Monday, June 15, 2015

DALAM MASA SEMINGGU, FELDA DAN FGV AGGRESIF BERURUSNIAGA



Hasrat sesetengah pihak untuk membuat spekulasi saham FGV dikeluarkan dari Bursa Malaysia ternyata tinggal spekulasi saja namun FGV masih mengorak langkah ke hadapan mengukuhkan perniagaan mereka.

Dalam masa seminggu, beberapa pengumuman urusniaga telah dibuat FGV dan seterusnya FELDA di samping mengambil langkah pro-aktif di dalam perniagaan utama mereka dalam industri perladangan.

Pada 4 Jun, Delima Oil Products Sdn Bhd yang menceburi industri barangan pengguna yang berasaskan sawit telah melancarkan produk terbarunya - 'Saji Sambal Paste'. Ini adalah sejajar dengan hasrat syarikat untuk mengurangkan pergantungan kepada aktiviti huluan iaitu perladagangan semata-mata. Selain jenama Saji, Delima Oil juga mempunyai rangkaian jenama lain seperti  Adela, SunBear dan Seri Pelangi.

Jenama 'SAJI' bukan sahaja dikenali dan menjadi pilihan isi rumah di Malaysia tetapi telah popular di pasaran serantau ASEAN. Produk-produk Delima Oils juga bakal menembusi pasaran industri halal di Timur Tengah dan ini merupakan salah satu strategi untuk meluaskan pasaran di peringkat antarabangsa.

Kemudian pada 9 Jun pula, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah mengumumkan untuk membeli empat syarikat daripada Golden Land Bhd yang berasaskan perladangan dan  836.1ha tanah kelapa sawit di Sabah dengan harga RM655mil secara tunai.

Kini di beberapa jam yang lalu, FGV telah menandatangani satu perjanjian dengan Kumpulan Rajawali untuk mengambil alih kepentingan 37 peratus dalam PT Eagle Plantations Tinggi (EHP) dalam bentuk wang tunai dan saham berjumlah USD 680,000,000. FGV juga akan memperoleh antara 93 dan 95 peratus pegangan dalamprojek gula Rajawali Kumpulan yang akan dikendalikan oleh FGV Kalimantan Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

Setelah selesai perjanjian tersebut, FGV akan menjadi rakan kongsi Rajawali Group, sebuah konglomerat tempatan yang sangat dihormati dan syarikat kelapa sawit ketiga terbesar di Indonesia.

Ketika ini, EHP memiliki 425,000 hektar ladang kelapa sawit, di mana 67 peratus adalah di Kalimantan dan 9% di Papua New Guinea, 19% di Sabah dan 5% pula di Sumatera. Dengan teknologi yang ada pada FGV, kepakaran hiliran dan profil globalnya, akan membawa manfaat besar kepada Rajawali.

Selepas pengumuman-pengumuman perolehan FGV, pada 7 Jun pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah melancarkan Restoran Felda D'Saji cawangan Jeddah di Tahlia Street. Ini adalah cawangan kedua Restoran D'Saji selepas Makkah yang telah memulakan operasinya di Menara al-Safwa bersebelahan Masjidil Haram. Tahlia Street merupakan hab komersial paling eksklusif di Arab Saudi di mana jenama-jenama terkemuka dunia menjadi pilihan dengan barisan kedai-kedai bertaraf butik dan berkelas eksklusif.

Restoran Felda D'Saji yang berkonsepkan 'fine dining' mampu menyasarkan peroleh RM2.5 juta setahun di mana Jeddah yang merupakan pintu masuk di Arab Saudi dan sasaran pelanggan bukan saja dari penduduk tempatan malahan dari Malaysia dan Asia juga.

Dengan urusniaga FGV dan Felda yang terus agresif dan dalam seminggu sahaja, apakah kita tidak yakin dengan kedudukan kewangan Felda yang tetap kukuh dan berdaya maju?

Inilah di antara faktor mengapa pihak pengurusan FGV mengumum untuk menggantung sementara perdagangan sahamnya di Bursa Saham. Jika pihak yang cuba membuat spekulasi bahawa saham FGV akan terkeluar dari senarai Bursa Malaysia, nampaknya ia sangat meleset sekali. Kepada mereka yang cuba menakut-nakutkan peneroka-peneroka Felda dengan dakwaan Felda bakal bankrup, apakah mungkin Felda dan FGV mampu membeli syarikat-syarikat besar secara tunai?

Sekiranya tidak pandai menari, janganlah pula dikatakan salah lantainya. Jika tidak ada pengalaman dan kepakaran untuk berurusniaga terutama di pentas dunia, janganlah pula dihasut peneroka FELDA sehingga menang sorak tetapi kampung yang tergadai pula.

No comments: