ucapan lengkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri;
DIHORMATI SEKALIAN.
 
1.    Pertamanya saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPAD serta semua agensi-agensi Kerajaan dan organisasi-organisasi yang terlibat pada hari ini, dalam merealisasikan usaha terhadap penubuhan Makmal Transformasi Industri Bas Ekpress. Alhamdulillah. Saya yakin ia merupakan saat yang ditunggu-tunggu bukan sahaja dari kalangan kita yang hadir pada hari ini. Apatah lagi rakyat di luar sana, yang mahu melihat usaha dan komitmen semua pihak yang terlibat pada hari ini, dalam menangani isu yang berkaitan dengan industri bas ekspress. Inilah buktinya apa yang telah diwar-warkan selama ini, bukanlah kata-kata kosong. Syabas dan Tahniah!

    Hadirin yang saya hormati sekalian,

2.    Kerajaan menyedari hakikat bahawa pengangkutan awam darat memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk meningkatkan perkembangan sosio-ekonomi Malaysia agar setaraf dengan negara-negara maju. Oleh sebab itulah, pengangkutan awam diletakkan sebagai salah satu fokus utama dan disenaraikan sebagai NKRA di dalam Pelan Transformasi Kerajaan.

3.    Komitmen kerajaan adalah serius, dan ini boleh dilihat dan tidak dapat disangkal menerusi jumlah pelaburan serta perbelanjaan dana yang besar bernilai berbilion ringgit bagi memastikan rangkaian pengangkutan awam darat sentiasa berkembang dan bertambah maju, demi keselesaan rakyat berpandukan kepada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara.

4.    Pelaburan dalam projek-projek infrastruktur yang membawa banyak faedah kepada masyarakat telah membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kecekapan dan kebolehpercayaan rangkaian pengangkutan awam darat. Antara contoh terkini adalah Pelancaran Fasa 1 MRT dan Pemeteraian Perjanjian Dua Hala Malaysia dan Singapura bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

5.    Perjalanan tranformasi pengangkutan awam darat negara yang bermula pada tahun 2010 adalah satu usahasama holistik yang diterajui oleh SPAD yang melibatkan hasil analitikal dan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan berkaitan.

6.    Sungguhpun rel dikenalpasti sebagai tulang belakang tranformasi Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara 2012-2030, namun sektor bas masih merupakan mod pengangkutan yang utama bagi penduduk di kawasan yang tidak diliputi oleh perkhidmatan rel dan juga sebagai mod pengangkutan batuan awal dan terakhir (atau ‘first and last mile connectivity’).

Puan-Puan dan Tuan-Tuan sekalian,

7.    Kerajaan melalui SPAD telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan peningkatan mutu perkhidmatan bas melalui program-program seperti Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) dan Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) yang menggunakan bas berjenama myBAS. (Sejak 2012 sehingga 2016, Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM661.7 juta bagi ISBSF dan bagi SBST sebanyak RM100 juta.)

8.    Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan bagi membangunkan perkhidmatan industri bas secara am, dan industri  bas ekspress secara khususnya; agar ia mampu menjadi satu mod pengangkutan awam darat yang lebih selamat, relevan dan boleh dipercayai. Pada masa yang sama, suatu penyelesaian jangka panjang diperlukan untuk membina daya kemampanan dan kemampuan industri yang penting ini.

9.    Industri bas ekspress terus menjadi pilihan bagi perjalanan jarak dekat dan jarak jauh antara bandar. (sama ada untuk ke tempat pengajian, pekerjaan, untuk tujuan pelancongan atau percutian, dan juga bagi perjalanan balik kampung sewaktu musim perayaan.)

10.    Bagi memastikan keselamatan penumpang dan mutu perkhidmatan terjamin, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai kaedah dan peraturan untuk keselamatan kenderaan jalan raya dan juga pengurusan pemandu. Ini untuk memastikan pengusaha bas atau pengendali, mematuhi keperluan perkhidmatan dan garis panduan keselamatan.

11.    Kerajaan sudah tentu mengharapkan bahawa langkah-langkah yang diambil ini, boleh mencegah dari berlakunya kemalangan; namun; adakalanya perkara yang tidak diingini tetap terjadi, terutamanya pada waktu-waktu yang sibuk seperti musim perayaan. Kemalangan bas ekspress yang tragik di Pagoh pada bulan Disember lepas amat mengejutkan dan menyedihkan kita. Ia merupakan satu peringatan keras bahawa kita perlu bertindak sekarang bagi meningkatkan keselamatan penumpang bas ekpress.

12.    Apabila berdepan dengan kemalangan, selain membantu dari aspek kemanusiaan, kita juga perlu mengkaji dan memahami apakah faktor-faktor penyumbang dan memikirkan cara-cara bagi mengurangkan risiko kemalangan.

13.    Melihat kepada analisis data kemalangan pada tahun-tahun yang sebelum ini, kita mendapati bahawa terdapat beberapa permasalahan yang sedang melanda industri ini.

14.    Data dari agensi seperti MIROS dan PDRM menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan adalah berpunca daripada ‘human factors’ dan juga ‘environmental conditions’ yang kurang sesuai bagi perjalanan jarak jauh.

15.    Industri bas ekspres juga bukan satu industri yang kecil kerana ia melibatkan lebih 200 syarikat bas dan lebih 4,300 kapten bas. Manakala terdapat pelbagai agensi Kerajaan dari pelbagai Kementerian terlibat dalam memantau dan mengawal selia industri ini. (Tambahan pula, terdapat beberapa agensi Kerajaan yang memantau dan mengawal selia pelbagai aspek bagi industri ini termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan sebagainya.)

16.    Di antara permasalahan yang telah dikenal pasti dalam industri bas di seluruh negara adalah kekurangan kapten bas. Perkara ini akan dibincangkan di dalam makmal bersama isu-isu berkaitan model perniagaan, cadangan bagi meningkatkan kebajikan pemandu atau kapten bas, pendekatan teknologi, polisi pelesenan dan; selain daripada itu, bagaimana meningkatkan mutu terminal bas dan infrastruktur.

17.    Memandangkan industri bas ekspres ini agak rumit dan melibatkan banyak pihak, usaha SPAD yang bertindak secara proaktif dengan mencadangkan inisiatif Makmal Transformasi Bas Ekspress ini harus dipuji. Makmal ini diadakan bagi mencari jalan-jalan penyelesaian dengan semua pihak-pihak berkepentingan termasuk pemain-pemain dari industri ekpress bas Malaysia. Saya percaya dengan penubuhan Makmal Bas yang inklusif oleh SPAD ini dengan kerjasama semua pihak berkepentingan berkaitan yang hadir di sini, kita mampu membawa perubahan dan transformasi kepada industri ini - dan pada masa yang sama, meningkatkan kualiti perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan industri bas negara.

18.    Berdasarkan pengalaman SPAD dalam menganjurkan Makmal Teksi yang lalu, yang mana, telah juga berdepan dengan keadaan yang rumit dan penuh konflik; saya yakin kita mampu mengupas isu-isu penting di dalam industri bas ekpress ini. Saya percaya kita dapat memperolehi rumusan yang terbaik dan dapat melaksanakan langkah-langkah yang dapat menjamin kemampanan industri bas ekspress untuk manfaat pengguna serta pengendali.

19.    Adalah menjadi harapan saya dan Kerajaan agar semua pihak yang terlibat dalam makmal ini, dapat bekerja sama bagi meningkatkan tahap keselamatan dan menyelesaikan permasalahan yang terdapat di dalam industri bas ekspress.

20.    Dengan ini saya mengucapkan selamat maju jaya di dalam menjalani makmal ini. Sekian, Wabillahitaufik Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

No comments: