Friday, August 12, 2016

MCA BIDAS DAP YANG MENYOKONG PARTI RASIS PRIBUMI


Kerjasama DAP dengan parti baru Dr Mahathir yang terang-terang mengkhususkan keahliannya hanya untuk bangsa Melayu telah dengan jelas menunjukkan sikap DAP yang tidak konsisten dan bermuka-muka.

MCA mempersoalkan apabila ada di antara pemimpin DAP yang gah berkata mereka tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan mana-mana parti yang terdiri dari satu kaum sahaja atau apa bentuk perkauman, ternyata mereka berbohong dan menipu.

Pembohongan DAP yang berterusan ini bukan perkara baru di mana pada masa lalu, mereka bekerjasama dengan PAS yang ternyata ahli-ahlinya hanyalah dari bangsa Melayu. Namun kerjasama politik mereka tidak mampu bertahan lama dan akhirnya berpecah untuk kali kedua apabila pertama kali mereka mengalami kekalahan teruk dan berpecah di dalam Barisan Alternatif. Tidak sukar membaca politik opportunis DAP.

Parti Pribumi yang diketuai Dr Mahathir juga mendapat kerjasama dengan Presiden Perkasa Ibrahim Ali yang telah terang-terang dilabel DAP di atas pelbagai gelaran menghina di atas nama perkauman dan Muhyiddin pula dengan pendiriannya suatu ketika dahulu, terkenal dengan 'Melayu utama, Malaysia kedua', kini DAP adalah penyokong tegar pemimpin-pemimpin rasis.

Apa yang DAP tidak pernah kata mengenai Ibrahim Ali sebelum mereka dilihat menerima beliau dengan lapang dada? Ultra-Melayu? Bigot? Katak? Samseng? Kini, sekelip mata Ibrahim Ali adalah suci di mata DAP pula?

Kerjasama politik yang sukar ini hanyalah sekadar politik putar-belit DAP untuk menyesatkan penyokong mereka yang berangan-angan mengambilalih Putrajaya yang tidak pernah terjadi. Malahan, bersedia untuk penipuan dan putar-belit DAP seterusnya dengan prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju', semata-mata untuk kerakusan politik mereka dan untuk menyesatkan penyokong-penyokong mereka.

Dahulu, di dalam siri-siri kempen pilihanraya DAP, kita sering terdengar mereka melaungkan jika undi Barisan Nasional (BN), samada calonnya dari MCA, Gerakan ataupun MIC, mereka tidak akan teragak-agak untuk menjeritkan yang pengundi Cina juga beri sokongan kepada Perkasa yang rasis. Tetapi setelah bergabung dengan Pribumi, apa agaknya laungan DAP terhadap Perkasa kali ini? Perkasa suci? Ibrahim sekarang sudah bertaubat? DAP dan Perkasa telah harmoni?

Nampaknya seperti kata-kata dalam bahasa Inggeris - 'being consistently inconsistent' yang bermakna sentiasa berubah-ubah, ini adalah DAP dulu, kini dan selamanya. Dulu benci sehingga menghina, kerana terdesak dan terpaksa mereka akan sanggup berpura-pura untuk bersatu.

Seandainya Dr Mahathir, Kit Siang dan Wan Azizah berangan-angan untuk meniru kesatuan yang ada di dalam Barisan Nasional, mereka akan sentiasa gagal kerana di antara ideologi dan halatuju politik masing-masing adalah berbeza-beza. Walaupun MCA adalah parti politik untuk bangsa cina, namun mereka bernaung di bawah satu payung dan sejarah telah membuktikan kerjasama parti-parti komponen telah berjaya membawa kemakmuran dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

Sekali lagi, apa agaknya ucapan kempen politik DAP untuk Pribumi/Perkasa nanti?

No comments: