Tuesday, December 22, 2015

Datuk Liow : KERJASAMA UMNO-PAS SENGAJA DIPUTARBELITKAN DAP


Kita tidak perlu terikut-ikut dan termakan hasutan DAP yang nyata tidak akan senang dengan segala usaha Barisan Nasional untuk kebaikan dan keharmonian rakyat. Itulah mesej yang ingin disampaikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika diminta mengulas kerjasama UMNO-PAS.

Selanjutnya, Datuk Liow menegaskan bahawa kerjasama UMNO-PAS dan PAS bergabung ke dalam UMNO adalah dua perkara yang sangat berbeza yang tidak perlu dikelirukan terutamanya apabila ia datang dari DAP. Pendirian MCA adalah jelas dan tegas yang mereka tidak akan menyokong undang-undang hudud PAS.

Malahan kerjasama UMNO-PAS dianggap Datuk Liow sebagai hal peribadi dalaman UMNO dan MCA tidak akan campurtangan malahan menghormati keputusan mereka. Tetapi seandainya PAS ingin bergabung di dalam Barisan Nasional, ia perlu dibawa ke dalam perbincangan Ahli Majlis Tertinggi BN dan mendapat konsensus dari parti-parti gabungan yang lain.

Pendirian MCA adalah adil dan bijak tetapi DAP yang telah menceraikan PAS serta meruntuhkan pakatan bersama, mereka pula yang menuding jari kepada MCA dan menghasut dengan pelbagai tohmahan. DAP memang terkenal dengan politik kebencian dan segalanya perlu menuding jari kepada MCA. Malahan, DAP sengaja lupa yang ketika 2 pilihanraya umum lalu, DAP telah memberi kekuatan kepada PAS sehingga menyeru pengundi-pengundi Cina untuk memberi sokongan.

DAP juga telah menunjukkan perangai hipokritnya apabila pada satu situasi Guan Eng membidas kerjasama UMNO-PAS dan di situasi lain DAP masih bekerjasama dengan PAS dan ini terbukti di Selangor. Mengapa sehingga hari ini, Guan Eng tidak berani mengarahkan kesemua ahli-ahli exco DAP Selangor untuk meletak jawatan atau DAP secara senyap masih bekerjasama?

Gabungan di antara Umno dan PAS secara kerjasama hanya disalahertikan oleh DAP berikutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, dan juga penampilan bersama beliau dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam baju merah jambu Melayu pada Persidangan Serantau (Multaqa Serantau) Al-Azhar graduan pula.

Ceteknya pandangan DAP yang tidak mampu melihat kerjasama yang mampu diadakan di antara UMNO-PAS melampaui politik. Kerjasama sebagai satu umat Islam dalam bentuk kemanusiaan seperti bencana banjir yang sering dialami di Kelantan dan Terengganu serta bekalan air bersih kepada Kelantan oleh kerajaan BN Terengganu sedang diusahakan.

Berbeza dengan MCA yang menitik beratkan keharmonian dan berkawan dengan semua bangsa walaupun parti ini mewakili bangsa Cina. DAP memang terkenal dengan perangai suka bermusuh walaupun dengan rakan seangkatan tidak akan dapat hidup bersatu dengan kepelbagaian di negara ini. Sikap suka menjadi abang besar DAP juga terbukti apabila rakan dalam pakatan mereka, ADUN PKR Penanti, Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin menangis mencurahkan kesedihannya apabila kawasan beliau telah disisih dan dianaktiri oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Selama UMNO menerajui tampuk pemerintahan sejak 58 tahun lalu, tidak ada satu pun insiden di antara parti-parti gabungan Barisan Nasional yang terpaksa merintih dan menangis untuk mendapatkan bantuan. MCA sebagai rakan setia dan kedua terbesar pun tidak pernah mendabik dada sebagai abang besar.

Inilah kelebihan Barisan Nasional yang sentiasa ingin berlaku adil dan saksama walaupun ia diterajui UMNO. Di antara UMNO dan MCA, hormat menghormati dan saling bekerjasama adalah prinsip yang membawa kejayaan mereka sehingga ke hari ini.

No comments: