Saturday, December 05, 2015

BOIKOT McDonald's - SALAH FAHAM


Kesanggupan dan perhatian rakyat Malaysia untuk bersama-sama rakyat Palestin perjuangkan hak mereka serta menentang keganasan Zionis/Israel sangatlah dihargai dan dikagumi. Pada masa yang sama rakyat Malaysia juga telah dimanipulasi dengan siri-siri kempen memboikot barangan yang ada kaitan dengan Israel. Ini tidak terkecuali dengan salah faham terhadap McDonald's Malaysia.

Jika kita masih ingat peristiwa memboikot McDonald's Malaysia pada Ogos tahun lepas, apabila ditanya soalan seperti dari mana kamu dapat sumber maklumat untuk kempen ini, yang pasti jawapan mereka adalah dari sumber media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook. Bila ditanya lagi, apakah kamu mempercayai maklumat yang mengatakan McDonald's Malaysia ada kaitan dengan Israel? Mereka akan berkata, tak pasti tapi nama seperti Jack M. Greenberg menyokong Israel.

Dilanjutkan lagi kepada mereka yang ingin mencari maklumat melalui internet, apakah sumber maklumat kamu? Ramai akan merujuk hanya kepada laman-laman web ataupun di Facebook yang bermotifkan untuk boikot McDonald's tetapi tidak ramai ingin membaca untuk mendapatkan maklumat dari McDonald's Corporation mahupun McDonald's Malaysia itu sendiri.


Apakah benar McDonald's Malaysia mahupun McD dimiliki Israel?

Lebih 30 tahun McDonald's telah beroperasi di Malaysia. McDonald's Malaysia adalah milik syarikat awam dan dikendalikan oleh Golden Arches Restaurants Sdn Bhd. McDonald's beroperasi secara francais dan rangkaian restorannya dikendali pula oleh francaisi tempatan. Ini bermakna restauran individu ini dimiliki secara langsung oleh francaisi tempatan itu sendiri.

Dakwaan perniagaan McDonald's dimiliki orang-orang Yahudi ataupun Israel mahupun mana-mana individu adalah tidak benar sama sekali. Jika ada di antara pemilik saham tersebut terdiri dari individu ataupun organisasi, mereka memiliki kurang dari 10 peratus saham. Ini bermakna, di antara 1.8 juta pemegang saham McDonald's, tiada individu atau organisasi yang mengawalnya walaupun telah disenaraikan di Bursa New York. Jangan terperanjat apabila ada di antaranya dimiliki orang Islam juga.

Pemegang-pemegang saham utama McDonald's boleh dirujuk ... DI SINI

Kemudian, ada pula dakwaan yang mengatakan McDonald's menyumbang 5% dari hasil perniagaan yang berjumlah jutaan USD kepada ekonomi Israel. Justeru dituduh meyokong Israel dengan membiayai askar Israel dalam konflik dengan Palestin. Apakah benar?


McDonald's beroperasi di lebih dari 120 negara di dunia termasuk negara-negara Islam. Tidak dinafikan McDonald's ada membuka rangkaian restaurannya di negara Israel dan McDonald's hanya membayar cukai kepada kerajaan Israel ke atas cawangannya di sana sahaja seperti setiap rangkaian McDonald's di negara-negara lain.

Seperkara yang tidak didedahkan ialah McDonald's pernah dianggap sebagai "anti-Israel" kerana mereka telah secara konsisten menolak untuk membuka mana-mana restoran di luar sempadan pra-1967 di Israel. Mereka pernah menolak tawaran untuk membuka cawangan di Ariel di Tebing Barat... bacalah selanjutnya DI SINI

Di Malaysia pula, untuk mendapatkan lesen dan hak mengguna jenama McDonald's tentulah perlu membayar royalti. Mana-mana perniagaan yang ingin mengguna jenama orang lain, itu satu perkara lazim. Malahan sebahagian besar pendapatan McDonald's Malaysia digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Oleh itu, jika kita bersetuju memulaukan McDonald's di negara ini, tanpa disedari sebenarnya kita sedang memboikot pemilik dan pekerja tempatan dan bukan syarikat itu sendiri.

Blog ini akan menerangkan di artikel akan datang tentang dakwaan kaitan McDonald's dengan Jewish United Fund (JUF) serta nama seperti Jack M. Greenberg yang dikatakan menyokong Israel.

No comments: