Showing posts with label JPJ. Show all posts
Showing posts with label JPJ. Show all posts

Saturday, April 22, 2017

DAKWAAN SALAH PEGUAM PAN TERHADAP 'MATA DEMERIT' DIPERJELAS DATUK LIOW



Jika menggunakan platform politik samada untuk memberi pandangan mahupun mengkritik dasar-dasar kerajaan, maka pasti akhirnya ia akan berakhir dengan matlamat untuk berpolitik juga. Maka, apabila Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN), Faiz Fadzil cuba bercakap secara terbuka tanpa membuat rujukan kepada pihak berkuasa JPJ, akhirnya bukan saja beliau telah memberi pandangan yang salah malahan beliau yang mewakili PAN, kelihatan memilih pembohongan untuk kelirukan rakyat.

Kerajaan hari ini bukanlah seperti di zaman Dr Mahathir yang menyekat sebarang kritikan dari pihak pembangkang tetapi apabila kebebasan ini gemar disalahgunakan, maka kenyataan yang salah pasti bertujuan mewujudkan kemarahan rakyat. Adalah lebih baik jika Faiz Fadzil ini berjumpa dan minta penjelasan dari pihak JPJ mahupun menteri sebelum beliau terus-terusan kelirukan rakyat.

Faiz Fadzli yang juga seorang peguam mendakwa sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bagi kesalahan trafik adalah bertentangan dengan perlembagaan negara atau 'double jeopardy' seperti mana yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan di mana pesalah trafik akan menghadapi dua hukuman serentak.

Dakwaan yang salah ini bertentangan dengan penjelasan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 membolehkan pesalah jalan raya dikenakan dua hukuman serentak iaitu kompaun dan pemotongan mata demerit seperti yang dilaksanakan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

Manakala 'double jeopardy' yang dimaksudkan Faiz Fadzil ini pula adalah mengenai dakwaan berganda di mahkamah atas kesalahan yang sama, sebaliknya di bawah sistem Awas, pesalah hanya akan dikenakan satu dakwaan sahaja. Sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bersama-sama dengan sistem penguatkuasaan automatik (AES), iaitu rangkaian kamera bagi merakamkan kenderaan yang melebihi had laju, membentuk sistem keselamatan kesedaran automatik (AWAS).

Sekiranya ada di pihak pembangkang yang masih tidak yakin dengan penjelasan menteri kerana terlalu fobia dengan menteri Barisan Nasional, ini pula penjelasan dari Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron;

"Pelaksanaan mata demerit tidak ada kaitan dengan kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Ketua Pengarah JPJ () mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan, dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.

"Di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta 333 ini juga ditetapkan cara untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit. Justeru, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (kompaun atau sabitan oleh mahkamah).

"Ini kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya diguna berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan sesuatu kesalahan yang dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem mata demerit, isu 'double jeorpardy' tidak berbangkit sama sekali dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen di bawah seksyen 35 dan 35A Akta 333.

Apakah tiada persamaan penjelasan di antara menteri BN dan Ketua Pengarah JPJ? Alangkah lebih baik jika pemimpin muda PAN ini mendapatkan penjelasan sebelum beliau kelihatan sebagai seorang ahli politik dan peguam yang kurang berilmu dan terlalu terpengaruh dengan politik pembohongan.

Monday, July 18, 2016

BILA KEMALANGAN BERLAKU, APA PERANAN SPAD?


Setiap kali berlaku kemalangan jalanraya yang melibatkan pengangkutan awam, tiga agensi penguatkuasa yang akan terlibat. Pertama ialah pihak PDRM di mana siasatan seperti penglibatan jenayah atau apa-apa kesalahan yang melibatkan Penal Code atau Akta Jalanraya. Keduanya, JPJ akan menyiasat samada terdapatnya kegagalan kenderaan atau pemandunya dan yang ketiga, pihak MIROS akan menyiasat secara terperinci untuk mencari punca kemalangan dan melaporkan kepada Menteri Pengangkutan.

Di mana pula peranan SPAD? Suruhanjaya ini adalah agensi terakhir di mana segala hasil siasatan dari PDRM, JPJ dan MIROS, pihak SPAD perlu mengambil tindakn untuk menggantung syarikat operator atau tidak.

Inilah proses-proses yang perlu dilalui sebelum sebarang tindakan diambil pihak SPAD dan pastinya ia memerlukan masa apabila maklumbalas laporan dari ketiga-tiga agensi yang terlibat juga perlu berasaskan undang-undang negara.

Begitulah penjelasan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika ada pihak yang mempersoalkan apa sebenarnya peranan SPAD serta agensi-agensi penguatkuasa setiap kali berlakunya kemalangan jalanraya di mana sering berlaku ketika menjelang waktu perayaan.

Di dalam kes kemalangan berhampiran Terowong Menora yang melibatkan bas ekspres Qistina, keputusan untuk menggantung lesen syarikat pengendali ini tidak terlepas dari proses-proses yang disebutkan Tan Sri tadi. Malahan, keputusan tidak terus diambil sebelum pihak bas ekspres Qistina memberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu. Hanya selepas pihak SPAD berpuas hati bahawa terbukti ada dan kesalahan bersabit, maka barulah tindakan menggantung leses mereka dilaksanakan.

Kemalangan bukan sesuatu yang boleh sesiapa jangka, maka menurut Tan Sri Syed walaupun lesen telah digantung namun tiket-tiket telah pun dibeli penumpang, sebagai pihak yang bertanggungjawab, SPAD mensarankan agar tambang dikembalikan atau bekerjasama dengan pihak TBS untuk diberi bas yang lain.

Perlu juga dijelaskan yang pihak SPAD tidak memiliki rekod pemandu bas di mana segalanya berada di dalam bidang kuasa JPJ. Pada lazimnya, JPJ akan memaklumkan pihak SPAD ketika kemalangan telah berlaku, sejarah rekod pemandu sebelum keputusan penggantungan lesen PSV pemandu diambil. Pihak SPAD juga tidak menyimpan rekod jenayah seseorang pemandu yang hanya disimpan pihak polis.


Oeh itu, langkah yang terbaik adalah agar di antara pihak polis, JPJ dan SPAD berkongsi maklumat ke atas rekod seseorang pemandu. Pihak SPAD hanya mampu bertindak ke atas 2 perkara iaitu samada kesalahan itu adalah kesalahan kecuaian berat atau jenayah dan samada syarikat pengendali telah mematuhi I-She-Cop di mana tindakan mengikut sewajarnya tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Daripada seseorang itu mempertikaikan samada SPAD seharusnya diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Syed Hamid berpendapat adalah lebih baik ditumpukan persoalan pokok berkenaan kemalangan kerana kemalangan yang berlaku bukanlah disebabkan SPAD yang sekarang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukan di bawah MOT.

Monday, April 11, 2016

DATUK LIOW : PENGUATKUASAAN JPJ PERLU DIKAJI SEMULA


Walaupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sering melakukan operasi untuk mengekang kesalahan jalanraya, namun ia telah gagal menampakkan keberkesanannya di dalam menurunkan kadar kemalangan di negara ini.

Oleh itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan agar undang-undang yang sedia ada dikaji semula supaya ia lebih berfungsi dengan lebih berkesan. Sebagaimana yang pernah disarankan pada bulan Februari lalu, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

AWAS adalah kombinasi di antara sistem AES (Automated Enforcement) dan sistem mata demerit KEJARA, bertujuan untuk mendisplinkan pengguna jalanraya. Sistem AWAS dijangka lebih berkesan daripada denda dan kompaun yang tinggi. Kombinasi ini dicadangkan setelah didapati permasalahan apabila ramai yang tidak membayar saman.

Sistem mata demerit KEJARA yang pernah dilaksanakan dahulu juga didapati kurang berkesan apabila pesalah trafik membayar kompaun, markah mereka tidak perlu dipotong yang menyebabkan wujud kelonggaran.

Sehubungan itu, satu rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi pelaksanaan AWAS akan dibentangkan di Parlimen di sesi akan datang pada bulan Mei nanti. Pihak kementerian sedang meneliti di peringkat akhir dengan isu-isu implikasi undang-undangnya.

Satu kajian yang melibatkan 14 kamera AES di negara ini telah menunjukkan bahawa ia adalah berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Yang lebih penting AWAS mampu mengurangkan rasuah apabila sistem ini dilaksanakan secara automatik dan interaksi manusia adalah sangat minima.

Sumbangan JPJ adalah amat besar selama 70 tahun diwujudkan dan pelbagai transformasi yang selaras dengan kehendak Program Transformasi Ekonomi telah pun dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kerajaan yang cepat serta telus.

Di antaranya JPJ telah melaksanakan perkhidmatan dalam talian yang mendapat respon positif dari rakyat di mana penambahan mesin-mesin kios JPJ dan perancangan akan datang, mesin-mesin ini akan diadakan di pasar raya.

Di dalam pada masa yang sama, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menaik taraf dan menambah baik struktur pentadbiran dan pengurusan JPJ agar Jabatan ini terus diperkasakan dan diperkukuhkan demi mengekalkan integriti mereka dan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
 

Tuesday, February 16, 2016

MENTERI DAN KPN SEPENDAPAT SISTEM DEMERIT JALAN RAYA 'KEJARA' DIPERKENALKAN SEMULA



Bukan mudah untuk merubah sikap seseorang tetapi untuk memperbaikinya mungkin ada caranya terutama kepada pemandu-pemandu jalanraya yang gemar membuat kesalahan. Kementerian Pengangkutan sentiasa berfikir untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalanraya terutama di waktu-waktu perayaan dan salah satu pendekatan yang pernah diperkenalkan adalah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan seterusnya dikenakan saman.

Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mencadangkan untuk menaikkan kadar saman bagi pesalah trafik jalanraya dan ia telah mendapat respon daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berpendapat selain daripada AES, penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) juga mampu mendidik pengguna jalan raya di negara ini agar mereka lebih berhemah.

Sependapat dengan pandangan Datuk Liow, baru-baru ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga bersetuju dan berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera. Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) perlu dikuatkuasakan dan dilaksana memandangkan sistem yang telah sediada dan pernah diperkenalkan pada tahun 1984.

Mereka juga yakin Kejara akan mampu menghalang pengguna jalan raya yang degil daripada terus melanggar peraturan lalu lintas serta mengurangkan kemalangan jalan raya.

Walaubagaimanapun, pihak Kementerian Pengangkutan memulakan dengan mengambilkira maklumbalas orang ramai sebelum Kejara dikuatkuasakan semula agar kerajaan dapat menambah baik dan memperkemaskan lagi sistem ini dan seterusnya melakukan kajian menyeluruh. Berkemungkinan sistem Kejara ini akan dilaksanakan pada hujung bulan Mac nanti.

Sistem Pemberian Mata Demerit atau Kejara adalah satu sistem di mana pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas tertentu diberi mata demerit di bawah Peratuan Kenderaan 1997. Pemberian mata demerit akan bermula apabila notis saman diselesaikan setelah penalti diselesaikan dengan membayar kompaun atau denda di mahkamah.

Samada lesen memandu digantung atau dibatalkan bergantung kepada proses mata yang diberikan iaitu amaran akan diberikan jika pemandu mendapat 20 mata atau lebih buat pertama kali dan untuk kali kedua pula, hukumannya adalah lesen digantung tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih 12 bulan. Untuk kali ketiga pula, lesen memandu akan dibatalkan sekiranya lesen memandu telah digantung sebanyak 3 kali dalam tempoh 5 tahun.

Sebanyak mana pun saman yang dikenakan kepada pesalah trafik degil, bagi yang mampu dengan berpendapatn tinggi, ia tidak akan menjadi satu kudis pun kepada mereka tetapi mungkin memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Namun sistem Kejara dilihat lebih efektif dan adil untuk menangani sikap pemandu yang gemar melakukan kesalahan jalan raya di semua lapisan.

Thursday, December 24, 2015

BIDANGKUASA SKMM MEMANTAU DAN BERTINDAK KE ATAS APLIKASI UBER DAN GRABCAR


Sekali lagi isu perkhidmatan kereta persendirian seperti Uber dan GrabCar mendapat perhatian di media setelah dibawa ke parlimen. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dalam jawapan lisan mengatakan yang pihak SKMM bukanlah agensi yang memberi kelulusan perkhidmatan Uber dan GrabCar ini dan aplikasi perkhidamatan hanya akan diambil tindakan sekiranya mendapat permintaan dari pihak SPAD.

Timbalan Menteri juga menyatakan yang SKMM tidak boleh block mana-mana aplikasi yang tidak melanggar undang-undang. Dengan lain kata, aplikasi kereta sewa seperti Uber, GrabCar dan yang serupa tidak melanggar undang-undang. Kenyataan Timbalan Menteri ini boleh dibaca ... DI SINI.

Bagi pihak JPJ pula, mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang perkhidmatan yang ditawarkan menerusi aplikasi telefon seperti Uber dan GrabCar adalah menyalahi undang-undang kerana kenderaan yang digunakan tidak berdaftar dengan SPAD dan juga JPJ. Pihak JPJ juga beri jaminan untuk membanteras kegiatan ini dan mengakui menghadapi kesukaran memandangkan kenderaan peribadi ini tidak berdaftar. Maklumat ini dipetik ... DI SINI.


Kedua-dua kenyataan di atas mengesahkan yang perkhidmatan kereta persendirian Uber dan GrabCar adalah salah tetapi mereka mungkin terlepas pandang yang punca perkhidmatan ini datangnya dari aplikasi telefon yang pasti di bawah bidangkuasa SKMM.

Ini yang ingin diketengahkan Pengerusi SPAD Sri Syed Hamid Albar yang SKMM perlu bertanggungjawab memantau dan mengawal aplikasi Uber dan GrabCar. Tan Sri juga menjelaskan bahawa memberi perkhidmatan aplikasi tidak menjadi satu kesalahan di bawah SPAD, oleh kerana itu pihak SPAD hanya mengambil tindakan ke atas kenderaan yang digunakan dan pemilik kereta sahaja.

Berbeza dengan aplikasi MeterOn yang diperkenal SPAD yang meliputi lebih 50,000 teksi berlesen di Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan standard perkhidmatan teksi. Aplikasi ini menawarkan kepada pelanggan platform dengan dilengkapi enam ciri utama iaitu pengesahan pemandu, alat menjejaki perjalanan, anggaran tambang, penilaian pemandu, amaran SOS dan maklum balas atau laporan.

Tan Sri juga mengesahkan yang pihak SPAD telah berunding dengan SKMM untuk mencari penyelesaian ini dan seharusnya mereka bertanggungjawab kerana di bawah undang-undang ia sememangnya tugas SKMM untuk mengawal selia semua aplikasi telefon.

Thursday, September 25, 2014

BERMULA 1 OKTOBER KHIDMAT TEKSI UBER DIHARAMKAN JPJ

Pada bulan lalu, perkhimdatan teksi UBER telah hangat diperkatakan samada di media perdana mahupun di media sosial. Pihak SPAD telah mengeluarkan kenyataan berikut mengenai perkhidmatan teksi UBER di blog ini, seperti berikut;
Isitilah 'kereta sapu' atau 'teksi sapu' atau 'teksi haram' tetap dikategori pihak SPAD terhadap kenderaan syarikat UBER sehingga mereka berdaftar di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010. Itu adalah perkara utama yang kita perlu faham dan itulah yang ingin ditegaskan oleh pihak SPAD.

Pihak SPAD masih belum memutuskan untuk mengharamkan perkhidmatan UBER tetapi meminta pihak syarikat itu lebih bertanggungjawab mematuhi undang-undang negara ini.

Kini, pihak JPJ mengharamkan perkhidmatan 'teksi uber';


 
... dengan alasan yang sama dikemukakan SPAD iaitu perkhidmatan 'teksi uber' menyalahi undang-undang kerana menggunakan kenderaan persendirian dan tidak mendapat kelulusan lesen pengendali daripada SPAD sebagaimana dinyatakan mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Bermula 1 Oktober, operasi bersepadu bersama-sama JPJ, SPAD dan PDRM dan akan mengambil tindakan bagi pihak terbabit yang mengguna aplikasi UBER untuk kenderaan persendirian. Pihak yang terbabit di sini adalah pemandu dan pemilik kenderaan dan setakat ini tidak membabitkan penumpang.

SPAD telah memuatnaik kenyataan akhbar di Facebook rasminya, dan telah mendapat reaksi dari pengunjung yang memberi beberapa pandangan tersendiri seperti berikut;
Samsul Hadi Mamat : Mohon tindakan lebih drastik oleh penguatkuasa PDRM, JPJ/SPAD terhadap UBER @ prebet sapu semakin bermaharajalela di bandar Chukai dan sekitar Kemaman hingga mengganggu gugat periuk nasi para pemandu teksi terutama di KSB serta sekitar pelabuhan. Hrp maklum, t ksh.

Razif Jemaat : Rasanya adalah lebih baik banteras teksi cekik darah dari sibuk kacau Uber. Uber boleh dijadikan alternatif kepada masyarakat yang tidak yakin dengan khidmat teksi. Biar masyarakat yang pilih. Kalau ada masalah dari segi perundangan, kenapa tidak duduk semeja dan berbincang?

Teksi Berjaya Kuala Lumpur : En razif jemaat, APA yg susah sgt, kalau berani buat report trus ke SPAD, jgn cakap teksi cekik darah.

ZEight Steyr : Jadilah pengguna pengangkutan awam yg bijak. Jika terdapat pemandu teksi yg berperangai tidak senonoh lapurkan pada pihak berkuasa. Xkan hp canggih2 xblh nk snap pic no pendaftaran teksi kot???

Amer Dua Empat : no! no! no! harap banteras Uber! sesuatu yg paling tak relevant dlm industri pengangkutan awam darat Malaysia..

Pakmalau Pakmalau : Buru jgak yg ada kt pangkor bg abis semua dlm malaysia neh,

Slithereen Guard : Yg penting kita sebagai pemandu teksi dh bg penerangan ttg bahayenya uber sbb xde insuran, kita dh bgtau ttg apps2 taxi yg wujud kt malaysia.. So kalo dorang ni pengguna yg bijak, akan terus buat aduan kt SPAD jika teksi tidak menggunakan meter dan bukannye menggalakkan lagi pemandu2 teksi yg sebegini..

Nizam Sha : baru lepas telefon supercab 0378055333 utk khidmat teksi dari teksi stand LRT Taman Jaya ke Taman Sri Sentosa.boleh cakap takde teksi?padahal ada je teksi tapi tanak pergi kata jalan jemm.sunguh tak boleh terima alasan!org nk kasi duit pon byk alasan.tak hairanlah org langgan perkhidmatan uber

Gerakan Boikot : Tingkatkan diri kita sebagai pemandu teksi malaysia. Gunakan meter. Cantik dan segak berpakaian, Kereta harum bak bunga setaman.

Henry Tanaka : Uber is preferable.. But pemandu teksi area Datuk Keramat KL bagus2 belaka.. kat KTM kajang mcm hampeh, kasi sumbat sampai penuh tp caj per head mcm caj satu trip.. SPAD tolong selaraskan caj teksi, supaya tak bertindan dan keliru (contoh : utm jln semarak - KLCC RM 7 = all teksi) Pemakaian meter pun dah x relevan sbb benda boleh ejass...

Akimaru Rendum : Alasan....erm...saya pengguna tegar myteksi dan easy teksi.... KaLau kat midvelley tak pernah dapat pun..... Myteksi dan easyteksi dan etc2.....Hanya effective masa mula2 dulu jer....sekarang asyik received call dari driver teksi suruh cancel....
Itu adalah di antara respon di mana rata-rata sangat berpuas hati dengan perkhidmatan teksi UBER. Namun, perlu difahamkan bahawa negara kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuh oleh semua pihak yang ingin berurusniaga di negara kita.

Pihak berkuasa sekadar melaksanakan tugas mereka dan tindakan mereka adalah bersandarkan kepada kepentingan keselamatan penumpang. Adalah tidak adil seandainya mana-mana pihak menuduh pihak berkuasa di negara ini mengambi tindakan tanpa sebarang pertimbangan kerana sebelum ini SPAD telah menyatakan cuba untuk menghubungi UBER melalui telefon, email namun tiada mendapat respon.

Kepada syarikat-syarikat yang juga memberi khidmat pesanan teksi, diharap dapat memperbaiki khidmat mereka. Oleh kerana kelemahan perkhidmatan mereka, maka rakyat memilih untuk kepada perkhidmatan yang lebih baik.

SPAD juga diharapkan memberi perhatian kepada syarikat-syarikat perkhidmatan teksi melalui telefon ini kerana boleh dikatakan perkhdimatan mereka sangat mengecewakan terutama perkhidmatan pelanggan mereka.


 

Monday, April 28, 2014

SPAD PERJELAS BIDANGKUASA APABILA MELIBATKAN KEMALANGAN PENGANGKUTAN AWAM


Apabila berlaku kemalangan jalanraya, agensi-agensi terlibat seperti PDRM dan MIROS menjalankan siasatan dan kajian mencari punca kemalangan. Agensi-agensi yang terlibat untuk menyiasat dan mengkaji seperti PDRM dan MIROS, seringkali mendapati kebanyakannya melibatkan faktor manusia.

Begitulah yang telah ditegaskan oleh Tan Sri Syed Hamid, Pengerusi SPAD yang menyarankan syarikat pengendali agar mementingkan pengambilan pemandu-pemandu bas yang bersih dari pengambilan dadah dan kesihatan yang sempurna. Segalanya perlu dilakukan sebelum sesebuah bas berlepas menuju destinasi.

Baru-baru ini setelah berlaku kemalangan demi kemalangan yang melibatkan pemanduan bas jarak jauh, seorang pemandu bas telah membuat pengakuan ikhlas bahawa beliau telah terlelap dan mengantuk.

Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia, Sa’adan Man juga telah membuat pendedahn, sebahagian pemandu tidak mempunyai pilihan selain menurut perintah majikan dan jika ingkar, mereka bakal berdepan tindakan tegas termasuk dipotong gaji atau dibuang kerja.

Kita juga dikejutkan juga apabila didedahkan pemandu-pemandu bas ini kadangkala terpaksa membawa bas selama 10 hari tanpa rehat kerana pihak syarikat pengendali kekurangan pemandu dan jadual kerja dibuat secara tangkap muat. Apabila jadual perjalanan terlalu ketat, pemandu-pemandu bas ini terpaksa memandu laju agar dapat menepati jadual yang ditetapkan syarikat pengusaha.

Ironinya, SPAD sentiasa dijadikan 'punching bag' setiap kali terjadi kemalangan pengangkutan awam dengan alasan terlalu longgar mengenakan syarat lesen syarikat pengendali dan tidak tegas mengambil tindakan.

Beberapa bidangkuasa yang disalahertikan masyarakat terhadap SPAD telah diperjelaskan Tan Sri Syed di mana punca kesalahan-kesalahan yang melibatkan pemandu pengangkutan awam perlu dipertanggunjawab oleh syarikat pengendali. Seandainya pemandu-pemandu pengangkutan awam ini telah dianiaya dengan memaksa bekerja lebih masa sehingga menyebabkan keadaan yang tidak selamat, mereka perlu membuat aduan kepada Kementerian yang terlibat dengan sumber tenaga kerja dan bukan SPAD.

Samada kebenaran bas dua tingkat dibenarkan bukan dalam bidangkuasa SPAD dan pihak Kementerian Pengangkutan telah pun membenarkan dan meluluskan struktur bas tersebut. Setelah semua pihak berkenaan seperti Puspakom meluluskannya, maka pihak SPAD yang akan memberi lesen kepada syarikat pengendali. Ini juga termasuk jumlah penumpang yang duduk dan berdiri ditentukan pihak JPJ.

Tindakan menggantung syarikat-syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan bukanlah penyelesaian kepada punca kemalangan. Namun tindakan SPAD menggantung lesen syarikat pengendali adalah untuk beri kesedaran agar syarikat-syarikat ini perlu beri perhatian serius terhadap pemandu-pemandu mereka terutama sebelum bas berlepas. Jangan menuding jari tetapi cuba perbaiki keadaan.

Thursday, January 30, 2014

LAPORAN SPAD UNTUK KABINET TETAPI LAPORAN HISHAM HANYA UNTUK PUBLISITI?

Semua rakyat ketahui prestasi DS Hishamuddin Hussin ketika menyandang menteri KDN telah tercalar kerana sikap lemah dan penakutnya menangani beberapa isu penting seperti demo bersiri Bersih, isu kalimah Allah dan yang paling terkesan ialah isu Lahad Datu. Di dalam parti pula, persaingan merebut jawatan Naib Presiden dilihat sebagai kemenangan ehsan sehingga terpaksa mengguna titah istana dan campurtangan abang besarnya.

Namun, kemenangan Hisham bukanlah suatu yang dapat dimegahkan berbanding keputusan hampir seratus peratus sokongan diberi kepada Dato Zaid Hamidi dan Dato Shafie Apdal tetapi Hisham hanya mampu meraih sokongan tipis. Itupun masih diragui!!!

MENUDING JARI TERHADAP SPAD

Punca kemalangan ialah SPAD?
 
Kini, Hisham yang memangku jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan sekali lagi Hisham telah menunjukkan sikap lemahnya yang hanya menuding jari ke arah SPAD dan Puspakom sebagai punca tragedi kemalangan Genting yang berlaku bulan Ogos tahun lepas.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata panel yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan mendapati wujud kelemahan kaedah yang dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dalam memberi kelulusan lesen operasi perkhidmatan kenderaan awam.

"Dalam konteks ini, SPAD meluluskan lesen operasi kenderaan tanpa mengambil kira keperluan spesifik tertentu seperti keadaan persekitaran jalan raya yang berbukit dan kapasiti penumpang berdiri yang dibenarkan untuk bas henti-henti," katanya.

Hishammuddin berkata selain itu, panel juga mendapati berlaku kelemahan komunikasi dan penyelarasan antara empat agensi iaitu Jabatan Kerja Raya, SPAD, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia misalnya dalam soal kelulusan terhadap kenderaan, jumlah penumpang yang dibenarkan dalam bas, sistem senarai hitam dan permit kenderaan.

Sumber : MalaysiaKini/Bernama

Ini adalah kata-kata Hisham yang terdahulu dari portal rasmi Kementerian Pengangkutan...
"Jadi kita minta orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Jangan buat spekulasi dan menuding jari menyalahkan pihak tertentu yang mungkin tidak berdosa dalam kes ini," katanya dalam sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Persoalannya, sekarang Hishamuddin pula yang menuding jari!
 
SPAD AKUR ARAHAN TPM;
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu menubuhkan jawatankuasa petugas bagi mengenal pasti punca kemalangan dan langkah sewajarnya diambil bagi mengelak kejadian seperti itu tidak berulang di masa depan. - Astro Awani
Menurut kenyataan SPAD pada Khamis, jawatankuasa itu akan turut mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mencegah kejadian serupa berulang.
Jawatankuasa ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismail susulan arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu insiden itu disiasat dengan terperinci, kata kenyataan berkenaan. - MStar


Tetapi Hishamuddin tidak mahu ketinggalan 'lime light' apabila beliau juga mewujudkan satu kumpulan bebas di bawah kementeriannya yang disertai oleh Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye, walaupun TPM tidak langsung menyebut kumpulan bebas Hishamuddin.

KEYWORD - "PUNCA KEMALANGAN"

Jika dibaca dan diteliti kenyataan-kenyataan TPM, SPAD, PDRM, MIROS DAN JPJ, tidak akan lari dari keyword "Punca Kemalangan". Tragedi kemalangan telah berlaku, bagi manusia biasa pun apa yang akan difikirkan ialah ... apa punca tragedi ini. Inilah keyword yang gagal dihuraikan oleh Hisham ketika membuat kenyataan medianya.

Ini laporan MIROS;
Speed and brake problems on a lane that was too wide were among the faults that caused a Genting Highlands bus to crash last August, killing 37 out of 53 people onboard, a report by the Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) revealed today.

The MIROS report also showed that the use of inappropriate safety barriers was part of six factors contributing to the bus’s fatal plunge into a ravine, according to Acting Transport Minister Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - TheMalayMail

Tetapi bagi Hisham dan Lee Lam Thye pula punca kemalangan adalah kerana SPAD meluluskan lesen operasi tanpa mengambil kira keperluan spesifik tertentu seperti keadaan persekitaran jalan raya yang berbukit dan kapasiti penumpang berdiri yang dibenarkan untuk bas henti-henti.

SPAD meluluskan lesen operasi... di mana relevannya alasan Hisham dengan saranan TPM untuk mencari punca kemalangan? Yang lebih menjadi pertanyaan, mengapa Hisham hanya menekankan mengenai SPAD?

Untuk pengetahun Hishamuddin selaku memangku Menteri Pengangkutan, SPAD bertanggungjawab kepada PMO dan setiap laporan atau cadangan yang dikemukan adalah untuk dibentangkan di dalam kabinet.

Jika mengikut laporan ini, cuba Hisham kaji bila lesen pengusaha bas ini dikeluarkan? Adakah setelah SPAD ditubuhkan atau sebelum?

Yang pasti, pihak LPKP bertanggungjawab mengeluarkan lesen sebelum SPAD ditubuhkan pada 2010. Sehingga penubuhan SPAD, maka tanggungjawab mengeluarkan lesen diambilalih dari LPKP untuk Semenanjung Malaysia dan kini LPKP untuk Sabah dan Sarawak.

Do your homework thoroughly, HISHAM!

Oleh kerana Hisham telah mendahului semua laporan, apakah laporan tersebut menepati arahan TPM dan juga adakah laporan ini telah mengambil kira sepenuhnya dari SPAD, MIROS, JPJ dan Polis? Jika benar, mengapa ketika penyerahan laporan tersebut tiada wakil-wakil dari agensi-agensi tersebut?

Kepada Hishamuddin, jangan bermain politik dengan isu pengangkutan awam kerana ini bukan kepakaran kamu dan sudah tiba masanya, jawatan Menteri Pengangkutan dipenuhi oleh mereka yang lebih berkelayakan dan berpengetahun dalam soal pengangkutan awam dan bukan sekadar datang buat kenyataan media dan baca teks. Kelemahan dan ketidakcekapan kamu ketika KDN, janganlah terbawa-bawa dalam soal pengangkutan awam terutama apabila melibatkan nyawa manusia sekali lagi.

Ini yang dinamakan 'PUBLISITI MURAHAN'

Tuesday, October 08, 2013

SPAD : TRAGEDI KEMALANGAN GENTING - PANEL INKUIRI DAN AUDIT KESELAMATAN


Laporan tragedi kemalangan ngeri di KM3.5 Jalan Genting Highlands yang berlaku pada Ogos lalu telah hampir siap 90% seperti yang diumumkan oleh Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof .... di SINI
 
Kemalangan ngeri ini yang telah meragut 37 nyawa apabila terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands manakala seramai 16 penumpang berjaya diselamatkan.

Laporan ini telah pun sampai ke pihak SPAD di mana Suruhanjaya ini telah diberi amanah untuk mengetuai siasatan tragedi kemalangan ngeri ini. Tindakan susulan seterusnya ialah SPAD telah menubuhkan satu Jawatankuasa Inkuiri untuk menyiasat secara terperinci punca kemalangan
tersebut.

Jawatankuasa Inkuiri ini telah ditubuhkan pada 23 September lalu dan kendalikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pihak-pihak berkuasa yang bekerjasama adalah  Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En Mohd Nur Ismal Kamal akan mempengerusi Jawatankuasa Inkuiri ini dengan bertujuan menilai bukti-bukti dan laporan-laporan kemalangan serta membuat cadangan kepada kerajaan bagi mencegah kejadian sedemikian berulang. Dalam pada masa
yang sama, tumpuan Jawatankuasa Inkuiri ini adalah lebih khusus kepada audit keselamatan ke atas pengendali bas henti-henti dan ekspres. Audit akan dilakukan berdasarkan pekeliling SPAD, I-Cop Keselamatan yang berkuatkuasa pada 20 Ogos 2013.

Satu sekretariat juga telah ditubuh untuk meneliti pelbagai laporan berkenaan supaya setiap soal siasatan dapat dikendalikan dengan berkesan dan lebih fokus.

Walaubagaimanapun disamping hasil laporan dari pihak polis, laporan dari MIROS akan dijadikan keutamaan sebagai asas panduan siasatan oleh Jawatankuasa Inkuiri Keselamatan ini.

Sunday, August 25, 2013

BUKAN MASA MENUDING JARI - TAN SRI SYED HAMID ALBAR


Tragedi kemalangan jiwa di Genting Highlands pada hari Rabu lalu bukanlah platform mana-mana pihak menuding jari untuk mencari kesilapan dan kelalaian. Kejadian telah berlaku, namun masih ada yang cuba ambil kesempatan membuat pelbagai andaian dan yang paling merugikan ialah membuat terjahan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan melampau.

Kemalangan di Km3.5 Jalan Genting Highlands telah meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

PUNCA KEMALANGAN

a) Keadaan Bas

Menurut Tan Sri Syed Hamid Albar, pemeriksaan daripada rekod pengangkutan gagal menunjukkan bahawa bas itu pernah disenarai hitamkan.

"Bas itu tidak membawa penumpang yang berlebihan, masih mengikut syarat-syarat lesennya itu," kata beliau.

Bas yang diklasifikasikan sebagai bas ulang-alik itu membawa jumlah penumpang yang dibenarkan iaitu seramai 53 orang ketika waktu kemalangan.

Menurut lesen bas perantara itu dibenarkan untuk membawa sehingga 65 penumpang, dengan maksimum 45 duduk manakala 20 yang lain pula berdiri.

Terdapat laporan yang bercanggah mengenai bas dengan nombor pendaftaran WGA 4136 telah disenaraihitamkan oleh pihak polis dan bukannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Senarai hitam ini mengandungi pesalah / kenderaan yang telah dikenakan saman tetapi masih belum membayar denda selepas satu masa yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.

b) Keadaan Jalan

Menteri JKR pula berkata "Terlalu awal untuk kita katakan ia berpunca daripada keadaan jalan, banyak lagi aspek lain yang perlu diambil kira seperti faktor kecuaian dan masalah mekanikal.
  
"Jadi, saya cadangkan supaya pemilik jalan dan pemaju pusat percutian itu supaya dapat duduk dan berbincang dengan JKR berkaitan keselamatan, sejurus laporan polis berhubung kemalangan itu diperoleh," - SINAR HARIAN

c) Pemandu

Terdapat juga beberapa maklumbalas dari mangsa yang menceritakan keadaan pemandu sebelum tragedi tersebut berlaku di mana ada antaranya menyatakan pemandu dalam keadaan marah kerana berlumba dengan sebuah kereta yang memotong bas tersebut. 

Lebih parah apabila beliau ditegur beberapa penumpang dan bertengkar menyebabkan pemandu memecut bas dengan lebih laju dan hilang kawalan.

Laporan selanjutnya DI SINI...

SIASATAN POLIS
Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan, Mohd Mansor Mohd Nor telah mengesahkan siasatan di lokasi kejadian dan pemeriksaan awal terhadap bas yang terjunam kira-kira 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands Rabu lepas telah selesai.

Laporan penuh akan disiapkan setelah semua hasil siasatan daripada pihak forensik, JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan pihak berkaitan.

ADAKAH INI KESALAHAN SPAD?

SPAD telah diarahkan untuk mengetuai jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menyiasat punca kemalangan tersebut dengan kerjasama beberapa pihak berkaitan. Namun, jawatankuasa berkenaan hanya akan memulakan tugasnya setelah mendapat laporan awal daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye mengajukan soalan berikut; 

Adakah semua bas sentiasa diperiksa dan diselenggara bagi memastikan mereka selamat untuk diguna di jalan raya?

Adakah pihak berkuasa berkaitan yakin bahawa pemeriksanan bas dijalankan dengan sebaiknya?

Pihak berkuatkuasa yang mana yang sepatutnya bertanggungjawab? 

Yang meluluskan bas dan lesen pemandu adalah JPJ. Pemeriksaan penyelenggaraan untuk meneruskan perkhidmatan juga adalah tanggungjawab JPJ dan Puspakom juga terlibat.

Pihak SPAD hanya meluluskan lesen pengendali dan laluan.

Walaupun jalan ke Genting Highland adalah "private road" namun kenderaan awam menggunakannya. Oleh itu pihak kerajaan tempatan dipertanggungjawab untuk menentukan syarat ke atas langkah keselamatan yang perlu ada. 

Bagi pihak JKR pula, pemeriksaan jalan cerun perlu dilakukan dengan lebih kerap dan meletakkan syarat-syarat yang ditentukan JKR untuk kegunaan kenderaan awam.

Maklumat mengenai pemandu yang boleh menjejas keselamatan awam dari PDRM perlu juga disalurkan kepada SPAD dan pengendali bas.

Lesen pemandu untuk pengangkutan awam juga sepatutnya dikeluarkan oleh pihak SPAD dari JPJ bagi menyelaras dengan lesen pengendali.

Maka, terimalah saranan Tan Sri Hamid bahawa bukan masanya untuk menuding jari tapi utk melihat masalah secara menyeluruh. Kerajaan juga mesti ada political will dan keberanian bagi menukar dan mentransformasi industri ini.

Kita perlu belajar daripada tragedi ini dan laksanakan cadangan yang dibuat untuk mencegah tragedi pada masa hadapan.

Monday, June 24, 2013

"SOP" OPERASI DAN BIDANG KUASA SPAD



Semenjak  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan pada 2010, operasi yang dijalankan tidak pernah dilakukan secara solo atau bersendirian.

Berikut adalah beberapa siri operasi SPAD yang telah dijalankan dengan kerjasama PDRM, JPJ dan/atau beberapa agensi penguatkuasaan lain seperti DBKL dsb...

05 April 2013 : OPS TEGAS BERSAMA PDRM, JPJ DAN AADK

17 Ogos 2012 : OPS PARASIT DAN OPS SERKAP

12 Jun 2012 : OPS PARASIT (Ulat Tiket) & OPS Tegas (Kereta Sapu) di LTA PULAU PINANG DAN TERMINAL BAS SG NIBONG

29 Mei 2012 : OPERASI ANJURAN IPD BESUT DENGAN PERSATUAN KERETA SEWA JERTIH DAN KUALA BESUT
16Jan 2012 : OPERASI TAHUN BARU CINA DENGAN KERJASAMA DBKL, JABATAN IMIGRESEN, SPRM dan PDRM

18 Ogos 2011 : SPAD, JPJ, PDRM gabung tenaga dalam Ops Keselamatan Bersepadu
 
22 Julai 2011 : SPAD, Polis dan JPJ laksana penguatkuasaan pengangkutan awam

Terkini, pada 20 Jun 2013 Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengadakan Operasi Tegas Bersepadu dengan kerjasama JPJ, PDRM dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

PROSEDUR PIAWAIAN OPERASI “SOP” SPAD

Setiap perasi bersepadu yang diadakan ini bertepatan dengan SOP Penyelarasan Penguatkuasaan Agensi-Agensi Penguatkuasaan Pengangkutan Jalan Malaysia yang telah dilancarkan pada 8 Oktober 2012 lalu. Standard Operating Procedure (SOP) ini telah menggariskan bidang tugas serta peranan setiap agensi dalam menjalankan operasi terancang dan operasi bersama agar lebih selaras dan efektif.

Beberapa perkara di dalam SOP ini telah ditetapkan seperti berikut:
  • Dalam operasi bersama, PDRM telah ditetapkan sebagai lead agency dan selain PDRM, agensi-agensi lain boleh menjadi host agency mengikut keperluan dan akan diputuskan dalam mesyuarat berkala Jawatankuasa Penyelaras Operasi.
  • Jawatankuasa Penyelaras Operasi Agensi Penguatkuasaan Pengangkutan Jalan akan berfungsi secara kekal dan bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 bulan sekali bagi menyelaras semua operasi yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan pengangkutan jalan; dan
  • Skop SOP ini merangkumi prosedur kerja dalam operasi terancang agensi dan juga operasi bersama yang meliputi penyelarasan tugas, perancangan operasi, hebahan media dan penilaian operasi.
SPAD merupakan salah satu agensi yang diberi tugas bagi memastikan penguatkuasaan menjadi lebih sistematik dan menyeluruh berlandaskan kehendak perundangan.


Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat adalah SPAD akan mempunyai pegawai-pegawai penguatkuasanya sendiri. Bidang kuasa mereka yang merangkumi kerja-kerja penguatkuasaan adalah dilandaskan daripada Akta Pengangkutan Darat 2010.
Bidang kuasa pegawai penguatkuasa SPAD ini antara lain termasuklah pemeriksaan pengangkutan-pengangkutan awam dan pengangkutan muatan bagi memastikan kesemua layak berada di atas jalan raya, dan memiliki lesen yang sah serta dokumen-dokumen lain; pemeriksaan pemandu, konduktor dan pemandu gantian bagi memastikan bahawa mereka dalam keadaan yang memuaskan untuk bertugas; pemeriksaan tiket perjalanan; dan mengetatkan kawalan bagi membanteras penjualan tiket haram dan perayu tiket.
Pegawai penguatkuasa SPAD akan bekerjasama dengan pegawai penguatkuasa dari agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan perjalanan pengangkutan-pengangkutan awam.
Dengan penggubalan dan penguatkuasaan Akta Pangangkutan Awam Darat 2010, beberapa kesalahan-kesalahan baru berkaitan pengangkutan awam dan kuasa penguatkuasaan telah diperkenalkan, seperti hukuman ke atas kesalahan pemalsuan, kuasa pegawai penguatkuasa SPAD untuk menangkap pesalah dan melakukan sekatan jalan. 

Undang-undang tersebut juga mengubah undang-undang sedia ada seperti pelanggaran syarat-syarat perlesenan di mana denda maksima telah dinaikkan kepada RM500,000 serta 2 tahun penjara dari denda maksima RM5,000 serta setahun penjara.