Monday, December 14, 2015

BOIKOT McDonald's - MANGSA SEBENAR


Pada siri pertama Boikot McDonald's ... DI SINI, telah diterangkan yang McDonald's Malaysia tiada kaitannya dengan apa-apa hubungan dengan Israel dan bagaimana McDonald's Malaysia beroperasi. Kemudian pada siri kedua pula ... DI SINI, dijelaskan pula hubungan CEO McDonald's Jack M. Greenberg dengan Jewish United Fund (JUF) dan mengapa McDonald's Corporation dan McDonald's Malaysia tidak terlibat.

Kempen memboikot Israel yang membabitkan McDonald's Malaysia seperti diwar-warkan di media sosial dengan alasan yang sukar dibuktikan mana-mana pihak telah memberi kesan tinggi. Namun kesannya bukan kepada syarikat yang mengendali McDonald's Malaysia tetapi lebih kepada pekerjanya yang berjumlah lebih daripada 12,000 di seluruh negara dan juga pengendali-pengendali restoran yang terdiri dari rakyat Malaysia.

Lebih dari separuh pengendali restoran McDonald's di seluruh Malaysia adalah juga dari bangsa Melayu dan beragama Islam. Malahan, yang dimangsakan secara langsung juga adalah peniaga-peniaga pembekal tempatan yang selama ini telah mendapat peluang perniagaan dari McDonald's Malaysia.

Kita masih ingat, bagaimana kempen boikot ini telah bertukar menjadi agresif dan di luar kawalan sehingga ada di antara pekerja McDonald's yang bukan sahaja disisih dan dicerca, malahan ada di antara mereka yang telah dicederakan. Yang menyedihkan, apabila target kempen boikot ini telah menjadikan mangsa mereka yang terdiri daripada pekerja yang berbangsa Melayu dan beragama Islam yang sebenarnya adalah lebih dari 85%.

Insiden yang telah berlaku di restoran McDonald's Kerteh dan Dungun pada Ogos tahun lalu adalah bukti tindakan melampau sehingga sanggup bertindak merosakkan premis kepunyaan francisee Tuan Syed Hussain Tuan Embong. Akibatnya pendapatan di kedua-dua restoran itu merosot hampir 80 peratus kerana terpaksa menutup perniagaan mereka selama dua hari bagi mengelak kejadian melampau berterusan dan ada di antara pekerjanya yang ketakutan sehingga ingin berhenti kerja.

Inilah akibatnya apabila kita terlalu bergantung kepada maklumat yang tidak tepat yang sememangnya mudah diperolehi di laman-laman sosial. Apakah kita tidak pernah tanya, dari mana datangnya modal perniagaan yang kebanyakan pengendali restoran McDonald's adalah perniagaan keluarga. Jika tidak dari simpanan, mereka pasti akan membuat pinjaman bank dan jumlahnya bukanlah kecil.

Mangsa sebenar tuduhan-tuduhan liar dan perbuatan melampau kempen boikot ini adalah pekerja-pekerja dan pengusaha-pengusaha restoran McDonald's yang hanya bekerja untuk mencari rezeki. Menyokong perjuangan rakyat Palestin dari keganasan regim Zionis adalah usaha murni tetapi merosakkan perniagaan sesama kita pula adalah satu penindasan dan zalim juga.

Oleh itu, diharap sebelum kita ingin bertindak, pastikan maklumat yang diperolehi adalah tepat dan bukan mengikut perasaan dan sekira ingin menjadi seorang pengikut, jadilah pengikut yang benar-benar rasional yang berpandu maklumat yang benar dan bukan hasutan.

No comments: