Sunday, December 20, 2015

BOIKOT McDonald's - PENGESAHAN DUTA PALESTIN

Setelah 3 siri penerangan mengenai kedudukan sebenar McDonald's yang tidak membuktikan organisasi ini adalah syarikat yang mempunyai hubungan dengan negara Israel, berkemungkinan ada yang masih kurang yakin. Selagi nama McDonald's Malaysia tidak diMelayukan, selagi itu persepsi yang McDonald's berhubungkait dengan Amerika dan Israel kekal dikaitkan.

Namun, apabila pihak sebenar di mana tanahairnya dirampas, keluarga dan rakan-rakan dizalimi dan dibunuh secara kejam tampil membuat penjelasan, apakah kita sanggup berlapang dada menerimanya?

Salah faham kempen boikot Israel yang telah mencetus kekasaran dan serangan ke atas pekerja-pekerja dan perniagaan pengusaha restoran McDonald's telah menyebabkan Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al Agha untuk bersuara memberi penjelasan dan menyeru agar rakyat Malaysia lebih rasional dalam membuat penilaian dan tindakan.


Temuramah yang mungkin tidak popular di kalangan kita dan hanya diterbitkan di media Inggeris seperti TheStar dan MalayMail ini, dengan jelas memaklumkan yang Dr Anwar tidak bersetuju dan tidak adil jika perniagaan dan pekerja-pekerja McDonald's disasarkan dalam usaha rakyat Malaysia bersama-sama berkempen memboikot syarikat-syarikat yang dikatakan ada hubungan dengan Israel.

Beliau juga mengaku alasan-alasan yang diberikan berpandukan maklumat-maklumat yang diperolehi dari internet, tidak mempunyai kesahihannya. Tuduhan-tuduhan yang mengatakan McDonald's menyalurkan dana kepada Israel juga diragui.

Dr Anwar adalah rakyat Palestin, dan beliau telah menyeru agar adalah lebih tepat jika rakyat Malaysia berkongsi kemarahan dan kekecawaan mereka terus kepada kedutaan Amerika. Ini adalah saluran yang lebih tepat dan lebih berkesan. Beliau telah mendedahkan yang Amerika telah pun meluluskan peruntukan sebanyak USD225 juta bersamaan hampir RM720 juta untuk sistem pertahanan Israel atau Iron Dome missile defence system.

Alasan Dr Anwar adalah sangat rasional. Sasaran kempen adalah ke atas Israel dan Amerika tetapi mengapa pekerja dan pengusaha restoran dijadikan mangsa sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia yang mencari rezeki dan yang menyerang dan memboikot juga adalah rakyat Malaysia. Mengapa perlu mereka dianiaya?

Jika kita masih ingin mempercayai yang McDonald's masih ada hubung kait dengan Israel, bagaimana pula dengan laporan ... DI SINI?

Dalam laporan ini, jelas kerajaan Israel menuduh McDonald's adalah anti mereka kerana enggan membuka rangkaian restoran mereka di Tebing Gaza. Pemilik McDonald's Israel juga menegaskan yang keengganan mereka adalah berdasarkan kepada pendirian mereka yang mengutamakan keamanan dan bukan keganasan. Marahnya rakyat Israel terhadap McDonald's Israel sehingga mereka juga menjalankan kempen untuk memboikot perniagaannya di sana...


Bukankah ini jelas menunjukkan McDonald's di setiap negara tidak dipengaruhi dan dikongkong oleh Ibupejabat McDonald's Corporation di Amerika?

Di artikel akan datang, blog ini akan cuba huraikan siapa dalang di sebalik kempen boikot McDonald's and apa sebenar matlamat mereka. Oleh itu, dengan penjelasan dari Duta Palestin Dr Anwar ini, maka seharusnya kita lebih berhati-hati dengan segala maklumat yang diperolehi di internet dan lebih fokus dengan sasaran matlamat kempen.

Janganlah kerana nyamuk di seberang lautan, sehingga kelambu di rumah hendak dibakar dan dibuang pula.

1 comment:

Anonymous said...

Da memang resmi org mlayu,suka terikut2,mudah percaya tanpa selidik..mana tak ramai yg terjerumus dgn skim cpt kaya MLM..berapa ketul je yg nak kaji mendalam..suka forward perkara2 yg dia pun tak pasti betul tidak..sangat menyedihkan mlayu sering sgt diperalat