Wednesday, November 25, 2015

DATUK WEE MAHU ISU AIR JOHOR TIDAK BERLARUTAN SEPERTI KRISIS AIR SELANGOR


Isu catuan air di Johor yang telah berlanjutan sejak tiga bulan lalu dan akan dilanjutkan sehingga 15 Disember ini telah menyebabkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk bersuara dan campurtangan.

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen di Johor yang telah mendapat mandat rakyat selama 3 penggal dan Datuk Wee juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya membangkitkan perkara ini di dalam mesyuarat Kabinet untuk memohon Kerajaan Pusat meneliti isu tersebut dengan segera.

Di dalam mesyuarat Kabinet Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, menterinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah berjanji yang beliau akan meneliti perkara ini sebelum memikirkan tindakan susulan.

Datuk Wee  ingin mengingatkan yang isu air di Johor akan menjadi lebih buruk jika Kerajaan pusat tidak campurtangan dan akhirnya Johor bakal berhadapan dengan krisis air seperti yang telah berlaku di Selangor.

Sebagai Ahli Parlimen Air Hitam, beliau sentiasa berhubungan dengan penduduk Johor. Beliau sangat bimbang dengan aduan catuan air yang berlanjutan yang telah menjejaskan lebih 640,000 pengguna di kawasan-kawasan kediaman, perdagangan dan perindustrian di sekitar Johor Baru, Kota Tinggi dan Pengerang sejak Ogos lalu.

Lebih membimbangkan apabila paras air di empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam telah mencecah ke tahap kritikal.

Memandangkan negeri Johor adalah salah satu peneraju ekonomi negara, dengan isu air yang berlarutan ini bakal menjejaskan keyakinan pelabur asing kelak. Oleh itu, Datuk Wee menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan membina kawasan tadahan baru yang lebih besar dan bagi mengelakkan dari pencemaran, kawasan ini hendaklah jauh dari kawasan aktiviti pertanian.

Kebimbangan Datu Wee adalah berasas apabila krisis berterusan air di Selangor telah gagal ditangani kerajaan Pakatan Rakyat sehingga menjejaskan bukan sahaja penduduk tempatan malahan beberapa kilang yang telah lama beroperasi telah terpaksa ditutup. Pelaburang baru asing di kerajaan PR Selangor juga telah menjunam akibat dari kegagalan kerajaan negeri mengatasi krisis air.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Johor sedang menimbangkan pemberian insentif kepada pengguna yang terjejas akibat pelaksanaan bekalan air berjadual. 

Isu ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Exco akan datang bagi mencari mekanisme terbaik bagi cadangan pemberian insentif itu. Berkemungkinan di antara cadangan inisiatif ini termasuklah menimbangkan potongan diskaun atau rebat selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi pengguna.

No comments: