Friday, December 25, 2015

MCA PUJI PENDIRIAN PPIM YANG LEBIH OBJEKTIF


Selepas kejadian kekecohan berlaku di Pusat Low Yat pada bulan Julai lalu, kini di Kompleks Kota Raya pula. Kejadian di Low Yat tercetus apabila tuduh-menuduh di antara penjual dan pembeli dan dakwaan kecurian dan dikatakan perkara yang sama juga berlaku di Kompleks Kota Raya.

Namun ada yang cuba ambil kesempatan dengan mensabitkan kedua-dua kejadian ini dengan sentimen perkauman. Pendirian dan tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mendapat pujian dari MCA yang telah bertindak secara objektif dengan tidak mengaitkan dengan sentimen perkauman malahan melihat kepada punca sebenar bagaimana kejadian tercetus.

Apabila terjadinya urusniaga yang gagal, ia tidak seharusnya dianggap sebagai masalah perkauman dan bukan mengambil tindakan sendiri. Ia pasti akan memberi gambaran yang salah apabila isu ini adalah jelas tiada kaitan bangsa mahupun agama. Ini tidak selaras dengan apa yang kerajaan sarankan dan perjuangan MCA bagi memastikan keamanan dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.

Bagi pihak MCA, saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Zahid Hamid adalah tepat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengguna saluran yang sah di mana segala aduan boleh dilaporkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan membuat laporan polis.

Walaubagaimanapun, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah dimaklumkan tentang kesukaran pengguna untuk membuat aduan mereka di talian hotline yang disediakan. Oleh itu, MCA telah mencadangkan agar lebih banyak kaunter aduan diletakkan di kompleks-kompleks membeli-belah.

Di dalam mengambil tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang terlibat di dalam menjual barangan palsu, MCA menyeru agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan ke atas segala bentuk penipuan oleh peniaga-peniaga tanpa mengira siapa pun mereka.

MCA juga ingin menegaskan yang tidak ada satu pun kenyataan akhbar atau komen dari mana-mana pemimpin MCA yang menyatakan pergaduhan di Kota Raya adalah isu perkauman walaupun ia telah dibangkitkan oleh pihak tertentu. Pihak MCA hanya beri tumpuan kepada kesalahan jenayah yang melibatkan serangan dengan senjata tajam, kecederaan ke atas kakitangan dan kerosakan premis.

Pihak PPIM juga sependapat dengan MCA di mana kejadian di Kota Raya perlu dilihat dari sudut hak pengguna dan tiada kena mengena dengan bangsa seseorang pun. Mana-mana bangsa pun mampu terlibat dalam penipuan urusniaga dan ini tidak terkecuali warga asing juga.

Jangan kerana nila setitik, habis musnah susu sebelanga. Telah tiba masanya kejadian di Low Yat dan Kota Raya tidak dilihat sebagai sentimen perkauman dan kita perlu berhenti kaitkan kenyataan seperti jika menipu dalam urusniaga ia adalah bangsa Cina dan jika ada pegawai yang terima rasuah ia adalah bangsa Melayu.

Hanya satu cara untuk mengatasi segala sangkaan buruk perkauman ini. Demi menjaga kepentingan semua pihak, MCA bersetuju jika pihak penguatkuasaan perlu mengenakan undang-undang yang lebih ketat dan denda yang lebih tinggi dan rakyat bersama-sama bekerjasama membentras segala bentuk aktiviti haram mahupun amalan-amalan yang tidak sihat.
 

No comments: