Alhamdulillah, berkat kurniaan Ilahi jua, Perhimpunan Agung UMNO 2015
kali ini berlangsung dengan jayanya, dan ditangguhkan sehingga ke sesi
seterusnya tahun hadapan.
Sebelum bermulanya perhimpunan, sebelum semua perwakilan berkumpul
untuk bersidang, berbahas dan membincangkan usul, saya sedar dan saya
juga dapat rasai bahawa suasananya, suhunya lain daripada
perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.
Terdapat isu-isu tertentu yang sering dimainkan dan diadu-dombakan
untuk memecah-belahkan ahli-ahli parti. Apa yang tidak disedari adalah
tindakan ini bukan sahaja melemahkan parti, malah menggadaikan maruah
bangsa dan agama yang UMNO junjung selama ini.
Ucapan dasar serta ucapan penggulungan yang saya sampaikan
kedua-duanya mempunyai nahu dan saraf yang serupa, menekankan betapa
pentingnya perpaduan dan kesetiaan dalam parti untuk meneruskan obor
perjuangan UMNO membela nasib agama bangsa dan negara.
Islam mengajar kita untuk memaafkan kesilapan dan kekhilafan yang
dilakukan kepada kita. Dan saya, sebagai Presiden UMNO memilih untuk
berjiwa besar. Saya hulurkan tangan tanda membuka pintu silaturahim
supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO.
Tetapi saya juga tegaskan bahawa sekiranya mana-mana pihak masih lagi
tetap menolak dan mahukan pertelagahan, ini bukan lagi soal peribadi,
mereka bukan menentang saya sebagai Presiden parti, tetapi menentang
kehendak UMNO dan ahli-ahlinya itu sendiri.
Saya tidak akan berundur! Saya tidak akan menyerah kalah! - Najib Razak
No comments:
Post a Comment