Monday, November 16, 2015

AMANAT TAN SRI SYED HAMID YANG PERLU DIFAHAMI KESEMUA PEMAIN INDUSTRI TEKSI


Di dalam menjayakan sesuatu perancangan, yang pasti adalah kerjasama. Begitu juga di dalam usaha SPAD bagi memastikan industri teksi terus bergerak maju dan mencapai tahap yang dicita-citakan kerajaan dibawa ke tahap global, kerjasama adalah kata kuncinya.

Tidak sangka, majlis ringkas di dalam acara beramah-mesra pemain industri teksi dengan SPAD pada Sabtu lalu telah dihadiri lebih dari 1,000 pemandu-pemandu teksi, pengusaha-pengusaha dan persatuan-persatuan seluruh Malaysia terutama di kawasan Lembah Kelang, sudi meluangkan masa untuk mendengar amanat Pengerusi SPAD. Di antara yang kelihatan adalah dari PETEKMA, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Selangor dan Wilayah, Persatuan Pemandu Teksi Port Klang serta dari Persatuan Teksi Kepong.

'Kerjasama' telah berulangkali disebut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar di dalam amanatnya di mana beliau menjelaskan yang hanya dengan wujudnya kerjasama di antara pemain industri teksi dengan SPAD, maka setiap aspirasi dan cita-cita mampu tercapai. Dan apabila terkumpulnya sebegitu ramai pemain industri teksi di majlis ini, jelas menunjukkan kerjasama telah terjalin bersama-sama SPAD.

Jelas, SPAD dan pemain industri teksi yang terdiri daripada pemandu-pemandunya, pengusaha-pengusahanya dan persatuan-persatuannya masih sayangkanindustri teksi ini apabila sama-sama merasakan keperitan dan kesusahan dan terus ingin memperbaikinya.

Tan Sri Syed Hamid menegaskan yang SPAD sentiasa mewakili pemain-pemain industri teksi di dalam apa jua keadaan terutama di dalam menyampaikan hasrat mereka kepada kerajaan dan seterusnya berjuang bersama-sama memastikan diterima dan diluluskan kerajaan. 

Beliau juga mengingatkan bahawa SPAD bukanlah pembuat keputusan mutlak. SPAD ditubuhkan sebagai satu badan yang merancang bagi pihak kerajaan untuk kemukakan perubahan-perubahan penambahbaikan.

Selain itu, yang lebih utama adalah fungsi SPAD sebagai penyampai  dan pemudah cara segala permasaalahan yang dihadapi pemain industri teksi. Oleh itu, kaedah dan pendekatan yang dipilih SPAD adalah menerusi interaksi di dalam perjumpaan-perjumpaan dan berdialog. Hanya dengan kaedah berinteraksi saja maka SPAD akan dapat maklumbalas dan mencari keputusan yang lebih tepat.

Ramai yang masih keliru dengan bidangkuasa SPAD serta masih tidak memahami kekangan yang dihadapinya. Perlu kita fahami, sebelum sesuatu keputusan dibuat pelbagai kementerian perlu diyakinkan SPAD kerana mereka adalah pembuat dasar. Di antaranya termasuklah Kementerian Pengangkutan dan
Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi.

Contohnya apabila ada permintaan untuk menentukan kadar tol, itu bukan di dalam bidangkuasa SPAD. SPAD sentiasa membawa cadangan pemandu teksi agar kebajikan pemandu-pemandu teksi dijaga. Justeru, cadangan memperkenalkan SOCSO disokong SPAD. Namun, apabila kerajaan membuat semakan, pemandu-pemandu teksi dikategorikan sebagai bekerja sendiri dan tidak dilindungi di bawah undang-undang SOCSO. GST juga telah menjadi keresahan pemain-pemain industri dan SPAD juga telah membawa isu ini ke pengetahuan kerajaan.

SPAD sedar persaingan hebat yang sedang dihadapi pemandu-pemandu teksi terutama di Lembah Klang apabila wujudnya kereta-kereta peribadi yang bekerja dengan sistem aplikasi seperti Uber, GrabCar dan sebagainya. Tan Sri mengingatkan bahawa perubahan permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang lebih baik tidak boleh ditolak dan SPAD sedang berusaha untuk mengatasinya. Sebagai langkah awal, CEO En Azharuddin telah bersetujumengadakan bengkel 2 minggu bersama PEMANDU untuk mendapat input dari pemain-pemain industri dan bekerjasama dengan semua jabatan yang terlibat.

Itulah di antara contoh yang diberikan Tan Sri mengenai kekangan yang dihadapi SPAD walaupun sentiasa dipersalahkan kononnya tidak memenuhi objektifnya.Walaupun SPAD dilempar dengan pelbagai kutukan, namun beberapa pencapaian telah diperolehi dan dinikmati pemain-pemain industri teksi. Di antaranya,kadar tambang teksi telah berjaya dinaikkan walaupun ada pihak yang menentang, TEKS1M sebagai branding untuk teksi telah berjaya diwujudkan.

Kesemua itu telah berjaya didengar dan diluluskan kerajaan kerana SPAD dan pemain industri bekerja sebagai satu pasukan. Tan Sri mengingtkan jika SPAD sentiasa dikutuk dan dituduh dengan pelbagai tohmahan, SPAD akan gagal berfungsi dan kemana pula suara mereka akan dibawa?

Tan Sri telah berulang kali mengingatkan di dalam amanatnya bahawa hanya dengan bersatu, bermuafakat dan paling penting adalah bekerjasama dengan SPAD sebagai agensi yang mewakili hati, suara dan nurani pemandu dan pengusaha teksi.

Perbezaan pendapat perlu diraikan dan kematangan bertindak dalam mengguna kebebasan pula perlu ditunjukkan. Tan Sri berpesan, SPAD tidak akanmenafikan perbezaan pendapat tetapi yang lebih utama, sama-sama mampu duduk berbincang kerana sebenarnya suara terkuat sekali adalah suara perbincangan di antara kerjasama dan bukan suara demonstrasi jalanan. Pesanan Tan Sri lagi, niat yang baik mesti juga dilaksanakan dengan kaedah dan cara yang baik.

Oleh itu, pada 18hb ini kesemua pemain industri teksi perlu menunjukkan kematangannya dalam sebuah negara demokrasi kepada pemimpin-pemimpin seluruh dunia yang akan berkumpul di Kuala Lumpur di kala Malaysia adalah Pengerusi kepada ASEAN.

Akhir sekali, Tan Sri mengingatkan bahawa di antara SPAD dan pemain industri teksi mempunyai matlamat dan tujuan yang sama untuk bersama-sama mempertahan dan memartabatkan industri teksi. SPAD akan sentiasa beri sokongan dan semua ini akan hanya berhasil apabila pemain-pemain industri sebagai barisan hadapan menggunakan platform yang betul dan bersama-sama memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan.

No comments: